‘‘Makcik tidak maafkan dia, apa yang dia buat pada anak makcik adalah zalim, terlalu kejam,” luah Zaharah Mohamad, 58, ibu pelajar Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir terhadap tindakan pelajar yang menikam anaknya sehingga mati, Rabu lalu.
Itulah ungkapan yang keluar dari ibu kepada arwah Muhamad yang mati dibunuh oleh temannya. Memang di dalam Islam, ada peruntukan qisas iaitu pembunuh mesti dibalas bunuh jika sabit kesalahan. Namun begitu, ia bukan mudah perlu ada bukti yang kukuh, apalagi dikhabarkan teman yang membunuh itu didakwa tidak siuman.
Penulis sememangnya bersimpati dengan keluarga arwah terhadap apa yang berlaku. Ibu mana yang tidak marah apabila anaknya dibunuh dengan kejam tanpa sebab yang jelas. Namun begitu, penulis mengharapkan apabila ibu arwah telah kembali tenang, renunglah kembali apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw apabila bapa saudaranya Hamzah mati dibunuh oleh seorang yang diupah oleh Hindun. Malah Hindun sendiri memakan hati Hamzah dalam keadaan yang begitu rakus sekali. Nabi saw juga pernah berjanji akan membalas dendam ke atas pembunuh bapa saudaranya itu apabila baginda sangat sedih dan terkejut melihat mayat Hamzah yang hampir tidak dikenali.
Walau bagaimanapun, setelah Hindun memeluk Islam, dia memohon maaf kepada Nabi saw di atas dosanya yang lalu. Nabi saw masih terkenang peristiwa kejam itu, cuma Nabi saw meminta agar Hindun tidak selalu berjumpanya. Iktibar dari kisah itu, saya mengharapkan agar Puan Zaharah apabila tenang nanti, maafkanlah pembunuh anaknya. Ungkapan"Saya tidak akan maafkan pembunuh anak saya".. hanya menampakkan sikap dendam yang tak berkesudahan.
Moga Allah merahmati roh arwah dan moga hidayah Allah bersama suspek yang merupakan kenalan arwah agar dia bertaubat nasuha di atas kesilapannya. Amin.
18 Jun 2007, 3 Jamadil Akhir 1428,
11.33 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan