Ahad, 2 Disember 2007

Macam-macam ragam 11

ROCHESTER, New Hampshire 1 Dis. – Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman mencetuskan keadaan cemas di sini apabila dia berjalan memasuki pejabat kempen calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton (gambar) dengan objek yang kelihatan seperti bom di bahagian dadanya.

Lelaki yang dikenali sebagai Leeland Eisenberg, 47, itu kemudiannya meminta Hillary keluar agar dia dapat berbincang mengenai akses kepada penjagaan kesihatan mental.

Eisenberg berada di dalam pejabat itu selama hampir enam jam bersama beberapa tebusan sebelum dia melangkah dan meletakkan bungkusan berbentuk seperti bom yang dibuat sendiri ke atas tanah.

Lelaki itu kemudiannya dikepung oleh pasukan SWAT yang lengkap bersenjata.

Eisenberg yang memakai seluar kelabu, kemeja putih dan tali leher berwarna merah berjaya dijatuhkan dan digari.

Hillary berada di Washington ketika insiden itu berlaku tetapi konfrontasi berkenaan menyebabkan kempen beliau tertangguh seketika.

Beliau hanya mempunyai lima minggu lagi untuk berkempen sebelum pemilihan awal diadakan di New Hampshire.

Hillary dan suaminya, bekas Presiden Bill Clinton juga membatalkan semua kemunculan awam serta meningkatkan kawalan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ulasan : Itulah cabaran ahli politik. Apalagi di negara yang senjata mudah didapati seperti di Amerika. Apa motif penyerang tidak diketahui, tetapi mungkin ada seuatu yang tidak disukai tentang Hillary ; isteri bekas Presiden US-Bill Clinton.


BESUT 1 Dis. - Kudung kedua-dua belah tangan sehingga ke paras lengan tidak menghalang seorang warga China memandu beribu-ribu kilometer dari negara asalnya untuk menyertai Cabaran Hutan Hijau (RFC) 2007 di Setiu dekat sini yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

Dengan hanya menggunakan lengan, Yuelin He, 40, mengendalikan kenderaan pacuan empat rodanya sejauh kira-kira 5,000 kilometer dari Lijiang untuk sampai ke Setiu bagi menyertai RFC.

Dibantu oleh rakannya, Zhou Ri Hong, 40-an, Yuelin akan bersama-sama 350 peserta tempatan dan luar negara memulakan cabaran hari pertama RFC di Kampung Bintang, Setiu hari ini.

Yuelin yang diberi gelaran ‘helang tanpa sayap’ hilang kedua-dua belah tangannya sehingga paras lengan akibat ditimpa satu kemalangan ketika berusia sembilan tahun.

Menurut lelaki itu, kecacatan anggota tidak menghalang minatnya untuk menyertai sukan lasak tersebut yang timbul sejak dia berusia belasan tahun.

Katanya, walaupun sukar untuk memahirkan diri mengendalikan stereng dengan lengan, Yuelin terus berusaha sehingga pada tahap sekarang dia mampu memandu sehingga beribu-ribu kilometer.

‘‘Pernah kenderaan pacuan empat roda yang saya bawa terbabas kerana sukar dikawal menggunakan lengan, namun ia tidak membantutkan hasrat saya untuk meneruskan penyertaan dalam acara lasak ini,” katanya dengan dibantu seorang jurubahasa.

Kegigihan Yuelin mengetepikan faktor kecacatan untuk menyertai acara lasak itu turut mendapat pujian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang merasmikan RFC di Jerteh dekat sini hari ini.

Ulasan : Siapa kata insan istimewa yang kurang pancaindera tidak mampu berdikari dan menunjukkan kehebatan yang tersendiri. Cuma kita kadangkala under estimate kemampuan mereka.


Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN (WARTAWAN UTUSAN)

SETAHUN selepas kematian suami, itu pun secara tidak sengaja tergerak hatinya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di kaunter yang dibuka berhampiran tempat tinggalnya, barulah Jamalia mengetahui yang dia selama ini hidup dengan HIV.

Apabila disahkan positif HIV - sukar untuk dia mempercayainya. Ini kerana wajahnya yang ditatap di cermin - bukan cengkung dan pucat seperti yang kerap ditonton dalam drama televisyen.

Apatah lagi dia bukan penagih dadah atau pengamal seks rambang seperti diuar-uarkan dalam iklan - jadi tidak mungkin dia dijangkiti wabak senyap itu.

Namun setelah membuat sedikit penyelidikan dan ditemukan pula dengan orang lain yang juga hidup dengan HIV, barulah dia menerima yang itu nasibnya.

Jamalia - suri rumah yang setia dengan satu pasangan hidup - dijangkiti virus itu daripada arwah suaminya yang merupakan bekas penagih dadah suntikan.

Jamalia ialah antara 5,373 wanita di negara ini yang hidup dengan HIV dan AIDS yang jumlah keseluruhannya termasuk kanak-kanak mencecah 67,234 orang.

Sejak kes pertama didiagnosis di negara ini pada 1986, sebanyak 9,155 kematian akibat penyakit berkaitan AIDS dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada 2006 sahaja, sebanyak 5,830 kes baru jangkitan HIV dilaporkan dengan 976 kematian.

Mengikut profil KKM, 73 peratus orang yang hidup dengan HIV (OHIV) di negara ini ialah pengguna dadah suntikan dengan 37 peratus berusia 29 tahun ke bawah.

Dengan 11, 780 kes baru dilaporkan di seluruh dunia setiap hari dan di Malaysia sahaja purata 16 kes, tidak ragu-ragu lagi HIV dan AIDS merupakan ancaman wabak yang utama bagi manusia.

Mengambil pengalaman Jamalia, tahap pemahaman yang rendah dan salah faham tentang HIV dan AIDS terutama di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti menjadi punca peningkatan kes saban tahun.

Menurut Penasihat HIV dan AIDS Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Wing-Sie Cheng, dianggarkan sebanyak 45 juta kes baru akan dicatatkan menjelang 2010 sekiranya langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan tidak diambil.

Pada tahun lalu sahaja, katanya, 4.3 juta orang dijangkiti HIV dengan 530,000 daripadanya kanak-kanak.

‘‘Malaysia merupakan negara kelima terpantas dari segi pertumbuhan epidemik HIV di rantau Asia Pasifik dengan transmisi (pemindahan) virus melalui hubungan seks menunjukkan trend membimbangkan.

‘‘Dalam hal ini, masalahnya bukan kekurangan infrastruktur kerana kerajaan Malaysia telah melaksanakan sebaik mungkin untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya HIV dan AIDS malangnya rakyat yang kurang memberi perhatian,’’ katanya dalam satu pertemuan anjuran UNICEF di Subang Jaya baru-baru ini.

Kebanyakannya enggan dan liat menjalani ujian HIV - kerana merasakan ‘tidak mungkin aku’ yang dijangkiti.

Wabak AIDS secara senyap membarah di negara ini ekoran salah tanggapan yang melabelkan hanya orang tidak bermoral atau secara kasarnya - pelacur dan golongan homoseksual sahaja yang akan dijangkiti HIV.

Hakikatnya walaupun bukan pekerja seks atau pengamal seks sejenis mahupun penagih yang berkongsi jarum suntikan - anda juga tidak selamat.

Lebih-lebih lagi jika anda ialah pasangan yang setia kepada tiga kumpulan di atas atau anak kepada OHIV.

Mungkin sukar diterima tetapi sebenarnya sudah tidak lagi menjadi rahsia kata Cheng, peningkatan kes HIV di Malaysia juga akibat semakin ramai lelaki kini pengamal biseksual.

‘‘Hidup dengan dua identiti - secara terbuka sebagai lelaki normal, berkahwin dan mempunyai anak tetapi secara sembunyi terus mengamalkan kehidupan tidak selamat - lalu memindahkan HIV kepada isteri dan anak,’’ ujarnya.

Dalam hal ini, vaksin terbaik menangani wabak HIV ialah melalui pendidikan.

Katakan ‘Tidak, kepada AIDS!’ dengan menjauhi perlakuan yang mendedahkan kita dan orang yang tersayang kepada risiko jangkitan, bukannya meminggirkan OHIV.

Ulasan : Statik ini cukup membimbangkan kita. Kini, keadaan seakan tidak selamat. Isteri dan anak-anak kepada penagih dadah ataupun suami yang menjalankan hubungan seks rambang, juga perlu menjalani pemeriksaan. Dalam Islam jelas, kesemua perlakuan tadi ditegah. AIDS merupakan bala dari Allah sebagai iktibar buat manusia.

Mengembalikan semangat juang DBP

Oleh: LAWRENCE QUEK (WARTAWAN UTUSAN)

KAMUS Dewan menjelaskan, perkataan ‘mandul’ membawa maksud ‘tidak boleh beranak’ dan ‘tidak produktif’ serta mempunyai perkataan seerti iaitu ‘majir’.

Perkataan ‘kemandulan’ pula dirujukkan kepada maksud ‘perihal tidak boleh beranak’ dan dalam persoalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dikatakan menghadapi masalah kemandulan, ia menjurus kepada tafsiran bahasa badan ini tidak produktif dalam tugas-tugas yang diamanahkan.

DBP mandul? Ya atau tidak, hanya badan ini yang boleh menjawab dan memberi penjelasan kerana tidak ramai yang tahu apakah yang dilakukannya, dan setakat mana pencapaiannya.

Dalam situasi semasa, persoalan menjadi semakin rumit berikutan timbulnya pelbagai masalah berkaitan dengan bahasa Melayu - atau bahasa Malaysia.

Antara permasalahan yang menjadi hambatan termasuklah penggunaannya dalam pengajaran Matematik dan Sains, serta penggunaannya dalam semua sektor urusan sama ada kerajaan atau swasta.

Pertanyaan, apakah bahasa ini digunakan secara penuh dalam urusan harian rakyat negara ini sama ada rasmi atau tidak rasmi?

Jawapannya, pandang dan dengar sekeliling kerana jawapannya jelas lagi nyata.

Mandul dan kemandulan semacam suatu terkaman bahawa DBP yang mencapai usia emas sudah berada pada tahap yang sama seperti wanita berusia yang tidak boleh mengandung dan beranak.

Kenyataan ini pastinya merupakan satu tempelakan dan kecaman yang menyatakan bahawa DBP sebagai badan bahasa dan sastera negara tidak berbuat sesuatu, atau tidak bekerja, atau gagal menjalankan tugas.

Sama ada mahu melenting atau tidak mempedulikannya, terpulang kepada warga badan ini untuk menilai semula kedudukan dan prestasi, dan melihat semula sejarah dan pencapaian.

Tidak ada penjernihan dan penilaian yang paling baik selain daripada bermula dari dalam, dan jika sejarah dan pencapaian masa lalu menjadi ukuran, tidak salah untuk menjadikannya sebagai panduan dan pembakar semangat.

Hari ini, masalah dan persoalan bahasa Melayu tidak seperti ketika DBP ditubuhkan, atau pada tahun-tahun awal penubuhan, tetapi semangat dan perjuangan yang sanggup menyanggah arus sepatutnya ada dalam diri setiap warganya.

Ya, memang benar bahasa dan ilmunya tidak statik sama seperti persekitaran dan demografi yang sentiasa berubah.

Barangkali, apa yang dilakukan untuk bahasa hari ini tidak mencukupi hingga ramai yang berada dalam ketidakpastian mengenai pencapaiannya, dan jika adapun, ia terlalu kurang untuk dibanggakan.

Sejajar dengan kedinamikan bahasa dan keperluan masa kini, pastinya bahasa Melayu menerima banyak masukan istilah atau perkataan baru.

Tidak dinafikan DBP menerima masukan perkataan yang diambil daripada bahasa suku-suku kaum di Malaysia serta serumpun, tetapi dalam sesetengah bidang, tentunya, istilah atau perkataan yang lebih bersifat tempatan dan serantau tidak dapat mengisi kekosongan ini.

Jadi apakah salah memelayukan istilah atau perkataan bahasa Inggeris untuk diterima pakai dalam sistem bahasa Melayu?

Secara semangatnya, ia mungkin suatu pencemaran atau memaparkan sikap masih terbelenggu dengan kolonialisme.

Bagaimanapun harus diingat, sistem bahasa Inggeris yang nampak begitu gah dan ampuh hari ini juga mengambil bahasa-bahasa luar secara meluas sama ada diambil secara langsung atau melalui proses pembentukan dan peristilahan semula.

Tidak salah untuk mengambil dan memelayukan sesetengah istilah atau perkataan asing - di luar lingkungan senegara dan serumpun jika sesuatu perkataan ini merujuk kepada maksud tertentu dan khusus.

Pada masa yang sama, DBP melalui MABBIM (Majlis Bahasa Brunei - Indonesia - Malaysia) dan MBAM (Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu) perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mencari dan mencipta istilah.

Kewujudan kedua-dua majlis ini wajar dimanfaatkan secara penuh kerana ia turut dianggotai oleh pakar bahasa Melayu dari seluruh dunia.

DBP hari ini sewajibnya menjadi seekor singa yang dipeduli bila mengaum mengenai bahasa, tidak gentar atau terikat dengan hukum-hakam pentadbiran.

Sama seperti sifat bahasa yang tidak statik, badan ini dan warganya juga perlu mempunyai ciri dan semangat yang sama.

Cuma dalam kecelaruan mandul dan kemandulan kali ini, amat malang bagi DBP apabila dikaitkan dengan perkataan seperti bajet dan istilah-istilah pangkat polis.

Sekali lagi DBP harus menjadi kambing hitam?

Ulasan : DBP perlu lebih proaktif menangani isu bahasa. Bahasa rojak telah sekian lama berleluasa, tetapi tiada kawalan yang jelas oleh DBP. Pemerintah juga perlu menunjukkan kesungguhan untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Langkah mengajar M3 dan Sains dalam BI, merupakan langkah yang silap dan akhirnya menyebabkan Bahasa Melayu semakin terpinggir bersama pejuangnya ; DBP.

Bantah rotan pelajar perempuan

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kementerian Pelajaran diminta tidak melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan kerana ia bercanggah dengan Akta Kanak-kanak 2001 dan Perkara 37 Konvensyen Mengenai Kanak-kanak.

Malah, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Dr. Khoo Kay Kim juga meminta amalan merotan terhadap pelajar lelaki dikaji semula.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata, langkah itu adalah untuk memelihara dan memberikan perlindungan kepada kanak-kanak seperti yang digariskan oleh Akta Kanak-kanak 2001.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar memberitahu, cadangan Kementerian Pelajaran untuk menguatkuasakan hukuman rotan tersebut pada tahun depan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk diperhalusi supaya tidak bercanggah dengan Akta Kanak-kanak 2001 sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Kata Kay Kim, kementerian terbabit perlu menggunakan pendekatan alternatif yang lebih bersifat kemanusiaan dan tidak memberi kesan negatif dari aspek psikologi terhadap pelajar terbabit.

Ulasan : Telah saya sebutkan sebelum ini, merotan pelajar perempuan bukan cara yang terbaik untuk mendidik mereka. KPM perlu memikirkan cara yang lebih baik untuk menangani masalah disiplin pelajar ; bukan langkah mudah tetapi kesannya besar kepada perkembangan jangka panjang pelajar tersebut.


ALOR GAJAH 1 Dis. – Kumpulan Hindu Right Action Force (Hindraf) telah membuat dakwaan melampau, tidak masuk akal dan berniat tidak baik apabila menuduh kerajaan Malaysia mengamalkan pembersihan etnik minoriti di negara ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri yang ternyata marah dengan tuduhan itu menegaskan, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang menghasut dan membuat pembohongan yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Menurut Abdullah, dakwaan yang dibuat Hindraf termasuk kononnya kerajaan berada di belakang kumpulan ekstremis yang memusnahkan kuil Hindu di Kampung Jawa, Pulau Pinang pada 15 November lalu merupakan satu pembohongan besar.

Katanya, ia seolah-olah menyamakan Malaysia dengan pembersihan etnik yang berlaku di negara Bosnia oleh pihak Serbia beberapa tahun lalu.

“Saya rasa marah sebenarnya, saya jarang rasa marah tetapi ini tindakan yang tidak boleh dilayan sama sekali.

“Apakah wujud pembersihan etnik di sini? Betulkah ada pembersihan etnik? Ini adalah satu pembohongan yang ada niat tidak baik. Pembohongan seperti ini akan menimbulkan kemarahan (rakyat),” tegas Perdana Menteri.

Abdullah menegaskan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkampungan Hadhari Melaka, di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Kejadian di Kampung Jawa itu tidak pernah berlaku, dan Abdullah berkata, ia merupakan satu cubaan hendak memperdayakan kaum India yang telah bersama-sama hidup aman dengan kaum lain dan membantu kerajaan membangun dan memakmurkan negara ini.

“Di Malaysia tak pernah berlaku perbalahan antara orang Islam dengan penganut agama Hindu. Mengapa hal ini ditimbulkan? Tentu sekali ia berbau perkauman dan mahu menggugat kestabilan perpaduan kaum dan gugat kepercayaan orang India kepada kerajaan, UMNO dan Melayu.

Ulasan : Diharap pemerintah tidak menggunakan isu ini untuk meraih sokongan pengundi Melayu. MIC seakan-akan senyap dalam isu HINDRAF. Ataupun inilah percaturan politik pemerintah? Memainkan sentimen perkauman menjelang pilihanraya yang semakin hampir?


ALOR STAR 1 Dis. – Meskipun mengeluh kerana terasa beban kenaikan tambang baru feri dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi, orang ramai khususnya para pelancong masih memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan air itu ke pulau peranginan tersebut.

Mahu atau tidak, hanya feri merupakan pengangkutan alternatif terbaik untuk mereka ke destinasi pelancongan itu dari tanah besar atau sebaliknya memandangkan kadar tambang yang lebih murah dan praktikal berbanding menaiki kapal terbang.

Rata-rata orang ramai yang ditemui Mingguan Malaysia di jeti Kuala Kedah di sini hari ini, mengakui terasa bebanan kenaikan kadar tambang tersebut lebih-lebih lagi apabila mereka turut menanggung pelbagai kenaikan harga barangan lain.

Berkuat kuasa hari ini, kadar baru tambang feri dinaikkan sebanyak RM5 dari jeti Kuala Kedah ke Langkawi dan RM3 dari Kuala Perlis Ke Langkawi.

Ini bermakna, kadar tambang baru bagi penumpang feri dari Kuala Kedah ke Langkawi ialah sebanyak RM23 bagi dewasa dan RM17 bagi kanak-kanak berbanding RM18 dan RM12 sebelum ini.

Kadar tambang dari Kuala Perlis pula ialah RM18 bagi dewasa dan RM13 bagi kanak-kanak berbanding RM15 dan RM10. Penduduk Langkawi bagaimanapun dikecualikan dan terus menikmati rebat RM3 bagi setiap perjalanan berkenaan dengan menunjukkan kad pengenalan mereka yang beralamat di Langkawi.

Seorang anggota polis marin yang bertugas di Langkawi, Nor Aziah Dahaman, 34, berkata, kenaikan tambang feri itu membebankan pengguna apatah lagi bagi dirinya yang selalu berulang-alik dari tanah besar ke pulau Mahsuri itu kerana tugas.

Ulasan : Beban kenaikan harga tiket sudah dirasai rakyat. Ini belum dikira lagi jika harga minyak dinaikkan tahun depan. Petronas masih boleh menganjurkan Peraduan Super Car Craze yang menelan belanja jutaan ringgit berbanding memikirkan memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhan! Pemerintah perlu menggunakan keuntungan Petronas di tempat yang haq, bukan melaburkan di tempat-tempat yang hanya menguntungkan segelintir pihak!


KUALA LUMPUR 1 Dis.– Kes wanita rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa semakin meningkat dan tahun ini sahaja sebanyak 30 orang ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata, kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa malahan tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang.

“Tahun ini sahaja 30 kes seumpama itu yang melibatkan wanita tempatan dikesan. Terbaru pada Oktober sahaja, tiga lagi wanita tempatan yang bertindak sebagai drug courier (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tanpa sedar ditahan di dua buah negara,” katanya.

Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan iaitu 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (2).

Bakri berkata, daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam (Argentina), lima (China), empat (Australia), lima (Venezuela) manakala seorang di Jepun.

Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis kokain, ephedrine, methamphetamine, syabu dan heroin.

“Sejumlah 86.5 kilogram dadah dirampas dan yang paling berat pernah dibawa ialah dadah jenis kokain seberat 10 kilogram di Argentina,” kata Bakri.

Beliau berkata, polis Malaysia menghadapi kesukaran membantu siasatan kes seumpama itu walaupun ada desakan daripada keluarga.

Ulasan : Golongan wanita perlu lebih berhati-hati dengan kenalan yang baru ditemui. Mungkin merekalah dalang sindiket dadah yang hendak memperdayakan anda!


PETALING JAYA 1 Dis. – Mulai penghujung tahun depan pemandu yang menggunakan lebuh raya di sekitar Lembah Klang tidak perlu lagi berhenti di plaza tol apabila kerajaan melaksanakan sepenuhnya kaedah bayaran tol secara elektronik melalui sistem gantri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, sistem yang membabitkan kos keseluruhan RM800 juta itu buat permulaan akan dilaksanakan di Lembah Klang bagi mengelakkan kesesakan yang sering berlaku di plaza tol terutama pada waktu puncak.

Katanya, ia kemudian akan diperluaskan ke plaza tol lain di seluruh negara selepas melihat pelaksanaannya di Lembah Klang.

“Setelah sistem itu dilaksanakan maka tidak akan ada lagi kaunter tunai di plaza tol,” katanya.

Samy Vellu yang juga Presiden MIC berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Perniagaan Untuk Masyarakat India di sini, hari ini.

Kata beliau, pelbagai perkara yang membabitkan syarikat konsesi dan pindaan undang-undang berhubung sistem baru itu dijangka siap pada Mac tahun depan.

Kos pelaksanaan sistem gantri ini termasuk pembinaannya dianggarkan bernilai RM800 juta,” katanya.

Di bawah sistem gantri itu, pemandu kenderaan hanya perlu membeli kad prabayar e-Tag untuk dipasang pada cermin kenderaan dan terus melalui pengimbas yang dipasang di kawasan plaza tol.

Dengan sistem ini, pemandu boleh terus melalui gantri pada kelajuan tertentu tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan mereka kerana mesin pengimbas akan memotong bayaran tol secara automatik daripada kad prabayar.

Kata beliau, gantri yang menyerupai palang pada gol bola sepak itu juga akan dilengkapi kamera bagi mengesan kelajuan seterusnya mengambil gambar kenderaan.

Samy Vellu menambah, sistem itu mengawasi pergerakan kenderaan yang melanggar undang-undang terutama melibatkan pematuhan had laju.

“Segala rekod mereka termasuk waktu perjalanan akan direkodkan oleh kamera berkenaan. Kalau pemandu sering ‘mencelah’ dan bertukar-tukar lorong sesuka hati juga akan direkodkan.

“Sistem ini juga akan memudahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas,” ujarnya.

Ulasan : Kita tunggu dan lihat pelaksanaan sistem gantri ini. Kalau kos pembinaan sahaja memakan RM800 juta, setiap kereta perlu memiliki Smart Tag ; saya kira ini juga membebankan negara dan rakyat. Renung-renungkan!



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude