JATUH bangun dan utuhnya sesebuah negara bergantung kepada sistem pendidikan yang ditawarkan.
Kita lihat sahaja mahasiswa lulusan institusi pengajian tinggi masih lagi gagal menguasai Bahasa Inggeris. Ia sepatutnya tidak berlaku, ini kerana universiti merupakan gelanggang terakhir dalam mengkhatam segala ilmu yang dipelajari sejak prasekolah sehingga ke peringkat universiti. Saya hairan mengapa ada jurusan-jurusan yang tidak relevan dengan pasaran kerja masih disediakan atau ditawarkan pihak universiti-universiti.
Malangnya jurusan tersebut kebanyakannya dipenuhi oleh pelajar-pelajar Melayu. Memang benar menuntut ilmu bukan untuk menjamin peluang kerjaya, tetapi secara matematiknya, seseorang yang bekerja gigih dan berusaha kuat perlu mendapat sesuatu yang baik di kemudian hari. Apa guna mendapat segulung ijazah tetapi hanya untuk perhiasan termasuk gambar-gambar kenangan konvokesyen yang dilekatkan di dalam rumah. Apabila hal ini berlaku, pihak yang menjadi mangsa adalah pelajar itu sendiri kononnya mereka tidak proaktif dan kreatif, terlalu memilih kerja dan kurang bijak menyusun strategi untuk menjadi mahasiswa yang berjaya. Adakah kita pernah bertanya berapa ramaikah pelajar yang mempunyai ijazah bekerja di syarikat makanan segera, di tapak-tapak pembinaan, sebagai pemandu lori dan sebagainya. Adakah kita mendalami apa yang mereka rasa. Tidak keterlaluan kalau dikatakan sistem pendidikan kini umpama perniagaan. Tawaran membuat pinjaman pendidikan melimpah-ruah, apabila pelajar gagal membuat pembayaran balik, sekali lagi mereka dipersalahkan. Syarat membayar pinjaman balik sekarang amat dahsyat, iaitu perlu menjelaskan pinjaman selepas enam bulan menamatkan pengajian.
Universiti semakin dilihat sebagai institusi perniagaan yang memburu pendapatan dengan memperdagangkan ilmu sebagai komoditi. Oleh itu kedudukan universiti sebagai institusi berwibawa dalam masyarakat apabila ia mengorbankan nilai akademik yang luhur tidak akan berkekalan dari kaca mata masyarakat.
Saya masih ingat 15 tahun dahulu, kalau ada pelajar kampung masuk universiti, satu kampung akan merayakan kegembiraan pelajar tersebut kerana ia adalah satu perkara yang luar biasa.
Tapi kini jika ada pelajar yang tidak dapat memasuki universiti, ia boleh dikategorikan satu yang luar biasa.
Memang benar, perkembangan teknologi dan masa menyebabkan pelajar-pelajar lebih ke hadapan. Tapi sistem pendidikan itu sendiri perlu advance untuk mengimbangi keadaan tersebut. Kita terpaksa menerima hakikat kebanyakan firma atau badan korporat agak berkira untuk menerima pelajar lepasan universiti tempatan terutamanya universiti awam yang amat daif dari segi skil atau kemahiran yang diperlukan untuk menjana keuntungan mereka. Bagi saya universiti harus pragmatik iaitu memainkan dua peranan serentak. Penyesuaian tahun belajar di universiti akan lebih mudah ditetapkan, mungkin dua tahun mempelajari ilmu teknikal supaya bersesuaian dengan pasaran kerja dan selebihnya aspek falsafah atau sebaliknya. Yang menjadi masalah ialah apabila perkara ini dibiarkan mengikut arus perubahan masa dan citra universiti diwarnai oleh elemen luaran semata-mata.
Negara memerlukan usahawan, jutawan, ahli sains dan teknokrat. Tetapi dalam masa yang sama negara memerlukan pemikir dan pengkritik sosial, ahli psikologi, ahli falsafah dan sebagainya. Universiti berperanan untuk melahirkan pemikir masyarakat, pengkritik sosial dan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berilmu, tetapi berjiwa masyarakat, berhemah tinggi, mempunyai prinsip perjuangan yang tulen, bijaksana dan berani.
Kesimpulannya, menuding jari bukanlah satu jalan penyelesaian yang terbaik. Sama ada benar atau tidak laporan oleh Bank Dunia tersebut adalah tidak penting, tetapi ia mungkin boleh membuka mata kita semua dan mengejutkan “tidur” kita selama ini. Kita sudah tidak mempunyai banyak masa lagi, sedar tak sedar kita hanya ada 13 tahun lagi untuk misi 2020 menjadi Malaysia sebuah negara maju.
– MOHD RIZAL HASHIM
Ulasan : Sebab itu kita memerlukan graduan mahasiswa yang cakna suasana sekeliling, prihatin dengan keadaan masyarakat serta mampu berdikari dalam meneroka pekerjaan dalam bidang baru. Bukan sekadar, beroleh pendapatan yang tinggi, kedudukan yang selesa lalu mengabaikan kemaslahatan ummah.
2 ulasan:
Nak buat macam mana, universiti sudah dikuasai oleh manusia yang;
1.ada kepentingan politk.
2.tiada ilmu.
3.gila kuasa
4.takut dengan bayang2
tungggulah saat kehancuran....
yelah abufadhl. Itulah cabaran kita hari ini. Diharap gerakan mahasiswa kembali bangkit menjuarai isu kepentingan mahasiswa dan universiti bebas dari campur tangan politik
Catat Ulasan