Rabu, 10 Mac 2010

Manusia dalam keadaan susah payah



1) Malam tadi saya sempat terbaca tentang tafsir ayat ke-4, surah al-Balad yang bermaksud " Sesungguhnya kami menciptakan manusia itu berada dalam keadaan susah payah".

2) Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menerangkan bahawa, manusia sememangnya mengalami kesusahan sejak awal kelahiran, menghadapi pelbagai kesusahan sewaktu hidup di atas dunia, kesusahan sewaktu di alam barzakh dan kesengsaraan ketika berada di alam akhirat.

3) Namun begitu, para ulama juga mengulas ia merupakan motivasi kepada Nabi SAW yang perlu bersabar dalam menghadapi pelbagai kesukaran dalam menyampaikan dakwah Islam.

4) Benar, untuk berjaya kita perlu menempuh jalan sukar. Amat sedikit mereka yang berjaya dengan sekelip mata. Lazimnya, setelah berusaha dengan segala kemampuan kita, kita beroleh kejayaan.

5) Justeru, bagi mereka yang hanya mengharap kejayaan datang bergolek, perlu dilupakan niat sebegitu. Perhatikanlah mereka yang berjaya hari ini, khususnya Nabi SAW, perlu melalui pelbagai rintangan sehinggalah akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

6) Moga ayat ini menjadi iktibar buat kita.



10 Mac 2010, 24 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

9.35 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 8 Mac 2010

Masih ada cahaya buat Pakatan Rakyat



1) Rumah api di tepi lautan sangat bermakna buat kapal yang berlayar. Tanpa rumah api, mungkin kapal akan tersasar haluannya.

2) Pakatan Rakyat juga ibarat sebuah kapal yang terdapat 3 penumpang besar di dalamnya-PAS-PKR-DAP.

3) Ada kalanya kapal PR ini terpaksa menempuh gelora dan badai yang ganas. Jika teguh, kapal dapat berlayar dengan baik, jika tidak pastinya akan karam.

4) PKR antara parti baru dan sentiasa digugat oleh musuh. Justeru, tidak hairan apabila PKR menjadi sasaran musuh, lantaran ahlinya yang ada di antaranya belum teruji dengan pelbagai konflik dalaman parti.

5) Secara umum, meskipun media massa memomokkan Pakatan Rakyat gagal setelah 2 tahun memerintah, rakyat pasti dapat menilai sedikit sebanyak perbezaan di antara kerajaan ditabdir BN dan PR.

6) Bahkan, tidak adil jika dibuat perbandingan BN telah memerintah hampir 50 tahun, sedangkan PR baru beberapa tahun memerintah-tidak termasuk Kelantan yang telah diperintah oleh PAS hampir 20 tahun.

7) Rakyat pastinya masih memberikan harapan buat PR. Mereka yang keluar parti, pastinya dilihat sebagai mereka yang tidak berpendirian. Dan saya yakin masih ada cahaya buat Pakatan Rakyat, selama mana ia tidak mensia-siakan harapan rakyat dan melakukan yang terbaik demi rakyat.


8 Mac 2010, 22 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

12.05 tengahari, Malaysia Timur

Khamis, 4 Mac 2010

PKR di ambang bahaya atau proses pemulihan?

1) Satu demi satu ahli PKR samada yang memegang amanah sebagai MP atau ADUN keluar parti.

2) Sekali pandang, PKR bakal menuju kehancuran.

3) Namun, apabila diteliti mungkinkah ini suatu proses pemulihan di dalam PKR?

4) Saya yakin, rakyat boleh menilai perkara ini. Bagi mereka yang celik, keluarnya beberapa individu dari PKR, mungkin kerana jati diri perjuangan yang belum teguh dan tergoda dengan pelbagai tawaran di luar parti.

5) Bagi mereka yang sekali pandang,PKR di ambang bahaya.

6) Anwar Ibrahim perlu cekap dalam menghadapi situasi terkini PKR. Sebarang decision making yang salah, bakal memberi kesan yang besar kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

7) Justeru, kita dapat melihat betapa sepak terajang politik ini sangat unik. Hanya mereka yang mempunyai azam yang teguh, jati diri yang kental dan hala tuju perjuangan yang jelas, dapat beristiqamah di atas landasan kebenaran.


4 Mac 2010, 18 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

8.56 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 1 Mac 2010

al-Fatihah buat arwah Wajdi Mayusoh


(Gambar dari blog arwah-Ibnu Mayusoh.blogspot.com)

1) Saya terkejut bila menerima SMS dari beberapa sahabat, yang memaklumkan sahabat yang pernah saya kenal di UM dahulu, meninggal dunia akibat kemalangan di Gua Musang.

2) Yang dimaksudkan adalah arwah Wajdi Mayusoh yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Mahsiswa Kelantan UM tahun 2000.

3) Sepanjang persahabatan dengan arwah, dikenali arwah sebagai seorang yang ceria, mudah tersenyum, tekun bila diberikan tugasan dan sanggup mempertahankan kebenaran bila Islam dicabar.

4) Walaupun tidak serapat mana, namun saya mengenang arwah sebagai seorang yang ringan tulang, dan tiada banyak alasan bila dimohon pertolongan.

5) Beliau juga pernah berkhidmat dengan Harakah, dan semalam adalah tugas baru arwah untuk mengajar di sebuah sekolah di Gua Musang selepas menamatkan KPLI.

6) Meninggalkan seorang balu dan seorang anak, pemergian beliau pasti amat dirasai oleh mereka yang terdekat dengan arwah. Kematian beliau dalam perjalanan untuk menyampaikan ilmu kepada anak murid di sekolah, diharapkan merupakan jemputan kemuliaan Allah yang lebih menyayangi beliau, yang baru berusia sekitar awal 30-an.

7) Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan takziah buat keluarga arwah. Berita tentang kejadian kemalangan boleh dibaca di Utusan Malaysia hari ini-2 guru terbunuh di Gua Musang akibat mengelak sekumpulan lembu dan dirempuh bas.



1 Mac 2010, 15 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah,

2.49 petang, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude