Khamis, 29 November 2007

Macam-macam ragam 9

Kontinjen Sukan SEA negara meraih pingat emas pertama dan satu perak sebaik cabaran temasya edisi ke-24 itu bermula secara tidak rasmi semalam menerusi acara menembak yang membuka tirai saingan paling awal.

Daripada lima pingat emas yang ditawarkan menerusi tiga acara akhir yang berlangsung pada hari pertama itu, acara 50m rifel prone wanita berpasukan berjaya menjelmakan emas sulung.

Manakala perak disumbang Nur Suryani Mohd. Taibi dalam kategori individu acara yang sama.

Sebanyak 24 pingat emas kesemuanya ditawarkan menerusi menembak sepanjang lima hari acara itu berlangsung di Bangkok, Thailand.

Ulasan : Taniah buat penembak wanita negara. Sedikit teguran, apa salahnya bersukan dengan menutup aurat. Kawan di sebelah elok pakai tudung, takde masalah pun !


RAWALPINDI 27 Nov. – Presiden Pervez Musharraf mengucapkan selamat tinggal kepada angkatan tenteranya hari ini, sehari sebelum beliau tunduk kepada tekanan antarabangsa dengan meletak jawatan sebagai ketua turus tentera untuk menjadi pemimpin awam Pakistan.

Pervez berbuat demikian semasa mengadakan lawatan dua harinya yang terakhir sebagai jeneral tentera ke markas tentera di sini.

Sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) itu, yang menghadapi kemarahan yang semakin hebat di dalam dan di luar negara akibat perintah darurat yang beliau isytiharkan tiga minggu lalu, dijadual meletak jawatan sebagai ketua turus tentera esok.

Pada hari Khamis, Pervez akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Pakistan untuk penggal kedua selama lima tahun, tetapi kali ini tanpa uniform yang beliau ibaratkan seperti kulitnya.

Tempat persinggahan pertamanya hari ini ialah Markas Ketua Staf Bersama, yang menggabungkan pejabat panglima tertinggi angkatan tentera udara, laut dan darat.

Pervez yang memakai uniform istiadat yang dilengkapi dengan pingat-pingat dan selempang hijau, menerima kawat hormat dengan iringan muzik yang dimainkan oleh sebuah pancaragam tentera.

Beliau juga mengadakan pertemuan selama 15 minit dengan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Tariq Majid dan bertukar-tukar cenderamata.

Para pegawai berkata, Pervez turut melawat ibu pejabat tentera laut dan udara yang berasingan.

“Jeneral Pervez akan mengadakan lawatan ke beberapa buah markas tentera hari ini dan esok untuk mengucapkan selamat tinggal,” kata jurucakap Presiden, Tashid Qureshi.

Esok, beliau dijadual melawat ibu pejabat tentera darat untuk menyerahkan jawatannya sebagai ketua angkatan tentera bersenjata nuklear kepada penggantinya, bekas ketua perisik Jeneral Ashfaq Kiyani.

Dengan meletak jawatan daripada pasukan tentera, Pervez yang merampas kuasa pemerintah pada 1999, menunaikan tuntutan utama daripada rakyat Pakistan dan juga daripada masyarakat antarabangsa.

Ulasan : Baguslah dah letak jawatan. Tetapi rakyat Pakistan masih bimbang apa langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh beliau. Diharap pilihanraya yang akan berlangsung pada Januari tahun depan berlangsung dengan telus.


KUALA LUMPUR 27 Nov. – Selepas 25 hari bertarung nyawa setelah menjalani pembedahan pemindahan jantung serta paru-paru serentak dan pertama di Institut Jantung Negara (IJN), Siti Salmah Jasni, 18, menghembuskan nafas terakhirnya di sini, hari ini.

IJN dalam kenyataannya hari ini memberitahu, Siti Salmah meninggal dunia akibat septisemia dan jangkitan yang teruk.

Menurut kenyataan itu, selepas pembedahan pemindahan itu, Siti Salmah tidak menunjukkan sebarang tanda yang organ-organ baru itu tidak diterima oleh tubuhnya.

Bapanya, Jasni Zainal, 52, berkata, Siti Salmah meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi ini dalam keadaan tenang di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN.

Semalam, tiub pernafasan Siti Salmah dibuka pada sebelah pagi tetapi dipasang semula pada sebelah petang untuk membolehkan doktor melihat perkembangan organ barunya itu.

Menurut Jasni, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Utusan Malaysia, IJN, Institut Perubatan Respiratory (IPR) terutama doktor-doktor yang bertungkus-lumus cuba menyelamatkan anaknya hingga ke saat akhir.

“Namun ramai yang tidak mengetahui, kedua-dua belah kaki arwah sebenarnya terpaksa dipotong selepas enam hari menjalani pemindahan serentak itu,” katanya.

Ulasan : al-Fatihah untuk adik Siti Salmah. Setelah berikhtiar, Allah menentukan jua Dia lebih menyayanginya. Moga rohnya dirahmati Allah.


NEW DELHI 27 Nov. – Penulis Bangladesh, Taslima Nasreen yang bersembunyi di India selepas menerima ancaman maut kerana dituduh menghina Islam, menemui seorang sekutu yang pernah dituduh membuat pakatan sulit dalam pembunuhan penduduk Islam semasa rusuhan agama pada 2002.

Akhbar Economic Times hari ini melaporkan, Ketua Menteri Gujarat, Narender Modi telah mempelawa Taslima tinggal di negerinya di bahagian barat India selepas beliau melarikan diri dari Benggala Barat yang diperintah oleh pihak komunis, minggu lalu.

“Taslima dipelawa datang dan tinggal di Gujarat. Beliau boleh meneruskan kerjayanya dalam bidang penulisan dan berkhidmat untuk kemanusiaan.

“Saya mengalu-alukan kedatangannya walaupun beliau mengkritik saya dalam bukunya,” kata Modi kepada akhbar itu.

Ulasan : Anda masih ingat Taslima ; penulis wanita yang menulis dalam bentuk penghinaan kepada Islam. Orang sebegini perlu dikenakan hukuman yang setimpal!


KUALA LUMPUR 27 Nov. – Seramai 124 daripada 136 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan haram anjuran Hindu Rights Action Force (Hindraf) di ibu negara Ahad lalu, akan didakwa termasuk 101 orang daripadanya dihadapkan di mahkamah, esok.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana menyertai perhimpunan haram.

Bagaimanapun, kesemua 101 suspek yang tamat perintah tahanan reman tiga hari telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini tetapi diperintahkan hadir ke mahkamah esok untuk menghadapi tuduhan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, 55 orang akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur manakala 46 orang lagi di Mahkamah Majistret Selayang dekat Gombak.

Menurutnya, 23 orang lagi yang dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi, akan didakwa dalam tempoh terdekat iaitu selepas masing-masing diserahkan notis hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan yang sama.

Tambahnya, 12 orang yang juga dibebaskan malam tadi tidak akan didakwa kerana siasatan tidak dapat mengaitkan mereka dengan perhimpunan itu.

“Perintah tahanan reman ke atas semua 136 suspek tamat hari ini dan kita buat keputusan untuk mendakwa 124 orang dengan 101 daripadanya dituduh di mahkamah esok.

“Seramai 23 orang lagi patut dituduh bersama-sama tetapi memandangkan mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis, kita perlu serah notis hadir ke mahkamah untuk tuduhan sama tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menurut Christopher, pihaknya juga sedang mengenal pasti peserta perhimpunan haram itu yang mencetuskan keganasan dengan mencederakan empat anggota polis dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan kes tersebut belum ditutup dan beliau tidak menolak kemungkinan sebilangan mereka yang didakwa esok mungkin dituduh pula atas kesalahan kedua iaitu mencederakan anggota polis.

“Kita telah buat siasatan rapi berhubung kes menyertai perhimpunan haram dan juga perbuatan mencederakan anggota polis.

“Tindakan menghadapkan mereka ke mahkamah esok adalah bukti bahawa pihak polis tidak pernah bertolak ansur dengan sesiapa saja yang mengadakan atau menyertai perhimpunan haram dan mencetuskan kekacauan sehingga menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Christopher memberitahu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang prosiding pendakwaan berlangsung esok, pihak polis akan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, pihaknya akan menempatkan sejumlah anggota polis untuk berkawal di kedua-dua mahkamah majistret itu bagi menghalang sebarang kekacauan yang mungkin tercetus.

Kelmarin, dalam perhimpunan haram yang berakhir kira-kira pukul 2 petang itu, seramai 241 penyokong Hindraf ditahan tetapi 105 orang daripadanya dibebaskan setelah melalui proses dokumentasi.

Perhimpunan haram Hindraf itu bertukar menjadi ganas tidak seperti yang dijanjikan penganjurnya dengan penyokong pertubuhan itu bertindak agresif melontar batu dan besi ke arah polis.

Keganasan dicetuskan para penyokong Hindraf itu menyebabkan empat anggota polis cedera, dua daripadanya parah.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Penjara Pudu di sini yang menempatkan semua 136 tahanan tersebut mendapati kira-kira 150 ahli keluarga dan rakan yang menunggu pembebasan mereka mula berkumpul di pekarangan bangunan penjara berkenaan sejak pukul 11 pagi lagi.

Turut dilihat berada di luar penjara itu ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Bagaimanapun, tiada kekecohan yang berlaku dan sejumlah anggota polis ditempatkan di sekitar luar penjara itu untuk mengawal keadaan.

Dari pukul 2.30 hingga 4 petang, kumpulan pertama yang dilepaskan ialah empat lelaki termasuk seorang warga emas berusia 72 tahun yang dilihat berjalan keluar dari pintu besar penjara.

Ulasan : Penganjur HINDRAF yang sepatutnya ditahan. Isu yang dibawa berbau perkauman. Masyarakat India perlu sedar hal ini dan tidak sepatutnya mengocak keamanan negara.


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat buah lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pengumuman tersebut dibuat setelah Kabinet bermesyuarat hari ini dan ia hanyalah untuk tempoh setahun iaitu pada tahun 2008 sahaja.

``Lebuh raya lain yang terlibat adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (PROLINTAS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) Kerinchi dan Damansara Link,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ekoran langkah tidak menaikkan tol itu, kata Samy Vellu, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada PLUS sebanyak RM145 juta, Jambatan Pulau Pinang sebanyak RM39 juta, SPRINT RM32 juta dan PROLINTAS sebanyak RM26 juta.

Kerajaan juga katanya, perlu membayar pampasan sebanyak RM75 juta bagi tahun 2008 kepada Syarikat Konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan juga perlu membayar sebanyak RM27 juta kepada Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) bagi tempoh 2005 hingga 2007.

``Keseluruhan pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya adalah sebanyak RM344 juta,’’ katanya.

Jelas beliau, jumlah pampasan tersebut merupakan anggaran sahaja dan tertakluk kepada jumlah trafik sebenar.

Samy Vellu berkata, keputusan untuk tidak menaikkan kadar tol tersebut ialah kerana kerajaan tidak mahu membebankan pengguna yang banyak menggunakan lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun beliau menafikan pengekalan kadar tol tersebut adalah sebagai helah pilihan raya umum.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kadar tol di enam lebuh raya lain akan dinaikkan mengikut perjanjian konsesi.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah; Lebuh Raya Kulim Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam.

``Kadar minimum bagi kenaikan tersebut adalah tujuh peratus dan maksimum sehingga 50 peratus,’’ ujar beliau.

Katanya, kenaikan itu dibuat kerana tidak ramai pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Jelas beliau, sebagai contoh, hanya terdapat 16,000 pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura setiap hari.- Utusan

Ulasan : Hanya 4 dari sepuluh tol yang tidak dinaikkan dengan alasan yang naik itu kerana tidak ramai orang yang menggunakan jalan tersebut. Nampaknya naik juga tol tahun depan. Apakah saranan dari Pengerusi PAC ; Datuk Shahrir Samad supaya kerajaan membeli saham PLUS dan syarikat konsesi tol yang lain tidak diambil kira?


SHAH ALAM 28 Nov – Imej dua lelaki Melayu yang dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) Hotel Malaya Jalan Hang Lekir, Kuala Lumpur yang didiami wanita Mong olia, Altantuya Shaariibuu sebelum dilaporkan hilang, disahkan wajah tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Amidon Anan berkata, imej berkenaan dikesan ke tika beliau membuat pemerhatian dan penelitian ke atas pergerakan mereka ketika berlegar-legar di lokasi tersebut.

Amidon, 56, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau pada mulanya dibekalkan dengan tiga keping gambar kaku iaitu ID 340 A (tertuduh pertama, Azilah) manakala B dan C (tertuduh kedua, Sirul Azhar) oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan.

Berbekalkan gambar kaku tersebut, jelas Amidon, beliau diminta untuk membuat perbandingan dengan imej bergerak seperti yang dirakamkan oleh CCTV sebelum menjurus kepada satu keputusan.

Dengan bantuan Pengurus Operasi Hotel Malaya, Jimmy Loo Mow Chan (saksi pendakwa ke-17), kata Amidon, pita rakaman tersebut telah dimainkan mengikut tarikh 18 Oktober 2006 bermula pukul 16:50 (4.50 petang) hingga 17:00 (5 petang).

“Bagi memuaskan pandangan agar tidak tersilap pandang, pita tersebut telah dimainkan sebanyak dua kali. Saya berjaya mengenal pasti sebanyak lapan raut wajah (kerangka wajah) yang dikenal pasti sebagai wajah atau imej ID 340 A dan B (kini bahan bukti P340 A dan B),” jelas Amidon yang menjalankan pemerhatian tersebut pada 29 Mei lalu.

Ulasan : Moga keadilan akan terzahir. Kes ini sudah memakan masa yang agak lama. Konspirasi di sebalik kes ini perlu didedahkan.


KUALA LUMPUR 28 Nov - Kabinet yang membincangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan seorang hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim di negara ini, hari ini memutuskan terma-terma rujukan suruhanjaya tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, telah mengambil maklum semua pandangan berhubung pembentukan suruhanjaya itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata, mesyuarat hari ini tidak membincangkan senarai ahli yang akan menganggotai suruhanjaya berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, senarai ahli Suruhanjaya Diraja itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri selepas ini.

``Bila dan siapa (anggota Suruhanjaya Diraja), itu kita serahkan kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri sendiri yang akan membuat pengumuman,'' katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Ulasan : Diharapkan penggubalan TOR(Term of Reference) Suruhanjaya ini tidak ditangguhkan dan dibuat secepat mungkin. Imej badan kehakiman perlu dibersihkan jika benar komplot mengatur hakim berlaku.


PUTRAJAYA 28 Nov — Kira-kira 2.02 juta pekerja asing yang sah dan ekspatriat di negara ini kini diwajibkan memiliki I-Kad, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don.

Beliau berkata, mereka diberi tempoh hingga Ogos tahun depan untuk memiliki kad pintar berteknologi canggih tersebut.

Penggunaan I-Kad yang sebelum ini diperkenalkan kepada pelajar asing adalah bagi memudahkan proses semakan dan penguatkuasaan ke atas golongan berkenaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Ia sebagai satu dokumen perjalanan untuk menggantikan pasport bagi pekerja asing yang sah. Apabila mereka pergi bekerja dengan membawa pasport, dikhuatiri pasport tersebut akan rosak terutama bagi mereka yang bekerja dalam sektor seperti binaan dan perladangan,” katanya.

Wahid berkata, kad tersebut berbeza dari segi warna berdasarkan sektor pekerjaan iaitu warna emas bagi ekspatriat, pasangan mereka berwarna emas berbelang merah, pas lawatan sosial untuk program My Second Home (perak), pas lawatan kerja sementara (biru), pembantu rumah (ungu), perladangan (merah berbelang kuning), sektor-sektor lain (merah) dan pas pelajar (hijau).

Beliau berkata, tiada sebarang bayaran dikenakan bagi pengeluaran kali pertama kad tersebut tetapi jika berlaku kehilangan, bayaran akan dikenakan yang kadarnya akan ditentukan kelak.

Imigresen telah mengambil lebih 100 pekerja sambilan iaitu pegawai tadbir sementara untuk membantu mempercerpatkan proses pendaftaran bagi mengeluarkan kad tersebut, katanya.

Beliau berkata dari jumlah 2.02 juta yang diwajibkan memiliki kad tersebut, 726,561 (35.9 peratus) merupakan pekerja asing dalam sektor perkilangan, perladangan (343,280/17 peratus), pembantu rumah (317,537/15.8 peratus), pembinaan (285,943/14.1 peratus), perkhidmatan (192,200/9.5 peratus) dan pertanian (155,578/7.7 peratus).

Sementara itu Wahid kesal dengan segelintir kolej swasta yang tidak mengambil berat untuk mendaftar pelajar asing mereka bagi memiliki I-Kad.

Katanya, daripada 36,872 pelajar asing yang terdapat di dalam negara, seramai 26,016 daripadanya telah didaftarkan sementara kira-kira 10,000 lagi belum berbuat demikian.

Ulasan : Semoga idea yang diperkenalkan oleh Imigresen dapat membendung kemasukan PATI yang semakin ramai.


SUBANG 27 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani perhimpunan haram apabila keadaan memerlukan untuk tindakan sedemikian.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun buat masa ini kerajaan masih menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat penilaian dan mengambil tindakan wajar bagi menjamin keselamatan negara.

‘‘ISA adalah satu tindakan pencegahan supaya kita dapat pelihara negara kita daripada berlaku sesuatu yang tidak baik yang boleh jejaskan keamanan, jadi saya tak tahulah (bila akan digunakan), tapi ISA tetap ada dan bila wajar digunakan akan digunakan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sekembalinya daripada lawatan ke Mesir dan menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Uganda di sini hari ini.

Abdullah mengulas perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) Ahad lalu yang bertukar menjadi ganas, tidak seperti yang dijanjikan oleh penganjurnya dengan penyokong pertubuhan itu bertindak agresif melontar batu dan besi ke arah polis.

Kumpulan itu yang berpecah di beberapa lokasi di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Jalan Yap Kwan Seng sejak pukul 6.30 pagi tidak mengendahkan nasihat polis untuk bersurai, turut mengeluarkan kata-kata kesat dan berbau perkauman.

Terdapat laporan beberapa siri perhimpunan haram oleh Hindraf akan diadakan lagi bulan depan bagi meneruskan tuntutan mereka.

Dalam pada itu, Abdullah yang dimaklumkan rasa tidak berpuas hati sesetengah pihak kononnya kerajaan terlalu berlembut terhadap Hindraf dan mahukan langkah tegas termasuk ISA dikenakan, beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata: ‘‘Yakah, saya sangat terkejut kerana ada orang mahukan ISA, saya ingat mereka tidak mahu ISA.’’

Menurut Perdana Menteri, perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Hindraf dan beberapa perhimpunan lain sebelum itu diadakan berikutan terdapat tanggapan bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

‘‘Mereka anggap pilihan raya dah dekat, jadi timbullah bermacam-macam tuduhan kepada kerajaan. Tuduhan seperti ini bila dekat dengan pilihan raya, memang berlaku dulu,’’ jelasnya.

Mengenai kandungan memorandum Hindraf yang antara lain mendakwa UMNO menjadi dalang kepada pembunuhan 100 orang India di Kampung Medan pada tahun 2001, Abdullah menegaskan: ‘‘Dia kata orang UMNO bunuh, tak apa, UMNO kena ambil tindakan kalau macam itu.

‘‘100 orang UMNO yang bunuh, kita nak tahu mana bukti dia, ini tuduhan yang berat. Orang UMNO itu orang Melayu, bunuh 100 orang India, betulkah, awak (wartawan) pun tak tahu.’’

Memorandum itu yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dan ditandatangani penasihat undang-undang Hindraf, P. Uthayakumar dan dipapar dalam blog mereka antara lain turut meminta kerajaan Britain merujuk Malaysia ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana melakukan jenayah terhadap kaum minoriti India.

Pampasan

Perdana Menteri menambah, beliau juga dimaklumkan Hindraf telah meminta pampasan berjumlah trilion pound daripada kerajaan Britain atas dakwaan mengeksploitasi kaum India sebagai buruh.

‘‘Mereka nak minta sekian banyak wang, itu yang janji tiap-tiap orang India akan dapat RM1 juta. Suruh dia janji kepada semua orang India, mereka boleh sokong dia, semua akan dapat seorang sejuta, kayalah, Hindraf pandaikan,’’ ujarnya.

Menurut Abdullah, beliau turut kesal kerana segala dakwaan tidak berasas seperti yang terkandung di dalam memorandum itu telah disebarkan di dalam Internet.

‘‘Kebebasan Internet sekarang ini sudah dinodai oleh setengah orang dalam membuat tuduhan yang bukan-bukan.

‘‘Saya tak mahu mereka melakukan ini semua, kita tahu mereka ada kebebasan tetapi kalau mereka muat turun, siar dan sebarkan risalah yang membuat tuduhan seperti ini, sudah tentulah tindakan boleh diambil,’’ tegasnya.

Ditanya tindakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Cameron Highlands, S. K. Devamany yang mempersoalkan dasar kerajaan yang dikatakan meminggir kaum India, Abdullah berkata, kerajaan bersikap adil dalam melaksanakan dasarnya tanpa bertumpu kepada satu kaum sahaja.

‘‘Kita tahu apa yang kita laksanakan tak semestinya semua 100 peratus orang suka.

Kita perlu mengimbangi daripada segi pengagihan supaya pembangunan disebarkan ke seluruh negara dan ini mesti menjadi satu usaha kita semua, bukan hanya kerajaan,’’ jelasnya.

Ulasan : Pak Lah menjawab untuk menjelaskan keadaan. HINDRAF perlu faham perkara ini. Namun ISA bukan penyelesaiannya. Masih ada akta lain yang boleh digunapakai untuk mendakwa dalang di sebalik perhimpunan HINDRAF tempoh hari.


KUALA LUMPUR 27 Nov. – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan kerajaan akan mengenakan kenaikan kecil harga minyak domestik berikutan peningkatan bahan bakar itu yang kini hampir mencecah AS$100 (RM336) setong.

Pengarah Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berpendapat, kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen adalah munasabah berbanding spekulasi sebanyak 80 sen.

“Macam-macam spekulasi dibuat berhubung kadar kenaikan harga minyak, ada yang menyatakan kerajaan akan menaikkan harga minyak sebanyak 80 sen seliter.

‘‘Tetapi selepas mengambil kira kenaikan minyak yang berterusan ini, bagi saya kenaikan sebanyak 30 sen adalah munasabah,’’ katanya ketika ditemui pada Forum Tinjauan Ekonomi Kebangsaan 2008-2009 di sini hari ini.

Menurut Mohamed Ariff, kadar kenaikan itu sebenarnya masih rendah berbanding kenaikan yang berlaku di negara-negara lain.

Malah, katanya, Malaysia merupakan negara kedua yang menikmati harga minyak paling rendah di dunia.

Mohamed Ariff berkata, kenaikan harga minyak pasti berlaku kerana kerajaan tidak mungkin berupaya menampung jumlah subsidi minyak yang lebih besar.

“Sekarang kerajaan membelanjakan sebanyak RM16 bilion untuk subsidi minyak dan tidak mungkin kerajaan berupaya untuk terus menanggung subsidi minyak yang semakin meningkat.

“Harga minyak akan naik, cuma masanya sahaja yang tidak dapat ditentukan,’’ jelasnya yang yakin kerajaan akan mengenakan kenaikan harga minyak yang sedikit untuk mengurangkan beban rakyat.

Katanya, kenaikan harga minyak domestik bakal memberi implikasi terhadap keseluruhan perbelanjaan rakyat berikutan kenaikan kos pengangkutan akan menyebabkan harga barangan turut naik.

Berikutan itu, tambah beliau, kadar inflasi negara juga dijangka meningkat kepada tiga peratus tahun depan.

Menurut Mohamed Ariff, walaupun kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak namun pendapatan kerajaan tidak terjejas kerana Malaysia merupakan negara pengeksport minyak bersih.

Malah, katanya, Malaysia dijangka memperoleh peningkatan pendapatan hasil daripada kenaikan harga minyak mentah.

Selain itu, tambah beliau, pengukuhan ringgit juga membolehkan negara mengimport barangan pada harga yang lebih murah.

Ulasan : Memang harga minyak akan naik memandangkan harga di pasaran dunia semakin meningkat. Kepada pemerintah, lakukanlah sedaya upaya untuk mengelakkan kenaikan harga minyak yang akan mencetuskan teori domino(harga barang juga akan naik).


KAJANG 27 Nov. – Kementerian Pelajaran bersedia menguatkuasakan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan yang melanggar peraturan sekolah, mulai tahun hadapan.

Selain itu, kementerian akan menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah walaupun tindakan itu pernah mendapat bantahan keras termasuk daripada ibu bapa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, kedua-dua peraturan itu adalah cadangan dan mandat pelbagai pihak termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang dikemukakan pada Seminar Kebangsaan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2007 yang berakhir hari ini.

Menurut beliau, kaedah merotan itu akan diperincikan secara teliti kerana hukuman tersebut sebelum ini tidak pernah dikenakan terhadap pelajar perempuan.

Noh selaku Pengerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Murid berkata, kedua-dua tindakan itu yang merupakan antara 21 cadangan yang dicapai dalam resolusi seminar akan dibincangkan oleh jawatankuasa teknikal dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia kemudian akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam tempoh dua bulan untuk diperhalusi supaya tidak bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan hak asasi kanak-kanak sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Ulasan : Merotan pelajar perempuan boleh dinilai kembali. Benar, pelajar perempuan kini semakin advance. Tetapi, mungkin ada cara lain yang lebih baik dari merotan mereka sebagaimana yang dilakukan kepada pelajar lelaki. Larangan penggunaan handset di sekolah juga ada pro dan kontra. Saya secara peribadi menyokong penggunaan handset di kawasan sekolah dilarang.


PUTRAJAYA 27 Nov. – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan meminta jabatan dan agensi kerajaan agar tidak mengamalkan gaya perbelanjaan yang hanya dilakukan pada hujung tahun semata-mata bagi menghabiskan peruntukan tahunan.

Menurut beliau, ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan telah diminta agar mempunyai jadual perbelanjaan dan melaksanakan projek dan pembelian yang dirancang dengan teliti.

‘‘Saya sudah menyatakan kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan bahawa dalam aktiviti perbelanjaan jangan buat macam ‘Christmas shopping’.

‘‘Dia kena ada jadual pembelian barangan dan projek yang betul-betul dirancang, itu yang penting dan bukan setakat nak habiskan peruntukan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri 2007 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sidek, perbelanjaan kerajaan pada tahun ini dilakukan tepat pada sasarannya tetapi pada masa ini, jumlahnya masih rendah memandangkan tempoh kewangan bagi tahun ini masih belum berakhir.

Malah, katanya, keadaan itu juga disebabkan terdapat syarikat swasta yang terbabit dengan projek-projek kerajaan masih terus mengamalkan sikap menunggu pada hujung tahun bagi menghantar bil tuntutan pembayaran.

Ini katanya, menyebabkan kerajaan tidak dapat membuat pembayaran tepat pada waktunya.

‘‘Kerja-kerja telah dilaksanakan tetapi biasanya syarikat swasta tidak semestinya menghantar bil tuntutan tepat pada waktunya dan suka tunggu pada hujung tahun,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat kementerian yang berjaya mencatatkan pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 14 hari sebanyak 100 peratus dan dari segi puratanya sebanyak 80 peratus pembayaran dibuat dalam tempoh tujuh hari.

‘‘Ini adalah salah satu contoh penambahbaikan sistem penyampaian awam,” katanya.

Ulasan : Diharap ingatan KSU ini diambil perhatian oleh semua agnesi dan jabatan kerajaan. Anda mengurus harta dana awam untuk maslahah rakyat!


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
Help, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude