Isnin, 17 Mac 2008

Umno digesa adakan perhimpunan khas


Umno digesa mengadakan segera perhimpunan khas Umno untuk membincangkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan Umno kalah teruk dan Barisan Nasional (BN) kehilangan empat negeri kepada pembangkang dan gagal merampas Kelantan dari PAS.Gesaan tersebut dibuat oleh pergerakan Umno Johor dan juga bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.


Dalam pilihanraya umum ke-12, BN hanya memenangi 140 kerusi parlimen dan gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di parlimen. Selain itu, BN juga kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang.Dalam surat yang bertarikh 12 Mac yang dihantar kepada kesemula 193 ketua bahagian Umno di seluru negara, bekas menteri kewangan itu menggesa mereka supaya meminta diadakan mesyuarat agung luar biasa pada 11 Mei depan ekoran kekalahan teruk Umno pada 8 Mac lalu.


Pemuda Umno Johor pula mahu perhimpunan khas diadakan sebelum perhimpunan agung Umno yang dijangka pada Ogos depan, memandangkan keadaan akar umbi yang kini bergolak.Pengerusi Tugas-Tugas Khas Pemuda Umno Johor, Suhaimi Khalid berkata, perhimpunan khas Umno hendaklah diadakan segera bagi membincangkan masalah dan pertikaian pendapat yang timbul dalam parti ekoran tsunami politik dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu."Perhimpunan khas ini akan membolehkan anggota parti bermuzakarah antara satu sama lain untuk selesai masalah. Kita tak boleh tuduh sesama sendiri sebaliknya bermuhasabah.


"Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin-pemimpin lain juga boleh mengambil peluang untuk memberi amanat dan menerangkan kepada akar umbi bagi merapatkan barisan. Yang penting kita kena kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno," katanya kepada Bernama dari Kota Tinggi, Johor hari ini. Beliau berkata pertikaian pendapat yang timbul melibatkan pemimpin dan ahli anggota Umno sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan parti, sebaliknya melemahkan orang Melayu.Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau mencadangkan mesyuarat agung luar biasa itu diadakan pada 11 Mei kerana ia merupakan hari Umno ditubuhkan pada 1946.


Beliau gagal mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Abdullah Badawi bagi jawatan presiden pada 2004 kerana gagal mendapatkan 30 peratus pencalonan yang diperlukan untuk melayakkan beliau mencabar jawatan tersebut.Selain jawatan presiden, parti itu juga menetapkan 20 peratus pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, naib presiden (10 peratus) dan majlis tertinggi (5 peratus).Menurut beliau, dalam pilihanraya umum 1955, Umno menguasai dua pertiga kerusi parlimen, tetapi hari ini, ia menjadi suara minoriti di Dewan Rakyat.Oleh itu, di peringkat pusat, Umno kini bukanlah satu kuasa politik yang kuat, kata ahli Parlimen Gua Musang.


Pada tahun 2004, katanya, Umno mempunyai 107 daripada 219 kerusi parlimen tetapi kini ia hanya menguasai 78 daripada 222 kerusi parlimen.Kekalahan terukPaling teruk lagi, kata Tengku Razaleigh, pada pilihanraya umum ke-12 ini, BN kehilangan empat kerusi - Pulau Pinang yang merupakan negeri presiden Umno jatuh kepada pembangkang (DAP), Kedah (PAS), Perak (DAP walaupun menteri besar dari PAS) dan Selangor (PKR).Katanya, ahli-ahli Umno tidak seharusnya 'menuding jari kepada sesiapa' dan melepas tangan terhadap kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.Pada masa yang sama, Tengku Razaleigh berkata, parti itu juga tidak seharusnya membiarkan pucuk pimpinannya membuat kesilapan seumpama itu.Menurutnya, ia menjadi tanggungjawab bersama ahli Umno dari peringkat cawangan dan bahagian hingga kepada majlis tertinggi dan bukannya tanggungjawab segelintir pemimpin tertinggi parti sahaja.Mesyuarat agung luar biasa itu, katanya, boleh meneliti dan mengkaji kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.



Katanya, ia harus mencari jawapan mengapa pengundi Cina dan India menolak calon-calon dari parti-parti komponen BN - MCA dan MIC.Tengku Razaleigh berkata, ia juga harus mencari jawapan mengapa calon penyandang dari Umno kalah kepada calon PKR dan PAS.Jika tidak, katanya, BN dan Umno tidak akan memerintah lagi selepas pilihanraya umum akan datang.Ketika itu, katanya, barisan pembangkang PKR-DAP-PAS akan menubuhkan kerajaan pusat dan perdana menteri mungkin dari PKR dan timbalan perdana menteri dari DAP.BN pula, katanya, akan menjadi parti pembangkang yang lemah dan tidak bersatu padu manakala Umno pula tidak akan mampu mewakili suara orang Melayu lagi. (Sumber Malaysiakini)


Ulasan : UMNO kini terdesak. Dalam keadaan tekanan semakin kuat supaya Pak Lah meletakkan jawatan, krisis dalam UMNO juga memuncak. Salah-menyalahkan antara satu sama lain mula timbul . Dan kita yakin UMNO seolah-olah tidak relevan lagi untuk mewakili suara Melayu Islam setelah amanah yang diberikan hampir 50 tahun untuk memartabatkan bangsa Melayu Islam tidak ditunaikan dengan sebaik mungkin.

Ahad, 16 Mac 2008

Mukhriz dibidas -- Surat minta PM letak jawatan tak bertanggungjawab – Hishammuddin


KUALA LUMPUR 15 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengutus surat meminta Perdana Menteri meletak jawatan sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Katanya, walaupun Mukhriz menjelaskan surat itu bersifat peribadi dan tidak sepatutnya disebarkan melalui Internet, tetapi apa yang telah dilakukannya jelas bertentangan dengan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO mengenai kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita Pemuda UMNO akan ambil tindakan (terhadap Mukhriz) ikut saluran sedia ada. Bermakna kita tunggu mesyuarat Exco dahulu yang akan diadakan selepas pengumuman pembentukan Kabinet. Itu merupakan satu keputusan yang saya rasa realistik,” katanya.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda MCA, MIC dan Gerakan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang menyerahkan kepada Pemuda UMNO untuk mengambil tindakan terhadap Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pergerakan itu.

Kontroversi berhubung Mukhriz bukan pertama kali timbul sebaliknya pada Perhimpunan Agung UMNO 2006, Exco Pemuda UMNO itu ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden, mendakwa tiada perkara baru yang disampaikan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Pemuda UMNO Selangor menyifatkan tindakan Mukhriz sebagai perbuatan biadab.

Ketuanya, Abdul Shukur Idrus berkata, Mukhriz sepatutnya membuat kenyataan mengenai perkara tersebut mengikut saluran parti dan bukannya secara terbuka.

‘‘Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menyerahkan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Exco Pemuda UMNO untuk membuat keputusan mengenai Mukhriz.

‘‘Janganlah jadi ‘hero’ dalam keadaan kita tersepit sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tergempar Pemuda UMNO Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Shukur turut menyampaikan pendirian Pemuda UMNO Selangor yang menyokong penuh Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak terus menerajui kerajaan.

Sementara di BUTTERWORTH, UMNO Pulau Pinang meminta supaya Pergerakan Pemuda UMNO memecat jawatan Exco Pemuda yang disandang oleh Mukhriz kerana tindakannya itu.

Sambil menyelar tindakan Mukhriz yang dianggap sebagai tidak berpendirian, Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim menyifatkan perbuatan Mukhriz itu sebagai mengambil kesempatan di atas keadaan UMNO yang kini berada dalam situasi ‘gelisah’.

‘‘Apakah jenis manusia ini, adakah ini pemimpin Pemuda yang bakal mewarisi pucuk pimpinan? Kalau satu pendirian, biar satu.

‘‘Jangan sini cakap lain, situ cakap lain. Beliau tidak ada pendirian justeru manusia seperti itu tidak wajar dijadikan pemimpin peringkat nasional. Kalau orang lain naik (ganti Abdullah), beliau dapat jadi menteri penuh, jadi, tindakan ini tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan tertutup antara 11 wakil rakyat UMNO yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Ulasan : Tekanan semakin kuat supaya Pak Lah berundur. Kita tidak pasti kesudahannya. Apapun sebagai renungan, perkara ini mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman yang menjadi PM ketika itu, apabila Parti Perikatan tewas teruk pada tahun 1969.

Bagaimana 'tsunami' berlaku? (Bahagian Satu)


Keputusan pilihanraya umum ke-12 memeranjatkan semua pihak. Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah tetapi hilang penguasaan dua pertiga di parlimen.

Selain itu BN gagal untuk mempertahankan kekuasaan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak Kedah dan Pulai Pinang sementara Kelantan gagal ditawan dan kekal di bawah pemerintahan PAS. Semua kerusi parlimen di Kuala Lumpur dirampas oleh pakatan pembangkang kecuali Setiawangsa berjaya dipertahankan oleh Zulhasnan Rafique.

Selatan tanahair yang menjadi kubu kuat BN juga “dirobek” sedikit demi sedikit sehinggakan BN Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga.

Di Melaka, DAP berjaya menawan lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno juga tidak ketinggalan menjadi mangsa apabila DAP mendapat empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen sementara PAS pula mendapat dua kerusi DUN.

Peralihan undi yang besar kepada pakatan pembangkang tanpa dijangka itu, menyebabkan ramai penganalisa politik menggelarkannya sebagai situasi ini sebagai Tsunami.

Buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1973 hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan mengulangi sejarah Perikatan pada pilihanraya 1969.

Pakatan BN yang ditubuhkan sebagai formula baru untuk mengatasi kegagalan Perikatan pada pilihanraya 1969 akhirnya tempang selepas 38 tahun berdiri gagah.

Prestasi BN pada pilihanraya umum 2008 lebih teruk daripada Perikatan pada pilihanraya tahun 1969 oleh kerana kehilangan lima negeri kepada pakatan pembangkang.

Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mencipta sejarah apabila menjadi ketua BN pertama yang menyebabkan kehilangan majoriti dua pertiga.

Keputusan pilihanraya umum 2008 juga menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri mengalami kekalahan yang mengejut.

Shahrizat Jalil tewas ditangan Nurul Izzah yang kali pertama bertanding dalam pilihanraya umum. Samy Vellu yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput semenjak tahun 1974 terpaksa akur dengan Dr Jeyakumar.

Manakala Zainuddin Maidin yang menjadi Menteri Penerangan sebelum ini dimalukan oleh Johari Abdul di Sungai Petani. Di Shah Alam, Aziz Shamsuddin terpaksa akur dengan kemenangan Khalid Samad.

Mengapakah ini terjadi?

BN yang menang besar dalam pilihanraya umum 2004 menjadi begitu kuat sehinggakan tiada kuasa pengimbang dalam menentukan hala tuju negara. Dalam bahasa yang mudah, BN boleh membuat apa sahaja dengan kuasa dua pertiga mereka di parlimen.

Selepas pilihanraya 2004 sehingga 8 Mac 2008 rakyat dibebani dengan kenaikan kos hidup yang mendadak. Kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam dan barang keperluan harian telah menyebabkan ramai yang hidup menderita.

Tambahan lagi apabila wujudnya “watak-watak jahat” seperti Samy Vellu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kenaikan harga tol telah menyebabkan rakyat mula menyesal kerana memberikan mandat begitu besar kepada BN dalam pilihanraya umum 2004.

Pakatan pembangkang yang sedar akan kegelisahan rakyat, bijak untuk memanfaatkan suasana tersebut.

Kempen untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen agar mereka tidak boleh membuat keputusan dengan sesuka hati, telah berjaya membuahkan hasil.

Lim Guan Eng apabila ditanya oleh wartawan sewaktu kempen pilihanraya berlangsung, mengatakan DAP tidak mungkin mengalahkan BN dan hanya berniat untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen.

Husam Musa yang juga naib presiden PAS, berkali-kali dalam siri ceramah dan kempen pilihanrayanya, menyatakan kepada pengundi agar kuasa majoriti BN di parlimen harus dikurangkan agar harga barang tidak boleh dinaikkan dengan sesuka hati.

Di kalangan orang ramai terutamanya pengundi atas pagar, untuk menukar kerajaan baru secara drastik adalah sesuatu perkara yang menakutkan. Akan tetapi, kalau sekadar untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen, mereka bersedia melakukannya.

Peningkatan kos kehidupan adalah pendorong utama bagi kumpulan pengundi ini. Mereka ini percaya jika majoriti BN di parlimen dikurangkan, harga barang tidak mudah untuk dinaikkan dengan sesuka hati.

Oleh kerana terlalu ramai yang berfikir untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen, maka BN akhirnya benar-benar kehilangan majoriti di parlimen bersama dengan kuasa dua pertiganya.

Saya menemui beberapa orang teman-teman yang berada dalam kelompok ini selepas dua hari keputusan pilihanraya diumumkan. Mereka sebenarnya tidak menyangka bahawa BN akan kalah seteruk ini apabila memenangi hanya 140 kerusi parlimen berbanding dengan pembangkang yang berjaya mendapat 82 kerusi di parlimen.

Protes orang Umno

Pertembungan di antara Pak Lah dan Dr Mahathir Mohamad adalah perkara yang sudah diketahui umum. Semenjak projek “jambatan bengkok” dibatalkan, Mahathir tidak henti-henti menyerang perdana menteri yang beliau lantik menggantikannya pada tahun 2003.

Mahathir memberitahu umum bahawa beliau menyesal kerana melantik Abdullah sebagai penggantinya. Malah bekas perdana menteri itu pernah memohon maaf kepada rakyat di atas kesilapannya melantik Abdullah yang dikatakan membawa Malaysia ke arah kehancuran.

Peranan menantu Pak Lah dalam pentadbiran negara adalah salah satu kebencian Mahathir. Mahathir mengatakan bahawa “budak tingkat empat” (merujuk kepada Khairy Jamaluddin dan rakan-rakannya) menguasai Abdullah.

Beberapa hari sebelum pilihanraya, apabila ditanya oleh wartawan tentang kemungkinan Khairy akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara selepas pilihanraya umum, Mahathir berkata Malaysia akan menuju kemusnahan.

Mahathir sedar bahawa Abdullah dan menantunya akan dapat disingkirkan jika BN mengalami prestasi yang buruk dalam pilihanraya umum. Maka Mahathir pun menyeru ahli-ahli Umno agar membersihkan Umno melalui pilihanraya umum. Mereka disaran agar mengundi berasaskan kepada kredibiliti calon dan bukannya atas dasar parti. Dalam erti kata lain, ahli Umno diberitahu agar jangan mengundi orang-orang Pak Lah.

Kempen ini boleh dikatakan berjaya. Ahli-ahli Umno yang benci akan Pak Lah dan menantunya telah memberi undi protes, mengikut saranan bekas perdana menteri itu.

Rembau tempat menantu PM bertanding, boleh dijadikan contoh yang baik. Dalam pilihanraya umum 2004, calon BN, Firdaus Muhammad Rom Harun telah menewaskan Dr Dzulkifly Ahmad dengan majoriti yang besar sebanyak 18,656 undi. Manakala menantu PM menang di Rembau baru-baru ini hanya dengan majoriti 5,746 undi.

Khairy tidak mungkin mendapat undi serendah itu jika orang Umno Rembau tidak protes terhadap beliau. DUN Paroi yang terletak di bawah parlimen Rembau jatuh buat pertama kalinya kepada PAS apabila calonnya Mohd Taufek Abdul Ghani berjaya mengalahkan Datuk Zaharuddin Mohd Shariff dengan majoriti 1,071 undi.

Menantu PM yang dikatakan hebat sebelum ini sebenarnya tidaklah sehebat mana. Kempen Dr. Mahathir untuk membersihkan Umno hampir menyebabkan menantu PM turut dibersihkan. Ternyata orang Umno turut menyumbang kepada kehilangan kuasa dua pertiga BN di parlimen dan menyebabkan beberapa buah negeri tumbang kepada pakatan pembangkang.

Amin Iskandar (Kolum Malaysiakini)

Cabaran Terhadap PM Semakin Ketara

SUKA atau tidak, kita terpaksa berterus terang bahawa wujud tanda-tanda yang sangat jelas iaitu kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri semakin tercabar.

Antara lain:

1. Sudah terdengar suara lantang dan jelas dari dalam Umno sendiri meminta Perdana Menteri menerima tanggungjawab di atas prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum baru lalu;

2. Sudah ada bukti bertulis dalam bentuk surat Ahli Parlimen Jerlun merangkap ahli Majlis Kerja Pemuda Umno Malaysia, Mukhriz Mahathir, yang merayu Perdana Menteri meletakkan jawatan;

3. Pelbagai mesyuarat dan pertemuan tertutup yang membabitkan pembesar dan aktivis Umno yang merayu Perdana Menteri memikirkan kepentingan parti dan negara daripada kepentingan peribadi;

4. Penolakan oleh Raja Perlis terhadap pencalonan Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar walaupun dia mendapat surat tauliah daripada Abdullah. Sebaliknya Istana melantik calon lain;

5. Kelewatan Sultan Terengganu memperkenankan pelantikan semula Idris Jusoh sebagai Menteri Besar walaupun dia berjaya dengan cemerlang mempertahankan negeri itu daripada jatuh ke tangan pembangkang; dan

6. Perisytiharan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP untuk memansuhkan peruntukan-peruntukan tertentu Dasar Ekonomi Baru.

Setelah pengundi berterus terang dengan Perdana Menteri dan BN pada 8 Mac lalu adalah satu kesilapan besar bagi sesiapa pun berpura-pura seolah-olah tiada apa yang terjadi.

Kini Waktu Berterus Terang

PERDANA Menteri boleh berkata dan boleh mendakwa bahawa tiada siapa yang menekan dia untuk meletakkan jawatan atau boleh menekannya untuk meletakkan jawatan.

Laporan itu mungkin dan mungkin tidak mewakili sentimen atau kenyataan sebenar Perdana Menteri. Dan ia tidaklah penting. Yang penting ialah wajib ada seorang yang menerima dan memikul tanggungjawab ke atas prestasi buruk BN semalam.

Siapakah orang itu jika bukan Perdana Menteri? Bukankah dia orang yang sehingga saat-saat akhir kempen begitu yakin bahawa BN akan mencatat kemenangan cemerlang dan mempertahankan majoriti dua-pertiga di Parlimen.

Apakah undi rakyat yang begitu teruk menghukum Perdana Menteri dan partinya belum cukup untuk membuatkan dia menerima sepenuh tanggungjawab dan menetakkan jawatan kerana kepemimpinannya tidak lagi diyakini?

Kalau pada PRU 2004 dia begitu gembira dan angkuh menyatakan bahawa kerana dialah BN menang besar, kenapa kali ini dia begitu keberatan mengakui bahawa kerana dia jugalah BN menderita teruk?

Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbarnya pagi tadi, tiada pilihan lain bagi Perdana Menteri kecuali memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk BN dan berundur.

Seperti jutaan pengundi yang tidak berselindung-selindung lagi menolak BN, Perdana Menteri juga tidak boleh lagi berdolak-dalik dan berselindung di sebalik pelbagai alasan.

Prestasi BN kali ini adalah jauh lebih teruk daripada prestasi Perikatan pada tahun 1969. Rentetan kekalahan itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, menyerahkan kuasa kepada timbalannya dan akhir bersara. Contoh dan teladan sudah ada.

Sesudah pengundi Malaysia membuat kata putus dengan memberi kejutan voltan tinggi kepada Barisan Nasional adalah tidak tetap dan tidak wajar lagi bagi sesiapa pun berselindung-selindung dan teragak-agak.

Realitinya BN kehilangan banyak kerusi Parlimen, terlepas kawalan ke atas Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta ketewasan beberapa tokoh berprofil tingginya, termasuk tiga orang menteri.

BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah.

Kerana dinasihati oleh anggota “kabinet dapur” yang jahil tetapi bongkah serta rakus – mereka yang digelar 3K, JKKK dan Budak Tingkat Empat -- dan menyisihkan jentera serta veteran parti, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN sering tersilap membuat perkiraan.

Kepemimpinan kerajaan dan parti dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan yang kemudiannya dihebahkan secara meluas oleh media massa arus perdana yang pro-pemerintah.

Misalnya:

1. Perdana Menteri, pada hari penamaan calon, menyifatkan pakatan pilihan raya pembangkang sebagai “syok-syok sahaja”;

2. Perdana Menteri yang mencabar penunjuk perasaan supaya menggunakan peti undi sebagai tempat mutakhir menunjuk perasaan;

3. Menteri Kerja Raya yang mengatakan dia sedia berhenti jika rakyat jelata tidak mahukan dia lagi. Dia terus bertanding dan rakyat menyahut seruannya dengan mengundi pembangkang. Maka kecundanglah dia pada hari jadinya yang ke-72;

4. Menteri Penerangan (yang kalah di Sungai Petani) yang menyifatkan para blogger sebagai “syok sendiri.”;

5. Dia juga “bersumpah” akan memastikan lawannya hilang wang pertaruhan. Lawanya tidak hilang wang pertaruhan sebaliknya dia yang hilang kerusi; dan

6. Timbalan Ketua Pemuda (yang menang di Rembau) yang berkata tugasnya adalah memporak-perandakan pembangkang. Malangnya yang berlaku adalah di sebaliknya. Pembangkang memporak-perandakan BN.

Sekali pun benar bahawa keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Perdana Menteri menjadi pertikaian, faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi begitu tidak popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekelilingnya.

Dalam tempoh kerjaya kewartawanan saya selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah melihat sekumpulan orang di sekeliling seorang Perdana Menteri yang begitu dicurigai dan dibenci tetapi pada masa yang sama sangat ditakuti.

Hasil mengejutkan keputusan pilihan raya ini tidak dapat tidak akan mencetuskan tanda tanya mengenai kewibawaan, integriti serta kesahihan kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Presiden Umno.

Apatah lagi banyak calon yang dikaitkan terus dengan Perdana Menteri dan “kabinet dapurnya” seperti Azim Zabidi (Bukit Gantang), Osman Desa (Sik), Zainuddin Maidin (Sungai Petani), Annuar Musa (Ketereh) dan Awang Adek Hussin (Bachok) kecundang.

Di pihak pembangkang pula, tindak-tanduk mereka akan diperhatikan dan dinilai bagi memastikan sama ada mereka juga akan menjadi sombong, angkuh dan pendendam kerana kuasa.

Atau mereka menjadi pemegang amanah yang berhemah, merendah diri, sederhana dan bertimbang rasa.

Dan apakah dasar-dasar dan program-program mereka lebih baik daripada BN.

(Sumber http://kadirjasin.blogspot.com/)





Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude