Rabu, 20 Julai 2011

Solat Subuh ; Ringkas Namun Tidak Mudah



1) Nabi SAW bersabda " Barangsiapa yang solat Isya' berjamaah, maka dia telah menghidupkan separuh malamnya, dan barangsiapa yang solat Subuh berjamaah, maka dia telah menghidupkan seluruh malamnya".

2) Solat Subuh adalah solat yang paling sedikit rakaatnya; iaitu 2 rakaat. Ringkas, namun tidak mudah untuk melaksanakannya.

3) Sepanjang pengalaman saya mengendalikan sesi bersama pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, solat Subuh di antara solat yang selalu diabaikan. Tidur lewat, susah bangun dan malas di antara alasan yang biasa kita dengar. Sekadar berseloroh, saya katakan-bagi mereka yang susah bangun Subuh, bacakan saja Surah Yasin di sebelah mereka, Insya Allah mereka akan bangun.

4) Sedarkah kita, hanya dalam seruan azan Subuh mengandungi "Solat lebih baik dari tidur". Ini kerana, kebanyakan manusia tidak mudah bangun dari tidur untuk menunaikan solat Subuh, apatah lagi berjamaah. Jihad, niat dan kesungguhan yang jitu sahaja dapat menjamin seseorang istiqamah menunaikan solat Subuh, dan yang paling afdhal secara berjamaah.

5) Nabi SAW bersabda " Barangsiapa yang bangun pada waktu Subuh, maka dia telah memutuskan satu ikatan syaitan, kemudian apabila dia berwudhu, maka putus lagi satu ikatan syaitan, dan apabila dia solat Subuh, maka dia telah memutuskan kesemua ikatan syaitan yang membElenggunya ketika tidur ".

6) Bagi mereka yang mendakwa dirinya sebagai pejuang / pendakwah / pendokong agama Allah-seharusnya bangunlah lebih awal demi mengambil sirah Rasulullah SAW dan para sahabat yang menjadikan qiamullail dan solat Subuh berjamaah sebagai amalan tetap mereka. Ternyata, mereka memperoleh kekuatan jiwa, ketenangan hati, kepintaran aqal dan ketegasan prinsip dalam mendokong agama Allah SWT. Malulah kita seandainya mendakwa kita pejuang / pendakwah / pendokong agama Allah-namun lena diulit mimpi di waktu azan Subuh berkumandang.

7) Benarlah, solat Subuh ringkas, namun belum tentu mudah !


8.04 pagi, Malaysia Timur,

20 Julai 2011, 18 Sya'ban 1432 H

Selasa, 19 Julai 2011

Bersemadilah wahai srikandi Islam



1) Saya yakin ramai yang terkesan dengan pemergian Almarhumah Dr. Lo'lo' Ghazali di saat perjuangannya membela nasib umat Melayu Islam di Kg Baru, Kuala Lumpur masih diperlukan.

2) Seorang yang bertubuh kecil, murah dengan senyuman, sapaan yang penuh mesra dan lembut, namun lantang mempertahankan kebenaran dan golongan yang ditindas, menjadi ciri-ciri istimewa Almarhumah. Meskipun telah mempunyai seorang cucu, Almarhumah dikenali sebagai seorang yang gigih dalam menunaikan amanah yang diberikan, bahkan mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen wanita pertama dari Parti Islam Semalaysia (PAS).

3) Bahkan, bagi mana mana lelaki seharusnya cemburu dengan ketekunan beliau dalam menyelesaikan masalah rakyat. Mungkin kelebihan sebagai seorang doktor perubatan, yang banyak merawat pesakit, pendekatan yang sama juga digunakan dalam menyelami denyut nadi rakyat.

4) Saya membaca pemergian beliau sebagai suatu panggilan dari Allah ; kekasih bagi hambaNya yang ikhlas mendaulatkan agamaNya untuk kembali ke pangkuanNya dalam keadaan yang diredhai. Tidak pernah dalam masa terdekat ini, selepas pemergian Almarhum Dato' Fadzil Noor pada tahun 2002 yang diiringi puluhan ribu manusia untuk menghantar jenazahnya ke tempat persemadian di Darul Ulum, Kedah. Meskipun dikejutkan dengan berita kematian Alamrhumah seawal 2 petang, 17 Julai yang akhirnya diketahui tidak benar, namun menjelang 10.15 malam, 17 Julai, arwah dijemput Allah. Ucapan takziah bertali arus di Facebook, Twitter, blog dan sms, bahkan mendapat liputan hampir semua media arus perdana-mungkin kerana jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

5) Kehadiran ribuan manusia mengiringi jenazah Alhamrhumah untuk disembahyangkan di masjid kemudiannya ke perkuburan, menandakan betapa Almarhumah sangat dirasai pemergiannya. Tanda-tanda Husnul Khatimah seolah-olah kelihatan sepanjang perjalanan ke perkuburan dan sewaktu talkin dibacakan. Ia seumpama mengulangi peristiwa pengebumian Almarhum Dato' Fadzil Noor yang dapat mengIslamkan juruterbang yang membawa pesawat Hercules bagi menghantar jenazahnya dari Subang ke Kedah. Subhanallah ! Benarlah janji Allah bagaimana mereka yang ikhlas berjuang mendaulatkan agamaNya-akan diberi kemuliaan bukan sekadar di akhirat yang kekal abadi, bahkan di atas dunia lagi. Kehadirannya dinanti, pemergiannya dirasai!

6) Mereka letih, berkorban dalam perjuangan dan dakwah, kamus rehat hampir tiada dalam hidup mereka, namun Allah menjemput mereka dengan metod kematian yang terindah-Husnul Khatimah. Bagi menutup bingkisan ini, saya sertakan beberapa ungkapan lirik dari nasyid Kumpulan Al-Wadi Mesir yang pernah kami nasyidkan sekitar tahun 1995 dahulu, bagi menyimpulkan bingkisan ini.

" Seandainya kau tangisi kematianku, janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu, kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan, gugur syahid di medan perjuangan atau meraih kemenangan, aturkanlah perjuanganmu itu, janganlah bersikap ragu-ragu, teruskanlah, yakinilah, Islam pasti berjaya,kerna pejuang tak mengenal kerehatan".


8.09 pagi, Malaysia Timur

19 Julai 2011, 17 Sya'ban 1432 H

Isnin, 18 Julai 2011

Kembali menulis dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan

1) Salam buat semua pembaca budiman. Terlalu lama saya tidak menulis dalam blog ini. Sibuk dengan tugasan, menyebabkan saya mengabaikan blog ini buat sekian lama.

2) Saya terlalu berhajat untuk menulis buku-rakaman kisah benar dan pengalaman diri buat tatapan umat. Sesungguhnya dalam usaha dakwah yang dilakukan dan proses mentransformasi diri, banyak pahit manis yang dialui. Namun, kekuatan untuk mengurus masa dengan tugas yang telah diamanahkan, belum mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.

3) Tidak lupa, sekalung al-Fatihah buat Almarhumah Dr Lo'lo'-mutiara perjuangan Islam yang kembali menemui Allah pada malam tadi. Moga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama Ummahatul Mukminin seperti Aisyah, Maryam, Asiah dan Khadijah.

4) Menjelang Ramadhan yang bakal tiba kurang 2 minggu lagi, saya yakin kita akan bertanya-bagaimana persiapan diri kita untuk menghadapinya. Di separuh kedua Sya'ban ini, selagi ada masa untuk berpuasa sunat, membanyakkan bacaan Al-Quran-tunaikanlah kerana ia sebagai latihan untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak.

5) Menulis tidak mudah, kerana perlu idea dan isi yang baik untuk ditampilkan. Insya allah moga dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan kali ini, Allah memberikan saya kekuatan untuk terus menulis dari hari ke hari.

6) Sesungguhnya Allah tidak akan membantu perubahan diri kita, melainkan diri kita berusaha untuk berubah. Adakah kita bersedia untuk berubah ? Tenangkan jiwa, lapangkan minda dan tanyalah hati-pasti akan ketemu jawapannya.


10.23 pagi, Malaysia Timur,

16 Sya'ban 1432 H, 18 Julai 2011

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude