Khamis, 29 Mei 2008

Islam Hadhari juga merupakan program politik


Ustaz Idris Ahmad
Wed | May 28, 08 | 2:04:54 pm MYT

Utusan Malaysia 28/5/08 melaporkan reaksi pemimpin Umno dan pendokong Islam hadhari mengenai tindakan kerajaan Selangor melarang program Islam Hadhari antaranya, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak "pengharaman Islam Hadhari tindakan politik, saya anggap dia (Hasan) tidak faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham dengan konsep Islam Hadhari ini kerana pelaksanaannya langsung tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mungkin dia berfikiran demikian kerana konsep ini dibuat oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), kata Dato' Seri Khir Toyo Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dato' Mohd Nakhaie Ahmad berkata, tindakan kerajaan Selangor itu merupakan perkembangan yang tidak sihat untuk politik negara dan orang Melayu. Tindakan kerajaan Selangor itu bukan sahaja menyekat usaha mendaulatkan Islam malah ia boleh mengelirukan rakyat Selangor mengenai konsep Islam Hadhari.Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan kerajaan campuran di Selangor yang berkuat kuasa serta merta semalam, dibuat tanpa memikirkan kebaikan dan manfaat rakyat secara keseluruhan.

Saya ingin menjelaskan bahawa Islam Hadhari ialah program penerapan nilai-nilai Islam kedua yang dijalankan oleh Dr Mahathir. Cuma di pakej semula dengan botol baru. Waktu diisytiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh Negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatollah Khomeini. Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategik telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus. Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan 'Bersih Cekap Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan', mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halaman 15, membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihan raya yang akan datang"

Sedangkan Islam ialah agama Allah bukan ciptaan daripada mana-mana dogma manusia. Islam ialah Islam dan bukan lain daripada itu. Walaupun ada dalam tulisan orientalis barat yang cuba mengelirukan perkataan Islam dengan menyebut Muahmmadism seoalah-olah agama Islam adalah ciptaan Nabi kita Muhammad s.a.w. Malahan dalam tulisan mereka juga disebut dengan Muhammadan Law bukan disebut Islamic Law. Ini adalah mainan orientalis seolah-olah undang-undang ini adalah ciptaan Nabi Muhammad s.a.w.

Islam adalah agama yang tidak disandarkan pada individu tetentu. Tidak seperti agama Kristian dengan dikaitkan kepada Jesus Christ, Buddha disandarkan kepada Gautama Buddha. Demikian juga agama Zoroasterianism kepada Zoroaster. Islam juga tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat, seperti agama Yahudi yang dikenali dengan dengan Judaism yang berasal daripada nama tempat iaitu Jew (Judah Tribe) demikianlah dengan Hinduism yang dinisbahkan kepada nama tempat iaitu Indus yang kemudian bertukar sebutannya kepada Hindu. Tetapi Islam adalah dari Allah daripada acuan Allah (Siibgah Allah) dan bukan ciptaan mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

Apabila menyebut Islam Hadhari ialah Islam maju. Maka di sana sudah tentu ada di sana Islam mundur. Ini sudah tidak betul kerana menyamakan Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t, ada maju ada mundur. Ini mendatangkan fitnah kepada Islam yang suci. Kerana hakikat Islam sentiasa maju, yang mundurnya apabila terkeluar daripada landasan Islam. Begitu juga jika kita menyatakan ada Islam baik dan Islam jahat. Sedangkan Islam mesti baik kerana ia datang daripada Allah s.w.t yang memang sifat Islam tidak jahat, yang jahat ialah penganutnya bukan Islam. Begitu juga yang mundur adalah penganutnya bukan Islamnya. Jika kita melihat penganut Islam yang terlibat dengan rasuah, zalim, diskriminasi, menyalahgunakan amanah rakyat, berzina, minum arak, berjudi, kesemuanya ini bukan Islam yang mengajar tetapi penyelewingan penganutnya daripada Islam.

Pemimpin Umno/BN hanya memilih Islam Hadhari supaya dapat memilih Islam yang boleh beri laluan untuk maju, walaupun bertentangan dengan Islam dan akhlak Islam. Mereka mahu Islam ikut mereka bukan mereka yang mesti ikut Islam. Inilah yang terjadi pada Islam Hadhari. Ini adalah barang lama Umno yang di tukar jenama sahaja. Pada hakikatnya itulah Islam yang diamalkan dan diperjuangkan oleh Umno sejak penubuhannya lagi yang mahu Islam disesuaikan dengan kehendaknya.

Sebab itu apabila ada golongan yang mengajak dan menyeru supaya balik kepada Islam yang sebenar maka mereka menuduh ini kolot, jumud, tidak maju dan tidak bertamaddun. Pada mereka neraca Islam Hadhari ialah akal dan nafsu walaupun bertentangan dengan nas yang qatie. Allah mengharamkan arak kerana arak dan dadah merosakkan akal. Songsangnya Islam Hadhari menghabiskan wang berjuta ringgit untuk kempen "Tak Nak Merokok" tetapi tidak berani kempen "Tak Nak Arak". Islam Hadari yang penting maju tidak kira halal atau haram, fikir untung bukan apa yang Islam kata boleh atau tidak.

Islam Hadhari mengharamkan dadah kerana ia menjejaskan ekonomi bukan kerana ia larangan agama. Arak tidak diharamkan kerana tidak menjejaskan ekonomi, orang minum arak pada malam hari, pagi esok ia boleh bekerja, orang hisap dadah pada waktu malam, esok hari ia tidak boleh bekerja. Sebab itu mereka tidak kempen menentang minum arak macam mereka kempen anti rokok. Pengharaman arak ada nas yang qatie sedangkan rokok tidak ada nas yang qatei. Inilah songsangnya Islam Hadhari Umno. Apakah ini yang dimaksudkan Islam Hadhari berteraskan kepada Tauhid?. Seperti yang dimegah oleh golongan yang mendokong Islam hadhari.

Daripada dahulu lagi pemimpin Umno mewawarkan kita mesti maju. Dengan slogan carilah dunia jangan lupa akhirat. Sehingga ada orang agama dalam Umno ketika berbicara dalam Televisyen dengan menyebut kita perlu cari dunia kerana habuan dunia payah dan habuan akhirat senang. (Astaghfirullah)

Apabila kemajuan yang tidak berteraskan kepada Islam yang sebenar maka yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung kecician. Ini dapat dilihat dengan keadaan pencapaian ekonomi bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.4% meningkat pada tahun 1990 ialah 19.3% manakala tahun tahun 2000 telah menurun kepada 18.7%. Tanah rezab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar pada tahun 1995 hanya ada 1.7 juta hektar. Inilah kemajuan yang disogok atas nama Islam ala Umno bukan bertambah baik malah bertambah mengucup. Kalau dulu kemajuan atas nama penerapan nila-nilai Islam, bersih cekap amanah gagal mencapai kemajuan. Manakala sekarang atas nama Islam Hadhari. Kalau tidak berjaya pula slogan ini ditukar pada Islam Had Hari pula. Kaya dengan slogan tapi isinya tidak ada.


Kesimpulan

Islam adalah Islam dan ia berdiri dengan sendiri tanpa perlu dikaitkan dengan yang lain. Al-Syahid Syed Qutb telah menulis "Al-Islam huwa al-Hadharah" yang menyebut memang Islam itu maju dan yang mundur apabila tidak melengkapkan diri sebagai Islam yang tulin. Jika kita melihat di zaman Rasulullah s.a.w yang telah membawa kemajuan kpada bangsa Arab walaupun sebelum baginda diutuskan orang Arab adalah bangsa nomad yang tidak maju dan dikalahkan oleh musuh-musuh mereka. Keadaan berlaku sebaliknya apabila baginda membawa Islam ke dalam masyarakat Arab, sehingga bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang bermarwah dan bertamaddun.


Begitu juga di negara kita apabila kesultanan Melayu mengamalkan Islam yang sebenar maka kekuasaan Melaka telah menguasai dua pertiga kepulauan Melayu. Inilah yang sepatut direnung bukan mengambil Islam separuh dan meninggal Islam separuh. Sampai bila pun tidak maju, kalau pun maju, kemudian ia akan membawa kehancuran pada Negara dan bangsa seperti yang dialami di Amerika Syarikat sekarang penyakit HIV 2 hingga 3 orang dalam satu jam manakala di negara kita 13 jangkitan HIV dalam seminggu. (Mingguan Malaysia 3/10/04, hlm. 19). Kalau ini yang didamkan oleh pendokong Islam Hadhari, teruskan usaha kamu. Kami Pas dan penentang Islam Hadhari boleh melepaskan diri, dan sejarah akan menjadi saksi. Wallahua'lam.

Ezam sertai semula Umno


Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno hari ini.

Beliau yang juga bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyerahkan borang keahlian tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Ezam menyerahkan borang itu ketika Abdullah mengadakan sidang media untuk mengumumkan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.

Ezam menemui presiden Umno itu selama kira-kira 30 minit, mulai jam 3.30 petang tadi.

Ezam hadir sama dalam sidang akhbar tersebut tetapi tidak membuat sebarang kenyataan. Beliau akan mengadakan sidang akhbar pagi esok.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah bekas setiausaha AMK, SD Johari Md Yassin; bekas exco AMK, Abdul Ghani Haron dan bekas setiausaha AMK Selangor, Nazmi Salleh.

Tanpa syarat

Menurut Abdullah, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.

Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.

Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.

"Bila nak masuk saya terimalah. Boleh terima dah, tak ada syarat apa-apa.

"Dulu dia di luar dan kritikal terhadap parti. Kini sudah ubah fikiran, mungkin kerana merasa Umno adalah landasan lebih baik untuknya.

"Mungkin dia insaf, Umno lebih baik untuk dia," tambah perdana menteri.

Presiden Umno itu berkata, borang penyertaan keahlian Ezam akan diserahkan di cawangan yang beliau mahu sertai.

Perdana menteri berkata, tiada sebarang jawatan yang akan ditawarkan kepada Ezam "dan Ezam sendiri pun tidak meminta jawatan".

Rebut jawatan

"Umno adalah sebuah parti politik, bukan sebuah syarikat," kata Abdullah tanpa mengulas lanjut.

Presiden Umno juga berkata, Pemuda Umno tidak menentang kemasukan Ezam ke dalam Umno.

Ketika ditanya mengenai kemasukan ahli-ahli Parti Keadilan (PKR) lain ke dalam Umno, Abdullah berkata,"kita tengoklah."

Abdullah juga ditanya sama ada Ezam boleh bertanding merebut jawatan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"(Untuk) Ezam bertanding, kena tengok perlembagaan parti (Umno) dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri menjelaskan kerajaan belum membuat apa-apa keputusan berhubung tuntutan royalti minyak Terengganu.

Isu royalti Petronas

Menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan menuntut kerajaan pusat mengembalikan semula wang royalti Petronas untuk diuruskan oleh kerajaan negeri itu.

Kerajaan membatalkan wang royalti dan menukarkan kepada wang ehsan apabila negeri itu jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya umum 1999.

Abdullah juga ditanya mengenai kenyataan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman meminta perdana menteri menilai semula pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai seorang menteri.

Tajuddin mendakwa Zaid telah menyerang secara terbuka ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di luar Dewan Rakyat, yang dianggapnya penentang kerajaan.

Mengulas perkara itu, Abdullah berkata: "Kita ahli dan wakil rakyat Umno, kadang-kadang buat teguran terhadap parti kerana inilah amalan kita dan bukan salahpun membuat teguran.

"Tetapi kalau salah, kita peringat dia. Kalau setakat dia kata dasar kurang kemas, tidak perlu ambil tindakanlah."

Ulasan : Wallahu a'lam. Hanya Ezam yang lebih tahu tentang keputusan yang dibuat untuk masuk kembali UMNO. Apamotif dan konspirasi yang mungkin berlaku, sama-sama kita nantikan!

Khalid: Islam Hadhari 'bukan isu besar'


Selangor menyifatkan larangan penyebaran Islam hadhari di institusi agama di negeri itu "bukan isu besar", kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Isu Islam hadhari itu adalah masalah konsep, bukan praktikal. Ini bukan isu besar," katanya apabila diminta mengulas kenyataan exco hal-ehwal agama negeri Datuk Dr Hassan Mohamed Ali kelmarin.

"Kita dah bincangkan. Isu Islam hadhari adalah isu konsep. Konsepnya, adakah tamadun Islam atau satu usaha meningkatkan tamadun Islam?

"Jawapan negeri Selangor, tamadun Islam sudah ada. Jadi kita meneruskan tatacara tamadun Islam. Terjemahan Islam hadhari adalah 'Islam bertamadun'.

"Maknanya, kita masih dalam proses lagi. Pada pendapat kita, tidak ada lagi proses, hanya tatacara. Itu pandangan (Selangor)," kata Khalid di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam petang ini.

Mengulas sama ada Selangor mempolitikkan isu Islam hadhari, Khalid menjawab:

"Ini bukan isu yang besar. Tetapi kalau orang tanya saya apa bezanya (Islam hadhari dan tamadun Islam), saya terangkan sebagai (seseorang) yang pernah mengikuti kursus kebudayaan, dan kebudayaan Islam.

"Sekurang-kurangnya saya terangkan maknanya. Itu saja. Tapi sebenarnya tak ada apa," katanya.

Di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, exco Selangor itu tidak membenarkan semua masjid dan surau mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam hadhari," kata Dr Hassan.

Mengulas kenyataan exco itu yang memberi amaran akan menarik balik tauliah imam-imam yang menyebarkan konsep Islam hadhari, Khalid berkata "tidak, tidak, tidak, belum ada tarikan (balik tauliah)."

Dr Hassan memberitahu Malaysiakini semalam: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program- program keagamaan."

Menurut Harakahdaily.net pula, beliau mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari boleh dikenakan tindakan sedemikian.

Tiada cacat celanya

Sementara itu, Perak pula disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor mengharamkan program yang promosi konsep Islam hadhari.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

Mufti Perak semalam bagaimanapun dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

Pulau Pinang, sebuah lagi daripada lima negeri Pakatan Rakyat, bercadang mencontohi Selangor dalam satu kenyataan negeri itu semalam.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Manakala beberapa pihak, khususnya yang dekat dengan kerajaan persekutuan, semalam tidak menyokong langkah Selangor.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan langkah Selangor mengharamkan program berkaitan Islam hadhari merugikan umat Islam.

Yang dipertuanya Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu yang diperkenalkan oleh perdana menteri bertujuan memajukan pemikiran umat Islam, meliputi semua bidang yang mengambil kira kedudukan masyarakat majmuk di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan arahan itu tidak wajar kerana pendekatan Islam hadhari yang mengandungi 10 prinsip "tiada cacat celanya".

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata satu persidangan Islam di Putrajaya tahun lepas yang dihadiri lebih 90 ulama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan 1,000 ulama yang menghadiri multaqa alumni al-Azhar awal tahun ini, "telah sepakat menerima pendekatan Islam Hadhari".

Ulasan : Isu Islam Hadhari ini perlu dibincang semula oleh semua pihak yang berkenaan. Ia penting kerana masyarakat akan bertambah keliru, mana satu yang betul-Islam atau Islam Hadhari?

Islam hadhari: Perak digesa contohi S'gor, P Pinang

Perak disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan program dan promosi yang ada kaitan dengan konsep Islam hadhari yang diperkenalkan oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

"Kami menyarankan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak supaya mengambil pendirian yang sama bagi mengembalikan ajaran Islam yang sebenar," kata dua kawasan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua Pemuda PAS Ipoh Timur, Salman Salleh dan ketua Pemuda kawasan Pasir Salak, Zamarul Aini Abd Malik.

"Bagi kami Islam hadhari amat menyalahi prinsip sebenar Islam kerana ajaran Islam sekarang sudah sempurna seluruhnya.

"Kami amat yakin bahawa Islam yang telah kita amalkan dari dahulu dan hari ini, tidak berubah dan sudah cukup," kata mereka lagi.

Berikutan itu, mereka menyarankan supaya semua masjid dan surau tidak dibenar mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada kaitan dengan Islam hadhari.

"Kami juga menegaskan supaya semua pihak menghormati keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak kelak untuk memastikan agama Islam didaulat di tempat yang terbaik," katanya.

Mufti Perak semalam dilaporkan berkata kerajaan Selangor, satu daripada lima negeri Pakatan Rakyat, tidak wajar mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

"Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan.

"Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam... Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.

"Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga.

"Islam hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," katanya kepada mStar Online.

Ulasan : Islam Hadhari memang telah menjadi polemik sekian lama. Yang dipertikaikan ialah dari sudut istilah dan pengamalan 10 prinsip yang terkandung di dalamnya. Bagi saya, ia masih mengelirukan masyarakat seolah-olah Islam yang sedia ada tidak maju berbanding Islam Hadhari.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude