Rabu, 19 Mac 2008

Mukhriz: Tiada tindakan


KUALA LUMPUR 18 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan mengambil tindakan terhadap Datuk Mukhriz Mahathir yang menulis surat menuntut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri atas alasan surat itu bersifat peribadi.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dicapai selepas pergerakan tersebut mendengar sendiri penjelasan daripada Mukhriz semasa mesyuarat Exco Pemuda UMNO hari ini.

‘‘Kita sudah mendengar penjelasan Mukhriz. Kita tidak akan mengambil tindakan kerana surat itu bersifat peribadi.

‘‘Surat itu juga telah dihantar khusus kepada empat atau lima orang pemimpin dan Mukhriz juga bukan pihak yang membocorkan surat itu kepada umum,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mesyuarat selama tiga jam setengah itu membincangkan analisis keputusan pilihan raya umum pada 8 Mac lalu selain beberapa isu semasa yang berkaitan dengan Pergerakan Pemuda.

Rabu lalu, Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pergerakan itu menulis surat kepada Abdullah memintanya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Tambah Hishammuddin, beliau gembira kerana semua Exco Pemuda memberi pandangan mereka semasa mesyuarat dan ia memberi tanda kebangkitan semula pergerakan itu walaupun beberapa calonnya tewas pada pilihan raya baru-baru ini.

‘‘Saya gembira semua berucap. Semua sudah meluahkan apa yang terpendam. Kita juga sudah menerima laporan daripada setiap peringkat mengenai prestasi semasa.

‘‘Kita tidak keseorangan. Jangan putus asa. Ini masa untuk kita tunaikan semua janji kepada rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, Pemuda akan mengenal pasti punca kekalahan dalam pilihan raya dan mengadakan perbincangan termasuk di peringkat cawangan.

Beliau juga mahu semua pihak berhenti daripada menuding jari menyalahkan orang lain termasuk Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang dikatakan menjadi punca kekalahan banyak calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

‘‘Semua pihak bertanggungjawab. Semua orang memikul tugas parti. Tidak guna kita menjadi Yang Berhormat kalau parti sentiasa diperlekehkan,” katanya.

Ditanya kemampuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi beberapa kerusi pada pilihan raya umum lalu, Hishammuddin berkata, Pemuda tidak akan ambil mudah dengan pembangkang dan tidak akan takbur dengan mereka.

‘‘Pembangkang semasa pilihan raya lepas umpama ‘nyawa-nyawa ikan’ tetapi dalam keadaan macam itu pun, mereka masih boleh hidup,’’ jelasnya.


Pak Lah sangkal undi tidak percaya terhadapnya

PUTRAJAYA 18 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyangkal khabar angin kononnya wujud rancangan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya, malah beliau yakin mendapat sokongan padu daripada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil meminta segala dakwaan liar mengenai perkara itu dihentikan, Abdullah berkata: “Apa yang saya ketahui ialah saya telah diberi mandat dan saya masih ada di sini. Saya percaya ia merupakan satu mandat yang kuat di mana kita hanya kekurangan lapan kerusi untuk memperoleh mandat majoriti dua pertiga.

“Saya juga mempunyai hubungan yang terbaik dengan Najib, kenapa anda tanya soalan itu?”

Bercakap pada sidang akhbar mengumumkan barisan Kabinet baru di sini hari ini, Perdana Menteri memberitahu, ada orang sanggup membuat bermacam-macam tuduhan.

Abdullah mengulas spekulasi kemungkinan berlaku undi tidak percaya terhadap beliau serta cakap-cakap konon hubungannya dengan Najib berada dalam keadaan ‘tidak baik’.

Persoalan itu ditimbulkan oleh seorang pemberita kerana Najib tidak mengiringi Abdullah pada sidang akhbar hari ini sedangkan ketika barisan Kabinet diumumkan pada 2004, Najib turut berada di sisi Perdana Menteri.

Ditanya mengenai perkara itu, Abdullah menjelaskan, Najib masih belum menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sehingga beliau mengangkat sumpah esok.

“Kamu terlalu berprasangka,” katanya kepada pemberita.

Hubungan baik antara beliau dan timbalannya itu terbukti apabila Abdullah mempertahankan Najib ketika beliau ditanya mengapa Timbalan Presiden UMNO itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan pembangkang melemparkan pelbagai kritikan dan mengaitkannya dengan kes rasuah.

Abdullah menegaskan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan Najib terlibat dengan kes rasuah.

Malah, katanya, beliau telah mendapatkan maklumat terkini daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai latar belakang semua anggota Kabinet yang diumumkan hari ini.

“Orang nak tuduh macam-macam, itu anda sendiri tahukan. Malah saya pun tidak bebas daripada dituduh macam-macam.

“Apa yang penting ialah tidak ada sebarang bukti. Orang boleh bercakap tentang adanya enam atau tujuh kotak bahan bukti tetapi faktanya memang tidak ada bukti,” kata Perdana Menteri.

Ulasan : Apa stand Pemuda Umno sebenarnya? Kes Mukhriz diserahkan balik kepada PM. Sedangkan sebelum ini, PM meminta Pemuda Umno mengambil tindakan. Atau Pemuda Umno merestui tindakan Mukhriz dan secara tidak langsung memberikan isyarat supaya Pak Lah berundur? Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude