Jumaat, 19 Jun 2009

Siapakah Sisters in Islam-Bhgn 2

a) Islam dan Poligami
Berdasarkan ayat 3, Surah al-Nisa’ yang bermaksud : “ Jika kamu takut tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinilah olehmu perempuan yang baik bagimu; dua,tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja. Yang demikian itu lebih dekat(untuk mencegah)supaya kamu tdak melakukan kezaliman.”

Justeru, SIS menentang sekeras-kerasnya amalan poligami pada masa kini kerana rata-rata suami tidak berlaku adil terhadap istei-isteri dan anak-anaknya. Perkahwinan yang sempurna di dalam Islam ialah monogamy. SIS juga mencadangkan supaya diadakan ta’liq nikah sebagaimana yang telah dilakukan di Syria, Jordan dan Iran. Penambahan tersebut ialah kenyataan tidak berpoligami setelah berkahwin dengan isteri pertama bagi melindungi wanita berkenaan. Pasangan tersebut boleh memilih samada hendak menggugurkan kenyataan tersebut pada masa akan datang atau tidak.



Bilangan isteri lebih dari satu dan hikmahnya.

Menurut Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam mentafsirkan ayat 3 surah al-Nisa’ menjelaskan beberapa larangan dan tanggungjawab besar yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki kepada hak-hak perempuan yatim dan wanita.[1] Di sinilah hikmah poligami dan kepentingannya yang perlu dinilai secara positif sebagai alternatif untuk menyelesaikan permasalahan yang ada. Perlu diingatkan kepada golongan lelaki yang ingin berpoligami, perkara ini bukanlah boleh dilaksankan sewenang-wenangnya kerana ia adalah hukum Allah dan ia merupakan persoalan yang akan ditanya di akhirat nanti.

Ternyata kenyataan SIS yang menyatakan perkahwinan paling sempurna ialah monogamy agak emosional dalam membela wanita dengan menggunakan kekuatan hermeneutik(mengkaji konteks sosio-sejarah wahyu Tuhan secara menyeluruh dan ayat-ayat al-Qur’an yang berkenaan, meneliti struktur sintaksis dan gubahan nahu teks dan meneliti keselruhan teks bagi memahami perspektif duniawinya). yang digabungkan dengan hak-hak wanita dalam perkahwinan menurut undang-undang kekeluargaan Islam di Malaysia.

Adapun soal poligami atau berkahwin lebih dari satu isteri sehingga empat isteri dibenarkan oleh syariat Islam, dengan syarat bersikap adil terhadap isteri tampa cenderung kepada salah satu dari mereka.[2] Sungguhpun demikian Islam tidak mewajibkannya atau menggalakkannya atau ‘sunat’. Ia mengandungi muslihat kemasyarakatan dan melindungi wanita dari keganasan. Pengharaman poligami di negeri-negeri Barat telah mengakibatkan berkembangnya perzinaan, pelacuran dan bersekedudukan tanpa nikah di antara lelaki dan perempuan.




Keharusan poligami ini dinyatakan dengan jelas didalam al-Quran, firman Allah:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا(3)

Ertinya: “Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang senangi, dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah ) seorang sahaja”.(Ayat 3, Surah al-Nisa’)

Firman Allah lagi dalam Surah al-Nisa’:
وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا(129)

Ertinya: “ Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil diantara isterimu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung ( kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung.(Ayat 129, Surah al-Nisa’)

Perlu dinyatakan bahawa poligami merupakan satu peraturan untuk menghadapi keadaan darurat dan bukannya peraturan pokok dalam ajaran Islam. Apa yang dituntut dalam poligami ialah keadilan dan kesaksamaan yang sulit dilaksanakan. Di samping itu poligami diwujudkan demi menghindarkan akibat buruk yang menimpa bagi perkahwinan dengan seorang isteri sahaja. Umpamanya sebab berlakunya peperangan, kemandulan isteri dan isteri yang selalu sakit yang menghalangi hubungan seks, dan bilanan perempuan jumlah bilangan perempuan lebih ramai dari lelaki, dan untuk mengerat dan merepatkan kedua keluarga isteri pertama dan kedua dan untuk menanbahkan zuriat dan keturunan. Inilah garisan berpoligami yang dikehendaki oleh ajaran Islam.[3]

Selain dari itu bertujuan untuk membela nasib anak-anak yatim yang kehilangan ayah, lalu mengahwini ibunya dan dijadikan ibunya sebagai isteri, sepertimana yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat di zaman Nabi saw, ataupun didapati seorang perempuan yang memeluk agama Islam, dan tiada tempat pergantungan, serta berkemampuan untuk mengahwini perempuan lebih dari satu dari segi harta, kasih sayang, keadilan, saksama dan sebagainya.[4]

Harus kahwin lebih dari satu tanpa izin dari Qadi

Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih dari satu dalam satu masa dan tidak lebih dari empat, berdasarkan nas al-Quran didalam surah al-Nisa’ayat 3 dan juga pendapat ulama’ Tafsir dan Fiqh tanpa khilaf.[5] Ulama’ bersepakat mengatakan boleh berpoligami tanpa meminta persetujuan dari Qadi. Keputusan ini telah dipersetujui oleh semua ulama’, semasa mereka mengadakan muktamar Majma’ al-Buhuth al-Islamaiyyah kali kedua di Kaherah pada tahun (1385 H) bersamaan dengan (1965 M) berkaitan dengan poligami.Mengikut keputusan mereka yang telah ditetapkan ialah seperti berikut:[6]

بشأن تعداد الزوجات، يقرر المؤتمر أن تعدد الزوجات مباح بصريح نصوص القرآن
الكريم وبالقيود الواردة فيه وأن ممارسة هذا الحق متروكة إلى تقدير الزوج، ولايحتاج إلى إذن القاضي"..
Ini adalah berdasarkan Syariat Islam, berbeza dengan apa yang telah diamalkan di Malaysia sekarang, iaitu suami yang ingin berpoligami hendaklah meminta kebenenaran terlebih dahulu dengan isteri pertama. Walau bagaimanapun undang-undang yang diamalkan ini berdasarkan kepada kaedah Usul Fiqh iaitu: ( المصالح العامة maslahah ammah, yang meliputi dua bahagian iaitu :
a) Jalb al-Manafi‘(Membawa manfaat)
b) Dar al-Mafasid (Menolak kerosakan)[7]
Ini penting demi menjaga keharmonian rumah tangga keluarga Islam, terutaman banyak berlaku kes rumahtangga, suami tidak bertanggungjawab, tidak memberi keadilan saksama terhadap isteri-isteri, berlaku perceraian dan sebagainya.

Hak Kemasyarakatan
Tidak dapat disangkal lagi bahawa wanita muslimah kini di tengah-tengah dua kecenderungan dan kekuatan.

Pertama: Kekuatan yang mendorong kepada kebaikan, Sehingga mereka memperjuangkan kebaikan itu serta memerangi kejahatan dan kemungkaran.
Kedua: Ialah yang mendorong wanita keluar daripada identiti kewanitaan demi mengejar apa yang dikatakan ‘kemajuan’ dan ‘kemodenan’ yang dianjurkan oleh Barat. Akhirnya mereka melaksanakan perlakuan dan tindakan yang dimurkai oleh Allah. Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan mengembalikan kedudukan wanita memainkan peranan yang sejajar dan serasi dengan syariah dan cara hidup Islam. Dalam mengembalikan kedudukan wanita Islam ini maka hendaklah dijelaskan aspek-aspek ibadah dan muamalat Islam yang boleh diceburi oleh wanita. misalnya dalam bab bersuci aurat wanita muslimah, hukum perkahwinan, hudud, hinggalah kepada hak-hak berpolitik dan menegakkan syariah Islam. Adapun ciri-ciri yang menonjol dari hak sosial wanita Islam ialah kewajipan mereka berhijab, purdah atau menutup aurat dalam konteks pergaulan mereka di tengah-tengah masyarakat.[8]

[1] Ibn Jarir al-Tabari, op.cit, Jil.3, hlm. 573-582
[2] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Durr al-Manthur fi Tafsir bi al-Ma’thur. Jil,2.hlm.428-430. Dar al-Fikr, 1973.
[3] Fadzullah Haji Syuib, Wanita menurut Syariah Islam, hlm,53-54. Penerbitan Saiful Azanis: Kuala Lumpur, 1987.
[4]Dr. Abd al-Karim Zaidan op.cit, hlm.287
[5] lihat Tafsir al-Razi; j,9. hlm.175- Tafsir Ibn Kathir,j.1. hlm.450. – Tafsir al-Qurtubi. J,5. hlm.12-18. – Al-Mughni, j,6.hlm.539.
[6] Dr.Abd al-Karim Zaidan, (1993) op.cit. hlm. 293
[7] Prof.Dr.Amir Syarifuddin, Usul Fiqh, Juz.2, hlm. 208, Logos Wacana Ilmu, Jakarta.
[8] Fadzlullah Haji Syuib, op.cit hlm. 54.


a) Isu Murtad

Adakah patut Malaysia mengadakan undang-undang yang menghukum orang-orang Islam yang meninggalkan agama mereka? Enakmen Hudud Kelantan mengenakan hukuman mati ke atas orang-orang yang murtad. PAS sudah bertahun-tahun mencuba untuk membentangkan di Parlimen supaya orang murtad dihukum mati. SIS tidak bersetuju dengan apa jua usaha yang menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seseorang Muslim berdasarkan ayat 256, Surah al-Baqarah yang bermaksud “ Tidak ada paksaan dalam agama”

Menurut sebab nuzul ayat madaniah di atas ia diturunkan setelah beberapa para sahabat Nabi saw meminta kebenaran untuk memaksa saudara masing-masing memeluk Islam. Sebahagian besar pendapat mentafsir ayat ini bermaksud kita tidak boleh memaksa seseorang pun untuk memeluk Islam. Justeru, kebebasan beragama semestinya mengiktiraf kebebasan menukar agama. Bagaimanakah orang-orang Islam boleh menuntut kebebasan agama untuk mereka yang ingin memeluk Islam sementara pada masa yang sama memegenag pendirian yang menidakkan kebebasan bagi mereka yang ingin keluar dari Islam? Tambahan pula, al-Qur’an dalam kira-kira 20 ayat mengenai keimanan dan kekufuran tidak menguntukkan apa-apa hukuman duniawi bagi keslahana murtad.
Sehubungan itu, SIS menyarankan agar kerajaan mengambil pendirian yang berprinsip yang menghormati hak kebebasan beragama seperti yang dituntut dalam al-Qur’an seperti yang dicerminkan oleh Fasal 11 Perlembagaan persekutuan dan Fasal 18 Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia.


Kesalahan Murtad Menurut Islam

Ternyata SIS sekali lagi menggunakan ayat yang sama sebagai hujah dalam menentang perlaksanaan hukum bunuh kepada jenayah murtad. Imam Ibn Kathir sememangnya menjelaskan berkaitan ayat tersebut dengan mengatakan tidak boleh memaksa seseorang memeluk Islam kerana hanya Allah yang akan memberikan hidayah kepada seseorang. Bahkan tidak berguna jika seseorang itu masuk Islam kerana terpaksa.[1] Namun demikian ayat ini tidak boleh dijadikan hujah untuk mengiktiraf kebebasan menukar agama sewenang-wenagnya. Dr.Yusuf al-Qaradhawi menyatakan Islam sememangnya menghormati hurriyah al-fikri (kebebasan berfikir) dan bukannya hurriyah al-kufri (kebebasan untuk kufur). Ini adalah kerana seseorang yang murtad telah menyatakan suatu cabaran terbuka kepada Allah bahawa Islam yang Allah telah pilih sebagai agama untuk hambaNya seolah-olah bukanlah agama yang sebenar yang patut ia hidup dan mati bersamanya.[2]

Allah juga melalui prinsip Hifzu al-Din, memerintahkan melalui RasulNya supaya dikenakan hukuman ke atas mereka yang meninggalkan agam Islam secara rela. Dalam sebuah hadith daripada Ibn Abbas r.a katanya: Sabda Rasulullah saw “ Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia” (Riwayat Bukhari). Selain itu sebuah hadith lain berkenanan hukuman bunuh kepada jenayah murtad ialah “ Tidak halal darah seseorang yang mengucap bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya aku Rasul Allah kecuali kerana 3 perkara: Lelaki yang sudah berkahwin yang berzina, nyawa dengan nyawa dan tinggal agama berpisah daripada jemaah Muslim.(Muttafaq ‘Alaih)

Jumhur ulama’ sepakat tentang hukum murtad adalah bunuh. Peristiwa pembunuhan ke atas golongan murtad juga ada dicatatkan di dalam sejarah seperti peristiwa hukum bunuh yang dilaksanakan oleh Abu Musa dan Muaz terhadap Yahudi di Yaman yang memeluk Islam kemudian murtad, selanjutnya Muaz memberitahu orang ramai ini adalah hukum Allah dan RasulNya.


Dr. Abdul Hayei Sukor dalam menyatakan pandangan beliau tentang hukum murtad yang dianggap keras oleh sesetengah pihak dan bertentangan dengan toleransi Islam, beliau menimbulkan persoalan bolehkah dianggap kebebasan yang patut diberi kepada seseorang, jika setelah memeluk Islam, ia tiba-tiba meruntuhkan bangunan Islam, tempat orang ramai berteduh sebelum kedatangannya atau dengan kata lain, apakah kebebasan beragama itu bermaksud bebas keluar masuk, bebas mengganas dan mengancam keselamatan orang lain? Bolehkah dianggap sesuatu kebebasan bagi seseorang yang terang-terang berpihak kepada musuh dan memburukkan negaranya sendiri.[3]

Jika ada orang mengaku beriman kepada Allah, tetapi menolak beriman kepada hari Akhirat, atau percaya kepada Allah tetapi menolak kerasulan Nabi saw, atau ia beriman kepada al-Qur’an tetapi menolak hadith-hadith yang disahkan daripada Rasulullah saw seperti beberapa penulis yang mengaku murtad atau dengan terang-terang menghina Islam, apakah sikap ini dianggap masih setia kepada Islam, apakah mereka masih dianggap jujur dengan Islam sehingga hak-haknya masih terpelihara sebagai seorang muslim?

Justeru, setelah menilai persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Sisters In Islam, maka penulis amat berharap agar suatu penjelasan semula dapat diberikan kepada masyarakat supaya mereka tidak terkeliru dengan golongan-golongan sebegini.
[1] Abu Fida’ Isma‘il Ibn Kathir, op.cit. hlm. 274, Jil. 1.
[2] Hanipa Maidin, Menjawab Tuduhan Terhadap Hukum Hudud, Nufair Street, hlm. 69, 2003.
[3] Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor, Islam Dalam Sabda, hlm. 581, al-Amani Publishers, 2003



Diulang terbit pada 19 Jun 2009, 25 Jamadil Akhir 1430 Hijrah

8.33 pagi, Malaysia Timur

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude