Rabu, 4 Julai 2007

Disertasi Ilmiah 7- Perpustakaan al-Sunnah

Perpustakaan al-Sunnah

1. Muqaddimah

al-Sunnah sebagai pensyarah al-Qur’an telah menjadi asas kedua dalam menentukan hukum syara’. Para sahabat, tabi’in dan para ulama Islam setelah mereka, telah banyak berbuat demikian untuk mendalami, memperbetulkan dan menghapuskan pembohongan daripada Sunnah Nabi s.aw. Begitu juga sumbangan mereka yang tidak terhingga untuk memastikan kebenaran salasilahnya, mengesan kedudukan para perawinya, sejauh mana kemampuan mereka dalam menghafal, menjaga dan dari segi sifat keadilannya. Tidak kurang pentingnya adalah sumbangan mereka dalam menghasilkan penulisan tentang ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Sunnah Nabi tersebut, sama ada dari sudut riwayah atau dirayahnya, kerana di sana terdapat hadith-hadith yang sahih dan musnad, di mana penjagaan dan pengkajiannya telah sampai ke kemuncaknya. Dari sudut yang lain pula, terdapat ilmu yang membincangkan hadith-hadith secara dirayah untuk mengetahui syarat-syarat periwayatan dan kesahihannya. Dan juga untuk mengetahui bagaimana cara mempelajari dan mengajarkannya/menyalurkannya, bagaimana untuk mengetahui hadith-hadith yang diterima dan yang ditolak. Ada juga ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil iaitu untuk mengetahui sejauh mana kedudukan para perawi hadith yang diterima dan yang tidak. Hasil daripada sumbangan para ulama tersebut, terdapat kitab-kitab yang dikarang untuk mengetahui hadith-hadith yang maudu supaya boleh memilihnya daripada hadith-hadith yang telah thabit kebenarannya. Begitu juga, sejauh mana para ulama fiqh berpegang kepada hadith-hadith serta menjadikannya sebagi sumber pengambilan hukum, dan menjadikannya sebagai sumber pandangan serta tempat ruang lingkup mereka untuk berijtihad.

Hasil daripada kesungguhan para ulama, mereka telah menggariskan suatu kaedah ilmu yang boleh membezakan antara hadith yang sahih dan yang da’if, serta untuk mengekalkan keutuhannya daripada segala yang merosakkannya. Tidak pernah terjadi dalam sejarah, sama ada pada zaman dahulu ataupun sekarang, di mana terdapat ummat yang mampu menjaga peninggalan Nabinya sebagai mana penjagaan kaum muslimin terhadap hadith dan Sunnah Rasul s.a.w.

Para ulama yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menjaga hadith-hadith Nabi s.a.w, Allah s.w.t. telah menghiasi hati-hati mereka dengan keimanan, membantu mereka untuk memelihara hadith-hadith Nabi s.a.w. dan Athar. Allah s.w.t. telah memberikan mereka suatu keinginan untuk menjelajah dan bermusafir serta mampu meninggalkan saudara-mara dan tanah air, demi untuk mencari dan mempelajari hadith. Mereka membuat penilaian tentang darjat suatu hadith, juga mengkaji serta mengajarkannya, mendalami makna serta menyebarkannya. Para ulama tersebut juga, telah membuat suatu penemuan terhadap keadaan para perawi yang benar ataupun sebaliknya. Sebagaimana mereka telah menemui perawi hadith yang tak dikenali serta yang cacat dalam periwayatan, yang da’if dan juga yang tidak boleh dikategorikan kepada hadith. Mereka telah membuat satu peraturan yang sangat lengkap untuk menolak sebarang penipuan/pembohongan. Selain itu, ia juga adalah untuk menghindari hadith-hadith buatan serta mengelakkan daripada berlakunya penyakit yang boleh merosakkan nilai hadith serta menghapuskan semua kekurangan dari hadith-hadith yang sahih dari Nabi s.a.w.

Ulama telah melakukan dengan bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada sunnah Nabi s.a.w. selama empat belas abad ini. Mereka telah meninggalkan kekayaan yang sangat banyak daripada hadith-hadith dan ilmu-ilmunya, yang mana pada hari ini kesemuanya boleh dijangkau, yang menjadi bukti kehebatan orang-orang terdahulu, dan petanda kelalaian orang-orang selepas mereka. Pada hari ini, mereka telah mengabaikan perbendaharaan yang kaya tersebut, tertinggal beserta pemiliknya, sehingga menjadi permainan bagi para pengkaji dan orang-orang yang tidak boleh mengetahui nilainya. Sekarang kita hanya berharap semoga Allah s.w.t mempersiapkan hamba-hambanya yang akan menolong agamanya dari serangan musuh dan orang-orang yang mengorbankan semua kehidupannya untuk membela sunnah Nabi s.a.w. serta menghidupkan kembali ke dalam kehidupan manusia pada hari ini.

Para ulama cenderung untuk melakukan semua pengorbanan ini, kerana mereka ingin mengetahui bahawa perintah rasul s.a.w. wajib dipatuhi, dan apa yang dilarangnya wajib ditinggalkan. Allah s.w.t telah berfirman: “Kami tidak mengutus seorang Rasul pun kecuali untuk dipatuhi dengan izinNya…”(Q.S. al-Nisa’ 64). Nabi s.a.w. juga telah memberikan dorongan kepada mereka dengan sabdanya: “Sesungguhnya satu pendustaan terhadap saya tidak sama dengan pendustaan terhadap seseorang yang lain…”(Muttafaq ‘Alaih).

Bertolak dari sinilah, para ulama telah membuat disiplin ilmu untuk menolak pendustaan serta pembohongan dan corengan orang-orang yang ingkar. Juga doa Nabi s.a.w. telah menjadi motivasi bagi para ulama untuk menjaga hadith dengan sabdanya: “Allah s.w.t. merahmati seeorang, dia mendengar hadith dari kami dan menyampaikannya sebagai mana ia mendengar. Maka terkadang orang yang menyampaikannya lebih teliti daripada orang yang mendengar ”. (Hadith riwayat al- Tirmizi)

Bentuk-bentuk karangan tentang hadith-hadith Nabi s.a.w.

Para ulama hadith telah menyusun pelbagai bentuk karangan yang berkaitan dengan hadith sebagai rujukan untuk memenuhi keperluan para ulama dan pelbagai kajian. Di antara karangan yang paling penting ialah:

1. Kitab-kitab yang disusun mengikut susunan Bab

Kaedah penulisan ini ialah mengumpulkan hadith-hadith yang mempunyai tajuk yang sama dan saling berkait antara satu dengan yang lainnya, kesemuanya dimasukkan ke dalam satu bab yang besar. Misalnya: kitab al-Solah, kitab al-Zakat, kitab al-Buyu’ dan sebagainya. Setelah itu, hadith-hadith yang berkaitan akan diletakkan pada bab-bab yang ada, dan setiap bab mengandungi satu hadith atau lebih dalam mengkaji satu permasalahan sahaja. Pada setiap bab akan diletakkan satu tajuk yang berkaitan dengan pembahasan tersebut.

Faedah yang diperolehi dalam bentuk penulisan kitab-kitab hadith seperti di atas ialah mudah untuk jadikan sebagai bahan rujukan, kerana apa yang pertama sekali terlintas dalam ingatan para pelajar tentang hadith adalah mencari bahan rujukannya. Ini kerana, apabila ingin mencari beberapa hadith dalam permasalahan tertentu, maka sesunguhnya pencarian hadith-hadith tersebut adalah berkaitan dengan bab-babnya. Jika seseorang itu ingin membuat kajian dalam sesuatuu hadith dan perlu untuk mengeluarkannya dari sumber-sumber hadith, maka tajuk hadith tersebut akan ditentukan oleh babnya.

Akan tetapi untuk mengambil faedah dan manfaat dari kitab-kitab ini, ia mestilah mempunyai zauq keilmuan yang akan memberi petunjuk kepada seseorang penuntut untuk memastikan tajuk atau tempat hadith tersebut. Dan juga mestilah mempunyai pengalaman tentang kaedah para ulama dalam membuat terjemahan pada kitab-kitab mereka. Ini kerana ada kalanya mereka meletakkan hadith pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Ini adalah bertujuan untuk memberi penjelasan tentang adanya perkaitan hadith tersebut dengan permasalahan yang lain. Cara ini banyak terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari, yang menjadi salah satu keistimewaan kitabnya itu. Dan keistimewaan ini dikenali dalam istilah ulama dengan fiqh al-Bukhari.

Kitab-kitab hadith yang disusun mengikut urutan bab ini mempunyai banyak kaedah, antaranya:

1. al-Jawami’

al-Jami’ dalam istilah para ulama hadith ialah kitab hadith yang disusun mengikut urutan bab. Di dalamnya, terdapat beberapa hadith yang berkaitan dengan semua tajuk dan topik tentang permasalahan agama. Jumlah tajuk-tajuk tersebut terkandung dalam lapan bab besar, iaitu: Aqidah, hukum-hukum, sejarah, adab, tafsir, fitnah, tanda-tanda hari qiamat dan manaqib. Terdapat banyak kitab-kitab al-Jawami’,antaranya yang ma’ruf ialah:

a. al-Jami al-Sahih karya Imam al-Bukhari

b. al-Jami’ al-Sahih karya Imam Muslim

2. al-Sunan

Kitab-kitab Sunan ialah kitab-kitab yang mengumpulkan hadith-hadith marfu’ yang berkaitan dengan hukum-hukum dan disusun mengikut urutan bab-bab fiqh. Kitab-kitab hadith yang ma’ruf dikenali dengan Sunan, antaranya ialah Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmizi yang dikenal juga dengan al-Jami’, Sunan al-Nasa’iy dan Sunan Ibn Majah. Empat kitab ini diistilahkan oleh ulama hadith dengan al-Sunan al-Arba’ah. Ini kerana terdapat adanya kaedah khusus dalam ulama hadith bahawa:

a. Apabila disebut al-Sunan al-Arba’ah bererti ia adalah empat kitab al-Sunan yang tersebut di atas.

b. Apabila disebut al-Sunan al-Thalathah bermaksud kitab-kitab Sunan yang di atas melainkan Sunan Ibnu Majah

c. Apabila disebut al-Khamsah ianya bermaksud al-Sunan al-Arba’ah ditambah dengan Musnad Ahmad.

d. Dan apabila disebut al-Sittah maka maksudnya ialah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim ditambah dengan empat kitab-kitab al-Sunan.

Dalam kitab-kitab Takhrij dan Rijal terdapat beberapa simbol yang dipakai untuk mengenal para ulama hadith tersebut. Di antara simbol-simbol tersebut ialah: Kha’ = Imam al-Bukhary, Mim = Imam Muslim, Dal = Abu Dawud, Sa = al-Nasa’iy, Ha’ = Ibnu Majah, ‘Ain = al-Sittah dan ‘Ain-Ha’ = al-Sunan al-Arba’ah.

3. al-Mushannafat

al-Mushannafat ialah kitab-kitab hadith yang disusun mengikut bab akan tetapi merangkumi hadith-hadith Mauquf, Maqtu’ juga Marfu’. Kitab-kitab yang terkenal dengan nama ini antaranya ialah:

a. Mushannif Abdul-Razzaq bin Hammam al-San’any, wafat pada tarikh: 211H.

b. Mushannif Abi Bakr bin Abu Syaibah, wafat pada tarikh: 235H

4. al-Mustadrakat

Apa yang dimaksudkan dengan al-Mustadrakat dalam istilah ulama hadith ialah: mengumpul hadith-hadith yang menggunakan salah satu pendekatan penulisan kitab hadith yang tidak dimasukkan ke dalam kitabnya. Telah diketahui umum bahawa Imam al-Bukhari dan Imam Muslim tidak menghabiskan semua hadith-hadith yang sahih di dalam kitab mereka berdua. Maka dengan itu, masih lagi terdapat hadith-hadith yang sesuai dengan syarat mereka berdua ataupun salah seorang daripada mereka itu, yang belum digabungkan dalam kitab mereka berdua. Maka para ulama telah banyak mengumpulkan hadith-hadith sahih selain Sahih Bukhari dan Muslim yang sesuai dengan pendekatan dan syarat-syarat dua kitab hadith sahih tersebut. Para ulama telah banyak menulis kitab yang sesuai dengan pendekatan diatas, yang diberi nama al-Mustadrakat. Antara kitab-kitab yang paling terkenal dengan sebutan diatas ialah: al-Mustadrak li al-Hakim al-Naysaburi.

5. al-Mustakhrajat

al-Mustakhraj ialah: Adanya sebahagian ulama hadith yang telah sampai kepada darjah hafidz mentakhrij (mengenalpasti perawi hadith) Salah satu daripada kitab-kitab hadith, seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim atau kitab yang lain, penulis akan mengeluarkan hadith-hadithnya dengan sanad-sanad yang dia miliki selain daripada sanad kitab yang ditakhrijnya. Maka sanadnya akan bertemu dengannya pada syeikhnya atau yang diatasnya sekalipun pertemuan itu pada peringkat sahabat. Penulisan ini dibuat tanpa mengurangkan susunannya, matan dan jalur-jalur sanadnya. Namun dengan syarat, tidak sampai pertemuan sanad tersebut kepada syeikh yang lebih jauh sehingga membuat sanad tersebut terputus, kecuali terdapat ‘uzur seperti adanya ketinggian pada sanad atau terdapat tambahan yang sangat penting dalam matan. Dalam sistem pentakhrijan kitab hadith seperti ini adakalanya orang yang mentakhrij tidak memasukkan hadith-hadith apabila ia menemukan sanad yang tidak sesuai dengan sanadnya, dan ada juga yang menyebutkan sanad kitab yang ditakhrij. Kebanyakan kitab yang ditakhrij adalah sesuai dengan kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim ataupun salah satu dari keduanya.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude