Sabtu, 22 Mac 2008

Kenali Menteri Penerangan yang baru


KUALA LUMPUR 21 Mac – Kementerian Penerangan akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog dalam masa terdekat bagi mendekati dan memahami golongan penggerak media alternatif itu.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah tidak wajar bagi pihaknya untuk mengenepikan penulis blog kerana mereka juga mempunyai peranan tersendiri dalam membina negara.

Katanya, blog telah dijadikan medium oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan secara terus kepada kerajaan walaupun ada kalanya boleh menimbulkan perkara negatif.

“Amat perlu untuk (Kementerian Penerangan) memahami mereka dengan lebih dekat, ini prinsip keterbukaan yang saya rasakan tidak boleh kita hindari.

“Walaupun ada kalanya cara penyampaian mereka boleh menimbulkan perkara negatif, saya percaya banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada penulis blog,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Penerangan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe.

Ditanya adakah pertemuan itu merupakan usaha awal kerajaan untuk mengawal penulis blog, Ahmad Shabery berkata, isu itu sama sekali tidak timbul.

“Saya mahu bertemu mereka dahulu, kita boleh membawa kuda ke tempat air tetapi tidak boleh memaksa kuda minum air.

“Saya rasa adalah lebih baik untuk saya menjadi pendengar yang baik sebelum mereka mendengar cakap saya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penulis blog tidak semestinya dianggap sebagai pembangkang apabila mereka menyatakan pandangan alternatif.

Katanya, ada kalanya penulis blog yang dilihat menjadi penyokong pembangkang turut mengkritik dasar parti-parti pembangkang.

Mengenai peranan blog dalam pilihan raya umum lalu, beliau berkata, mesej yang disampaikan rakyat melalui keputusan pilihan raya itu banyak dibuat oleh pengundi kelas pertengahan.

Katanya, golongan itu mempunyai akses Internet yang membolehkan mereka mendapat maklumat alternatif selain akhbar dan televisyen.

“Sudah tentu saya rasakan peranan yang dimainkan mereka perlu difahami,” tegasnya.


Mat Zain Mat Isa
Fri | Mar 21, 08 | 3:12:19 pm MYT

Sekalung tahniah buat Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang telah dilantik menjadi Menteri Penerangan yang baru. Diharapkan pengalaman luas beliau sebagai ketua penerangan bagi dua parti besar sejak lebih sedekad lalu akan membantu beliau menyusunatur perjalanan kementerian itu dengan lebih baik dan bermanfaat untuk rakyat.

Shabery memulakan karier politiknya apabila diminta bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kijal, Terengganu pada 1 Ogos 1990. Dalam pilihan raya itu, beliau yang mewakili Parti Melayu Semangat 46 (S46) tewas kepada calon Barisan Nasional, Ahmad Said dengan majoriti 1,689 undi.

"Susahnya bila sudah jadi pembangkang", itulah tajuk rencana pertama Shabery selepas kekalahan beliau itu. Sejak beberapa tahun sebelum itu beliau ada kolum tetap dalam akhbar rasmi PAS, Harakah.

Bahkan, sebelum berjinak dengan S46, Shabery lebih dikenali sebagai ahli akademik yang cenderung kepada PAS. Latarbelakang penglibatannya dalam perjuangan siswa serta penglibatan singkatnya sebagai tenaga pengajar di Institut Berakan di Kuala Terengganu (1979/80) memungkinkan beliau dianggap sebagai aktivis PAS.

Malah, ada cerita yang menyebut bahawa Shabery sekadar "dipinjamkan" kepada S46, memandang parti itu gagal menemukan calon terbaik untuk dipertaruhkan di DUN Kijal ketika itu.

Ada juga yang berkata para pemimpin PAS, terutama di Terengganu, sangat berat hati melepaskan beliau, memandangkan beliau dianggap aset berharga untuk masa depan parti itu.

Kemasukan beliau ke dalam S46 itu ternyata tambah menjauhkan Shabery daripada PAS. Beliau diberikan peranan besar dalam parti baru itu, antaranya sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan S46 Malaysia.

Hingga kini, setiap kali orang sebut nama Shabery, penulis akan terbayang sebuah buku kecil diterbitkan parti itu bertajuk "101 Isu".

Mereka kata buku itu adalah hasil penyelidikan dan kerja keras Shabery. Ia memuatkan kedurjanaan politik, sosial dan ekonomi negara di bawah pemerintahan BN ketika itu.

Penulis tidak pasti apakah Shabery masih ingat dengan kandungan buku itu. Namun, jika benar buku itu dihasilkannya, elok juga jika ada masa, beliau menelitinya kembali agar ingat apa yang sebelum ini pernah beliau tuliskan.

Kemasukan beliau ke dalam S46 membuka ruang lebih baik baginya dalam politik. Apabila S46 dibubarkan dan seluruh pemimpinnya memasuki Umno secara en bloc, Shabery tidak terkecuali. Sejak itu dia diberi peranan makin besar dalam Umno.

Beliau bertanding buat pertama kali di Parlimen Kemaman pada 2004 dan menang. Tahun ini dia memang lagi. Dalam pembetukan Kabinet diisytiharkan Abdullah Selasa lalu, Shabery dilantik sebagai Menteri Penerangan.

Dalam reaksi awalnya atas pelantikan itu, Shabery mendakwa dia terkejut dan tidak menyangka akan diberi tugas sebegitu besar.

Beliau berkata akan memberi tumpuan awal kepada usaha meredakan keresahan masyarakat berikutan kekalahan BN di lima negeri dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau turut menganggap tanggungjawab dipikulnya sekarang sangat besar bagi membina sebuah negara bangsa yang lebih kukuh di Malaysia.

Nadi utama Kementerian Penerangan ialah Radiao Televisyen Malaysia (RTM). Baik-buruk prestasi kementerian itu banyak bergantung kepada apa yang dilaksanakan di RTM.

Dalam usahanya meredakan keresahan masyarakat berikutan kekalahan BN, barangkali Shabery bakal bertemu dengan pelbagai cadangan dan rumusan.

Antara yang sudah pun diperkatakan banyak pihak ialah kaitan kekalahan teruk BN dengan manipulasi media arus perdana yang berat sebelah.

"Satu lagi yang menyebabkan kekalahan BN ialah kerana kempen-kempen anjuran RTM yang berat sebelah. Hal ini menyebabkan rakyat makin menyampah terhadap propaganda BN tersebut", kata penganalisis politik terkenal, Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof.

"Orang ramai juga cenderung beralih kepada media alternatif dan pihak kami (PAS) memanfaatkan kelebihan ini, berbanding pasukan BN. Propaganda yang dimainkan media membuatkan rakyat berasa muak dan keterlaluan," itu pula penegasan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof.

Komen serupa malah telah diutarakan orang nombor satu Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Dato' Seri Anwar Zaini dalam satu rancangan bual bicara mengenai Pilihan Raya Umum 2008 di RTM, baru-baru ini.

Anwar malah menegur sikap tidak profesional dan terlalu menyekat maklumat yang diamalkan RTM sehingga menyebabkan penonton terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan maklumat terkini.

Beliau mengambil contoh bagaimana beliau sendiri yang berada di studio RTM pada malam keputusan pilihan raya diumumkan mendapati dirinya sangat ketinggalan dalam maklumat terkini berbanding pemandunya yang menunggunya di luar.

Baginya, amalan menapis atau menyekat penyiaran keputusan yang memihak kepada pembangkang semata-mata kerana mahu menjaga hati pemimpin BN sudah tidak sesuai dengan 'informed society' (masyarakat bermaklumat) kini.

Itulah antara rupa dan rekod yang ada pada RTM ketika ini. Bekas Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin telah berjaya menjadikannya institusi propaganda Umno/BN dan sebuah saluran media yang sudah hilang kewarasan dalam melaporkan maklumat berguna untuk rakyat.

Itulah keadaan RTM yang diwarisi Shabery. Jika benar beliau berhasrat memanfaatkan kedudukannya di Kementerian Penerangan bagi 'membina sebuah negara bangsa yang lebih kukuh', Shabery perlu menjadikan RTM lebih "waras" dan profesional dalam pemberitaan dan penyampaian maklumatnya.

Ulasan : Bekas Presiden PMIUM tahun 1980-an ini (kalau tidak silap saya), kini dilantik menjadi Menteri Penerangan. Statement pertama mahu bertemu dengan bloggers. Namapk macam agak open berbanding Zam. Apapun kita nantikan langkah seterusnya.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude