Selasa, 18 Mac 2008

Hikmah di sebalik menang, kalah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kekalahan beri iktibar agar umat Islam tidak alpa teruskan perjuangan

KEJAYAAN dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan adalah lumrah kehidupan yang pasti ditempuh setiap manusia. Ia tidak hanya berlaku dalam dunia permainan atau perlawanan bola sepak, malah berlaku dalam bidang lain seperti politik, peperangan dan perniagaan.


Namun, tidak semua orang dapat menerima berita kejayaan mahu pun hakikat kegagalan dengan hati terbuka. Ada yang tidak dapat menahan kegembiraan apabila memperoleh kejayaan yang diharapkan dan ada yang sanggup melakukan perbuatan khianat kerana tidak menerima kegagalan yang dihadapinya.

Begitulah cermin kehidupan yang dapat kita gambarkan melalui pengalaman hidup. Setiap daripada kita pasti merasai saat dan detik itu. Ada masanya kita mengecapi kejayaan dan berada di kemuncak kemenangan dan ada kala kita diuji dengan kegagalan serta kepahitan yang sukar untuk diterima.

Al-Quran memberikan isyarat jelas mengenai sunnah kehidupan yang mewarnai kehidupan ini di bawah ketentuan dan ketetapan Allah. Dalam surah Ali 'Imran, Allah merakamkan peristiwa kekalahan yang memeritkan dialami tentera muslimin apabila mereka kalah teruk kepada tentera Quraisy dalam peperangan Uhud walaupun sebelum itu mereka merintis kejayaan penuh gemilang pada peperangan Badar al-Kubra.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang yang beriman (daripada dosa mereka) dan membinasakan orang kafir." - (Surah Ali 'Imran, ayat 140-141)

Meminjam kata Syed Qutub dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran (Di bawah bayangan al-Quran) ketika menafsirkan ayat itu, beliau menjelaskan bahawa kekalahan itu ada tersurat dan tersirat hikmahnya yang tersendiri.

Antara hikmah itu ialah setiap Muslim sewajarnya menginsafi dan menyedari bahawa kemenangan sebenarnya adalah hasil atau natijah yang bertitik tolak daripada daya usaha serta perjuangan manusia sendiri. Justeru, mereka tidak boleh berpeluk tubuh dan mengharapkan kemenangan dengan hanya menanti faktor bantuan mukjizat Ilahi.

Selain itu, peristiwa berkenaan mengungkapkan satu pengajaran bahawa kejayaan dan kemenangan sebenarnya tidak boleh datang dengan sendirinya, sebaliknya ia banyak dipengaruhi pelbagai faktor dan sebab yang memudahkan peluang ke arah meraih sesuatu kejayaan diimpikan seperti kekuatan ekonomi, keutuhan sosial, kemantapan akidah, keadilan politik dan juga keluhuran budi pekerti.

Semua faktor itu adalah antara prasyarat dan persediaan penting serta memberi pengaruh yang turut sama menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. Lanjutan itu, umat Islam sewajarnya memahami erti kehidupan di dunia ini yang sarat dengan perjuangan dan pertarungan sengit.

Oleh itu, kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada sunnah Allah. Bagi orang yang beriman, mereka sudah tentu dapat memahami konsep itu kerana mereka meyakini bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.

Walau bagaimanapun, setiap Muslim mesti menyedari bahawa setiap kejayaan masih terikat dan bergantung kepada sebab-musabab iaitu daya usaha dan persediaan yang dilakukan pada peringkat awalnya. Pendek kata, kemenangan dan kegagalan bersifat dinamik dan tidak bersifat statik.

Jika diimbas kembali sirah Rasulullah SAW untuk dijadikan peringatan dan pengajaran kepada umat Islam, kita dapati betapa Rasulullah sendiri mengalami peristiwa suka duka dan pahit manisnya dalam perjuangan menyebarkan dakwah Islam.

Contohnya, dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW tampil sebagai pemimpin yang mengatur barisan tentera muslimin berjumlah 313 orang menentang tentera Quraisy yang jauh lebih besar bilangannya lengkap dengan senjata canggih dan hebat ketika itu.

Namun, tentera Islam berbekalkan keimanan yang kental kepada Allah dan yakin dengan janji Allah di samping strategi peperangan tersusun, mereka mampu mencipta kemenangan gemilang menundukkan musuh Islam yang bongkak, jumlahnya ramai dan senjata yang lengkap.

Berita kemenangan ini sudah pasti menjadi pemangkin kepada tentera Islam ke arah penyebaran dakwah Islam ke seluruh tanah Arab.

Kemudian ternyata kemenangan tidak selalunya berpihak kepada tentera Islam. Apabila peperangan Uhud meletus, baginda bersama tentera Islam berjuang menentang kaum Quraisy akan tetapi kali ini tentera Islam mengalami kekalahan walaupun taktik peperangan sudah disusun daripada awal lagi.

Sebenarnya, dalam peperangan itu tentera Islam sudah hampir mencapai kemenangan tetapi pada saat akhir peperangan, mereka berubah niat dan tujuan iaitu merebut harta rampasan perang yang tersadai berbanding berjuang kerana Allah.

Serentak itu, mereka mula lupa diri dan terus melanggar arahan serta perintah Rasulullah SAW, akibatnya tentera Islam berpecah belah dan akhirnya kekalahan menimpa. Daripada itu barulah tentera Islam menyedari betapa kekalahan berpunca daripada kesilapan mereka sendiri iaitu mengingkari arahan baginda dan sudah pasti menerima pengajaran di sebalik peristiwa itu dengan penuh keinsafan dan kesabaran.

Malah, kegagalan itu menguatkan lagi semangat juang dan keimanan mereka kepada Allah. Dari satu segi yang lain, tentera Quraisy meraikan kemenangan mereka setelah berjaya menebus kekalahan dalam peperangan yang lalu.

Kemenangan dan kekalahan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui setiap insan. Apa yang penting, tidak kira sama ada kemenangan mahu pun kekalahan, sebagai seorang Islam semestinya bersedia untuk terus tabah berjuang menyusuri liku hidup yang penuh onak dan duri. Jangan kita alpa dibuai kemenangan dan jangan berduka nestapa atau bersikap pesimis apabila berhadapan kekalahan dan kegagalan.



Bercanggah pendapat -- * MB Perak mahu teruskan DEB * MB Selangor mahu hentikannya




KUALA LUMPUR 17 Mac – Pakatan pembangkang hari ini memperlihatkan perbezaan pendapat yang ketara apabila kerajaan pimpinan mereka di dua negeri tidak sehaluan berhubung pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketika Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahu meneruskan pelan pembangunan kerajaan terdahulu termasuk pelaksanaan DEB, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula bertegas dasar itu tidak perlu dilanjutkan.

Di KUALA KANGSAR, Mohammad Nizar berkata, Kerajaan Negeri Perak yang baru akan meneruskan projek dan pelan pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini termasuk DEB tetapi ia tidak akan melaksanakan hukum hudud yang pernah diperjuangkan oleh pimpinan Pas di Perak.

Katanya, isu pelaksanaan hukum hudud dan penghapusan DEB tidak timbul sama sekali dalam kerajaan campuran yang diterajui DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

‘‘Hukum hudud tidak timbul di negeri Perak dan kita tidak menghapuskan DEB. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun tidak menyatakan (menghapuskan DEB).

‘‘Oleh itu, mana-mana dasar yang baik kepada rakyat akan diteruskan.

“Dasar yang ada diskriminasi akan dihentikan kerana kita mahu adil kepada semua kaum termasuk Orang Asli sekalipun,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pagi ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan manifesto yang dikemukakan semasa pilihan raya umum lalu.

Pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Mohammad Nizar berkata, projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan BN akan tetap diteruskan.

Di SHAH ALAM, Abdul Khalid pula berkata, DEB tidak perlu dilaksanakan kerana hanya golongan tertentu yang mendapat manfaat daripadanya.

Sambil mengakui beliau antara yang turut mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid mendakwa, ketika ini dasar berkenaan hanya mementingkan orang Melayu yang berada dalam lingkungan kepimpinan UMNO serta segelintir kaum Cina dan India yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan itu.

‘‘Terdapat pihak tertentu di Selangor mengatakan saya telah melupakan DEB kerana saya adalah antara mereka yang boleh ditonjolkan sebagai menerima rahmat daripada DEB.

‘‘Saya berterima kasih tentang penerimaan itu tetapi terdapat penyelewengan DEB selepas ia dilaksanakan pada 1970-an. Bila sampai 1990-an, kita dapati DEB disalahgunakan.

‘‘Pada saya, apa gunanya satu dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik,’’ kata Menteri Besar Selangor itu yang juga Setiausaha Agung PKR.

Abdul Khalid bercakap pada sidang akhbar bersama penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR termasuk calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor Jumaat lalu dilaporkan mendakwa DEB gagal memberi faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

Baginya, dasar yang diperkenalkan pada 1971 itu dan diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sekarang tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum.

Ekoran kenyataan itu, Abdul Khalid ditempelak oleh para pemimpin UMNO memandangkan beliau pernah terlibat melaksanakan DEB ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengendalikan skim Amanah Saham Nasional (ASN) serta Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Para pemimpin UMNO menegaskan, sebagai individu yang mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang menghina dan tidak menghormati orang Melayu.

Mengulas dakwaan itu, Abdul Khalid berkata, semasa menerajui PNB, beliau melaksanakan DEB secara menyeluruh dengan lebih lima juta orang Melayu mendapat manfaat daripadanya ketika beliau meninggalkan organisasi itu.

‘‘Namun, DEB selepas itu tidak lagi dibuat secara menyeluruh sebaliknya secara terpilih, itu yang menyebabkan saya mencadangkan tidak boleh lagi menggunakan DEB. Ia bukan sahaja mendiskriminasi kaum tetapi mendiskriminasi bangsa Melayu sendiri,’’ katanya.

Mengulas tuduhan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bahawa beliau umpama ‘kacang lupakan kulit’, wakil rakyat Ijok itu berkata: ‘‘Saya hendak betulkan ‘kacang dan kulitnya’ sekali supaya Selangor yang maju bererti maju untuk semua.’’

Ulasan : Utusan nampaknya cuba melaga-lagakan dua Menteri Besar dari Barisan Alternatif ini. Apapun kita yakin DEB akan disemak semula bagi memastikan pendapatan kekayaan negeri yang adil buat semua kaum.

Yang tersungkur, yang dilantik - Warna warni politik


Tiada sepanduk sokong Shahidan

Ia termasuk sepanduk dari Umno dan parti-parti komponen BN yang menyokong pelantikan Dr Md Isa sebagai menteri besar.

Manakala sepanduk-sepanduk menyokong Shahidan Kassim sudah tidak kelihatan lagi.

Kelmarin Dr Md Isa berkata pelantikannya dibuat berdasarkan sokongan majoriti Adun BN di negeri tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Lapan Adun tersebut ialah Yip Sun Onn (ADUN Titi Tinggi), Mohd Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan), Abdul Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Mat Hassan (Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (Kayang) dan Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (Pauh).

Akhirnya semua kebingungan dan keresahan politik di Perlis berakhir petang ini apabila sah wakil Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu, mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru.

Upacara tersebut berlangsung di Istana Arau pada jam 5.30 petang tadi dan berakhir kira-kira jam kemudiannya.

Majlis itu menamatkan krisis selama seminggu yang bermula ekoran kelewatan majlis angkat sumpah pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim kepada jawatan itu untuk penggal keempat.

Shahidan satu-satunya wakil rakyat BN yang tidak hadiri di majlis itu.

Pagi tadi, kira-kira 5,000 penyokong Dr Md Isa menyambut kepulangannya dari Putrajaya tadi.

Majlis sambutan itu diadakan di tapak pasar malam, di luar stadium utama di Kangar.

Kesemua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong Dr Md Isa turut hadir di majlis tersebut.

Hadir sama ialah Adun tunggal PAS (Simpang Empat) Rus'selle Ezlan sebagai menyokong pelantikan Dr Md Isa.

Sepanduk menyokong pelantikan beliau juga dinaikkan di sepanjang menuju ke bandar Kangar.



Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS

Upacara tersebut berlangsung jam 11.40 pagi tadi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak.

Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar yang ke-10.

Mohammad Nizar yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, menjadi wakil pertama daripada parti selain Umno, yang menyandang jawatan menteri besar di Perak.

Kesemua sembilan menteri besar Perak sebelum ini adalah daripada Umno semasa gabungan Perikatan dan selepas Barisan Nasional (BN) diwujudkan.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang itu memenangi 31kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN menang 28 kerusi. Ekoran itu, barisan pembangkang tersebut sepakat untuk untuk membentuk kerajaan campuran.

Mohammad Nizar memenangi kerusi DUN Pasir Panjang. Beliau merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Hari ini juga merupakah hari lahir Mohammad Nizar, selepas majlis itu yang dijadualkan Khamis lalu, terpaksa ditangguhkan kerana DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat dalam penubuhan kerajaan campuran.

Bernama juga melaporkan, beliau yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk V. T. Singam.

Hadir sama di istiadat tersebut ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Turut hadir di majlis angkat sumpah hari ini adalah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Bertutur banyak bahasa

Semalam, ketika menghadiri sebuah forum di Ipoh, Nizar telah mengejut para hadirin apabila bercakap dalam Mandarin, Hokkien, Cantonese, Tamil, dan kemudiannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Forum bertajuk "Apa Selepas Ini" adalah anjuran akhbar Guang Ming Daily, Sin Chew Daily, Eye Asia dan Sin Chew-i di Dewan Dou Mu in Ipoh dan dihadiri oleh 3,000 orang.

Mohammad Nizar menyertai PAS pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi parlimen Kuala Kangsar dalam pilihanraya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau yang ditemani isterinya Fatimah Taat pada majlis itu, mempunyai lapan orang anak - lima lelaki dan tiga perempuan.

Sepanjang berkecimpung dalam politik bersama PAS, beliau telah memegang beberapa jawatan iaitu bendahari badan perhubungan PAS Perak dan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar.

Menteri Besar Perak yang baru itu memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Anglo Chinese (ACS) Kampar sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Anglo Chinese (ACS) Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh, dan menyambung pengajian peringkat A-Level dan ijazah di England.

Beliau memulakan kerjayanya bersama Jabatan Kerja Raya sebelum menjadi jurutera Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).


Isnin, 17 Mac 2008

Analisis: Sistem dua parti mungkin realiti masa depan


Oleh Mohd Noor Yazid

SELEPAS meneliti keputusan pilihan raya umum kali ini yang sememangnya di luar jangkaan, wujud satu fenomena baru - apakah Malaysia kini sedang menuju kepada pembentukan sistem dua parti seperti berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Apa yang sedang berlaku sekarang dapat dilihat sebagai asas penting ke arah itu. Ini adalah proses yang biasa berlaku di negara sedang membangun menuju kepada taraf negara maju.


Negara maju seperti AS dan UK hanya terdiri daripada dua parti politik utama. Misalnya, Parti Buruh dan Konservatif di UK serta Republikan dan Demokrat di AS. Rakyat boleh memilih mana satu yang lebih baik dan lebih menjamin kesejahteraan mereka. Kerajaan saling bertukar dalam beberapa penggal. Apabila ini berlaku, maka kedua-dua parti utama akan lebih bersaing dan masing-masing memperbaiki kedudukannya supaya lebih diterima oleh rakyat secara majoriti. Ini tidak sekali-kali memburukkan mana-mana parti, tetapi apa yang penting, masing-masing memperbaiki mutu pentadbiran dan perkhidmatan supaya lebih diterima oleh rakyat dalam pilihan raya. Apakah ini akan berlaku apabila negara kita mencapai status negara maju menjelang 2020?


Kalau benar tahap negara maju itu ingin dicapai dan tercapai, maka tahap pemikiran dan struktur parti politik harus juga menuju dan berada pada tahap itu. Kita harus membuang pandangan bahawa hanya sebuah parti politik mampu membentuk kerajaan, manakala parti yang satu lagi tidak layak dan tidak mampu membentuk kerajaan yang baik dan cekap. Pentadbiran pembangkang di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak adalah ujian tahap pertama bagi pembentukan sistem dua parti. Imbangan 140:82 dalam Parlimen adalah satu kombinasi yang agak baik iaitu BN yang merangkumi 14 parti komponen memperoleh 140 kerusi Parlimen dan 82 lagi pembangkang. Dengan kedudukan 140:82 itu, kerajaan tidak terlalu lemah, manakala pihak pembangkang tidak juga lemah tetapi mempunyai ruang dan mampu menjana serta menegur apa yang dilakukan kerajaan.



Sidang Dewan Rakyat yang lebih terbuka juga perlu didedahkan kepada orang ramai supaya rakyat mengetahui apa dibincangkan oleh wakil yang mereka pilih di kawasan Parlimen masing-masing. Kalau wakil itu benar-benar berwibawa, mereka akan terus menyokong tetapi sebaliknya jika tidak seperti diharapkan, ganti dengan calon lain yang lebih baik dan berkesan, pada pilihan raya akan datang.


Perubahan ini harus bermula sekarang dalam usaha kita mencapai status negara maju. Kita jangan lagi takut meminda pemikiran baru dalam arus politik pilihan raya. Kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan harus terbuka serta menerima kritikan membina bagi kemajuan bangsa dan negara secara terbuka. Kita bukan ingin mengubah segala 'kontrak sosial' yang dibentuk oleh negarawan dan pemikir awal yang membentuk asas negara, cuma memperbaiki di mana yang mungkin agar kita menjadi lebih baik selaras dengan misi dan visi negara menuju negara maju. Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 tidak ada apa cacat celanya. Ia adalah satu paparan suara rakyat dalam amalan demokrasi berparlimen.


Kuasa yang diberikan rakyat kepada sesebuah parti adalah bukan milik yang bersifat mutlak. Ia adalah sementara selagi amanah dan tanggungjawab tertunai, selagi itu mandat diberi. Masing-masing pihak yang bertanding harus menerima dengan hati terbuka dan sifat terbuka tanpa menuding jari siapa yang bersalah dan siapa yang lebih layak. Kalah menang dalam pertarungan adalah adat yang mesti diterima oleh semua pihak. Yang lebih penting daripada keputusan itu adalah sifat jujur dan persaingan yang bebas daripada penyelewengan. Yang penting ialah keputusan Pilihan Raya Umum 2008 adalah suara pilihan rakyat yang tidak diselewengkan.



Namun, keputusan itu memang mengejutkan semua pihak termasuk pembangkang apabila menang 82 kerusi Parlimen dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23). BN yang merangkumi 14 parti komponen mendapat 140 kerusi tetapi sebahagian besar kerusi dimenangi BN adalah di Sarawak (30), Sabah (24) dan Johor (25) iaitu sebanyak 79 kerusi atau 56.4 peratus. Lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikuasai pembangkang. Di lima negeri itu, calon BN sama ada daripada Umno, MCA, MIC atau Gerakan, kalah teruk. Yang paling mengejutkan ialah kejatuhan Perak dan Selangor kepada pembangkang, manakala Pulau Pinang dan Kelantan tidak begitu mengejutkan kerana ada pihak meramalkan bahawa ini akan berlaku.



Negeri yang masih dikuasai BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang juga menunjukkan pengaruh sokongan kepada BN semakin menurun. Pas pula mula menapak di Johor dan Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, jumlah undi diperoleh Pas meningkat di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan. Pencapaian BN dalam pilihan raya kali ini adalah yang terburuk pernah dicapai iaitu 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada 222 semua kerusi Parlimen. Pencapaian itu lebih teruk berbanding pilihan raya 1969 (66 peratus), 1990 (70.5 peratus) dan juga 1999 (76.68 peratus). Pada 1990, prestasi BN merosot berikutan perpecahan dan krisis dalaman antara kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan terbentuknya Team (kumpulan) A dan Team B.



Pada pilihan raya umum 1999 pula, kemerosotan adalah berkaitan langsung dengan krisis politik berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Kabinet dan Umno pada September 1998, dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai sasaran utama. Tetapi konflik besar yang berlaku dalam negara ketika itu, tidak membawa kepada kemerosotan yang begitu teruk terhadap pencapaian BN. Faktor yang membawa kepada merosotnya pengaruh BN ini bukan disebabkan satu faktor tunggal, sebaliknya gabungan beberapa faktor yang saling berkait antara satu sama lain. Faktor kepemimpinan atasan, dasar kerajaan, kenaikan harga barang, harga petrol, isu tol lebuh raya, calon yang tidak berpuas hati, perpecahan sesama ahli dalam parti yang bertanding dan sebagainya mempengaruhi keputusan pilihan raya kali ini. Kalau dikatakan faktor kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin nombor satu yang membawa kepada kemerosotan pilihan raya kali ini adalah tidak begitu tepat.



Mungkin ada benarnya kepemimpinan Pak Lah ada kaitan dengan pencapaian yang lemah tetapi ia tidak boleh dipersalahkan sebagai faktor utama. Ketika Pilihan Raya Umum 1999, banyak pihak tidak bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir, tetapi ia gagal mengurangkan majoriti dua pertiga. Ini bermakna satu faktor tunggal tidak begitu berjaya mempengaruhi keputusan sesuatu keputusan pilihan raya. Apa yang berlaku ini boleh dilihat sebagai satu proses kematangan dalam demokrasi dan pilihan rakyat di Malaysia. Kita sekarang sudah memasuki setengah abad kedua selepas merdeka. Banyak faktor sudah berubah.



Yang paling jelas adalah tahap pemikiran dan proses membuat keputusan sebahagian besar rakyat sudah berubah. Tahap pemikiran dan pencapaian ilmu sebahagian besar rakyat semakin bertambah baik. Ini ditambah lagi dengan kemudahan teknologi taklimat dan jaringan perhubungan yang jauh berbeza dalam tempoh masa 10 tahun lalu. Semua ini mempengaruhi kepada pola keputusan pengundian dalam pilihan raya 8 Mac 2008 lalu. Semua ini kelihatan bagaikan menjurus ke arah pembentukan sistem dua parti. Bersediakan kita semua ke arah itu?

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude