Seorang penjual kereta mewah tentu sukar menjawab secara tepat kehebatan atau kekurangan kereta yang dijualnya itu kerana beliau sendiri jarang-jarang memandu kereta itu. Dia hanya tahu dari buku katalog yang ada atau sekadar mendapat respon dari pengguna lain yang sudah memiliki kereta tersebut sedangkan diri sendiri tidak berpengalaman memandunya pada setiap masa.Sebaliknya penjual barangan makanan tambahan, dia boleh menyakinkan pengguna kerana beliau sendiri mengamalkan produk yang dijualnya dan kesan positif pada kesihatannya, walaupun testimoni dari pengguna lain dapat membantu meyakinkan pengguna tetapi testimoni sendiri lebih bermakna dan tentu lebih meyakinkan jika dia sekeluarga dan orang terdekat boleh memberi testimoni.
Mesej dari dua penjual ini ialah:
1. Penjual mesti mahir tentang produk yang dijualnya
2. Produk yang dijual sepatutnya ’presentable’
3. Pengalaman sendiri penjual menggunakan produk yang dijualnya sangat membantu jualan.
4. Penjual mesti memiliki ciri-ciri seorang penjual (imej diri), beliau tidak boleh kelihatan seperti seorang budak pejabat dan tidak juga lagak seperti seorang CEO syarikatnya.
5. Penjual MESTI melalui sistem latihan jualan berkala dan berstrategi.
6. Penjual MESTI menjual produknya, jika tidak dia tiada pendapatan, mungkin sekadar gaji pokok.
7. Pengguna mengharapkan servis selepas jualan yang baik.
8. Penjual MESTI mahir mengenali potensi pelanggannya.
PENDAKWAH itu umpama PENJUAL tadi. Produk yang dijualnya ialah addeen Islam yang syumul. Pendakwah mesti mahir tentang produk Islam ini sehingga pelanggannya yang tidak mengambil Islam sebagai deenulhayah atau pelanggannya yang mengatur sistem hidupnya secara Islam holistik, akan teruja untuk kembali menghayati Islam ini. Islam selalu ’presentable’ pada setiap masa, pada setiap zaman, dan pada setiap manusia.Seperti penjual tadi yang hanya tahu teori tentang produk yang dijualnya, tentu pengguna dapat tahu dan dapat mengesan ‘kelentongnya’ itu. Samalah seperti pendakwah sendiri tidak mengamalkan cara hidup Islam ini, jika dia berhujah pun sekadar mainan bibir dan mainan mindanya sahaja. Bukan sahaja pengguna akan keliru malah beliau akan diperlekehkan! Seperti penjual tadi, pendakwah mesti memiliki imej seorang da'ie.
Ciri utama seorang pendakwah ialah keperibadian rabbani. Kembali kepada Islam, bermaksud mengajak orang lain kepada mendekati Allah. Sekiranya ciri rabbani yang bermula dengan aqidah dan ibadah yang sahih tidak dimiliki oleh da'ie ini, adakah orang ramai mengambil qudwah dari perilaku pendakwah. Begitu juga qudwah dari keluarga sendiri. Dengan kata lain diri sendiri dan keluarga penjual tadi tidak mengamalkan dan menikmati sendiri produk yang baik tadi, begitu juga diri da'ie dan keluarganya tidak menikmati hidup Islam itu sendiri.Orang ramai tidak teruja dengan dakwah anda, sebagai contoh mudah, sekiranya pendakwah sendiri jarang-jarang nampak muka di masjid/surau atau ada pada waktu maghrib-isya’ , subuh lagilah tiada batang hidung. Pendakwah yang lebih kerap membaca akhbar, membaca internet dari membaca Al Qur’an atau buku-buku fikrah Islamiah.
Segelintir pendakwah yang jarang melatih fizikal dan rohi berpuasa mingguan. Ada pendakwah yang hebat merancang dan sibuk berorganisasi dan merancang program dakwah tetapi orang ramai TIDAK SIBUK DAN TIDAK TERSENTUH dengan dakwahnya. Atau ada segelintir duat yang berjemaah tetapi jarang bermesra atau menghadiri kenduri disekitar kariahnya, apalah salahnya dan berlapang dada dalam berkreatif bermasyarakat. Banyak persoalan besar ada di hadapan para pendakwah. Jangan sampai da'ie ini ada atau tidak dalam barisan jemaah solat tidak dirasai oleh jemaah yang lain.Tetapi lebih malang lagi bila pendakwah ini TIDAK MENJUAL PRODUK ISLAM ini kepada penggunanya. Malah dia tidak tahu cara-cara menjualnya! Dia merasakan pertemuan mingguan sesama pendakwah lain, itulah dakwah!. Atau dia ada tugasan dalam organisasi, ini dakwah juga!
Sebenarnya itu masih dalam kursus latihan seperti latihan yang kerap dilalui oleh penjual-jual barang tadi. Jika masih duduk di bulatan atau meja , anda belum menjual barang lagi, atau dengan berjawatan tadi, itu juga masih dalam ofis. Maka lebih baik tukar jawatan sebagai bahagian pentadbiran dari menjadi penjual TETAPI ADA YANG TIDAK MALU-MALU masih mengaku menjadi penjual.TIADA CIRI PENJUAL bermakna TIADA CIRI PENDAKWAH DAN BELUM LAGI MENJUAL bermakna BELUM LAGI BERDAKWAH. Maka tidak hairan ramai pengguna yang tidak teruja dan tidak ‘membeli’ Islam syumul ini.Dan bermakna di dalam kehidupan masyarakat TIDAK DISIBUKKAN DENGAN ’JUAL-BELI’ ISLAM YANG SYUMUL INI.Bila pendakwah tidak sibuk ’menjual’ Islam, masyakat selesa dengan kefahaman Islam yang ada.Sebaliknya jika individu ini 'membeli’ Islam ini dari orang yang tidak berkelayakan 'menjual’ Islam yang sebenarnya maka akan tertegakkah Sistem Islam dalam diri, dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara?
Sekiranya berlaku 'jual-beli’ ini, maka servis kepada pelanggan menjadi agenda yang sangat penting kepada pendakwah. Pendakwah sudah dilatih sebelum ini tentu anda berstrategi kerana fiqh dakwah ini bukanlah ilmu yang ada di Universiti atau ada sijil diberikan tetapi himpunan pengalaman para daie sejak berzaman termasuk pengalaman da'ie sendiri.Namun begitu antara agenda utama dimana ada penjual tidak kenal siapakah senarai utama pembelinya, dia main 'redah’ menjual, maka dia akan buang masa dan tenaga. Sedangkan ramai lagi pelanggan-pelanggan yang berpotensi atau senarai mereka sekadar tertulis diatas kertas.Begitu juga ada da'ie yang tiada senarai utama mad’unya, sehingga senarai yang terbawah menjadi sasaran. Tentunya orang-orang tua, orang-orang kampung bukan dalam senarai keutamaannya.Begitu juga penjual barangan perlu ada sesi iklan, promosi dan kebajikan, pendakwah juga perlu mengiklankan dakwah dan organisainya, mengsyiarkan imej organisasinya serta perlu ada promosi seperti melalui kebajikan, sebaran artikel, website, tulisan blog dan sebagainya.Tetapi harus ingat, kebajikan itu bukanlah medan berdakwah sebenar.
Kebajikan seperti membantu mereka yang ditimpa bencana, gempa bumi, kebakaran, mangsa banjir dan lain-lain musibahBegitu juga akan lebih terdorong melakukan kebajikan dalam bulan Puasa yang akan datang, iklankan diri kepada khalayak tapi harus ingat, anda belum ditahap berdakwah pada hakikat sebenarnya, mangsa bencana itu bukan mad’u anda.Walaupun pelajar sekolah, pelajar kolej, pelajar latihan vokasional dan pelajar universiti antara senarai utama para daie, dan pendakwah sudah merancang dakwahnya tetapi SISTEM SERVIS mesti terancang supaya dakwah BUKAN ”TOUCH N GO”.
Indeks prestasi bukanya melalui berapa banyak penjual barang tadi berjumpa pelanggannya tetapi berapa banyak sudah terjual dan plan sistem servis kepada pengguna. Kalau sekadar banyak 'latihan’ promosi Islam, kemudian servis diteruskan oleh orang yang bukan ahlinya atau tiada program susulan, maka terjualkah barangan tadi? 'Terjualkah’ Islam kepada peserta remaja/pelajar tadi. Memanglah seronok mempromosi barangan tetapi itu bukan matlamat sebenar sekadar iklan. Kadang-kadang tersibuk dengan promosi dan tercanang pula pada orang lain, gah bunyinya mempromosi Islam, tetapi yang 'membeli’ atau yang mendekati Islam itu tidak seperti diharapkan.Biar promosi tidak pada banyak tempat tetapi lebih terfokus dan pastikan program susulan ( servis) itu dengan perancangan yang kemas, jangan cuba menjala terlalu kerap sedangkan jaring itu banyak yang bocor.
Penulis berpengalaman dengan remaja ini sekitar tahun 1992-96, penulis menulis mengikut pengalaman.Ramai orang tertipu dengan kesibukan, penjual barang tadi sudah rasa sibuk menjual tetapi belum ada jualan, pendakwah juga rasa sibuk berdakwah tetapi Islam ini belum ’dijual’ lagi. Orang ramai baru membelek-beleknya.Sekiranya ciri-ciri produk Islam yang syumul / holistik ini ’dijual’ oleh da'ie yang TIDAK HOLISTIK, yang tidak holistik amal fardinya, tidak menjaga fizikal badan, ilmu fiqh dakwah yang tidak update, ilmu dunia yang cetek ( sekadar mendalami ilmu seperti tertulis pada sijil-ijazah) , tidak mengikuti perkembangan globalisai, atau ada yang terlalu menekan isu-isu semasa sedang isu dia dengan Allah renggang, maka lihatlah hasilnya.
Bukan daie ini sendiri tidak bermotivasi berdakwah malah luntur semangat, letih fizikal, letih emosi dan yakinlah semangat dan motivasi akan muncul semula, bilamana hatinya semakin dekat dengan Allah, dekat berkomunikasi dengan Allah, dekat bermunajat DAN INILAH JAWAPAN DARI SATU SMS YANG PENULIS TERIMA, IAITU BAGAIMANA MENINGKATKAN MOTIVASI DAN PEMIKIRAN SETIAP DAIE KEARAH MEMARTABATKAN DAKWAH ISLAMIAH. Jangan sekadar menjaga batang, dahan dan ranting-ranting sedang akarnya tidak sentiasa dibajai.Orang bisnes ada graf pretasi, pendakwah juga ada graf tetapi bentuk grafnya sahaja yang berbeza. Orang bisnes sentiasa memikirkan prestasi jualan, servis dan profit, bagaimana pula dengan para daie?Suka diulangi lagi, menyeru kepada Islam bermakna menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah, maka yang menyeru itu 'wajiblah’ mendekatkan dirinya dengan kualiti dan kuantiti beribadah kepada Allah. Jika tidak tunggulah janji Allah anda akan ditukar dengan orang lain.
Dr. Yusof AbbasAJK ISMA JohorNota: Biografi ringkas penulis:Dr Yusof Abbas tinggal di Johor Bahru. Beliau merupakan penulis buku BIOMEKANIK SOLAT, Kaedah KHUSYUK Melalui Fitrah BIOLOGI Dan Satu Kaedah TERAPI. Akan menerbit buku motivasi pelajar yang bertajuk PELAJAR HEBAT BILA SOLAT DAN IBADAHNYA HEBAT. Juga buku komik untuk kanak-kanak, " Emmmm...SERONOKNYA DAPAT KHUSYUK SOLAT!! Penulis seorang Perunding Perubatan Sains Sukan yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan juga telah melibatkan diri dalam beberapa perniagaan dalam bidang perubatan dan bukan perubatan sejak awal tahun 90-an. AJK Ikatan Muslimin Malaysia, ISMA (Cawangan Johor), dan Setiausaha Aman Palestin Bhd (Johor).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan