Dari segi bahasa, dakwah bererti menyeru,memanggil sama ada kepada yang hak atau yang batil. Dalam istilah syarak ia membawa perngertian yang lebih khusus, iaitu menyeru atau memanggil ke jalan Allah.
Firman Allah yang bermaskud:
"Katakanlah, inilah jalan (Deenku), aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) ke jalan Allah dengan hujjah yang nyata." (Surah Yusuf, 108)
Dalam Islam, melaksanakan dakwah adalah tugas pokok para Anbiya'. Malahan mereka dibangkitkan untuk berdakwah. Para Anbiya' tanpa berkecuali ditugaskan berdakwah kepada kaumnya, dan memang mereka diutuskan untuk menyeru kaum mereka, agar manusia beriman kepada Allah, beribadah kepadaNya, tidak mensyirikkanNya kepada sesuatu dan berpegang teguh kepada syariat yang ditetapkanNya.
Orang-orang yang beriman adalah mereka yang mentaati jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka mereka tidak akan meninggalkan tugas dakwah, kerana tugas ini tidak sepatutnya terpisah dari sifat mereka yang mengaku tergolong daripada kalangan kaum muslimin. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru ke jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam orang-orang yang menyerah diri (muslimin)." (Surah Fussilat: 33)
DALIL-DALIL TUNTUTAN DAKWAH
Syarak menuntut dakwah dilaksanakan di atas beberapa sebab, antaranya:
i. Untuk menyelamatkan diri dari azab Allah (al-A'raf: 164-165)
ii. Untuk menyelamatkan Ummah (al-Anfal: 25, al-Maidah: 78)
iii. Untuk memenuhi sifat mukmin sejati (Ali Imran: 104)
v. Untuk mewarisi jalan Rasulullah s.a.w. (Ali Imran: 31, Yusof: 108)
vi. Untuk memastikan keutuhan Ummah ( Al-Maidah: 2)
HUBUNGAN DAKWAH DENGAN TUNTUTAN IMAN
Dakwah dijalan Allah terjumlah dari keimanan kepada 5 perkara:
a) Dakwah merupakan salah satu dari tuntutan iman (Al-Ahzab: 72, Al-Hajj: 67)
b) Dakwah sebagai bukti keimanan ( Al-Baqarah: 165, Al-Maidah: 54)
c) Dakwah adalah syarat kesempurnaan Iman (Surah Al-Fussilat: 33)
d) Dakwah menjadi benteng kepada Iman dari godaan syaitan (Al-A'raf: 27)
e) Dakwah sebagai bekalan mengukuhkan Iman (Muhammad: 7, Al-Ankabut: 69)
KEDUDUKAN DAKWAH DARI SEGI HUKUM SYARA'
Allah s.w.t. memerintahkan umat Islam supaya sentiasa menjaga keimanan mereka daripada sebarang kelemahan yang boleh menggugat syahadah mereka terhadap Allah. Oleh kerana menjaga kesejahteraan Iman itu wajib dan salah satu cara terpenting untuk menjaganya adalah dengan melaksanakan dakwah di jalan Allah, maka tidak dapat tidak, melakukan dakwah itu sendiri adalah wajib. Ini kerana sekiranya dakwah itu tidak dijalankan maka manusia akan mudah dipengaruhi dan dipimpin oleh syaitan dan bala tenteranya.
Dalam surah Al-An'am ayat 116 ada menjelaskan bahawa orang-orang yang tidak berpegang kepada jalan Allah hanya mengikut persangkaan mereka belaka. Mereka tidak mengenal apa yang dinamakan makruf dan mungkar. Mereka juga tidak mempunyai kayu ukur yang jelas terhadap tingkah laku dan amalan mereka.
Oleh kerana kaum muslimin sahajalah yang mempunyai neraca yang membezakan perkara yang makruf dan mungkar, maka sudah tentulah tugas menyeru makruf dan mencegah mungkar terletak di bahu umat Islam. Tanggungjawab ini dengan sendirinya menjadikan tugas dakwah fardhu kepada orang-orang yang beriman. Hukum fardhu ini telah disepakati oleh para ulamak pada setiap zaman.
Fardhu Kifayah
Sebahagian besar ulama' Islam mengatakan bahawa melaksanakan dakwah ialah salah satu fardhu Kifayah ke atas masyarakat Islam, berdasarkan firman Allah:
"Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beriman." (Ali Imran: 104)
Dari ayat di atas, mereka berpegang bahawa yang dituntut oleh syara' ialah sebahagian daripada umat Islam untuk melakukan kewajipan ini. Di mana dari ayat ini juga mereka mengqiaskan yang umum, iaitu amal makruf dan nahi mungkar dengan khusus, iaitu berperang dengan senjata. Apabila khusus itu hukumnya dalam keadaan biasa ialah fardhu kifayah, maka hukum yang umum, iaitu segala bentuk amal makruf dan nahi mungkar dalam pengertiannya juga adalah fardhu kifayah selagi mana tiada kerahan umum yang diisytiharkan oleh pihak pemerintah di dalam sebuah negara Islam.
Fardhu Ain
Setengah-setengah ulama' mengatakan bahawa melaksanakan dakwah itu adalah fardhu Ain, mengikut kadar keupayaan. Para ulama' yang berpendapat bahawa dakwah itu fardhu Ain ke atas setiap muslim adalah kerana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w.:
"Barangsiapa dari kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, apabila tiada kuasa maka dengan lidahnya, apabila tiada kuasa maka dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."(Muslim)
Mereka berperang bahawa firman Allah dalam surah Ali-Imran itu adalah sebagai bayan atau penjelasan dan bukan sebagai tab'id atau bertujuan untuk menunjukkan atas dua alasan ini:
i) Allah mewajibkan agar amar makruf dan nahi mungkar ke atas seluruh umat Islam berdasarkan firmannya dalam Ali-Imran:110
ii) Tidak akan dibebankan kecuali untuk membuat amar makruf nahi mungkar, baik dengan tangan, lisan dan hati. Bagi setiap orang pula wajib ia menolak dengan membawa mudharat atau kerosakan pada dirinya.
Yang lebih kuat atara dua pendapat ini adalah yang mengatakan dakwah adalah fardhu Ain ke atas setiap muslim menurut kadar keupayaannya. Ini kerana berdasar dua keadaan utama:
a) Seorang muslim yang mendiamkan dirinya daripada menyebarkan sesuatu yang makruf dengan beranggapan ada orang lain yang telah melakukannya, mungkin akan meluputkan banyak kebajikan dari kumpulan kaum muslimin dan juga merupakan penyembunyian hidayah Allah sepertimana dalam Firman Allah, surah Al-Baqarah:159.
b) Sikap berlengah-lengah dalam mencegah yang mungkar kerana bergantung kepada usaha orang lain akan membawa kepada keadaan yang lebih teruk sehingga tidak boleh dicegah lansung. Ianya ibarat penyakit kanser sehingga boleh membunuh sel-sel keimanan. Walaupun ada individu yang bangkit untuk mencegah kemungkaran, tanggungjawab ini sekali-kali tidak akan gugur sehinggalah ia menyaksikan sendiri bahawa usaha orang lain tersebut telah berjaya menghentikan atau menghalang kemungkaran itu.
CABARAN DALAM DAKWAH
1. Cabaran Aqidah, Ideologi, dan Kebudayaan
2. Cabaran Dalaman
3. Cabaran Sosial
4. Cabaran Ekonomi
5. Cabaran Sebaran Am
6. Cabaran Keselamatan dan Ketenteraan
Kesimpulan :
Cabaran ke atas aqidah umat Islam khususnya mahasiswa kampus masa kini membuatkan tugas dakwah merupakan tugasan yang fardhu ain bagi setiap individu muslim yang memahami. Ianya terdiri daripada menyuruh yang makruf dan meninggalkan kemungkaran. Orang-orang yang beriman adalah mereka yang mentaati jalan yang ditunjukkan olah Rasulullah s.a.w. iaitu dengan tidak meninggalkan tugas dakwahnya dengan membiarkan kegelapan dan kesesatan menyelubungi hidup umat Islam.
1 ulasan:
slm..
Harap beri ulasan yg lebih detail kpd cabaran-cabaran dakwah tersebut.
Catat Ulasan