Jumaat, 20 Julai 2007

Disertasi Ilmiah 10 - TERJEMAHAN TAFSIR FI ZILAL AL-QUR’AN KARANGAN SAYYID QUTB

TERJEMAHAN TAFSIR FI ZILAL AL-QUR’AN KARANGAN SAYYID QUTB OLEH DATO’ YUSOFF ZAKY BIN HAJI YACOB


Pengenalan kitab Tafsir Fi Zilal al-Qur’an

Tafsir Fi Zilal al-Qur’an merupakan sebuah tafsir yang bersandarkan kepada unsur-unsur naqliyyah atau riwayat-riwayat yang ma’thur. Oleh yang demikian, pengarangnya iaitu Sayyid Qutb Rahimahullah menjauhi perbahasan-perbahasan ilmu bahasa dan tatabahasa, perbahasan ilmu kalam, ilmu fiqh dan tidak memasukkan cerita-cerita israiliyyat dan menjauhi penemuan-penemuan sains yang asasnya sentiasa berubah-ubah.[1]

Penghasilan kitab ini telah dimulakan pada tahun 1951, apabila seorang pemimpin Ikhwan al-Muslimin iaitu Sa’id Ramadhan menerbitkan majalah al-Muslimun dan beliau telah menulis satu artikel dengan menggunakan tajuk Fi Zilal al-Qur’an dalam tujuh keluaran. Manakala tahun 1960-an, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengemaskinikan Fi Zilal al-Qur’an dengan menokok tambah huraian dan penghalusan untuk menjadikan kitab ini sebuah tafsir haraki yang sempurna.[2]



Pengenalan Sayyid Qutb Rahimahullah

Sayyid Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di perkampungan Musyah, Asyut, Mesir kira-kira 375 km ke Selatan Kaherah.[3] Ayahnya seorang yang memurah kerana memiliki tanah yang banyak dan diberi kepada petani-petani mengusahakan tanahnya. Selepas itu beliau telah cenderung kepada mempelajari ilmu pengetahuan sehingga beliau terlibat dalam parti negara dan terlibat dengan penerbitan surat khabarnya secara rasmi.

Beliau tamat menghafal al-Qur’an ketika berusia sepuluh tahun. Beliau bermusafir ketika berusia 13 tahun ke Kaherah. Beliau menguasai pelbagai ilmu antaranya bahasa arab, ulum al-Syari’ah yang terdiri daripada ilmu tafsir, hadith, fiqh, sejarah, geografi, ilmu kemasyarakatan dan tarbiyah, matematik, fizik dan falsafah. Beliau juga merupakan seorang ahli sastera. Beliau turut terlibat dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin bawah pimpinan al-Syahid Hasan al-Banna.

Sekitar tahun 1939 hingga 1951 merupakan era kesedaran Sayyid Qutb terhadap ajaran Islam dan beliau mula mengkaji al-Qur’an dengan pendekatan kesusasteraan bagi menghayati keindahan al-Qur’an. Karya beliau yang pertama dalam bidang al-Qur’an iaitu al-Taswir al-Fanni fi al-Qur’an dan karya keduanya iaitu Masyahid al-Qiyamah fi al-Qur’an[4]. Rentetan daripada itu, terhasilnya sebuah tafsir haraki iaitu Tafsir Fi Zilal al-Qur’an yang telah disempurnakan oleh beliau ketika berada di dalam penjara. Beliau telah meninggal dunia pada pagi Isnin 29 Oktober 1966 bersamaan 13 Jamadil Awal 1386 di tali gantung sebagai seorang yang syahid fi sabilillah.

BAHAGIAN PERTAMA
BIOGRAFI DATO’ YUSOFF ZAKY BIN YACOB

1.0 Nama dan keturunan

Nama beliau ialah Yusof bin Yacob. Manakala nama ‘Zaky’ adalah gelaran yang diberikan oleh sahabat-sahabat beliau semenjak awal tahun 1940-an ketika terlibat secara aktif dalam Kelab Setiawan Budi. Beliau dilahirkan di Kampung Gajah Mati, Kota Bharu pada 13 Jun 1928[5]. Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Nama adik-beradiknya ialah Husin, Hasan, Siti Nor, Fatimah, Siti Aisyah dan Mohammad Nor. [6]

Ayah beliau bernama Haji Yacob bin Haji Ahmad dan lebih dikenali dengan Tuan Guru Haji Yacob Gajah Mati.[7] Manakala ibu beliau bernama Hajjah Halimah binti Haji Che Ha dan merupakan cicit kepada Tok Kweng Khatib Nuh yang berasal dari Kuala Lemal, Pasir Mas, Kelantan.[8]

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal secara tidak formal adalah daripada ayahnya sendiri. Pendidikan yang diterima daripada ayahnya bukan berbentuk konservatif, walaupun sebahagian ulama-ulama Kelantan pada waktu itu berfikiran sedemikian. Ayah beliau tidak menyekat kebebasan anak-anaknya untuk berambut panjang (tidak berkepala botak) dan memakai seluar (tidak memakai kain pelikat), walaupun ramai ulama zaman itu yang melarang berbuat sedemikian rupa[9]. Di samping itu, ayah beliau turut berpesan agar mencari rezeki yang halal, jangan melanggar hukum-hukum agama dan jangan meninggalkan solat.

Manakala pendidikan formal yang diterima oleh beliau ialah:
Beliau menerima pendidikan awal pada pertengahan tahun 1930-an di Sekolah Majlis Kota Bharu.
Kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Jami’ Merbau Isma’ili di Kota Bharu, merupakan satu-satunya sekolah pondok yang sistematik pada ketika itu iaitu memakai system kelas dan mengadakan peperiksaan.[10]
Kemudian menyambung pelajaran ke Mesir pada tahun 1949 dengan bantuan kewangan daripada abangnya iaitu Dato’ Husin Haji Yacob.
Kemudian ke American Cairo University dalam bidang pendidikan dan psikologi.

Guru-guru:

Ayah beliau sendiri Haji Yacob bin Haji Ahmad
Tok Khurasan iaitu Abu Abdullah Syed Hasan bin Nor Hasan
Ustaz Abdul Rabb al-Tamimi
Tuan Guru Haji Abbas Bukit Tiu
Tuan Guru Ahmad Maher
Tuan Guru Saad Kangkung
Nik Abdul Rahman
Ustaz Khatib Ali
Ustaz Wan Sulaiman dan lain-lain.

Kehidupan berumahtangga:

Beliau telah menamatkan zaman bujangnya ketika berusia 27 tahun dengan gadis pilihan keluarga pada tahun 1955. Nama isterinya ialah Datin Hajjah Azizah binti Haji Yusoff ketika berusia 20 tahun, dilahirkan pada 11 Ogos 1935, merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik dan merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya. Beliau dianugerahkan tiga orang putera iaitu:
Nasir Zihni yang merupakan seorang peguam korporat di Kuala Lumpur. (Berkelulusan LLB Lincoln Inns)
Irfan Zaky, merupakan seorang usahawan (berkelulusan Sains Komputer di Nagoya, Jepun)
Nublan Zaky, merupakan seorang Timbalan Pengarah Syarikat di Kuala Lumpur dan seorang pengarang buku ‘Economic Islamic Perspective Stock Market’.
Karya-karya

Bidang Psikologi: Psikologi Remaja, Psikologi Kanak-kanak, Psikologi Takut, Ilmu Jiwa, 1001 Masalah Jiwa Manusia, Mencari Kejernihan Jiwa, Rahsia Kebahagiaan, Manusia yang Sempurna dan Memahami Jiwa Manusia Menurut Perspektif Islam.
Ilmu tafsir: Terjemahan Tafsir Fi Zilal al-Qur’an, telah mengambil masa selama 11 tahun.
Beliau menghasilkan puisi, sajak dan sebagainya.

Kematian

Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Kota Bharu pada jam 4.30 pagi 19 Januari 1999 bersamaan 1 Syawal 1419 H akibat penyakit jantung dan buah pinggang yang dideritai oleh beliau selama sebulan sebelum ajalnya tiba. Beliau telah dikebumikan di Perkuburan Banggol. Beliau meninggal dunia ketika berusia 76 tahun.[11]


BAHAGIAN KEDUA
METODOLOGI PENTERJEMAHAN TAFSIR FI ZILAL AL-QUR’AN

2.0 Pengenalan kitab Tafsir Fi Zilal al-Qur’an “Di Dalam Bayangan al-Qur’an”

Kitab Tafsir Fi Zilal al-Qur’an yang pertama diterbitkan dalam tulisan jawi ialah Juz ‘Amma dalam empat jilid. Kitab ini telah diterbitkan pada tahun 1953. Kitab tafsir edisi jawi ini mengguna pakai tajuk Tafsir Fi Zilal al-Qur’an “Di dalam Bayangan al-Qur’an” oleh al-Syahid Sayyid Qutb dan telah dialih bahasa oleh Yusoff Zaky Haji Yacob. Edisi ini telah dicetak dan diterbitkan oleh Dian Darul Naim Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan dengan cetakan pertama pada tahun 1986.

2.1 Pandangan ulama terhadap kitab[12]

1. Dr. Hasan Farhad telah menyatakan bahawa Tafsir Fi Zilal al-Qur’an telah menjadi begitu terkenal dengan sebab Sayyid Qutb Rahimahullah telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama ia menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua dia menulis dengan darah syuhada’.
2. Yusof al-‘Azym mengatakan bahawa tafsir Fi Zilal al-Qur’an adalah sebuah tafsir yang unik dan berada dikemuncak tafsir-tafsir yang lama dan yang baru.
3. Muhammad Qutb iaitu adik kepada Sayyid Qutb menyatakan bahawa tafsir ini bukan tafsir dalam ertikata menghurai pengertian lafaz-lafaz, walaupun aspek ini tidak ditinggalkan dan bukannya menghuraikan keindahan dan kemukjizatan ungkapan-ungkapan al-Qur’an walaupun aspek ini ada disebut, tetapi sejak mula lagi ia menitikberatkan tentang cara keimanan itu tumbuh dalam diri.
4. Dato’ Haji Daud bin Muhammad (Qadhi Besar Negeri Kelantan) dan Dato’ Haji Mohd. Shukri Mohamad (Timbalan Mufti Negeri Kelantan) turut menyatakan bahawa tafsir ini adalah lain dari yang lain.
5. Brig. Jen (B) Dato’ Abdul Hamid bin Zainal Abidin menyatakan terjemahan ini merupakan sebuah terjemahan dinamis iaitu menterjemahkan makna yang ingin disampaikan oleh Sayyid Qutb.

2.2 Muqaddimah penterjemahan

Penterjemah memanjatkan puji-pujian terhadap Allah dan Rasul. Di samping itu, penterjemah turut mengemukakan hasrat untuk menterjemahkan tafsir ini sejak tahun 1952.[13] Antara sebab utama yang membawa kepada penterjemahan kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an ini dilakukan yang dapat disimpulkan ialah:
Bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam memahami ayat-ayat al-Qur’an.
Kekaguman beliau terhadap tulisan Sayyid Qutb kerana beliau tidak berkompromi dengan segala bentuk jahiliah sekarang.
Beliau turut memperjelaskan sejarah awal dan peringkat demi peringkat terjemahan kitab tafsir ini dapat dilakukan. Terjemahan pertama tafsir ini dilakukan dalam tulisan jawi bermula dengan juz ‘Amma. Terjemahan ini telah diterbitkan pada tahun 1983 dalam bentuk saringan semata-mata. Selepas itu, tafsiran penuh telah dibuat untuk juz-juz yang seterusnya.

2.3 Metodologi / Format Penyusunan

2.3.1 Metodologi penyusunan

Beliau meletakkan kandungan surah di bahagian hadapan kitab.
Dimulakan dengan basmalah dan mengemukakan motto ayat al-Qur’an pada setiap permulaan kitab iaitu ان هذا القران يهدي للتي هي اقوم .
Penterjemah membawa keseluruhan ayat al-Qur’an bagi setiap surah terlebih dahulu.
Setelah itu barulah di perjelaskan terjemahannya bagi setiap ayat al-Qur’an bagi surah tersebut.
Selepas itu, dihuraikan pengertian samada dalam bentuk sekelompokan ayat atau setiap satu daripada ayat-ayat al-Qur’an.
Beliau menggunakan kata singkatan. Contohnya perkataan (ر.ع) iaitu radiallahu’anhu.

2.3.1.1 Penyusunan ayat-ayat al-Qur’an

Dipetik daripada mashaf Uthmani yang diakui kesahihannya oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Ayat diterjemahkan satu persatu.
Ada pertambahan ayat al-Qur’an yang tidak dilakukan oleh Sayyid Qutb.


Contohnya:
و الذين ءامنوا بالله ورسله أولئك هم الصديقون و الشهداء عند ربهم .
Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya merekalah para al-Siddiqin dan para syuhada’ adalah berada disisi Tuhan mereka”

Kitab asal Sayyid Qutb hanya ambil sebahagian sahaja iaitu:
و الذين ءامنوا بالله ورسله أولئك هم الصديقون.
2.3.1.2 Penyusunan al-Hadith

Nukilkan semua matan hadith dan menterjemahkannya dan sebut takhrij a-Hadith
Contohnya:
"إن أهل الجنة ليترءون أهل الغرف من فوقهم كما نتراءون الكوكب الدرى الغابر في الأفق من المشرق أو المغرب , لتفاضل ما بينهم." قالوا: يا رسول الله تلك منازل الانبياء لا يبلغها غيرهم. فال: " بلى و الذى نفسي بيده رجال امنوا بالله و صدفوا المرسلين."
Terjemahannya: Sesungguhnya penghuni-penghuni syurga melihat penghuni-penghuni bilik-bilik syurga yang tinggi di atas mereka sama seperti kamu melihat bintang yang amat cerah yang menetap di kaki langit dari arah timur atau arah barat kerana perbezaan darjat di antara mereka, lalu mereka (sahabat-sahabat) berkata, “Ya Rasulullah itukah darjat para anbiya’ yang tidak dapat dicapai oleh orang-orang yang lain dari mereka.” Jawab beliau, “bahkan- demi nyawaku dalam kekuasaan Allah,-itulah darjat orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para Rasul.
(Hadith ini telah dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari hadith Malik)

2.3.2 Metodologi penterjemahan

1. Kaedah penterjemahan yang digunakan oleh penterjemah ialah terjemahan dinamis. Maksud terjemahan dinamis ialah menterjemahkan makna yang ingin disampaikan oleh Sayyid Qutb.
Contohnya:
2. Beliau turut menterjemahkan dengan menggunakan terjemahan secara literal iaitu secara harfiyyah tetapi tidak terlampau banyak dalam kitab terjemahannya.
Beliau berupaya menyusun ayat-ayat yang panjang dan tidak membosankan, malah kata-kata yang digunakan olehnya adalah indah, lancar, teratur dan bersahaja,
Beliau menggunakan makna-makna terpilih. Terjemahan makna-makna nas al-Qur’an adalah merujuk kitab-kitab yang muktabar di samping kitab terjemahan dalam bahasa Melayu seperti al-Qur’an al-Karim terjemahan Yayasan Penyelenggaraan Penterjemahan al-Qur’an Kementerian Agama Republik Indonesia, Pimpinan al-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan lain-lain.
Beliau menggunakan pelbagai istilah samada bahasa Melayu dan bahasa Arab.
Contohnya: al-Siddiqin, syuhada’ dan lain-lain lagi.

PENUTUP

Kitab ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Ianya mempunyai gaya bahasa yang mudah difahami. Ia merupakan salah sebuah tafsir yang diklasifikasikan sebagai sebuah tafsir al-Adabi al-Ijtima’i. Dimana aliran ini timbul kesan daripada kebangkitan moden yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ianya memerhatikan keindahan uslub, kemukjizatan al-Qur’an, kehalusan ungkapan serta menitikberatkan aspek-aspek sosial , pemikiran kontemporari dan aliran-aliran moden. Ia juga turut dikenali dengan tafsir haraki kerana metodologi yang digunakan oleh Sayyid Qutb terhadap juz-juz terakhir Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.


[1] Sayyid Qutb (2000), Tafsir Fi Zilal al-Qur’an “Di Bawah Bayangan al-Qur’an”, (Terj) Yusoff Zaky Yacob, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, Cet.1, hal. xxiv.

[2] Ibid, hal. xxxix..
[3] Muhammad Taufik Barakat Mula Hassan (1998), Sayyid Qutb:Hayatuhu, Manhajuhu Fi al-Taghyir wa al-Naqd al-Muwajjah Ilaih, Lubnan, Beirut: Dar al-Biyariq, cet. 1, hal. 9.
[4] Sayyid Qutb (2000), Op.cit, hal. xxxviii.
[5] Disertasi, Mohd Asmadi bin Yakob (2002), Terjemahan Tafsir Fi Zilal al-Qur’an oleh Yusoff Zaky Yacob: Suatu Kajian Dari Aspek Metodologi, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hal. , hasil wawancara dengan Encik Irfan Zaky bin Yusoff pada 14 Januari 2002, hal. 52.
[6] Ismail Che Daud (2001), Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Malaysia (1), Kota Bharu: Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cet. Pertama (edisi ketiga), hal. 597.
[7] Ibid, hal. 607.
[8] Ibid. hal. 598.
[9] Ibid, hal. 604.
[10] Ibid, hal. 601.
[11] Dato’ Yusoff Zaky dalam kenangan, Majalah pengasuh, bil. 557, keluaran bulan Zulkaedah-Zulhaijjah 1419 H, hal. 53.
[12] Sayyid Qutb (2000), Op.cit., hal. x1.
[13] Sayyid Qutb (2000), Tafsir Fi Zilal al-Qur’an: Di Bawah Bayangan al-Qur’an (Terj) Yusoff Zaky Yacob, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, hal. Xvii.

1 ulasan:

Ontahapo berkata...

Assalamualaikum...

Nak tanya, ada tak ebook terjemahan Fi Zilal al-Quran dalam dalam bahasa malayu?

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude