Isnin, 9 Jun 2008

Inflasi: Pakar ekonomi bimbang


KUALA LUMPUR 8 Jun - Kadar inflasi di negara ini yang diunjurkan lima peratus bulan ini dan 4.2 peratus pada tahun ini, boleh melonjak tinggi jika kerajaan gagal memberikan tumpuan betul terhadap kenaikan harga makanan terutama barang kawalan.

Keadaan dilihat bakal memburuk sekiranya harga minyak meningkat lagi selepas menyaksikan kenaikan tertinggi dalam sehari sebanyak AS$10.75 kepada rekod baru AS$138 setong di New York pada Jumaat lalu, daripada paras rekod AS$135 setong sebelum ini selepas Israel menggugut untuk menyerang Iran sekiranya meneruskan program senjata nuklearnya.

Menurut pakar-pakar ekonomi tempatan, peningkatan kadar inflasi tidak dapat dielakkan kerana minyak yang dinaikkan harganya merupakan sumber asli terpenting dalam menggerakkan keseluruhan ekonomi Malaysia.

Kerajaan pada 4 Jun telah mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen seliter dan diesel RM1 seliter dalam usahanya menstruktur semula pakej subsidi negara.

Mereka menambah, petrol dan diesel merupakan bahan api paling banyak digunakan untuk tujuan pengangkutan di Malaysia pada kadar 60 peratus.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, negara mempunyai rekod baik dalam mengekang kadar inflasi selama 30 tahun tetapi kali ini Malaysia pasti tidak dapat lari cengkaman inflasi.

''Ini kerana, kenaikan harga minyak kali ini agak tinggi dan sudah pasti mengakibatkan pelbagai kos bertambah terutama membabitkan sektor pengangkutan yang terlibat secara langsung dalam ekonomi negara.

''Dengan kenaikan yang diumumkan ini, Malaysia diunjurkan berdepan dengan kenaikan inflasi sebanyak empat peratus tahun ini,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Fauzi menambah, kawalan terhadap harga makanan perlu diutamakan kerana kenaikannya yang seiring dengan kenaikan harga minyak berupaya untuk melonjakkan kadar inflasi, tambahnya.

Beliau menjelaskan rakyat di negara ini membelanjakan 36 peratus pendapatan untuk makanan dan kenaikan harga minyak mengakibatkan peruntukan perbelanjaan itu meningkat kepada 50 peratus.

''Ini bermakna kos sara hidup semakin tinggi dan cara untuk membantu meringankan kehidupan rakyat adalah memastikan semua 21 barangan kawalan dijual pada harga dibenarkan.

Beban''Dengan cara ini, biarpun berdepan dengan peningkatan kos-kos lain ia tidak melibatkan persaingan dengan kos makanan, sekali gus boleh mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,'' jelas beliau.

Seorang lain pakar ekonomi tempatan, Datuk Zainal Aznam Yusoff berkata, kerajaan kini perlu bekerja lebih keras untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar bagi mengurangkan kadar inflasi.

Beliau yang merupakan bekas penasihat ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM), berkata, rakyat kini bukan sahaja dibebani dengan kenaikan harga minyak yang bakal mengakibatkan peningkatan kos-kos lain tetapi juga kenaikan tarif elektrik.

Zainal Aznam berkata: ''Dalam keadaan sekarang, sekiranya ekonomi negara gagal diurus dengan berhati-hati, kadar inflasi boleh melonjak tinggi.''

''Sebenarnya, kenaikan inflasi yang diunjurkan oleh BNM sebanyak 4.2 peratus tahun ini, sudah cukup besar kerana 30 tahun lalu kadar itu berlegar antara satu hingga 2.5 peratus sahaja.

Bagaimanapun, seorang pakar ekonomi lain, Tan Sri Ramon Navartnam yakin bahawa peningkatan kadar inflasi boleh ditangani sekiranya harga makanan kawalan dipantau secara serius.

Katanya, kadar inflasi biasanya diukur berdasarkan sekumpulan barangan yang meliputi makanan yang mewakili peratusan terbesar sebanyak satu pertiga, pengangkutan, sewa kediaman, utiliti dan perkhidmatan.

''Sekiranya kawalan harga makanan dibuat secara betul, saya percaya inflasi boleh dikawal,'' tambah Ramon lagi.

Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa unjuran peningkatan inflasi yang tinggi akan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga barangan dan kos.

Ramon mencadangkan supaya kerajaan mengasingkan kaedah pengukuran kadar inflasi di bandar dan juga luar bandar supaya gambaran yang lebih tepat dan jelas diperoleh.

''Kaedah satu ukuran untuk bandar dan luar bandar yang diguna pakai sekarang adalah kurang tepat kerana kadar inflasi di bandar selalunya adalah lebih tinggi daripada luar bandar,'' jelas beliau lagi.

Potong Elaun Menteri tidak rasional-Shahir Samad

PULAU PINANG 8 Jun - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan cadangan untuk memotong elaun yang dinikmati oleh menteri adalah tidak rasional.

Sepatutnya, kata beliau, cadangan untuk menjimatkan wang kerajaan perlu difokuskan kepada aspek rasional dan bukan disebabkan oleh perasaan marah kepada menteri.

''Kalau potong elaun menteri-menteri, tidak sampai RM1 bilion pun. Kalau elaun menteri sampai berbilion, saya rasa ada kesan.

''Jangan buat sesuatu kerana kita marah. Kita fokus pada yang rasional. Kalau buat cadangan yang rasional pun, baru ada kesannya tapi bukan sebab rasa geram dengan menteri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas supaya elaun yang dinikmati menteri dipotong sebagai salah satu langkah penjimatan wang kerajaan.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, berikutan peningkatan harga barang keperluan kini, langkah berjimat cermat sepatutnya tidak hanya diamalkan rakyat tetapi turut diikuti pemimpin kerajaan.

Aspek penjimatan wang kerajaan, kata Shahrir, telah dimulakan oleh menteri-menteri sebelum ini lagi malah beliau sendiri telah mengarahkan supaya perbelanjaan untuk acara-acara yang dianjurkan oleh kementeriannya dikurangkan.

''Sebelum ini pun, kalau majlis sendiri (kementeriannya) kita tidak perlu bagi cenderamata kepada menteri. Buat sederhana sahaja selain mengurangkan seminar dan perjalanan dalam usaha berjimat cermat," katanya.


Kakitangan awam dilarang kerja sambilan-Noraini

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.

Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.

‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.

Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.

Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.

Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.

Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.

‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.


MTUC rancang piket

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menggerakkan piket jika tuntutan mereka untuk mendapatkan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) RM300 sebulan tidak mendapat layanan sewajarnya.

Timbalan Presidennya, Mohd. Khalid Atan berkata, tindakan itu dibuat kerana MTUC sudah tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan oleh kerajaan berhubung isu tersebut.

Katanya, golongan pekerja kini hidup dalam keadaan tertekan berikutan peningkatan harga minyak sebanyak 40 peratus dan barang keperluan lain yang setakat ini dilihat mencecah 30 peratus.

"Bagaimanapun, kami akan beri peluang dahulu kepada kerajaan kerana MTUC merancang untuk bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan isu COLA dalam bulan ini.

"Kami mahukan sesuatu yang positif kerana selama ini semua tuntutan kami tidak ditunaikan dan hanya diberikan gambaran yang samar-samar sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, hampir 50 peratus ahli dalam MTUC mendapat gaji di bawah garis kemiskinan kebangsaan dan kenaikan harga minyak baru-baru ini semakin membebankan mereka.

Sehubungan itu, katanya, tidak sukar untuk MTUC menarik kira-kira 800,000 golongan pekerja di negara ini untuk menyertai piket berkenaan.

Tambah Mohd. Khalid, pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia dirancang diadakan penghujung bulan ini dan jika tuntutan mereka gagal dipenuhi, Majlis Am MTUC akan bertemu bagi memutuskan langkah lanjut termasuk mengumumkan piket terbesar di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengatakan ia tidak mampu berbuat apa-apa kerana sebagai kerajaan, ia pasti ada kuasa dan kelebihan untuk menguatkuasakan COLA wajib dibayar oleh setiap majikan.

Jelasnya, permintaan MTUC itu bukan sekadar untuk pekerja swasta di negara ini sahaja tetapi juga untuk kebajikan anggota-anggota sektor awam yang turut bergabung dengan MTUC.

Ulasan : Di saat penganalisis ekonomi melahirkan kebimbangan kerana inflasi yang akan naik mendadak, Menteri KPDNHEP ternyata mengesahkan bahawa para Menteri tidak sanggup berkorban. Biarlah yang dipotong elaun itu tidak sampai 1 billion pun, janji potong ! Inikah yang dikatakan "Selamat, Aman dan Makmur"?-hanya rakyat yang disuruh berjimat, sedangkan yang di atas lena diulit kemewahan. Memang kena sangat apa yang ditulis oleh Mufti Perlis. Pada waktu yang sama, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia pula tidak membenarkan kakitangan awam khasnya kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan. Kalau hampir 2/3 dari gaji bulanan dibelanjakan untuk petrol/diesel, apa lagi yang tinggal untuk simpanan? Dan buat MTUC, saya menyokong tindakan anda semua demi kebajikan pekerja dalam sektor swasta. Moga Allah membantu kita semua dalam keadaan yang serba gawat kini.



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude