Isnin, 19 November 2007

Hidup berkat tanpa rasuah


KITA biasa mendengar orang berseloroh, kamu ni makan untuk hidup, atau hidup untuk makan? Biasanya ungkapan ini ditujukan kepada mereka yang terdiri daripada golongan yang kuat makan. Namun, kalau diamati betul-betul ungkapan ini, sudah tentu setiap individu akan terpanggil untuk bermuhasabah terhadap diri sendiri tentang matlamat kehidupan di atas maya pada ini.

Adakah matlamat hidup semata-mata untuk ‘mencari makan’? Sehinggakan melewati batas-batas halal haram semata-mata untuk mengenyangkan perut? Justeru, kita ini hamba kepada siapa? Adakah kita benar-benar hamba Allah, atau hamba kepada nafsu, syaitan, harta, pangkat dan dunia?

Terdapat pula orang yang bergaji besar sehingga mencecah puluhan ribu setiap bulan, tetapi tetap merasakan gajinya itu tidak dapat menampung kos kehidupan dirinya dan keluarganya. Ada pula orang yang bergaji besar ini, bila sampai sahaja ke hujung bulan, terpaksa meminjam wang dari rakan yang pendapatannya tidak pun mencecah lima angka. Mengapakah semua ini terjadi?

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan, malahan memang umat Islam disuruh mencari kekayaan selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangunkan ummah.

Harta amat penting bagi kehidupan manusia untuk menuju ke jalan yang diredai Allah. Contohnya ialah, kita amat memerlukan harta apabila hendak mengerjakan haji, dan mengeluarkan zakat. Sehubungan itu, Islam tidak menegah manusia mencari habuan untuk kehidupan di dunia tetapi janganlah pula dilupai mengenai bekalan di akhirat.

Ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud, Carilah apa-apa yang telah dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa untuk habuan kamu di dunia. (al-Qasas: 77).

Perlu diingatkan bahawa harta kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan berkat.

Untuk mendapatkan harta yang berkat maka ia mesti diperolehi dari jalan yang diredai Allah. Harta yang diberkati Allah akan berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya sedikit.

Janganlah umat Islam hari ini tergolong dalam kalangan manusia yang rakus sehinggakan hidup mereka berkonsepkan membujur lalu melintang patah!.

Hidup yang dihiasi dengan keberkatan akan mengundang ketenangan dan kebahagiaan dalam diri. Betapa ramai manusia yang kaya pada hari ini, namun adakah mereka semua hidup dalam ketenangan dan kebahagiaan? Mengapa wujudnya jutawan yang membunuh diri? Mengapakah mereka sanggup melakukan kerja terkutuk itu sedangkan mereka mempunyai banyak harta?

Tepuk dada, tanya iman!. Ketenangan dan kebahagiaan sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa. Bolehkah seseorang itu pergi ke hypermarket yang paling besar, lalu memesan ‘tenang’ dan ‘bahagia’ untuk dibeli? Sudah tentu tidak boleh!. Sebabnya ketenangan dan kebahagiaan merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya.

Anugerah ini hanya diberi kepada mereka yang mempunyai harta yang berkat. Akan tetapi, ketenangan dan kebahagiaan tidak akan dianugerahkan Allah kepada manusia yang hartanya tidak berkat!.

Justeru, jangan ada di antara umat Islam yang menjadikan ‘cari makan’ sebagai matlamat hidup ini semata-mata, sehingga berlumba-lumba untuk memperolehinya dengan mengetepikan suruhan dan perintah kewajipan terhadap Allah. Sehinggakan kadang-kala ia menyebabkan seseorang terdorong untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang bukan hanya salah di sisi agama, tetapi juga bertentangan dengan etika dan moral. Walaupun ia disaluti dan dihiasi dengan bentuk-bentuk yang manis seperti hadiah, ganjaran, upah, pemberian, pinjaman, hatta dalam bentuk pekerjaan, jawatan, kehormatan namun tujuan dan matlamatnya ialah rasuah.

Kekayaan yang disaluti rasuah akan menyebabkan harta yang dimiliki tidak ada keberkatan. Seterusnya ia akan menghakis ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Apa guna wang yang banyak kalau hidup sentiasa diburu resah gelisah. Gelisah di dunia, di akhirat pula akan dihumban ke dalam neraka!

Menurut hukum syarak rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis dan ijmak para ulama.

Allah s.w.t berfirman maksudnya, Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188).

Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya, Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)... (al-Ma’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, Allah melarang umat-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang Yahudi yang sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.

Pengharaman rasuah juga disebut oleh Rasulullah s.a.w dengan hukuman laknat atau kutukan Allah dan Rasul-Nya. Antara hadis yang membincang tentang rasuah ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud, bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (riwayat Ibnu Majah) .

Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja ditujukan kepada pemberi dan penerimanya, malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a katanya, Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya. (riwayat Imam Ahmad).

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah dan Rasul-Nya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. yang bermaksud, Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (riwayat al-Tabrani).

Sehubungan itu, jauhilah diri daripada sebarang unsur rasuah demi ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat.

* MOHD SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selang



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude