Rabu, 3 Ogos 2011

Rahmat Allah di Awal Ramadhan



1) Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, kita dipertemukan dengan Ramadhan al-Mubarak 1432 Hijrah buat kesekian kalinya.

2) Dengan rahmat Allah, manusia memenuhi rumah Allah di awal Ramadhan sehingga melimpah keluar.

3) Dengan rahmat Allah juga, manusia berlumba-lumba untuk bersedeqah membantu fakir miskin, demi meraih mardhatillah.

4) Dengan rahmat Allah, ibadah sunat yang dilakukan pada bulan Ramadhan pahalanya seumpama solat fardhu, dan solat fardhu pahalanya dilipatgandakan.

5) Dengan rahmat Allah, bau mulut orang berpuasa lebih wangi dari haruman kasturi di sisi Allah SWT.

6) Dengan rahmat Allah, umat Islam berharmoni samada melakukan 8 atau 20 rakaat solat sunat tarawih-apa yang terpenting adalah kualiti solat yang dipersembahkan kepadaNya.

7) Dengan rahmat Allah, orang yang berpuasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur.

8) Dengan rahmat Allah di awal Ramadhan, ikan di lautan mendoakan kebaikan bagi orang berpuasa dan doa orang berpuasa dimakbulkan Allah sehingga dia berbuka.

9) Dengan rahmat Allah juga, sahabat non-Muslim tertarik dengan ibadah puasa, bahkan ada yang cuba berpuasa dan merasai kesan hebatnya puasa yang ternyata lebih menyihatkan tubuh badan.

10) Dengan rahmat Allah di awal Ramadhan, kita berniat agar kita diberikan kekuatan untuk memanfaatkan setiap detik waktu di bulan Ramadhan dan dapat merubah diri ke arah yang lebih baik, Insya Allah.



8.06 pagi, Malaysia Timur,

3 Ogos 2011, 3 Ramadhan 1432 H

Rabu, 20 Julai 2011

Solat Subuh ; Ringkas Namun Tidak Mudah



1) Nabi SAW bersabda " Barangsiapa yang solat Isya' berjamaah, maka dia telah menghidupkan separuh malamnya, dan barangsiapa yang solat Subuh berjamaah, maka dia telah menghidupkan seluruh malamnya".

2) Solat Subuh adalah solat yang paling sedikit rakaatnya; iaitu 2 rakaat. Ringkas, namun tidak mudah untuk melaksanakannya.

3) Sepanjang pengalaman saya mengendalikan sesi bersama pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, solat Subuh di antara solat yang selalu diabaikan. Tidur lewat, susah bangun dan malas di antara alasan yang biasa kita dengar. Sekadar berseloroh, saya katakan-bagi mereka yang susah bangun Subuh, bacakan saja Surah Yasin di sebelah mereka, Insya Allah mereka akan bangun.

4) Sedarkah kita, hanya dalam seruan azan Subuh mengandungi "Solat lebih baik dari tidur". Ini kerana, kebanyakan manusia tidak mudah bangun dari tidur untuk menunaikan solat Subuh, apatah lagi berjamaah. Jihad, niat dan kesungguhan yang jitu sahaja dapat menjamin seseorang istiqamah menunaikan solat Subuh, dan yang paling afdhal secara berjamaah.

5) Nabi SAW bersabda " Barangsiapa yang bangun pada waktu Subuh, maka dia telah memutuskan satu ikatan syaitan, kemudian apabila dia berwudhu, maka putus lagi satu ikatan syaitan, dan apabila dia solat Subuh, maka dia telah memutuskan kesemua ikatan syaitan yang membElenggunya ketika tidur ".

6) Bagi mereka yang mendakwa dirinya sebagai pejuang / pendakwah / pendokong agama Allah-seharusnya bangunlah lebih awal demi mengambil sirah Rasulullah SAW dan para sahabat yang menjadikan qiamullail dan solat Subuh berjamaah sebagai amalan tetap mereka. Ternyata, mereka memperoleh kekuatan jiwa, ketenangan hati, kepintaran aqal dan ketegasan prinsip dalam mendokong agama Allah SWT. Malulah kita seandainya mendakwa kita pejuang / pendakwah / pendokong agama Allah-namun lena diulit mimpi di waktu azan Subuh berkumandang.

7) Benarlah, solat Subuh ringkas, namun belum tentu mudah !


8.04 pagi, Malaysia Timur,

20 Julai 2011, 18 Sya'ban 1432 H

Selasa, 19 Julai 2011

Bersemadilah wahai srikandi Islam



1) Saya yakin ramai yang terkesan dengan pemergian Almarhumah Dr. Lo'lo' Ghazali di saat perjuangannya membela nasib umat Melayu Islam di Kg Baru, Kuala Lumpur masih diperlukan.

2) Seorang yang bertubuh kecil, murah dengan senyuman, sapaan yang penuh mesra dan lembut, namun lantang mempertahankan kebenaran dan golongan yang ditindas, menjadi ciri-ciri istimewa Almarhumah. Meskipun telah mempunyai seorang cucu, Almarhumah dikenali sebagai seorang yang gigih dalam menunaikan amanah yang diberikan, bahkan mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen wanita pertama dari Parti Islam Semalaysia (PAS).

3) Bahkan, bagi mana mana lelaki seharusnya cemburu dengan ketekunan beliau dalam menyelesaikan masalah rakyat. Mungkin kelebihan sebagai seorang doktor perubatan, yang banyak merawat pesakit, pendekatan yang sama juga digunakan dalam menyelami denyut nadi rakyat.

4) Saya membaca pemergian beliau sebagai suatu panggilan dari Allah ; kekasih bagi hambaNya yang ikhlas mendaulatkan agamaNya untuk kembali ke pangkuanNya dalam keadaan yang diredhai. Tidak pernah dalam masa terdekat ini, selepas pemergian Almarhum Dato' Fadzil Noor pada tahun 2002 yang diiringi puluhan ribu manusia untuk menghantar jenazahnya ke tempat persemadian di Darul Ulum, Kedah. Meskipun dikejutkan dengan berita kematian Alamrhumah seawal 2 petang, 17 Julai yang akhirnya diketahui tidak benar, namun menjelang 10.15 malam, 17 Julai, arwah dijemput Allah. Ucapan takziah bertali arus di Facebook, Twitter, blog dan sms, bahkan mendapat liputan hampir semua media arus perdana-mungkin kerana jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

5) Kehadiran ribuan manusia mengiringi jenazah Alhamrhumah untuk disembahyangkan di masjid kemudiannya ke perkuburan, menandakan betapa Almarhumah sangat dirasai pemergiannya. Tanda-tanda Husnul Khatimah seolah-olah kelihatan sepanjang perjalanan ke perkuburan dan sewaktu talkin dibacakan. Ia seumpama mengulangi peristiwa pengebumian Almarhum Dato' Fadzil Noor yang dapat mengIslamkan juruterbang yang membawa pesawat Hercules bagi menghantar jenazahnya dari Subang ke Kedah. Subhanallah ! Benarlah janji Allah bagaimana mereka yang ikhlas berjuang mendaulatkan agamaNya-akan diberi kemuliaan bukan sekadar di akhirat yang kekal abadi, bahkan di atas dunia lagi. Kehadirannya dinanti, pemergiannya dirasai!

6) Mereka letih, berkorban dalam perjuangan dan dakwah, kamus rehat hampir tiada dalam hidup mereka, namun Allah menjemput mereka dengan metod kematian yang terindah-Husnul Khatimah. Bagi menutup bingkisan ini, saya sertakan beberapa ungkapan lirik dari nasyid Kumpulan Al-Wadi Mesir yang pernah kami nasyidkan sekitar tahun 1995 dahulu, bagi menyimpulkan bingkisan ini.

" Seandainya kau tangisi kematianku, janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu, kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan, gugur syahid di medan perjuangan atau meraih kemenangan, aturkanlah perjuanganmu itu, janganlah bersikap ragu-ragu, teruskanlah, yakinilah, Islam pasti berjaya,kerna pejuang tak mengenal kerehatan".


8.09 pagi, Malaysia Timur

19 Julai 2011, 17 Sya'ban 1432 H

Isnin, 18 Julai 2011

Kembali menulis dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan

1) Salam buat semua pembaca budiman. Terlalu lama saya tidak menulis dalam blog ini. Sibuk dengan tugasan, menyebabkan saya mengabaikan blog ini buat sekian lama.

2) Saya terlalu berhajat untuk menulis buku-rakaman kisah benar dan pengalaman diri buat tatapan umat. Sesungguhnya dalam usaha dakwah yang dilakukan dan proses mentransformasi diri, banyak pahit manis yang dialui. Namun, kekuatan untuk mengurus masa dengan tugas yang telah diamanahkan, belum mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.

3) Tidak lupa, sekalung al-Fatihah buat Almarhumah Dr Lo'lo'-mutiara perjuangan Islam yang kembali menemui Allah pada malam tadi. Moga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama Ummahatul Mukminin seperti Aisyah, Maryam, Asiah dan Khadijah.

4) Menjelang Ramadhan yang bakal tiba kurang 2 minggu lagi, saya yakin kita akan bertanya-bagaimana persiapan diri kita untuk menghadapinya. Di separuh kedua Sya'ban ini, selagi ada masa untuk berpuasa sunat, membanyakkan bacaan Al-Quran-tunaikanlah kerana ia sebagai latihan untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak.

5) Menulis tidak mudah, kerana perlu idea dan isi yang baik untuk ditampilkan. Insya allah moga dengan semangat Sya'ban dan Ramadhan kali ini, Allah memberikan saya kekuatan untuk terus menulis dari hari ke hari.

6) Sesungguhnya Allah tidak akan membantu perubahan diri kita, melainkan diri kita berusaha untuk berubah. Adakah kita bersedia untuk berubah ? Tenangkan jiwa, lapangkan minda dan tanyalah hati-pasti akan ketemu jawapannya.


10.23 pagi, Malaysia Timur,

16 Sya'ban 1432 H, 18 Julai 2011

Jumaat, 25 Februari 2011

Mencari kekuatan diri



1) Nabi SAW senantiasa menjadi rujukan dalam usaha kita mencari kekuatan diri, apabila mengahdapi masalah dan ujian yang ditakdirkan Allah SWT.

2) Bukan sedikit ujian yang dihadapi Nabi SAW. Lahir sebagai anak yatim, kehilangan ibu, bapa saudara dan isteri yang dikasihi. Dicela pemuka Quraisy, dilempar dengan batu oleh anak-anak di Taif-namun tidak sedikit pun menghilangkan keyakinan Nabi SAW bahawa Allah sentiasa bersama Baginda.

3) Begitulah kita, tiada siapa yang lepas dari ujian dan masalah. Tinggal lagi bagaimana kita menghadapinya dan memiliki kekuatan agar rasional, redha, tabah dan sabar dalam menghadapi ujian tersebut.

4) Ujian kemiskinan, kehilangan harta benda dan orang tersayang serta masalah di tempat kerja dan rumah tangga-merupakan bentuk-bentuk ujian kecil yang kadangkala gagal dihadapi dengan baik oleh kebanyakan orang.

5) Justeru, pergantungan harap yang tinggi serta tidak putus berdoa agar mendapat petunjukNya, merupakan salah satu cara untuk mencari kekuatan diri. Solat sunat hajat kepadaNya sebagai suatu ikthiar yang membayangkan betapa lemahnya kita sebagai hamba, kerana meminta sesama manusia pasti kecewa.

6) Moga Allah terus dijadikan kecintaan yang paling utama bersama Rasulullah SAW, agar kita memperoleh kemanisan iman di sepanjang hidup kita. Amin.



25 Januari 2011, 22 Rabi'ul Awwal 1432 Hijrah,

8.15 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 16 November 2010

Sejauh mana pengorbanan demi agama?



1) Salam Eidul Adha buat semua pengunjung.

2) Lumrahnya di negara kita, sambutan Eidul Fitri lebih meriah berbanding Eidul Adha.

3) Mungkin kerana adat dan suasana yang telah lama terbentuk, hanya beberapa negeri dianggap meraikan Ediul Adha secara meriah bahkan diberikan cuti umum selama 2 hari iaitu Kelantan dan Terengganu.

4) Eidul Adha kali ini perlu dijadikan ruang untuk kita menilai sejauh mana pengorbana yang telah dilakukan demi agama tercinta. Mungkin tidak sehebat Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s., namun kita yakin segala keringat, masa dan harta yang dilaburkan untuk membantu agama Allah pasti diganjari.

5) Tinggal lagi nilai pengorbanan itu masih kecil berbanding para salafussoleh, para sahabat dan para Nabi. Kita orang awam yang terlalu kerdil namun tidak semestinya ia menafikan sumbangan kita dan pengorbanan kita.

6) Kita masih keberatan untuk mengorbankan sepenuh masa, harta dan jiwa demi agama. Masih ada secebis rasa sayang akan dunia dan segala isinya. Moga sekelumit pengorbanan yang dilakukan kita selama ini tetap ada timbangannya di sisi Allah, Insya allah.



16 November 2011, 9 Zulhijjah 1431 Hijrah,

11.57 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 25 Oktober 2010

Agihkan Kekayaan Negara !



1) Di antara pesanan Nabi SAW - Apabila amanah itu dipersiakan, maka tunggulah saat kehancuran (kiamat). Sahabat bertanya-Bagaimana?. Nabi SAW menjawab- Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (kiamat).

2) Nabi juga berpesan-Di antara 15 perkara yang boleh mengundang bala dari Allah SWT-apabila amanah dijadikan sumber keuntungan dan apabila kekayaan berlegar di kalangan kelompok tertentu sahaja.

3) Pernah isteri Khalifah Umar Abdul Aziz menyatakan-Sebagai orang yang paling tinggi dalam negara, tidak bolehkah kita bermewah sedikit? Kata Umar Abdul Aziz-Kau pilih antara dua-samada susah senang bersama denganku atau keluar dari rumah ini dengan kekayaan yang lebih engkau cintai. Kata isterinya-Kalau begitu, aku sanggup bersama denganmu kerana engkaulah lelaki yang terbaik pernah aku bertemu.

4) Justeru, dalam mentadbir sumber kekayaan dan hasil mahsul negara, pemerintah perlu melakukan sebaik mungkin dengan memastikan agihan pendapatan kekayaan negara sama adil dan meliputi semua pihak.

5) Pihak yang tidak memerintah perlu memberi teguran agar yang memerintah tidak lalai dan khianat dengan amanah yang diberikan.

6) Khalifah Umar Abdul Aziz hanya memerintah dalam jangka masa 2 tahun, tetapi diriwayatkan pada zamannya, tiada orang yang layak menerima bantuan zakat kerana agihan pendapatan negara sama adil.

7) Oleh itu, bukan mudah menjadi pemimpin jika tidak bersedia berkhidmat kepada yang dipimpin. Orang yang dipimpin biasanya mengharapkan yang terbaik dari pimpinan agar negara diberkati dan dinaungi Allah sepanjang masa.



25 Oktober 2010, 17 Zulqaedah 1431 Hijrah,

8.20 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 19 Oktober 2010

Atur langkahmu dalam kehidupan!



1) Nabi SAW pernah berpesan-"Jadilah kamu seumpama orang asing atau pengembara di atas dunia. Jika kamu di waktu pagi, jangan tangguh (urusan) sehingga petang, dan jika kamu di waktu petang, jangan tangguh (urusan)sehingga pagi".(Hadith riwayat Muslim)

2) Justeru, jelas bahawa kehidupan kita di dunia tidak kekal/akan binasa dan bakal menuju ke suatu destinasi yang kekal abadi-akhirat.

3) Pernah Nabi SAW ditawarkan tempat tidur yang lebih empuk dan selesa, kerana sahabat sedih melihat badan Nabi SAW berbirat dek pelepah tamar sebagai alas tidurnya-kata Nabi SAW- "Tidak mengapa, aku tidak perlu kerana aku seumpama seorang pengembara yang menumpang teduh seketika di bawah sepohon pokok. Kemudian aku akan meneruskan perjalanan (menuju ke akhirat)".

4) Dalam hidup, perlu diatur langkah agar tidak salah. Bila kita mengatur langkah dengan berhati-hati, banyak faedah akan diperoleh. Kita tahu ke mana destinasi yang bakal dituju-iaitulah akhirat yang kekal abadi.

5) Kita tahu apakah bekal yang perlu dibawa sepanjang melangkah, iaitu taqwa kerana Allah menyatakan itulah sebaik bekalan dalam perjalanan kehidupan.

6) Kita tidak akan tersesat dalam setiap langkah yang diatur, kerana memohon petunjuk dari Allah untuk menelusuri perjalanan mereka yang telah dikurnia nikmat oleh Allah SWT-para Nabi, Siddiqin, Syuhada' dan Solihin.

7) Kerana itu ada ungkapan dari Nabi SAW - "Berjalanlah mengatur langkah dengan dinaungi keberkatan Allah SWT". Moga kita mampu menghalang langkah kaki dari tempat yang dimurkai, sebaliknya menghalakan langkah kita ke tempat yang diredhai. Amin.



19 Oktober 2010, 11 Zulqaedah 1431 Hijrah,

8.14 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 14 Oktober 2010

Maher Zain vs Adam Lambert




1) Bukan sedikit bantahan terhadap konsert Adam Lambert yang biasa beraksi dengan gaya erotik di atas pentas. Ada juga yang mendakwa beliau adalah seorang gay.

2) Namun bantahan demi bantahan, masih belum menampakkan ada pembatalan terhadap konsert Adam Lambert malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

3) Pada waktu yang sama, meskipun kurang diberi liputan dan kurang penaja, tiket Maher Zain-artis Sweden berketurunan Lebanon, dikhabarkan sold-out bagi konsert 2 malam yang akan diadakan di Auditorium MBSA, juga bermula malam ini.

4) Menelusuri perjalanan Maher Zain; ternyata beliau juga seorang yang terpesong jalan di peringkat awal, namun bersyukur kerana diberikan hidayah oleh Allah untuk kembali mengenal diri.

5) Bagi peminat 2 artis ini di Malaysia-nilai dan perhatikan mesej yang akan dibawa. Saya pernah menyebutkan, untuk mengawal diri-tanggungjawab setiap diri, manakala untuk mengawal suasana-tanggungjawab pemerintah.

6) Berikan perhatian kepada kesan-kesan setiap kali sesuatu konsert itu selesai melabuhkan tirainya-khayal dengan hiburan yang diterima, bersuka ria hingga ke pagi, dibimbangi terlibat dengan zina dan akhirnya mendorong kepada pembuangan bayi.

7) Mahu tidak mahu, pihak bertanggungjawab, bukalah mata dan besarkan telinga untuk menerima pandangan orang ramai di luar sana, Jangan kerana keuntungan sedikit di dunia, kita mengundang kemurkaanNya!.



14 Oktober 2010, 6 Zulqaedah 1431 Hijrah,

12.45 tengahari, Malaysia Timur

Antara rasuah, nombor ekor dan khinzir !



1) Kes rasuah masih berleluasa. Dan yang menghairankan ada yang sudah berjawatan tinggi dan pendapatannya berpuluh kali ganda dari si fakir miskin.

2) Tidak kurang juga, yang terus menerus saban hari beratur menunggu giliran untuk membeli nombor ekor, sambil mengharap dirinya akan menjadi jutawan segera.

3) Yang paling ajaib, mereka yang terlibat dengan gejala rasuah dan nombor ekor ini, cukup jijik jika diberitahu bahawa ada unsur dari daging/lemak khinzir di dalam makanan dan minumannya.

4) Mengapa tidak jijik dengan rasuah dan nombor ekor? Bukankah hukumnya tetap sama-diharamkan agama! Mengapa berlaku sikap double standard-rasuah dan nombor ekor tiada masalah, tetapi khinzir bermasalah?

5) Moga jadi muslim dan mukmin yang mengamalkan Islam secara sempurna. Tidak ditebuk sana sini dan mengikut aqal sendiri.



13 Oktober 2010, 5 Zulkaedah 1431 Hijrah,

12.32 tengahari, Malaysia Timur

Isnin, 4 Oktober 2010

Hayati bai'ah yang dilafazkan!



1)Firman Allah SWT di dalam Surah al-Fath, ayat 10 bermaksud " Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu (Muhammad), sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya, nescaya akibat pelanggaran janjinya akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar".

2) Bai'ah bermaksud janji setia yang diberi kepada seseorang untuk melaksana amar makruf nahi munkar bagi meneruskan kelangsungan Islam berkuasa di bumi Allah SWT.

3) Bagi mereka yang pernah berbai'ah/janji setia untuk membantu agama Allah, perlu senantiasa merenungi lafaz bai'ah yang telah diungkapkan.

4) Kita akan ditanya samada kita memenuhi atau tidak tuntutan bai'ah tersebut. Adakala ada yang telah berbai'ah, namun lupa dengan tuntutannya perlu segera disedarkan dari tidur yang lena.

5) Kesan dari pengabaian bai'ah akan menyebabkan perjuangan Islam menjadi lemah. Longgokan kerja akan berlaku dan secara tidak langsung memberikan beban kepada sahabat yang lain. Fitnah akan berlaku samada di peringkat dalaman mahupun luaran.

6) Bai'ah mengandungi 10 elemen penting-faham, ikhlas, amal, jihad, pengorbanan, taat, thabat (tetap pendirian), tajarrud(kejernihan fikrah), ukhuwwah dan thiqah (keyakinan/kepercayaan terhadap pimpinan).

7) Moga terus istiqamah di atas bai'ah yang telah dilafazkan.



4 Oktober 2010, 25 Syawal 1431 Hijrah,

10.27 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 1 Oktober 2010

Bantulah si zalim !



1) Nabi SAW pernah bersabda " Bantu saudara kamu yang dizalimi dan yang menzalimi". Sahabat bertanya bagaimana membantu si zalim? Nabi menyatakan " Dengan mencegah dia dari melakukan kezaliman itu".

2) Secara umum, hadith ini menganjurkan kita untuk membantu orang yang dizalimi dan ditindas. Para sahabat mengerti bagaimana caranya. Namun yang menjadi kemusykilan, bagaimana membantu mereka yang menzalimi yang dinyatakan Nabi SAW.

3) Lalu Nabi SAW memberikan jalan penyelesaian untuk menghentikan suatu kezaliman-dengan cara mencegah si zalim itu dari berterusan melakukan kezaliman.

4) Para ulama berpandangan mencegah itu boleh datang dalam bentuk teguran, nasihat atau doa, agar si zalim celik matanya, tersentak mindanya dan terbuka pintu hatinya agar sedar dan insaf, bahawa dia telah melakukan kezaliman.

5) Namun begitu, jika telah melebihi had, sehingga umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya seperti yang berlaku di Palestin oleh tentera Israel, maka di waktu itu, wajib mempertahankan diri dan dibolehkan untuk menyerang balas.

6. Dalam konteks organisasi, atau sesebuah kerajaan, tidak kira ketua/pemimpin mahupun orang bawahan elakkan berlaku zalim kepada orang lain. Ini kerana Allah mengharamkan kezaliman berlaku sesama manusia, begitu juga makhluk Allah yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.

7. Ingatlah, bahawasanya mereka yang menzalimi orang lain, sebenarnya menzalimi dirinya sendiri. Jika dia tidak disedarkan, celakalah nasibnya di akhirat nanti, kerana orang yang dizalimi akan menuntut di hadapan Allah kepada si zalim.

8) Moga kita beroleh kewaspadaan tentang perlunya menghindari kezaliman, agar kita tidak mudah mempunyai kecenderungan untuk gembira melihat orang lain derita atau teraniaya akibat kezaliman yang kita lakukan!



1 Oktober 2010, 22 Syawal 1431 Hijrah,

8.10 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 30 September 2010

Mohon pertolongan kepada Allah dengan sabar



1) Allah SWT mengingatkan di dalam surah al-Baqarah, agar manusia memohon pertolongan dengan cara solat dan sabar. Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.

2) Bukan mudah untuk sabar, apatah lagi bila hak kita dinafikan, dirampas ataupun kita dianiaya serta dizalimi.

3) Kerana itu Nabi SAW menyatakan, di antara doa mereka yang dimakbulkan Allah tanpa hijab adalah doa orang yang dizalimi.

4) Lihatlah mereka yang ditindas, biasanya hanya mampu berdoa agar Allah membantunya setelah buntu tiada jalan keluar.

5) Namun begitu, sabar juga salah satu cara untuk memohon pertolongan kepada Allah. Dengan sabar, kita mengawal diri kita untuk membalas, meskipun kita mampu. Dengan sabar, kita berjaya mengelakkan dunia jadi haru biru kerana berjaya mengawal kemarahan yang ditiupkan oleh Iblis.

6) Justeru, sabarlah atas dugaan yang menimpa, walaupun kita mampu bertindak balas kerana menghayati pesan Allah-Fasabrun Jamil (Sabar itu lebih indah/baik).



30 September 2010, 21 Syawal 1431 Hijrah,

8.16 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 28 September 2010

Usah berbangga dengan amalanmu!



1) Tidak dinafikan, setiap orang rasa bangga bila dipuji, namun terhina bila dikeji.

2) Ada yang mengusahakan kebaikan dan kebajikan, namun pada waktu yang sama sempat diperdaya nafsu dan iblis, mendakwa dirinya telah banyak beramal bakti.

3) Lalu dicanangkan, bahawa dialah terbaik, sedangkan orang lain tidak seperti dirinya.

4) Ada ungkapan hikmah " Binasalah seseorang, kecuali bila berilmu, binasalah yang berilmu kecuali beramal, binasalah yang beramal kecuali yang ikhlas".

5) Justeru, ikhlas pra syarat utama diterima sesuatu amalan. Tiada gunanya hebat beramal, namun berbangga dan riya' dengan apa yang diusahakan. Dia mahu dirinya disebut orang dan dipuja melangit, sehingga lupa segala pujian hanya berhak bagi Allah SWT, yang telah mengurniakan segala kelebihan yang ada pada dirinya.

6) Moga kita terhindar dar sifat mazmumah yang boleh merosakkan pahala amalan yang dibuat. Kenanglah pesan Saidina Ali k.w. " Satu kebaikan yg kamu buat tapi kamu berbangga dengannya, kurang martabatnya berbanding seorang yang jahil melakukan maksiat, kemudian diberikan Allah hidayah dan dia bertaubat. Kita mungkin baru dibuka pintu taat, tapi belum tentu dikurnia pintu maqbul ".



28 September 2010, 19 Syawal 1431 Hijrah,

9.44 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 27 September 2010

Berkesankah didikan Ramadhan ke atas kita?



1) Ramadhan baru 18 hari meninggalkan kita, namun lagak kita seolah-olah sudah lama kita meninggalkan Ramadhan.

2) Jika di bulan Ramadhan, kita mampu khatam 30 juzu' al-Qur'an, walau bagaimanapun di bulan Syawal ini, kita kembali malas membaca dan menelaah al-Quran, meskipun hanya sehelai muka surat lantaran alasan sibuk dan tidak sempat.

2) Jika Ramadhan mengajar kita bersikap sabar dengan apa jua makian, hinaan dan sindiran rakan dan musuh, di bulan Syawal ini kita sudah kembali ke tabiat lama-panas baran dan cepat melatah bila ditegur.

3) Andainya Ramadhan menddidik kita menjadi hamba Allah yang pemurah dan suka bersedeqah, meskipun tidak banyak duit yang ada di tangan, namun mengapa di bulan Syawal kita sudah pandai bersikap bakhil dan kedekut?

4) Indahnya Ramadhan pada solat jemaah sunat tarawih dan qiamullail di dinihari, namun mengapa di bulan Syawal kita langsung tidak tergerak menjenguk lagi masjid, bahkan nyenyak berdengkur sehingga waktu Subuh.

5) Ramadhan yang mulia mentarbiah diri menjaga mata, telinga dan hawa nafsu, namun seawal 1 Syawal kita gugur dan tewas dengan bisikan Iblis yang kembali menggoda dan berpadu bersama nafsu, tanpa henti mengajak kita agar sedia normal memaksiati Allah.

6) Berkesankah didikan/tarbiyyah/pengajaran Ramadhan ke atas diri/hati/nafsu/jiwa kita?
Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.



27 September 2010, 18 Syawal 1431 Hijrah,

12.43 tengahari, Malaysia Timur

Jumaat, 13 Ogos 2010

Perginya seorang ulama hebat-Almarhum Ustaz Sonhadji Mohamad




(Gambar kredit kepada www.rudyherman.com)


1) Benarlah janji Allah, setiap yang hidup pasti merasai mati.

2) Namun apa yang lebih mengesankan jiwa kita, apabila mereka yang bergelar alim ulama, seorang demi seorang meninggalkan kita.

3) Yang saya maksudkan ialah Almarhum Ustaz Sonhadji Mohamad yang kembali ke rahmatullah pada pagi semalam. Di dalam hati saya, hanya satu yang terlintas-mulianya Almarhum yang dijemput Allah pada hari kedua Ramadhan.

4) Saya yakin ramai dari kita pernah membaca kitab tafsir beliau yang terkenal iaitu Tafsir al-Qur'an di Radio yang mengandungi tafsir 30 Juzu' al-Qur'an.

5) Meskipun tidak pernah bersua dengan Almarhum, namun saya meyakini betapa Almarhum di antara ulama yang disegani di rantau Nusantara ini.

6) Seingat saya, penyelia saya di Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Zulkifli Yusof membuat kajian tentang metodologi kitab tafsir Almarhum sebagai tajuk tesis PhD beliau.

7) Ternyata, Allah lebih menyayangi Almarhum yang sudah berusia lebih 80 tahun. Dalam hal ini, meningatkan saya bagaimana pesanan Nabi SAW, bahawa Allah akan mencabut nyawa orang yang berilmu di kalangan kamu. Maka, yang tinggal adalah mereka yang jahil dan diangkat menjadi pemimpin. Apabila memberi fatwa atau keputusan, bukan sekadar mereka sesat, bahkan mereka juga menyesatkan orang lain.

8) Moga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Almarhum dan segala jasa budinya diiktiraf sebagai amal soleh. Al-Fatihah.



13 Ogos 2010, 3 Ramadhan 1431 Hijrah

8.25 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 12 Ogos 2010

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Ya Ramadhan Kareem



1) Selamat berpuasa pada semua pengunjung blog ini. Nampaknya benarlah dikatakan Ramadhan bulan berkat dan bulan melimpah ruahnya rezeki.

2) Saya bersyukur kepada Allah kerana pengunjung blog ini bertambah sekali ganda dari bulan biasa, dan saya yakin ianya kerana artikel yang berkaitan dengan Ramadhan yang terdapat di dalam blog ini yang telah saya post berdasarkan tulisan Ustaz Azhar Yahya dalam Risalah Mimbar Ulama. Walaupun telah hampir 3 tahun, namun saya yakin ianya masih relevan buat mereka yang mencari artikel yang sesuai di bulan Ramadhan ini.

3) Alhamdulillah, sehingga saat ini kita masih diberikan peluang untuk Allah bertemu Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Esok lusa belum tentu kita masih hidup, justeru segala masa yang terluang diisi sebaik mungkin dengan amal ibadah. Dan saya pernah menyatakan alangkah baiknya, sekiranya Allah menjemput kita pulang kepadaNya ketika saat kita tekun beribadah.

4) Sesungguhnya tiada bulan lain sehebat Ramadhan. Bahkan Nabi SAW pernah menegaskan, sekiranya umatku tahu betapa besarnya kelebihan Ramadhan, pasti mereka akan mengharapkan sebelas bulan yang lain juga seumpama bulan Ramadhan.

5) Akhir zaman ini, iman kita tidak sehebat para sahabat dan tab'in. Apabila Ramadhan menjelang tiba, mereka sangat bergembira kerana ibarat bertemu kekasih yang sekian lama dirindui. Dan perginya Ramadhan ditangisi mereka. Namun, ada di antara kita yang mengeluh bila Ramadhan tiba,seolah-olah inilah bulan yang menyusahkan kita. Jalan sesak luar biasa lantaran ramai yang pulang awal kerana mengunjungi bazar Ramadhan, bulan di mana produktiviti menurun kerana alasan letih dan penat berpuasa. Bahkan yang lebih malang, ada yang memikirkan apa alasan yang relevan untuk membolehkannya tidak berpuasa.

6) Ingatlah ancaman Nabi SAW-bahawa mereka yang sengaja meninggalkan puasa dan menqadha'nya kembali, nescaya tidak menyamai puasa yang ditinggalkan itu. Selain itu, fenomena biasa di bulan Ramadhan ini adalah bazar Ramadhan. Saya berpesan kepada diri saya dan pengunjung semua, janganlah mata kita lebih besar dari perut, Benar, syaitan telah dirantai namun nafsu masih lepas bebas dan akan mendorong kita melakukan pembaziran yang tidak sepatutnya.

7) Moga Ramadhan kali ini terbaik buat kita dan andaikata ia yang terakhir, moga Allah menerima segala amalan kita di dalam Ramadhan yang mulia ini. Amin.



12 Ogos 2010, 2 Ramadhan 1431 Hijrah

8.19 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 23 Julai 2010

Sketsa minyak, gula dan gas




Oh minyak oh minyak kenapa kau naik harga?

Macam mana aku tak naik, harga aku rendah lagi

Oh minyak oh minyak kenapa kau kata harga rendah lagi?

Banding harga negara jiran


Oh gula oh gula kenapa naik tinggi sangat

Macam mana tak tinggi sangat, elak kencing manis

Oh gula oh gula kenapa telur dan daging tak naik juga?

Bukan urusan aku


Oh gas oh gas kenap kau naik jugak?

Macam mana aku tak naik, minyak gula pun naik

Oh gas oh gas, tak takut ke orang naik minyak?

Jamin harga barang tak naik



23 Julai 2010, 11 Sya'ban 1431 Hijrah,

9.57 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 20 Julai 2010

Dakwah kasih sayang



1) Bukan mudah berdakwah di akhir zaman ini. Meskipun niatnya baik, namun jika salah caranya, akan mengundang pelbagai kritikan malahan fitnah. Apatah lagi kini ramai yang mengaku bijak pandai agama walaupun tiada kelulusan formal mengenainya.


2) Namun begitu ingatan Nabi SAW dalam septong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. begitu menarik perhatian saya "Barangsiapa yang mengatakan masyarakatnya telah rosak, maka dialah paling rosak".

3) Dalam hal ini, Imam Nawawi memberi pandangan bahawa barangsiapa yang merasakan kaumnya telah rosak-serosaknya, sedangkan hanya dia yang belum rosak dan berasa bangga dan ujub, maka orang itu berdosa. Namun jika dia mengatakan demikian, lantaran kurangnya perhatian masyarakat pada agama, maka ia diharuskan dengan syarat sebagai peringatan.

4) Justeru, apapun maksiat yang berlaku kini, wajib kita bersama marah dan berusaha mencegahnya. Walaupun begitu pendekatan dakwah perlu tepat. Utamakan menerang dari menyerang, utamakan membimbing dari menghukum, benci perangai pelaku maksiat tetapi jangan dibenci diri pelaku maksiat itu. Dengan kata lain, dakwah yang penuh dengan sentuhan kasih sayang.

5) Iktibar terbesar sebagai bukti adalah ketika Nabi SAW dilempar batu oleh anak-anak penduduk Taif. Walaupun Nabi SAW boleh menerima tawaran Jibril a.s. untuk menelangkupkan bumi Taif, namun Nabi SAW tidak mahu kerana yakin penduduk Taif akan beriman suatu hari nanti.

6) Bahkan doa yang diungkapkan oleh Nabi SAW "Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengerti", adalah doa yang sangat baik untuk diamalkan oleh setiap daie. Ini kerana ada di kalangan pelaku maksiat terdiri dari kalangan mereka yang jahil dan belum mendapat petunjuk Allah SWT.

7) Kesimpulannya, dakwah akhir zaman ini penuh cabaran dan bukan mudah untuk mengubah sikap seorang insan, kerana ia bergantung kepada dirinya sendiri untuk berubah!



20 Julai 2010, 8 Sya'ban 1431 Hijrah,

1.40 petang, Malaysia Timur

Selasa, 6 Julai 2010

Sukarnya mencari sahabat yang soleh



1) Ungkapan di atas ditegaskan oleh Imam Ghazali Rahimahullah. Ia sewaktu membicarakan pentingnya memiliki sahabat yang soleh-yang boleh mendokong kita bila kita berada di pihak yang benar, dan menegur kita bila melakukan kesalahan.

2) Ini kerana sahabat adalah cerminan kepada diri kita. Lihat bagaimana para sahabat Nabi SAW r.a. yang memiliki akhlak seumpama Nabi SAW.

3) Akhir zaman yang berlaku, kawan makan kawan. Kawan tikam belakang. Kawan khianat kawan, bahkan musuh dalam selimut.

4) Yang berlaku kini, kawan bersama dengan kita dan ampu kita bila kita senang, berpangkat dan berpengaruh. Namun apabila kita susah, miskin, ditimpa bala-ramai yang melarikan diri, bahkan tidak lagi sanggup mengaku kita sebagai kawannya.

5) Justeru berpeganglah dengan sabda Nabi SAW " Sahabat yang baik seumpama penjual minyak wangi, biarpun kamu tidak membeli minyak wanginya, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau minyak wangi yang dijualnya. Sebaliknya, sahabat yang jahat seumpama tukang besi, kalaupun tidak terbakar baju kamu akibat api besi yang diketuk, sekurang-kurangnya kamu mendapat tempias bau hangitnya".

6) Berhati-hatilah memilih kawan di akhir zaman ini. Benarlah kata Imam Ghazali-Sukarnya mencari sahabat yang soleh di akhir zaman ini.



6 Julai 2010, 23 Rajab 1431 Hijrah,

8.01 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude