Khamis, 29 Mei 2008

BMC: Polis belasah remaja ?



Menurut ceritanya, dia hanya ingin melihat apa sedang berlaku di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, Chang Jiun Haur berlumuran darah selepas dibelasah oleh 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan cota dan ditendang.

Chang, 21, bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki, sedang memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam, apabila kereta yang mereka naiki dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Seorang pegawai tinggi yang berada di situ, mendakwa Chang melanggar seorang anggota FRU dengan keretanya.

Apabila diminta menunjukkan anggota yang kena langgar itu, pegawai berkenaan pada mulanya menghadapi kesukaran meminta anggota berkenaan tampil ke hadapan.

Anggota berkenaan yang nampak tidak apa-apa mendakwa: "Dia cuba langgar saya...lihat cota patah. Nak bukti apa lagi?"

Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorang pun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Ketika ditemui di hospital pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, Chang juga menafikan yang dia telah melanggar anggota polis.

"Kami baru sahaja balik (ke Kuala Lumpur) dari Port Dickson dan mahu melihat apa yang sedang berlaku," kata Chang yang terbaring di katil dengan mulutnya yang berdarah.

Bajunya telah dikoyak oleh polis manakala seluarnya berlumuran darah. Difahamkan Chang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Adik perempuan dan dua rakan lelakinya turut ditahan malam tadi, tetapi menurut pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa, mereka dibebaskan hari ini.

Ahli exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, yang melawat Chang malam tadi berkata, polis telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan.

"Polis sepatutnya menjaga undang-undang dan ketenteraman awam dan bukannya memukul orang. Saya amat kecewa. Parti saya (DAP) akan menyediakan peguam untuk Chang dan yang lain-lainnya," kata Liu.

‘Wartawan diserang'

Akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan hari ini bahawa lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian malam tadi, selepas penduduk BMC dibelasah oleh ‘samseng' yang ditugas menjaga benteng konkrit di situ.

Syarikat konsesi lebuhraya Cheras-Kajang, Grand Saga, bagaimanapun, menafikan terbabit dalam kejadian tersebut.

Kira-kira jam 7 malam semalam, penduduk yang cuba meruntuhkan benteng yang baru dibina semula pada sebelah siangnya, bertembung dengan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan batang besi, topi keledar dan batang kayu.

"Mereka terus menyertang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Tan.

Akhbai Star melaporkan bahawa jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika di cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk - Lee Ah Seng - cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Sesetengah penduduk mendakwa, beberapa anggota polis yang berada di situ tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan keadaan yang berlaku.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kajang Shakaruddin Che Mood berkata mereka hanyalah anggota polis trafik yang dihantar untuk mengawal lalulintas di situ.

"Mereka sibuk mengawal lalulintas dan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya kepada pemberita sambil menambah, lima laporan polis telah dibuat berhubung kes pergaduhan tersebut.

Ulasan : Kalaupun benar remaja itu sengaja langgar apalagi kalau terlanggar kereta polis, ia sepatutnya ditangani dengan baik dan bukannya mengikut nafsu amarah. Diharap pihak pemerintah dan pihak atasan polis dapat menyiasat insiden ini!

Selasa, 27 Mei 2008

Akal membezakan manusia dengan haiwan


BAYANGKAN bagaimana hidup manusia jika Allah SWT menjadikan semua makhluk ciptaan-Nya berakal. Apa agaknya akan berlaku jika ternakan, tanaman dan hidupan liar di bumi boleh berfikir dalam setiap tindakan kerana semuanya berakal.

Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorak martabat hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan sebagai makhluk yang sentiasa bergerak di bumi.

Malah akal juga meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia mengatasi malaikat atau sebagai makhluk yang lebih hina dan rendah martabatnya daripada haiwan.

Lantaran itu timbul ungkapan manusia haiwani dan manusia tidak berakal atau gila angkara perbuatan dan amalan luar tabie insani yang semuanya bermula dari akal.

Namun, berapa ramai yang ‘besar akal’ atau panjang serta tinggi akalnya berbanding manusia yang pendek atau rendah serta kurang akal?

Sebabnya, rendah, pendek atau kurang akal menjadi penyebab manusia dilanda pelbagai krisis dan masalah moral mahupun akidah.

Lebih bahaya apabila manusia yang besar dan panjang akalnya menjadi dalang kemaslahatan gara-gara hilangnya iman dalam sanubari.

Bagi menggambarkan pentingnya akal kepada manusia pula, perkataan akal dalam al-Quran berulangan sebutannya sebanyak 49 kali yang kesemuanya mengarah manusia untuk berfikir secara ‘berakal’.

Antara lain Allah SWT berfirman yang mafhum-Nya:

* Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raaf: 179).

* Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah, orang-orang yang pekak dan tuli (iaitu manusia yang paling buruk di sisi Allah ialah yang tidak mahu mendengar, menurutkan dan memahami kebenaran) yang tidak mengerti apa-apa pun (yang tidak menggunakan akal). (Al-Anfaal: 22).

Namun tidak semua perkara dan benda mampu dicapai dan diterima akal, walaupun akal tetap memikirkannya.

Ini kerana akal berkait terus dengan ilmu dan menurut Prof. Syed Muhammad Naquid Al-Attas, ilmu boleh dicapai melalui tiga perkara iaitu pancaindera, khabar yang benar (berita yang tepat) dan akal, tetapi pengetahuan mustahil untuk digapai.

Disebabkan besar, penting dan uniknya akal yang dianugerahkan hanya kepada manusia, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid menyarankan agar sebuah Institut Minda diwujudkan di negara ini.

Malah beliau mencadangkan agar kelab-kelab minda perlu ada di semua agensi sama ada di institusi pelajaran atau pendidikan mahupun di syarikat-syarikat korporat dan badan-badan pertubuhan besar.

Ini kerana katanya, soal tentang akal dan segala yang berkaitan dengannya telah banyak difikir, dikaji dan ditulis tokoh-tokoh ilmuwan Islam silam serta para sarjana barat.

“Persoalannya apakah penyelidikan, penelitian dan perbahasan mengenai ilmu akal-fikiran yang tekun wujud dalam masyarakat Melayu-Islam kita,” katanya semasa merasmikan seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran Dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar dua hari anjuran IKIM pada 13 dan 14 Mei lalu itu merupakan antara usaha organisasi itu dalam membincang dan memahami kedudukan serta konsep akal kalangan ilmuwan tempatan bagi memperkasakan akal fikiran insani dalam mengharungi kehidupan semasa.

Ia disertai oleh kalangan penggubal dan pelaksana dasar, pentadbir, ahli agama dan akademik, golongan cendekiawan, penyelidik dari sektor awam dan swasta serta ahli pertubuhan bukan kerajaan.

Pengarah dan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, krisis akal telah menjadi darah daging di kalangan bangsa Melayu walaupun perbincangan mengenai akal telah mendapat martabat sangat baik dalam tradisi persuratan Melayu melalui karya-karya Melayu klasik.

Menurutnya, hasil karya Hamzah Fansuri, Tun Sri Lanang dan Nur al-Din al-Raniri misalnya telah memanifestasikan akal dalam sudut epistemologi, metafizika dan falsafah keagamaan dalam memartabatkan keilmuan bangsa Melayu.

Sementara itu, Fellow Kehormat Akademik Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mat Saat Mohamed Baki berkata, hanya 20 peratus manusia yang berfikir.

“Manakala tiga peratus mendakwa mereka berfikir walaupun mungkin mereka sebenarnya tidak berfikir, manakala lima peratus adalah manusia yang malas berfikir dan tiga peratus pula tidak berfikir,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika membicarakan ‘hubungan akal dengan diri, sikap dan tindakan’ yang memfokuskan mengenai ‘teknik-teknik merubah minda dan cara pengukurannya’.

Sebab itu kata Dr. Mat Saat yang juga Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Pantai, persaingan antara individu dalam perubahan minda lebih berkonsep ‘nak jadi malas mesti kreatif’ seperti orang naik pangkat dengan cara bodek, ampu dan yang seumpamanya.

Namun proses pemupukan akal, bakat dan watak individu, menurut Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar, adalah bertahap-tahap yang bermula dari pembinaan sistem otak ketika proses kehamilan seawal 16 hari.

Menurut mantan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usia enam tahun pertama selepas kelahiran adalah tempoh masa paling kritikal pada anak manusia.

“Ketika ini sistem otak dan sistem saraf menjadi perdana menteri yang akan memerintah otak seseorang anak melalui simulasi hidupan persekitarannya.

“Jika ibu yang baik dan mengamalkan tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah pada anaknya, akan terbentuklah baka anak yang baik,” katanya.

Menurut Dr. Noor Laily, syarat lain dalam memacu pembentukan akal berdaya fikir anak ialah bekalan oksigen terbaik, emosi yang positif serta sumber makanan yang baik lagi halal di samping simulasi yang tepat dan betul secara berulangkali dengan penjagaan kesihatan yang sempurna.

“Sebab itu Islam menetapkan empat sebab untuk manusia membuka mulut (bersuara) iaitu mengenai ilmu, silaturahim, pernyataan kasih sayang dan melafazkan kesyukuran,” ujarnya.

SEKILAS MENGENAI AKAL:

(Rujukan: Proses Pemupukan Akal, Bakat dan Watak oleh Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar (gambar):

* Peroleh ilmu, kemahiran dan maklumat lengkap serta kepelbagaian mengenai duniawi dan ukhrawi yang disertai berbudi bahasa dan bermaruah tinggi.

* Boleh memahami dan mengenali yang maaruf dan mungkar dengan mampu memilih perkara maaruf serta menolak kemungkaran.

* Boleh menggunakan akal untuk mengatasi nafsu.

* Boleh mengguna akal untuk membezakan yang sama tapi lain dan yang lain tapi sama.

* Mempunyai cukup ilmu fardu ain dan fardu Kifayah bagi menjadi insan yang baik, suka membantu dan sentiasa bersyukur.

* Bermaruah dan bermartabat tinggi serta mengenali ‘saya adalah saya.’

* Pembangunan akal manusia mestilah bermula dari dalam kandungan ibu lagi.

* Otak dan sistem saraf yang membentuk akal budi membangun sejak percantuman benih ibu dan ayah serta sebelum mencapai usia enam tahun.

* Otak-saraf (punca akal) adalah organ yang pertama terbina pada janin.

* Pembinaan dan pengukuhan asas otak-saraf berlaku dengan pesat pada hari ke-16 cantuman benih hingga hari kelahiran.

Bandingan kapasiti simpanan otak-saraf:

* Otak manusia - 125.5 trilion

* Arkib Negara Amerika - 12.5 trilion.

* IBM 3850 MTC - 250.0 bilion.

* Encyclopedia Britannica 19 vol - 12.5 bilion.

* Cakera Magnetik - 313.0 juta

* Cakera Liut (Floppy Disk) - 2.5 juta

* Buku - 1.3 juta

Proses pembinaan otak-saraf yang menjadi sumber akal insani:

* Setelah 16 hari kehamilan terbina sistem otak bayi.

* Menyusul pembinaan organ-organ lain dan ditiup roh serta ditulis empat perkara (usia, rezeki, amal dan cekal) serta terbinanya 100 bilion hingga 1 trilion neuron pada usia 120 hari dalam rahim ibu.

Tahap pembesaran neuron-neuron:

* 25 peratus pada hari lahir (cukup bulan).

* 50 peratus pada usia enam bulan.

* 85 peratus pada usia tiga tahun.

* 95 peratus pada usia enam tahun.

* Usia tujuh tahun asas akhlak terbina.

* Usia 10 tahun mampu berfikir, faham dan rela melakukan solat.

* Usia akil baligh sudah mula menanggung fardu ain dan fardu kifayah atas dasar akidah dan iman.


Baju sekolah memang 'seksi'

Muslimat PAS bersetuju dengan saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menggesa pakaian seragam pelajar perempuan diganti kerana jarang dan boleh mengundang gangguan serta jenayah seks.

Bagaimanapun setiausaha dewan itu Aiman Athirah Al Jundi berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit)," katanya.

"Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai coli tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara apabila warna pakaian dalam mereka lebih terang atau kontra dengan seragam putih yang mereka pakai.

"Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah apabila hari hujan."

Dalam kenyataannya hari ini, Aiman Athirah berkata cadangan PKPIM Khamis lepas kepada Kementerian Pelajaran itu "sangat bertanggungjawab dan munasabah" dengan mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah.

Saranan naib presiden hal ehwal wanita PKPIM Munirah Bahari mengundang perdebatan kerana tidak ramai yang bersetuju dengan baju sekolah sekarang "seksi" dan boleh mendatang gangguan serta jenayah seks.

Sabtu lepas, menteri pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menganggap pakaian kini tidak seksi.

Beliau juga berkata kementerian tidak berhasrat membuat pertukaran seragam itu dalam tempoh terdekat seperti gesaan persatuan pelajar tersebut.

Dewan Muslimat menyatakan pakaian tetap menjadi satu daripada beberapa faktor "pemangkin" berlaku dan meningkatnya jenayah seks.

"Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seks misalnya, maka setiap faktor perlu dikenal pasti.

"Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian," kata Aiman Athirah.

Beliau juga tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang beranggapan pakaian sebagai isu peribadi dan bukan faktor yang mendorong gangguan seks.

"Dewan Muslimat percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seks adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpulan kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara," tambahnya.

Muslimat PAS menyarankan agar PKPIM segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks.

Ulasan : Menteri Pendidikan perlu mengambil perhatian serius terhadap isu ini. Sekurang-kurangnya dengan penukaran baju sekolah di kalangan pelajar perempuan, kita dapat mencegah seks bebas yang kini semakin menular di kalangan pelajar sekolah.

DUN S'gor lulus usul tergempar ISA


Usul tergempar mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi membantah penahanan berlanjutan seorang wakil rakyat negeri itu.

M Manoharan (foto), yang menang atas tiket DAP kini ditahan di kem Kamunting, Taiping sejak Disember lepas.

Usul tersebut dibawa oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku (DAP), Lau Wen Sang, lewat petang ini dan dibahaskan sehingga awal malam.

Usul bersejarah itu berbunyi: "Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."

Ia diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor tepat jam 9 malam ini. Semua Adun BN tidak menyertai perbahasan tersebut yang bermula jam 6 petang tadi.

Manoharan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.

Usul itu disokong dan dibahaskan oleh enam wakil rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA - Dr Mohamad Nasir Hashim (DAP-Kota Damansara) dan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang).

Turut serta dalam perbahasan itu barisan Adun muda Pakatan Rakyat: Gan Pi Nee (PKR-Rawang), Hannah Yeoh (DAP-Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia) dan Amirudin Shari (PKR-Batu Caves).

Dalam ucapannya, Lau turut menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.

"ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl," kata Lau, yang juga setiausaha DAP negeri.

"Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat."

Ulasan : Benar ISA suatu akta yang tidak memberikan hak yang wajar kepada yang ditahan. Kadangkala sehingga pembebasan mereka pun, tahanan ISA tidak dibawa ke mahkamah dan tidak pula didedahkan bukti yang menunjukkan mereka bersalah. Allah bersama orang yang dizalimi.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude