Umat Islam diwajibkan berpuasa setelah mendapat perintah daripada Allah S.W.T. Selain daripada suatu kewajipan yang wajib dilaksanakan, secara tidak langsung dapat mendidik d iri seseorang muslim supaya bertakwa kepada Allah S.W.T dan menghayati segala yang diperintah dalam bulan Ramadhan.
Ramadhan merupakan satu bulan di mana semua umat yang beragama Islam diwajibkan berpuasa. Oleh itu, Ramadhan dikatakan sebagai bulan penyucian di mana ia dapat membersihkan jiwa orang yang berpuasa dari sebarang kerosakan dan gangguan syaitan.
Umat Islam hendaklah menerima kewajipan ini dengan ikhlas dan sabar serta mengamalkan segala seruan mengikut lunas-lunas tertentu. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 183:
يَاۤأَيُّهَا الَّذِيْنَ أَمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa di bulan Ramadhan sebagaimana telah diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”.
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang beriman sahaja yang dapat melaksanakan seruan Allah ini dan memperolehi manifestasi daripada ibadah puasa iaitu menjadi insan yang bertaqwa. Ini kerana orang yang berpuasa perlu menahan diri mereka dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mereka atau sekurang-kurangnya yang boleh mencacatkan puasa mereka. Oleh itu, mereka terpaksa meninggalkan segala tabiat dan amalan yang mencacatkan puasa yang biasa mereka lakukan sebelum berpuasa. Sekiranya seseorang itu mampu menahan diri mereka dari perkara-perkara tersebut, tentulah mereka tergolong dikalangan orang-orang yang sabar dan secara tidak langsung ianya dapat menyucikan hati mereka daripada perbuatan maksiat.
Taqwa adalah manifestasi utama ibadah puasa. Takwa diambil dari kata dasar yang bermakna takut, menghindari atau menjauhi. Kalimat perintah ittaqullah secara harfiah bererti, “Hindarilah, jauhilah, atau takutilah Allah”.Dalam perhubungan diantara kita dengan Allah adalah berbeza dengan hubungan kita sesama makhluk. Jika kita takutkan makhluk seperti harimau maka kita akan lari semahunya. Namun jika takutkan Allah maka kita perlu mendekatkan diri sedekat-dekatnya dengan Allah S.W.T.
Yang dimaksudkan ‘menghindari dan menjauhi’ itu ialah menghindari akan kemurkaan Allah dan menjauhi laranganNya, maka taqwa kepada Allah itu ialah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan menghindari kemurkaan dan menjauhi larangan Allah S.W.T.
Syeikh Muhammad Abduh menulis, “Menghindari siksa atau hukuman Allah, diperolehi dengan jalan menghindarkan diri dari segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat terwujud dengan rasa takut dari siksaan dan atau takut dari yang menyiksa (Allah S.W.T). Rasa takut ini, pada mulanya timbul karena adanya siksaan, tetapi seharusnya ia timbul kerana adanya Allah S.W.T (yang menyiksa)”.
Dengan demikian yang bertakwa adalah orang yang merasakan kehadiran Allah S.W.T. setiap saat, dengan menghayati konsep Ehsan iaitu kita menyembah Allah seolah-olah kita melihatnya meskipun kita tidak mampu melihatnya yakinlah bahawa Allah S.W.T itu Maha Melihat kita. Sesungguhnya orang yang sabar menempuh segala rintangan, cubaan serta godaan nafsu selama mana ia berpuasa akan dapat menyucikan dirinya dan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah S.W.T sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153:
إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّـٰبِرِيْنَ
“Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang sabar”.
Sabar di sini bermaksud sabar menerima segala apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Orang yang melakukan pekerjaan atau sesuatu perkara dengan sabar akan mendapat pahala dan ganjaran yang setimpal daripadaNya. Penyucian diri tidak akan tercapai jika tiadanya sifat sabar dalam beribadah dan Ehsan di dalam kehidupan. Sesungguhnya jika diamalkan dengan sabar dan berterusan, perkara tersebut akan menjadi ringan.
Sesungguhnya puasa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan banyak mendidik jiwa manusia ke arah keinsafan, kebaikan dan penyucian diri serta dapat menghakis dari sifat-sifat yang tidak baik seperti hasad dengki, boros, gelojoh, panas baran dan lain-lain lagi kerana kesemua sifat-sifat itu akan sedikit sebanyak mencacatkan pahala puasa seseorang.
Oleh itu, sabar dalam melaksanakan ibadah puasa adalah sebahagian daripada tanda-tanda keimanan seseorang yang dapat menyucikan pelakunya seterusnya mencapai tahap taqwa kepada Allah S.W.T.
Ihsan Mimbar Ulama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan