Selasa, 19 Julai 2011

Bersemadilah wahai srikandi Islam



1) Saya yakin ramai yang terkesan dengan pemergian Almarhumah Dr. Lo'lo' Ghazali di saat perjuangannya membela nasib umat Melayu Islam di Kg Baru, Kuala Lumpur masih diperlukan.

2) Seorang yang bertubuh kecil, murah dengan senyuman, sapaan yang penuh mesra dan lembut, namun lantang mempertahankan kebenaran dan golongan yang ditindas, menjadi ciri-ciri istimewa Almarhumah. Meskipun telah mempunyai seorang cucu, Almarhumah dikenali sebagai seorang yang gigih dalam menunaikan amanah yang diberikan, bahkan mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen wanita pertama dari Parti Islam Semalaysia (PAS).

3) Bahkan, bagi mana mana lelaki seharusnya cemburu dengan ketekunan beliau dalam menyelesaikan masalah rakyat. Mungkin kelebihan sebagai seorang doktor perubatan, yang banyak merawat pesakit, pendekatan yang sama juga digunakan dalam menyelami denyut nadi rakyat.

4) Saya membaca pemergian beliau sebagai suatu panggilan dari Allah ; kekasih bagi hambaNya yang ikhlas mendaulatkan agamaNya untuk kembali ke pangkuanNya dalam keadaan yang diredhai. Tidak pernah dalam masa terdekat ini, selepas pemergian Almarhum Dato' Fadzil Noor pada tahun 2002 yang diiringi puluhan ribu manusia untuk menghantar jenazahnya ke tempat persemadian di Darul Ulum, Kedah. Meskipun dikejutkan dengan berita kematian Alamrhumah seawal 2 petang, 17 Julai yang akhirnya diketahui tidak benar, namun menjelang 10.15 malam, 17 Julai, arwah dijemput Allah. Ucapan takziah bertali arus di Facebook, Twitter, blog dan sms, bahkan mendapat liputan hampir semua media arus perdana-mungkin kerana jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

5) Kehadiran ribuan manusia mengiringi jenazah Alhamrhumah untuk disembahyangkan di masjid kemudiannya ke perkuburan, menandakan betapa Almarhumah sangat dirasai pemergiannya. Tanda-tanda Husnul Khatimah seolah-olah kelihatan sepanjang perjalanan ke perkuburan dan sewaktu talkin dibacakan. Ia seumpama mengulangi peristiwa pengebumian Almarhum Dato' Fadzil Noor yang dapat mengIslamkan juruterbang yang membawa pesawat Hercules bagi menghantar jenazahnya dari Subang ke Kedah. Subhanallah ! Benarlah janji Allah bagaimana mereka yang ikhlas berjuang mendaulatkan agamaNya-akan diberi kemuliaan bukan sekadar di akhirat yang kekal abadi, bahkan di atas dunia lagi. Kehadirannya dinanti, pemergiannya dirasai!

6) Mereka letih, berkorban dalam perjuangan dan dakwah, kamus rehat hampir tiada dalam hidup mereka, namun Allah menjemput mereka dengan metod kematian yang terindah-Husnul Khatimah. Bagi menutup bingkisan ini, saya sertakan beberapa ungkapan lirik dari nasyid Kumpulan Al-Wadi Mesir yang pernah kami nasyidkan sekitar tahun 1995 dahulu, bagi menyimpulkan bingkisan ini.

" Seandainya kau tangisi kematianku, janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu, kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan, gugur syahid di medan perjuangan atau meraih kemenangan, aturkanlah perjuanganmu itu, janganlah bersikap ragu-ragu, teruskanlah, yakinilah, Islam pasti berjaya,kerna pejuang tak mengenal kerehatan".


8.09 pagi, Malaysia Timur

19 Julai 2011, 17 Sya'ban 1432 H

Isnin, 18 Julai 2011

Kembali menulis dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan

1) Salam buat semua pembaca budiman. Terlalu lama saya tidak menulis dalam blog ini. Sibuk dengan tugasan, menyebabkan saya mengabaikan blog ini buat sekian lama.

2) Saya terlalu berhajat untuk menulis buku-rakaman kisah benar dan pengalaman diri buat tatapan umat. Sesungguhnya dalam usaha dakwah yang dilakukan dan proses mentransformasi diri, banyak pahit manis yang dialui. Namun, kekuatan untuk mengurus masa dengan tugas yang telah diamanahkan, belum mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.

3) Tidak lupa, sekalung al-Fatihah buat Almarhumah Dr Lo'lo'-mutiara perjuangan Islam yang kembali menemui Allah pada malam tadi. Moga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama Ummahatul Mukminin seperti Aisyah, Maryam, Asiah dan Khadijah.

4) Menjelang Ramadhan yang bakal tiba kurang 2 minggu lagi, saya yakin kita akan bertanya-bagaimana persiapan diri kita untuk menghadapinya. Di separuh kedua Sya'ban ini, selagi ada masa untuk berpuasa sunat, membanyakkan bacaan Al-Quran-tunaikanlah kerana ia sebagai latihan untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak.

5) Menulis tidak mudah, kerana perlu idea dan isi yang baik untuk ditampilkan. Insya allah moga dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan kali ini, Allah memberikan saya kekuatan untuk terus menulis dari hari ke hari.

6) Sesungguhnya Allah tidak akan membantu perubahan diri kita, melainkan diri kita berusaha untuk berubah. Adakah kita bersedia untuk berubah ? Tenangkan jiwa, lapangkan minda dan tanyalah hati-pasti akan ketemu jawapannya.


10.23 pagi, Malaysia Timur,

16 Sya'ban 1432 H, 18 Julai 2011

Jumaat, 25 Februari 2011

Mencari kekuatan diri



1) Nabi SAW senantiasa menjadi rujukan dalam usaha kita mencari kekuatan diri, apabila mengahdapi masalah dan ujian yang ditakdirkan Allah SWT.

2) Bukan sedikit ujian yang dihadapi Nabi SAW. Lahir sebagai anak yatim, kehilangan ibu, bapa saudara dan isteri yang dikasihi. Dicela pemuka Quraisy, dilempar dengan batu oleh anak-anak di Taif-namun tidak sedikit pun menghilangkan keyakinan Nabi SAW bahawa Allah sentiasa bersama Baginda.

3) Begitulah kita, tiada siapa yang lepas dari ujian dan masalah. Tinggal lagi bagaimana kita menghadapinya dan memiliki kekuatan agar rasional, redha, tabah dan sabar dalam menghadapi ujian tersebut.

4) Ujian kemiskinan, kehilangan harta benda dan orang tersayang serta masalah di tempat kerja dan rumah tangga-merupakan bentuk-bentuk ujian kecil yang kadangkala gagal dihadapi dengan baik oleh kebanyakan orang.

5) Justeru, pergantungan harap yang tinggi serta tidak putus berdoa agar mendapat petunjukNya, merupakan salah satu cara untuk mencari kekuatan diri. Solat sunat hajat kepadaNya sebagai suatu ikthiar yang membayangkan betapa lemahnya kita sebagai hamba, kerana meminta sesama manusia pasti kecewa.

6) Moga Allah terus dijadikan kecintaan yang paling utama bersama Rasulullah SAW, agar kita memperoleh kemanisan iman di sepanjang hidup kita. Amin.



25 Januari 2011, 22 Rabi'ul Awwal 1432 Hijrah,

8.15 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 16 November 2010

Sejauh mana pengorbanan demi agama?



1) Salam Eidul Adha buat semua pengunjung.

2) Lumrahnya di negara kita, sambutan Eidul Fitri lebih meriah berbanding Eidul Adha.

3) Mungkin kerana adat dan suasana yang telah lama terbentuk, hanya beberapa negeri dianggap meraikan Ediul Adha secara meriah bahkan diberikan cuti umum selama 2 hari iaitu Kelantan dan Terengganu.

4) Eidul Adha kali ini perlu dijadikan ruang untuk kita menilai sejauh mana pengorbana yang telah dilakukan demi agama tercinta. Mungkin tidak sehebat Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s., namun kita yakin segala keringat, masa dan harta yang dilaburkan untuk membantu agama Allah pasti diganjari.

5) Tinggal lagi nilai pengorbanan itu masih kecil berbanding para salafussoleh, para sahabat dan para Nabi. Kita orang awam yang terlalu kerdil namun tidak semestinya ia menafikan sumbangan kita dan pengorbanan kita.

6) Kita masih keberatan untuk mengorbankan sepenuh masa, harta dan jiwa demi agama. Masih ada secebis rasa sayang akan dunia dan segala isinya. Moga sekelumit pengorbanan yang dilakukan kita selama ini tetap ada timbangannya di sisi Allah, Insya allah.



16 November 2011, 9 Zulhijjah 1431 Hijrah,

11.57 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude