Selasa, 13 November 2007

Hakikat kemelut ekonomi Melayu



BEBERAPA perkara penting telah dibahaskan di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Pertama, masalah ekuiti Bumiputera yang setakat ini hanya sebanyak 18.9 peratus. Bayangkanlah dengan begitu banyak syarikat milik kerajaan di bawah Khazanah Nasional, PNB dan lain-lain agensi, Bumiputera kita hanya memiliki 18.9 peratus hak milik ekuiti negara.

Kalau dilihat pecahan hak milik saham ini dalam sektor ekonomi kita dapati bahawa golongan Bumiputera ketinggalan dalam semua sektor ekonomi.

Menurut perangkaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pada tahun 2004 Bumiputera memiliki 16.4 peratus bidang pertanian, 12.3 peratus perlombongan, 8.1 peratus pembuatan, 6.3 peratus utiliti, 35.2 peratus pembinaan, 20.4 peratus perdagangan borong dan runcit, 26.7 peratus pengangkutan, 12.5 peratus kewangan dan 18.7 peratus perkhidmatan.

Terdengar tidak lama dulu cakap-cakap yang pegangan kerajaan di dalam sesetengah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tersenarai di Bursa Malaysia akan dijual kerana terlalu besar ekuiti terikat dengan kerajaan. Apakah akan jadi kepada jumlah hak milik ekuiti yang sudah sedia kecil sekiranya ada di antara pegangan kerajaan dijual pula, kononnya untuk memberi peluang kepada orang asing membeli saham kita?

Ada juga ura-ura pihak yang ingin menghidupkan kembali CLOB (Central Limit Order Booking) di Singapura dulu yang telah dipadamkan pada tahun 1998. Sikap Singapura yang tidak menghormati kedaulatan negara kita selepas diberhentikan penyenaraian saham syarikat Malaysia di Bursa Saham Singapura telah menubuhkan CLOB untuk mengaut keuntungan daripada jual beli saham syarikat Malaysia. Kita mengambil masa lapan tahun sebelum sesuatu tindakan menutup dagangan mekanisme tersebut.

Nyata hasrat mereka yang menyokong cadangan tersebut mempunyai agenda tersendiri kerana kalau sudah diperdagangkan saham syarikat Malaysia di Singapura kembali kalau ada saham yang hendak dijual di sana kurang perhatian akan diberikan.

Angka jumlah pegangan ekuiti bumiputera ini terutama hak milik individu agak sukar akan bertambah kerana orang Melayu tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki saham kerana jumlah simpanan mereka terhad. Lihat sahaja berapa ramai yang terpaksa meminjam daripada institusi kewangan untuk membeli Amanah Saham Nasional (ASN) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB). Jika dibandingkan nisbah simpanan orang Melayu dengan orang Cina nyata setiap RM1 yang disimpan oleh orang Melayu, orang Cina menyimpan RM10. Lagipun bagi mereka yang menerima peruntukan saham semasa saham disenaraikan tidak ramai yang mampu mengekalkan pegangan bertahun-tahun.

Tidak hairan kalau dikatakan disenaraikan sahaja saham syarikat-syarikat berkenaan mereka yang dapat peruntukan samada individu atau syarikat akan menjual kerana terpaksa membayar pinjaman untuk membeli saham yang diperuntukkan.

Dalam mengira hak milik ekuiti bumiputera, kita kerap mengambil kira jumlah ekuiti syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sahaja. Kita jarang sekali mengambil kira syarikat-syarikat yang tidak tersenarai yang terdapat di Suruhanjaya Syarikat. Mengikut perangkaan terdapat hampir 600,000 syarikat didaftar sebagai sendirian berhad. Kalau kita andaikan setengah tidak aktif masih ada 300,000 jumlah syarikat tidak tersenarai. Berapakah nilai hak milik saham bumiputera dalam syarikat-syarikat yang menjadi nadi penggerak ekonomi negara ini?

Peranan syarikat GLC membantu syarikat bumiputera juga dibangkitkan oleh ahli perwakilan. Suara lantang kedengaran meminta GLC ini mengadakan suatu perancangan khusus untuk membantu bumiputera dan sebolehnya tidak bersaing dengan syarikat bumiputera. Banyak yang boleh dilakukan oleh GLC ini kerana di sinilah konsep payung boleh diamalkan. Walau bagaimanapun pemilihan mereka yang wajar dibantu mestilah berdasarkan kemahiran, kemampuan dan pengetahuan mereka dan bukan setakat menambahkan jumlah untuk dilaporkan dari semasa ke semasa. Dengan penglibatan GLC dalam pelbagai sektor ekonomi kesan gandaan dapat dicapai. Semoga dalam pemberian bantuan ini bukan orang yang sama sahaja menerimanya.

Pada hemat saya kita wajar memberikan tumpuan ke arah meningkatkan pendapatan orang Melayu dan bumiputera selain daripada hak milik ekuiti sahaja. Walaupun pendapatan isi rumah bumiputera telah meningkat daripada RM1,984 pada tahun 1999 kepada RM2,711 pada tahun 2004, ini masih rendah berbanding etnik Cina yang meningkat daripada RM3,456 kepada RM4,437 dalam jangka masa yang sama. Etnik India pula meningkat daripada RM2,702 kepada RM3,456. Golongan bumiputera mempunyai pendapatan isi rumah yang terendah sementara jurang pendapatan sesama golongan di kalangan golongan etnik pula, bumiputera memiliki jurang yang paling luas sekali, iaitu daripada 0.433 pada tahun 1999 kepada 0.452 pada tahun 2004. Bagi golongan Cina daripada 0.434 kepada 0.446 dan India daripada 0.413 kepada 0.425 pada jangka masa yang sama. Adalah menjadi harapan ramai, koridor-koridor ekonomi di kawasan Utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak akan dapat memperbaiki pendapatan isi rumah bumiputera.

Perangkaan

Memang tidak dinafikan dalam bidang profesional misalnya bilangan anak Melayu sudah bertambah berlipat kali ganda sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Institut Teknologi Mara (ITM) (sekarang UiTM) sahaja telah mengeluarkan lebih 100,000 ribu graduan. Begitu juga lain-lain universiti. Malangnya bilangan guna tenaga bumiputera masih rendah dalam pelbagai bidang berbanding etnik lain.

Menurut perangkaan dalam RMK-9, pada tahun 2005, pegawai kanan dan pegawai pertengahan bumiputera terdiri daripada 37.1 peratus, profesional 47.5 peratus berbanding etnik Cina 77.6 peratus dan India 69.2 peratus. Suatu kajian tentang pola guna tenaga bumiputera yang dijalankan pada tahun 2005 meliputi 1,825 pekerja dalam 594 firma swasta mendapati peratusan pekerja bumiputera bagi kategori jawatan tinggi dan pertengahan ialah 48.0 peratus, bagi kumpulan pengurusan 64.0 peratus serta 53.0 peratus juruteknik dan separa profesional. Ketua eksekutif hanya 20 peratus adalah bumiputera berbanding 70.4 peratus adalah orang Cina. Kajian ini meliputi bidang ICT, pembuatan, pelancongan, pengedaran perdagangan dan bioteknologi.

Apa yang berlaku ialah ramai di kalangan siswazah kita ini yang menganggur. Kenapa ini boleh terjadi sedangkan ramai di kalangan mereka yang menganggur itu terdiri daripada bidang-bidang yang dikatakan negara memerlukan. Nyata terdapat percanggahan di antara keperluan industri dan apa yang dikeluarkan oleh universiti-universiti. Menurut suatu kajian oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebab-sebab utama graduan-graduan ini, yang 85 peratus terdiri daripada orang Melayu, ialah ketidakupayaan untuk berkomunikasi dengan baik sama ada dalam bahasa sendiri atau bahasa Inggeris, kelemahan dalam pengetahuan am dan kurang keyakinan diri. Mengapa ini berlaku? Apa yang berlaku di institusi pengajian tinggi kita ataupun sebelum daripada mereka melangkah ke gerbang menara gading siswazah-siswazah ini sudah memang lemah. Kini kita terdengar siswazah yang sudah mempunyai ijazah diberikan lagi kursus jangka pendek supaya boleh mendapat pekerjaan. Selepas tiga tahun belajar di universiti mereka terpaksa disesuaikan dengan suatu bidang lain untuk mendapatkan pekerjaan. Hakikatnya yang perlu diterima oleh semua orang ialah pihak swasta tidak akan mengambil siswazah yang tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris jadi mereka yang lemah dalam bahasa tersebut dengan sendirinya tidak akan diberikan keutamaan.

Tidak kurang juga saranan bagi mereka yang menganggur ini mencuba diri dalam bidang keusahawanan. Bidang ini bukanlah untuk semua orang. Hanya mereka yang bercita-cita dan berani mengambil risiko sahaja yang akan menceburkan diri menjadi usahawan. Kedua ialah soal mendapatkan modal. Walaupun pelbagai jenis bantuan disediakan hanya mereka yang telah mencuba mendapatkannya yang sedar bahawa bukan mudah mendapatkan bantuan tersebut. Bantuan pelbagai jenis yang disalurkan melalui bank ini mengenakan syarat seperti juga lain-lain pinjaman iaitu memerlukan cagaran. Kadang-kadang begitu pantas jawapan diberikan oleh pihak bank kepada cadangan- cadangan perniagaan yang memohon pinjaman.

Kini dengan tumpuan diberikan kepada bidang pertanian siswazah juga disarankan menjadi pertanian bidang profesion mereka. Stigma bahawa bidang pertanian bukan suatu bidang yang glamor akan mengambil masa untuk mengubahnya. Bidang pertanian juga satu-satunya bidang yang merangkumi segala-segalanya daripada A sampai Z, daripada benih kepada tuai kepada pemasaran, daripada soal tanah kepada soal cuaca daripada soal penyelidikan kepada soal teknologi. Universiti Pertanian kita sendiri sudah bertukar kepada Universiti Putra. Amat sukar untuk meyakinkan siswazah ini memilih bidang yang diberikan nafas baru ini.

Berbalik kepada soal hak milik. Keadaan hak milik yang rendah juga terdapat dalam sektor hartanah. Rata-rata kita boleh melihat berapa kerat sangat hak milik hartanah yang dimiliki oleh orang Melayu. Lihat sahaja taman-taman perumahan yang tumbuh macam cendawan. Siapa yang mampu misalnya membeli rumah kedai yang ada di taman-taman perumahan tersebut. Atau rumah-rumah mewah yang di sesetengah tempat orang sanggup beratur dari pagi untuk mendapatkan unit-unit mereka. Kita tidak perlu lakukan banci untuk mengetahui berapa jauh kita ketinggalan. Di Kuala Lumpur misalnya lihat sahaja pusat membeli-belah seperti KLCC, Mega Mall, Starhill, Lot 10 dan baru-baru ini Pavilion berapa unit kedai di situ dimiliki oleh orang Melayu. Perangkaan menunjukkan pemilikan Bumiputera dalam bangunan dan premis komersial ialah sebanyak 11.7 peratus pada tahun 2005 berbanding 71.9 peratus bagi etnik Cina, 4.6 peratus bagi etnik India dan 11.8 peratus bagi etnik lain-lain.

Di belakang Sungei Wang Plaza ada sebuah bangunan yang menjual komputer dan peralatan komputer iaitu bangunan Low Yat. Tidak ada satu pun unit kedai yang beratus-ratus bilangan di situ milik orang Melayu. Begitu juga di Seksyen 14 Petaling Jaya atau di Curve, Bandar Utama, Petaling Jaya. Kita gandakan keadaan begitu di setiap bandar besar di negara ini seperti Pulau Pinang, Sungai Petani, Ipoh, Seremban dan Johor Bahru. Kalau ada lagi pembinaan bangunan besar-besar orang Melayu tidak akan mampu untuk memilikinya.

Ramai di kalangan pembahas di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang membangkitkan soal ketirisan dalam pembahagian peluang kepada orang Melayu. Selain daripada menyalahkan orang yang menerima yang jelas bersalah kalau menyerahkan projeknya kepada bukan Melayu, pihak yang menganugerahkan projek itu juga wajar menyelidik kedudukan kewangan, kemahiran dan kemampuan sesebuah syarikat yang bakal diberikan sesuatu projek. Rekod terdahulu mereka juga wajar diteliti termasuk membuat lawatan ke pejabat atau ke tempat mereka bekerja. Kegigihan untuk menghabiskan peruntukan kadangkala juga menyebabkan pemberian tanpa usul periksa berlaku. Sudah banyak contoh yang kita lihat tentang projek yang terbengkalai ataupun sesuatu pemasangan seperti komputer di sekolah-sekolah yang tidak betul. Selain daripada itu keseluruhan rantaian pembekalan juga patut diberikan perhatian kerana kebanyakannya di bawah penguasaan golongan bukan bumiputera. Kenaikan mendadak bahan binaan misalnya boleh membuatkan projek yang untung menjadi rugi.

Berpotensi

Untuk menjadi suatu bangsa yang berdikari dan berpotensi untuk maju, ia patut bersaing dalam realiti dunia, iaitu tanpa perlindungan dan subsidi. Lihat saja keadaan alam semula jadi. Pokok yang hidup di tanah gersang akan memiliki ciri-ciri yang membolehkan ia hidup berbanding dengan pokok-pokok yang hidup dalam keadaan yang selesa. Mereka yang berhijrah dari negara asal seperti rakyat Malaysia di luar negara begitu maju sama seperti orang India di Britain, orang Cina di Asia Tenggara.

Mereka terpaksa bersaing dan disebabkan mereka sedar tiada siapa akan memberikan perlindungan mereka berjaya. Subsidi yang diberikan selalunya disalahgunakan. Diesel, benih, baja, dijual sebagai jalan pintas dan bagi pelajar yang tidak berhadapan dengan cabaran dunia sebenar minda mereka akan menjadi lembap kerana mereka sedar perlindungan dan keutamaan akan sentiasa diberi. Meritokrasi memberikan motivasi untuk maju sama seperti Sheikh Muszaphar Shukor terpilih daripada beribu-ribu.

Orang Melayu juga memiliki masalah sosial yang terbesar. Masalah dadah, mat rempit dan bohsia atau pegawai perhubungan pelanggan (GRO) kebanyakannya terdiri daripada anak-anak Melayu. Apakah ini timbul daripada keadaan sosioekonomi orang Melayu sendiri? Kalau dikatakan di bandar sahaja lihat sahaja di luar bandar seperti di sesetengah kawasan Felda. Generasi muda tidak mahu lagi pergi ke ladang seperti ibu bapa mereka. Malahan generasi muda ini tidak mahu berbuat apa-apa hinggakan pekerja di ladang-ladang terpaksa diberikan kepada pekerja asing. Kebanjiran pekerja asing sama ada yang dibenarkan dan yang haram menjadi suatu masalah sosial juga. Apa yang diperlukan ialah penguatkuasaan yang lebih berkesan. Kadangkala mereka yang bekerja secara haram seperti pelayan restoran terang-terang tidak mempunyai kebenaran dan bekerja di bawah hidung pihak berkuasa tetapi dibiarkan begitu sahaja. Pihak majikan syarikat yang menggajikan buruh juga bersikap lebih mementingkan pekerja asing kerana gaji yang lebih murah dan penyediaan kemudahan yang tidak seberapa. Keadaan inilah yang perlu dipantau kerana bukan sahaja sesetengah mereka sudah berani mewujudkan perkampungan masing-masing seperti orang Myanmar di Selangor malahan ada yang sanggup berbunuh kerana tempat berniaga dan sebagainya.

Kalau kita anggarkan seramai dua juta pekerja asing dan setiap seorang menghantar balik sebanyak RM100 sebulan, sebanyak RM200 juta wang kita mengalir keluar dan dalam setahun sebanyak RM2.4 bilion keluar. Apa jua peratusan pertumbuhan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) akan tercemar oleh jumlah wang yang mengalir keluar ini. Dalam keghairahan kita menarik pelancong asing kita boleh juga menarik mereka yang tidak berniat untuk balik ke negara mereka sendiri. Berkali-kali serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa masih tidak reda juga keadaan pendatang haram dan mereka yang menyalahgunakan pas lawatan mereka. Langkah yang lebih tegas dan tersusun perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Media juga memainkan peranan mempengaruhi minda orang Melayu untuk menjadi suatu bangsa yang mampu berdikari, berilmu dan mampu bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa. Malangnya akhir-akhir ini terdapat sesetengah stesen televisyen yang banyak memberikan tumpuan kepada perkara-perkara tahyul. Apakah faedahnya menunjukkan bagaimana nasi kotor disediakan? Sudahlah hampir kebanyakan program yang disediakan berunsurkan hiburan, jarang-jarang sekali terdapat rancangan yang memberikan ilmu dan membangkitkan semangat untuk orang Melayu menghadapi cabaran hari mendatang. Cerita-cerita merepek ini patut diharamkan kerana ia boleh juga menjejaskan akidah orang Islam.

* DATUK SALLEH MAJID ialah bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude