Isnin, 19 November 2007

Macam-macam ragam 3


DHAKA 18 Nov. – Seramai 10,000 orang dipercayai terbunuh manakala berjuta lagi penduduk hilang tempat tinggal akibat Taufan Sidr yang melanda selatan Bangladesh malam kelmarin.

“Angka kematian setakat ini disahkan mencecah 3,000 orang.

“Ia mungkin akan meningkat melebihi 5,000 korban tetapi tidak akan melebihi 10,000,” demikian menurut Pengerusi Persatuan Palang Merah Bangladesh, M. Abdur Rab.

Laporan oleh stesen televisyen ATN Bangla berkata, masih belum ada sebarang berita dari rangkaian pulau di perairan selatan negara itu dan di Teluk Bengal yang teruk dibantai oleh Sidr.

Pihak berkuasa Bangladesh hari ini me laporkan bantuan setakat ini hanya dapat disalurkan kepada kurang satu peratus daripada jutaan mangsa yang hilang tempat tinggal dan amat memerlukan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan.

Bilangan korban meningkat kepada beratus-ratus orang pada satu-satu masa sementara pekerja penyelamat terpaksa bertungkus-lumus untuk memasuki kawasan kemusnahan di mana kampung-kampung diranapkan oleh Taufan Sidr yang melanda pantai selatan negara ini malam kelmarin.

“Saya tidak pernah menyaksikan malapetaka sebesar ini dalam tempoh 20 tahun bertugas sebagai pentadbir kerajaan,” kata pegawai tempatan di daerah Jhalokati, Harisprasad Pal.

Menurut beliau, satu demi satu kampung musnah sama sekali.

“Berjuta-juta penduduk tinggal di kawasan lapang dan bantuan sampai kepada kurang satu peratus daripada mangsa,” katanya.

Petugas Palang Merah Antarabangsa, Shafiquzzaman Rabbani pula memberitahu, menurut anggaran pihaknya 900,000 keluarga menjadi mangsa bencana itu dan kebanyakan kematian disebabkan pendu duk dihanyutkan oleh ombak besar.

Ulasan: Satu demi satu ujian menimpa rakyat di Bangladesh. Mungkin ini juuga peringatan dari Allah. Pesan ualam antara kategori sabar yang dituntut ialah sabar dalam menghadapi musibah. Moga Bangladesh ; di antara negara miskin di dunia dapat dibantu oleh negara-negara yang berkemampuan.



NIBONG TEBAL 18 Nov. – Sikap saling bertolak ansur dan mementingkan pelajaran anak, suami isteri, Karim Asri, 73, dan Che Nab Mat Mohtar, 71, hidup bahagia bersama walaupun telah berkahwin selama lebih 55 tahun.

Petua itu bukan sahaja mengekalkan kebahagiaan keluarga malah membantu Karim yang merupakan bekas pesawah membesarkan lapan orang anaknya sehingga mereka kini menjawat jawatan penting.

Ada antara anaknya menjadi pegawai kanan kerajaan dan swasta selain muncul sebagai usahawan berjaya.

Semua anaknya yang berusia antara 38 dan 55 tahun berkelulusan universiti dari dalam dan luar negara termasuk anaknya yang sulung, Abdullah Karim, 55, yang merupakan Naib Presiden Petronas Carigali (M) Sdn. Bhd.

Dengan merendah diri, Karim memberitahu pemberita, beliau asalnya orang susah yang mengusahakan sawah tetapi sentiasa menekankan kepentingan pelajaran.

Katanya, kejayaan dalam bidang pelajaran anak telah berjaya mengubah nasib keluarga.

‘‘Selain membuat sawah, saya melakukan pelbagai kerja seperti menjadi nelayan dan mengambil upah membuat rumah semata-mata untuk mencari duit membiayai persekolahan dan pengajian anak demi memastikan masa depan mereka berjaya,” katanya.

Ulasan : Berkongsilah pengalaman dengan mereka yang lebih tua dari kita dalam hal kebahagiaan rumahtangga mereka yang berjaya. Kini, ramai pasangan muda yang bercerai. Puncanya kerana niat di awal perkahwinan bukan lagi kerana ingin mencari redha Allah, tetapi mungkin atas faktor keturunan, harta dan kecantikan. Nilai agama bakal pasangan hidup seringkali diabaikan.

VALENCIA 18 Nov. – Tindakan yang bakal diambil oleh penggubal dasar di Bali untuk melambatkan proses pemanasan global masih menjadi tanda tanya walaupun saintis sudah mencapai kemajuan besar dalam meramalkan perubahan iklim dunia.

Penggubal dasar mengalami tekanan makin hebat untuk berbuat sesuatu dengan segera bagi membendung pengeluaran gas rumah hijau, sebelum forum penting selama 11 hari berlangsung di pulau peranginan Indonesia itu dalam masa dua minggu lagi.

Amaran paling jelas diberikan semalam oleh saintis terkemuka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang di bawah Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

IPCC yang meringkaskan kajian semula tentang bukti perubahan iklim menyatakan, pihaknya yakin lebih 90 peratus bahawa manusia patut dipersalahkan sebagai punca kenaikan suhu dunia.

Menurut IPCC, berdasarkan trend semasa, pengeluaran gas rumah hijau yang melonjak akan memanaskan atmosfera Bumi secara berterusan, merosakkan litupan ais dan salji selain menyebabkan keluasan laut dan parasnya meningkat.

Panel itu menyifatkan kesan daripada fenomena itu sebagai “mendadak atau tidak dapat diperbetulkan lagi.”

Dalam senario sedemikian, manusia akan mengalami penderitaan meluas dalam bentuk kerosakan tanaman, kemusnahan akibat ribut dan peningkatan wabak penyakit apabila kemarau, banjir, taufan, penyakit bawaan nyamuk dan air menjadi lebih kerap dan lebih meluas, tambah IPCC.

Ulasan : Dunia semakin kritikal. Iklimnya semakin tidak menentu. Benarlah firman Allah " Telah nyat kerosakan yang berlaku di atas daratan dan lautan akibat tangan-tangan(perbuatan fasad mencemarkan alam) manusia".

MELAKA 18 Nov. – Malaysia masih ketinggalan dalam memperkasa pasaran global halal yang kini mencecah AS$2.3 trilion, berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara serta negara bukan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Industri Halal Malaysia (HDC), Datuk Jamil Bidin berkata, Thailand jauh mendahului Malaysia dan kini berjaya menjadi pengeksport ayam halal terbesar dari rantau ini ke Asia Barat.

“Keseluruhan eksport produk halal Thailand berjumlah AS$6.8 bilion dan mereka kini mempunyai sebuah pusat sains serta penyelidikan halal,” katanya ketika berucap pada Seminar Pembangunan Industri Halal 2007 di sini.

Ulasan : Ternyata kita masih ketinggalam dalam bab hub halal yang dicanangkan mutakhir ini. Thailand walaupun bukan negara majoriti umat Islam di dalamnya, mengatasi kita dalam pelbagai aspek dari sudut pengeluaran, R&D, tekonologi dan sebagainya. Patut kita amalkan pendekatan don't just talk, do it!


LEBIH 42,000 murid yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun ini sudah pasti tidak akan dapat masuk ke mana-mana 54 sekolah berasrama penuh (SBP) yang kesemuanya menawarkan 6,000 tempat sahaja.

Ibu bapa yang terlibat sudah tentu mendapat gambaran awal sama ada anak mereka yang memperoleh 5A layak atau tidak ke SBP, jika menyedari tujuan utama penubuhan SBP iaitu memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari luar bandar belajar dalam suasana lebih selesa.

Pemahaman yang lebih terbuka perlu ada dalam minda setiap ibu bapa bahawa peluang mendapatkan pendidikan berkualiti tidak terbatas di SBP sahaja.

Pelajar yang tidak terpilih ke SBP tidak perlulah kecewa kerana sekolah biasa juga terbukti menyediakan kemudahan pengajian yang cemerlang. Mereka mempunyai kemudahan fizikal yang cukup lengkap, para guru yang berkualiti serta pencapaian keputusan peperiksaan cemerlang.

Apa yang perlu kita ingat ialah mencipta kejayaan cemerlang juga terletak pada diri seseorang. Itulah yang telah dibuktikan oleh sejumlah pelajar kita yang melakar rekod luar biasa sekalipun belajar di sekolah biasa.

Ulasan : Sekolah yang hebat bukan penjamin kejayaan dalam akademik pelajar. Kejayaan akan tiba apabila kita berusaha, berdoa dan bertawakkal. Hubungan dengan ayah ibu, guru, rakan-rakan yang baik, akhlak yang mulia di samping fokus di dalam kelas, pra syarat untuk berjaya dalam akademik dan kehidupan.

KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap yang amat baik dan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada bila-bila masa dari sekarang.

Menurut Perdana Menteri, persiapan UMNO dan BN untuk menempuh pilihan raya juga berjalan lancar dan beliau berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh semua sayap parti komponen BN.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat wakil rakyat parti itu yang tidak menunjukkan prestasi yang baik walaupun mereka mempunyai masa yang panjang sebelum pilihan raya umum untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Mengenai golongan itu, Abdullah menegaskan, nasib mereka akan ditentukan menjelang pilihan raya dan mereka perlu bersedia menerima realiti jika tidak dipilih semula sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

‘‘Ada (wakil rakyat) yang menjalankan kerja dengan baik, jadi wakil rakyat yang baik, (tetapi) ada juga yang lemah,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dekat sini hari ini.

Ulasan : Benar BN sudah bersedia. Parti pembangkang juga sudah bersedia. Hanya menunggu saat gendang dipalu. Harapan sebagai rakyat biasa, sebagai pemerintah, BN perlu menghentikan amalan memaipulasi jentera kerajaan demi kepentingan mereka. Biarlah gelanggang yang semua parti berada sama rata dan sama adil.


KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pergerakan angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat yang melebihi paras biasa dijangka menyebabkan banjir besar di empat negeri di Semenanjung dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Timbalan Pengarah Ramalan, Jabatan Meteorologi, Che Gayah Ismail berkata, jabatan itu meramalkan beberapa kawasan di pesisir pantai dan pedalaman Kelantan serta Terengganu akan menerima taburan hujan bulanan paling tinggi iaitu antara 500 milimeter (mm) hingga 1,000mm dalam tempoh itu.

Menurutnya, jumlah taburan hujan itu dijangka melebihi paras normal bulanan antara 70mm hingga 80mm bagi kawasan tanah rendah.

Negeri-negeri Semenanjung lain yang mengalami jangkaan taburan hujan melebihi paras normal dalam tempoh tiga bulan akan datang ialah Pahang serta kawasan timur laut dan barat laut Johor iaitu dengan purata jumlah hujan bulanan antara 500mm hingga 900mm.

“Dalam keadaan itu, hujan lebat yang berterusan melebihi tiga jam di sesebuah kawasan mampu menyebabkan kawasan tersebut dilanda banjir, jadi orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan berjaga-jaga dalam tempoh itu,” kata Che Gayah ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ulasan : Kepada penduduk negeri-negeri terlibat, perlu mengambil segala langkah awasan. Banjir tak mengenal siapa. Di pihak berkuasa, segala langkah keselamatan perlu diberikan perhatian. Jangan bila dah terhantuk baru terngadah.

SHAH ALAM 18 Nov. – ‘‘Kalau tidak setuju beritahu awal-awal, jangan dah dapat (penyapu) baru hendak komplen. ‘‘Dia sudah lama tahu dan setuju mengenai anugerah ini... kita tak mahulah orang yang cakap siang lain, malam pula cakap lain,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri. Dr. Mohamad Khir Toyo.

Beliau berkata, sepatutnya Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail perlu tegas dalam perkara itu dan jika tidak bersetuju dengan anugerah penyapu beliau boleh menyuarakannya semasa anugerah tersebut dicadangkan dulu.

Katanya, Tukiman mempunyai banyak masa untuk membantah kerana anugerah itu sudah lama dibincangkan iaitu sejak lebih setahun lalu dan telah dipaparkan sebelum ini oleh media.

Mohamad Khir mengulas kenyataan Tukiman yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini bahawa beliau lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) jika itu yang dimahukan oleh kerajaan negeri daripada dihadiahkan penyapu.

Menurut Tukiman, anugerah penyapu amat sukar untuk diterima berbanding VSS.

Pada Isnin lalu Tukiman menerima hadiah penyapu daripada Menteri Besar Selangor kerana MDHS gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

Ulasan : Adakah ini alasan MB Selangor atau betul kenyataannya? Apapun pemberian penyapu bukan caranya untuk meningkatkan prestasi. Banyak konotasi yang tidak baik akan timbul bahkan mendatangkan persepsi yang tidak baik kepada pentadbir. Bayangkan kalau beliau sendiri dihadiahkan penyapu-bagaimana?

PUTRAJAYA 18 Nov. – Kementerian Pelajaran menjelaskan, bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada sesi persekolahan tahun depan adalah tidak wajib dan pembayarannya bergantung kepada persetujuan ibu bapa.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta ibu bapa dan orang ramai jangan keliru dan tidak menyamakan bayaran tambahan itu dengan yuran khas wajib yang dimansuhkan oleh kerajaan.

‘‘Saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa semua yuran rasmi sekolah telah dimansuhkan mulai penggal persekolahan tahun depan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pembentangan Bajet 2008 baru-baru ini.

‘‘Yuran-yuran yang telah dimansuhkan termasuk yuran sekolah bernilai RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9 bagi pelajar sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulasan : Diharapkan pihak sekolah tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan yuran yang tidak munasabah apabila yuran asas sekolah dimansuhkan. Kini, masih ada yuran yang menjangkau hampir RM200, apabila tidak dipantau oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Dianggar kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi akan terlepas peluang menjadi pemilih pada pilihan raya umum ke-12 jika pilihan raya itu diadakan awal tahun depan.

Utusan Malaysia difahamkan jumlah penduduk berumur 21 tahun ke atas yang mendaftarkan diri sebagai pemilih baru dikatakan masih kurang memberangsangkan.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka pendaftaran sepanjang tahun, tetapi bagi melayakkan pengundi baru menyertai pilihan raya umum itu jika ia diadakan awal tahun depan, mereka perlu mendaftar selewat-lewatnya pada hujung September lalu.

Pada September lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pernah menasihatkan orang ramai supaya mendaftar sebagai pengundi selewat-lewatnya pada hujung bulan berkenaan jika mereka mahu mengundi pada pilihan raya umum ke-12.

Menurut Ab. Rashid, semua pihak harus sedar proses memasukkan nama sebagai pengundi dalam senarai pemilih perlu mengikut undang-undang dan tempoh masa yang ditetapkan ialah selepas tiga bulan pendaftaran.

Ujarnya, mereka yang membuat pendaftaran pada bulan September, namanya akan dimasukkan dalam senarai pemilih bulan Disember iaitu setelah melalui beberapa proses undang-undang.

Ulasan : Kepada pengundi muda-pastikan anda mendaftar. Masa masih ada kerana PRU dijangka pada bulan Mac tahun hadapan. Kalu anda hendak negara berubah, anda juga perlu berani untuk berubah!

Salah kita semua

ISU pekerja asing masih hangat dibincangkan. Mengapa mereka datang? Pertama, disebabkan keperluan dan keduanya, sebab diundang atau dijemput serta ada ruang untuk mereka bertapak. Mengapa ada ruang untuk mereka, sebab kita yang memberi.

Mengapa mereka diperlukan? Ada peluang pekerjaan yang terpaksa diisi oleh mereka sebab pekerja tempatan tidak berminat serta diperlekeh atau dihina oleh masyarakat kita sendiri.

Sebagai contoh pekerja buruh binaan atau ladang. Adakah pekerja tempatan mahu mengisi kekosongan tersebut? Jika ada, masyarakat akan memandang keji pada mereka. Apakah masyarakat akan menerima pekerja buruh dalam kehidupan mereka?

Ini salah siapa? Salah kita sendiri memberi ruang kepada pekerja asing mengisi kekosongan ini.

Contoh kedua, adakah orang Malaysia sanggup bekerja sebagai orang gaji? Masyarakat kita memandang hina kepada orang gaji. Ini satu lagi keperluan kepada pekerja asing. Dan banyak lagi contoh ruang pekerjaan yang tidak mahu diisi oleh pekerja tempatan.

Perlu diingat bukan orang Malaysia tidak mahu mengisi peluang pekerjaan tersebut tetapi sikap masyarakat Malaysia memandang rendah atau hina kepada pekerja buruh binaan, buruh kasar, operator kilang, orang gaji dan banyak lagi.

Kesilapan yang terjadi kepada kemasukan pekerja asing secara sah atau tanpa izin ialah kemasukan tanpa kawalan.

Saya menyokong kenyataan jangan sampai ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’. Siapa yang salah? Kita semua salah. Kerajaan melalui kementerian yang dipertanggungjawabkan, kerajaan negeri, majlis perbandaran, pejabat daerah dan seterusnya masyarakat sendiri tidak menjalankan tanggungjawab membanteras atau menghalang kebanjiran pekerja asing.

Berapa ramai yang kaya-raya disebabkan berniaga pekerja asing. Orang mana yang meluluskan surat kemasukan mereka? Siapa yang menyediakan tempat tinggal atau melindungi mereka.

Untuk makluman, sekarang hampir semua ruang pekerjaan telah direbut oleh pekerja asing, seperti pasar ikan sayur, gerai makan, kedai runcit, pemandu, kilang, perhotelan, pelancongan, perladangan, bekerja kebun kampung atau kebun sayur, nelayan, kejuruteraan, binaan, pengawal keselamatan dan lain-lain.

Kesimpulannya kemasukan pekerja asing yang sah atau tanpa izin ke negara kita ialah sebab diundang, dijemput, diperlukan serta dilindungi oleh kita sendiri.

Ingatlah jika kita tidak bangkit dari sekarang membendung kemasukan mereka akan ada antara kita tinggal di dalam hutan atau di dalam kedaifan sebab tidak ada pekerjaan yang sesuai untuk kita.

– KEBI,

Ulasan : Saya bersetuju dengan pendapat saudara KEBI yang menyebut kebanjiran pendatang asing kini kerana sikap kita-bermula pihak berkuasa dan masyarakat. Akhirnya kedaulatan negara yang tercinta mungkin terancam akibat begitu banyak ruang yang diberi kepada mereka.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude