Ahad, 24 Februari 2008

Gelanggang dibuka -- Hampir 1,500 calon dijangka kemuka pencalonan hari ini


KUALA LUMPUR 23 Feb. – Gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-12 mula dibuka esok(hari ini) apabila hampir 1,500 calon dijangka mengemukakan pencalonan masing-masing di seluruh negara seawal pukul 9 pagi.

Lebih 200 pusat penamaan calon yang dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menjadi tumpuan mereka dan para penyokong parti-parti politik mahupun calon bebas.

Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di semua 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini, manakala parti pembangkang dijangka turut menurunkan calon masing-masing bagi memastikan semua kawasan yang ditandingi BN dicabar.

Jika formula satu lawan satu yang dirancang oleh pakatan pembangkang menjadi, pilihan raya kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit di semua kawasan.

Kecuali berlaku kesilapan teknikal sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum 2004 yang membolehkan 17 calon menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen dan 12 bagi kerusi DUN.

Antara kawasan panas yang menjadi tumpuan ialah kerusi Parlimen Permatang Pauh, Bagan, Marang, Kuala Terengganu, Bukit Bintang, Pasir Mas, Ipoh Barat, Pendang dan Sik.

Turut menarik perhatian ialah beberapa kawasan yang menampilkan personaliti seperti Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Parlimen Tasek Gelugor; Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Parlimen Rembau; Exconya, Datuk Mukhriz Mahathir (Jerlun); Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Esok, pusat-pusat penamaan yang ditempatkan di pejabat daerah, dewan majlis perbandaran, dewan serba guna, sekolah, balai raya dan stadium akan dibuka dari pukul 9 hingga 10 pagi untuk menerima kertas pencalonan.

Ini diikuti dengan tempoh bantahan selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan nama-nama calon sekiranya ada pertandingan.

Mengikut peraturan SPR, calon kerusi Parlimen disyaratkan membayar deposit RM10,000 semasa mengemukakan kertas pencalonan, manakala RM5,000 pula bagi kerusi DUN.

Selain syarat lama iaitu pencadang dan penyokong mesti daripada kalangan pengundi berdaftar di tempat yang hendak ditandingi, semua calon juga perlu mengemukakan borang Akuan Bersumpah serta duti setem yang dibayar atau mungkin menghadapi risiko kertas pencalonan mereka ditolak.

Berhubung soal penamaan calon esok, SPR meminta calon yang bertanding agar tiba lebih awal di kawasan penamaan masing-masing sebelum pukul 9 pagi bagi mengelak sebarang kesulitan.

Di MELAKA, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengingatkan calon supaya datang awal kerana sebarang kertas penamaan yang dikemukakan selepas pukul 10 pagi tidak akan dilayan.

Mengulas tindakan Pas mempersoalkan syarat duti setem RM10 ke atas calon, beliau berkata, ia tidak perlu diperbesarkan.

‘‘SPR bukan sengaja nak wujudkan (syarat baru). Jabatan Peguam Negara baru sahaja maklumkan kepada kita yang duti setem diperlukan agar selaras dengan undang-undang,’’ katanya.

Di PEKAN, dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menunjukkan kematangan semasa proses pilihan raya dengan memastikannya berjalan secara aman dan berkesan.

Beliau menasihati semua penyokong parti yang bertanding supaya tidak bertindak ganas, sebaliknya bersikap rasional pada hari penamaan calon esok.

Menurut beliau, kejadian seperti pergaduhan ketika proses penamaan calon tidak seharusnya berlaku memandangkan negara telah menjalani proses pilihan raya sebanyak 11 kali sejak merdeka.

‘‘Esok merupakan kali yang ke-12 kita menjalani proses pilihan raya dan tidak sepatutnya berlaku kejadian tidak diingini seperti pergaduhan di kalangan penyokong,” katanya.

Sejumlah 10,922,139 pemilih berdaftar termasuk 221,085 pengundi pos, layak mengundi pada pilihan raya kali ini berbanding 10.3 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-11.

Pada pilihan raya umum lepas, SPR menerima 449 pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 1,121 pencalonan bagi kerusi DUN daripada sembilan parti politik dan calon-calon bebas.

SPR juga akan terus menggunakan kertas undi tanpa nombor siri selepas memperkenalkannya pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2006.

Seramai 149,000 kakitangan SPR dan 50,000 pekerja am ditempatkan di seluruh negara bagi membantu perjalanan pilihan raya umum kali ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menggerakkan 60,000 anggotanya untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan atau gangguan.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 199 kerusi Parlimen, DAP (12), Pas (enam) dan satu masing-masing oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon bebas.

Di peringkat DUN, semua negeri kecuali Kelantan, BN berjaya membentuk kerajaan.


Ulasan : Semoga PRU-12 kali ini berjalan dengan telus. Penamaan calon hari ini sangat penting untuk rakyat menilai di antara mereka yang mana kaca dan yang mana permata. Jika masih ada yang ragu untuk memilih calon-sila rujuk http://www.saifulislam.com di bawah artikel Muslim atau Islam. Selamat mengundi!


Sabtu, 23 Februari 2008

BN mula goyah?


KANGAR 22 Feb. - Pengumuman senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) Perlis bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 yang sepatutnya dibuat lewat malam ini terpaksa ditangguhkan lagi sehingga pagi esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana beliau kesuntukan masa untuk mengumumkannya hari ini disebabkan terdapat 'sedikit masalah teknikal'.

"Memang sepatutnya saya umum hari ini tetapi ada sedikit masalah teknikal, jadi saya terpaksa tangguhkan pagi esok yang akan diadakan kira-kira pukul 9 pagi di Dewan 2020 di Kangar," katanya ketika dihubungi semasa dalam perjalanan pulang ke Kangar dari Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Besar Perlis itu sebelum ini dilihat beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya sejak Selasa lalu bagi memuktamadkan senarai calon BN negeri itu.

Shahidan hari ini juga memberitahu pemberita di Putrajaya bahawa beliau kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang yang disandangnya sejak 1995.

Pengesahan Shahidan itu sekali gus melenyapkan desas-desus bahawa beliau akan digugurkan atau berpindah ke kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.

Ditanya apakah masalah teknikal itu, Shahidan berkata: "Ada pihak lain yang telah umumkan dahulu senarai calon di Kuala Lumpur. Saya tak tahu macam mana dia boleh umum. Saya yang sepatutnya umumkan senarai itu sebab saya pengerusi BN negeri."

Shahidan merujuk laporan Bernama di Kuala Lumpur yang memetik sumber mengenai kedudukan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad di Parlimen Kangar dan empat kerusi DUN di bawahnya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, penangguhan dibuat kerana beliau juga perlu berjumpa dengan semua pemimpin dan ahli UMNO negeri terlebih dahulu.

"Saya perlu berjumpa dengan semua ahli UMNO di ketiga-tiga bahagian di Perlis untuk meminta mereka menarik semula peletakan jawatan masing-masing yang dibuat pagi ini.

"Saya perlu jumpa dan bercakap dengan mereka kerana mereka ini orang penting di bahagian masing-masing dan tidak sepatutnya meletak jawatan," katanya.

Shahidan merujuk kepada kira-kira 60 ahli jawatankuasa (AJK) UMNO, sebahagian besarnya dari bahagian Arau yang menyerahkan surat peletakan jawatan dalam parti kepada beliau, Presiden UMNO dan Setiausaha Agung UMNO hari ini.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas terdapat spekulasi bahawa Shahidan tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya kali ini yang boleh menyebabkannya kehilangan jawatan Menteri Besar.

Beberapa AJK Bahagian dari Kangar dan Padang Besar turut meletak jawatan. Keputusan itu dibuat kira-kira pukul 4 pagi ini di kediaman rasmi Menteri Besar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu, tindakan peletakan jawatan dibuat disebabkan pucuk pimpinan parti gagal memberi perhatian kepada senarai calon yang dicadangkan oleh UMNO bahagian.

Mengikut senarai yang diedarkan kepada pemberita, AJK daripada tiga bahagian berkenaan yang meletak jawatan termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Senator Datuk Ismail Kassim yang juga adik Shahidan; Ketua Puteri Negeri, Rozieana Ahmad; Setiausaha Bahagian, Sehidan Ismail dan AJK Bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Zahari Bakar.

Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia malam tadi di beberapa lokasi di sekitar Perlis terutama di kawasan DUN Tambun Tulang iaitu kawasan Shahidan bertanding mendapati bendera BN yang sebelum ini dipacak di merata-rata kawasan bertaburan di tepi jalan raya.

Tiang-tiang bendera yang dipacakkan di sepanjang jalan raya pula dipatahkan manakala beberapa bilik gerakan BN dirosakkan dan ditutup.

Tindakan itu dipercayai dilakukan setelah tersebar spekulasi bahawa Shahidan tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

Beratus-ratus penyokong beberapa bekas wakil rakyat BN yang tidak dicalonkan semula membantah keputusan pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh dengan berdemonstrasi, termasuk di depan kediaman rasminya.

Tanpa mengira siang dan malam, siri bantahan itu berlanjutan hingga hari ini sejak Rabu, hari Idris membuat pengumuman calon-calon.

Bantahan mula kelihatan pada sebelah petang Rabu di depan pejabatnya di Wisma Darul Iman dan berlarutan hingga sebelah malam dalam tempoh beberapa hari ini.
Bantahan di Wisma Darul Iman
Tidak berlaku dalam sejarah
Pertukaran calon Kemasik

Ulasan : Yakinlah dengan janji Allah, apabila datang pertolongan dari Allah (dengan syarat kita memenuhi syarat-syaratnya), maka kamu akan lihat berbondong-bondong orang masuk ke dalam Islam-Tafsir Surah al-Nasr. Adakah ini di antara tanda-tandanya?

Isnin, 18 Februari 2008

Mengimbau pilihanraya zaman dulu

Oleh Ziauddin Sharuddin

SISWA Institut Teknologi Mara (ITM) membantu proses pengiraan undi di Universiti Malaya pada 1969.

TUNKU Abdul Rahman sedang berucap ketika berkempen di Perak dalam Pilihan Raya Umum 1959

Pilihan raya lalu jauh berbeza: Kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh dan biskut, untuk diberikan kepada tuan rumah

GENDANG sudah dipalu dan hanya menanti tari mengikut rentak. Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu, akhirnya menjawab teka-teki mengenai pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, demam pilihan raya sebenarnya sudah melanda seluruh pelusuk negara sejak berbulan-bulan lalu.


Apabila gendang dipalu secara rasmi, bermakna bilik gerakan parti politik yang sudah dibuka kini mula beroperasi. Poster dan bendera pula sedia ditampal dan digantung. Di kalangan parti politik, senarai calon yang bakal bertanding kini memasuki peringkat akhir sebelum diumumkan.

Bagaimanapun, pilihan raya bukan hanya untuk ahli politik. Inilah masa rakyat menjadi raja untuk membuat pemilihan bijak hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

Walaupun zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di khalayak ramai masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.

Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang turut dijadikan saluran berkempen. Itulah bezanya pilihan raya dulu dan sekarang.

SUDAH terang lagi bersuluh. Ketibaan pilihan raya umum ke-12 amat dinanti-nantikan, terutama di kalangan pengundi baru. Jika sebelum ini hanya melihat dan mendengar cerita orang lain, kali ini berpeluang memasukkan sendiri kertas undi ke dalam peti.

Mereka yang pernah mengundi juga menantikan kehadiran pilihan raya untuk menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai warga negara memilih calon dan parti yang membentuk kerajaan serta memerintah negara.

Menjelang pilihan raya umum ke-12, sebahagian besar penduduk negara tidak tahu atau ingat permulaan pilihan raya umum di negara ini.

Pilihan raya pertama diadakan pada zaman penjajahan Inggeris, iaitu pada 27 Julai 1955, bertujuan menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Dalam pilihan raya yang membabitkan 52 kerusi, Parti Perikatan yang dianggotai Umno, MCA dan MIC bertanding di semua kawasan. Pencabar utama, Parti Negara meletakkan 33 calon dan Pas 14 calon.

Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak dan Parti Progresif Rakyat (PPP) hanya bertanding di Perak. Seramai 18 calon bebas turut bertanding di seluruh negara.

Dalam suasana kebangkitan rakyat untuk mendapat pemerintahan sendiri, Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman, mendapat kepercayaan pengundi dengan menang besar apabila meraih 51 kerusi. Baki satu kerusi menjadi milik Pas.

Selepas kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan sekali dalam tempoh lima tahun atau dewan dibubarkan lebih awal. Berikutan itu, pilihan raya pertama selepas kemerdekaan diadakan pada 1959.

Sebanyak 11 pilihan raya umum diadakan dengan kali terakhir pada 2004. Sepanjang tempoh itu, perubahan yang berlaku sejajar dengan kepesatan kemajuan negara menyebabkan pilihan raya pada peringkat awal sukar digambarkan oleh generasi sekarang.

Bayangkan ketika negara baru mencapai kemerdekaan dengan pelbagai kekurangan dari segi kemudahan jalan raya, bekalan elektrik hanya di kawasan bandar, manakala sebahagian rakyat dibelenggu buta huruf.

Mengimbas suasana ketika itu, Tan Sri Aishah Ghani, 85, yang bertanding di Parlimen Setapak pada pilihan raya umum 1959, banyak menyimpan pengalaman pahit manis ketika rakyat masih mentah dari segi pengalaman pilihan raya.

Pada tahun itu, Aishah tewas kepada Ahmad Boestaman, tetapi menang pada pilihan raya umum 1974, 1978 dan 1982 di Parlimen Kuala Langat.

"Kalau dibandingkan zaman dulu dan sekarang, pengundi sekarang jauh lebih canggih. Dulu pengundi perlu diajar kerana ramai yang bukan saja tidak boleh membaca dan menulis, malah tidak biasa mengundi.

"Saya bukan saja berkempen untuk kemenangan Perikatan, tetapi mengajar pengundi cara memangkah kertas undi," katanya.

Pada awal 1960-an, katanya berkempen di Selangor tidak sesukar menjelajah negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Kebanyakan kampung di pedalaman negeri itu, katanya tidak mempunyai jalan yang boleh dimasuki kenderaan, termasuk basikal.

Bekas Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno itu memberitahu calon dan ahli parti terpaksa berjalan kaki dari sebuah kampung ke kampung lain. Walaupun penat, terpaksa menggagahkan diri demi parti.

Katanya, kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh dan biskut, untuk diberikan kepada tuan rumah.

"Mereka terlalu miskin hingga tidak sampai hati datang dengan tangan kosong. Walaupun miskin, penduduk kampung sudi meluangkan masa untuk mendengar penerangan mengenai perjuangan Perikatan," katanya.

Berbeza dengan sekarang, katanya pilihan raya umum peringkat Parlimen dan Negeri pada 1959 tidak diadakan serentak. Pilihan raya Negeri diadakan pada Mei, manakala Parlimen berlangsung tiga bulan kemudian.

Katanya, ini menyebabkan keputusan peringkat Negeri memberi kesan terhadap pilihan pengundi peringkat Parlimen.

Veteran Umno Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 84, hanya bertanding pada pilihan raya umum 1978, tetapi aktif dalam politik sejak sebelum merdeka dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan pilihan raya.

Antara pengalaman lucu yang masih diingat ialah seorang pengundi menggigil selepas keluar dari pusat mengundi.

"Saya tanya mengapa menggigil. Lelaki itu beritahu saya, dia hendak mengundi kapal layar (lambang Perikatan), tetapi pada kertas undi, dia menulis tanda betul dan bukan pangkah. Dia keliru kerana tanda betul digunakan dalam kebanyakan urusan harian," katanya.

Faktor perubahan zaman, katanya menyebabkan kerja memasang poster dan bendera kini perlu dibayar.

Hingga akhir tahun 1970-an, katanya secawan kopi dan kuih sudah mencukupi sebagai tanda terima kasih kerana ahli parti lebih mengutamakan perjuangan parti.

Pada 1959, Abdul Aziz memberitahu beliau hanya ahli biasa parti, tetapi bekerja keras untuk memenangkan calon Perikatan.

"Satu perkara yang tidak berubah sejak dulu hingga sekarang, suasana pilihan raya umum meriah seperti pesta. Poster dan bendera dipasang di mana-mana. Saya bersyukur kerana di Melaka, walaupun persaingan antara parti hebat, pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman," katanya.

Zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di khalayak ramai masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.

Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang kegunaannya bukan hanya digunakan untuk mengundi peserta Akademi Fantasia,

Jika pada zaman awal kemerdekaan, pengisian kemerdekaan seperti kemudahan asas, jalan raya, bekalan air dan elektrik dan peluang pendidikan menjadi isu utama, isu itu masih relevan hingga hari ini, ditambah dengan pelbagai perkembangan semasa.

Ulasan : Laman web dan blog berperanan semasa musim pilihanraya ini. Ya Allah, tunjukkanlah kami yang benar itu benar dan mudah kami mengikutinya, dan yang batil itu batil agar kami menajuhinya. Tidak salahkan kalau Negara Berkebajikan menjadi pilihan hati?



Kelantan Sakit ?



Oleh HERMAN HAMID


TAHUN 2008 Tahun Merawat Kelantan. Bunyinya ringkas tetapi mesejnya padat. Itulah slogan yang diguna pakai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Kelantan baru-baru ini. Pada masa yang sama, slogan itu boleh disimpulkan sebagai menggambarkan tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya ia dapat kembali menjadi kerajaan di Kelantan.


Di sini mungkin timbul persoalan apakah penyakit dan sejauh mana sakitnya Kelantan yang diperintah oleh Pas sejak 18 tahun lalu. Jika pada manusia, seseorang yang menghadapi penyakit boleh dilihat dari segi perubahan fizikal. Namun, dalam konteks sebuah kerajaan, untuk mencari penyakit tersebut, ia tentunya boleh dilihat secara keseluruhan dari mula Pas memerintah Kelantan pada tahun 1990 sehinggalah pada saat ini.


Sehubungan itu, secara ringkas Najib telah menggambarkan dalam pertemuannya dengan warga Kementerian Kesihatan Kelantan bahawa Kelantan sebenarnya mundur dalam semua aspek baik fizikal, kemanusiaan dan modal insan. Hakikat itu sebenarnya tidak dapat disangkal. Ia bukan kerana kelemahan rakyat Kelantan tetapi disebabkan ketidakupayaan kerajaan negeri melonjakkan negeri tersebut seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad, penyakit yang dialami Kelantan sekarang juga terbahagi kepada fizikal dan jiwa. Kata beliau, masalah fizikal di Kelantan sejak Pas memerintah memang jelas hinggakan ada yang berpendapat kerajaan Pas Kelantan lebih cenderung membina bangunan pejabat baru parti itu daripada menambah bilangan masjid yang sepatutnya menjadi agenda utama sebuah kerajaan Islam.


“Banding sahaja dengan negeri lain, kita boleh tahu di mana parahnya Kelantan sekarang dari sudut ini. Sama ada bekalan air, pendidikan melalui sekolah agama rakyat (SAR), sukan melalui Stadium Sultan Mohammed IV dan kemudahan lain, Kelantan memang terkebelakang. “Sementara penyakit jiwa pula ialah masalah rasa selesa kerajaan negeri dengan apa yang telah dilaksanakan walaupun hakikatnya terlalu banyak yang perlu diusahakan untuk membawa kemakmuran ke negeri Kelantan,” katanya.


Beliau menambah, jika dilihat lebih terperinci, penyakit itu berlaku kerana kerajaan Pas Kelantan yang ada sekarang lebih banyak bermain dengan retorik mengalunkan janji-janji yang sedap didengar. “Sedangkan hakikatnya lebih 250,000 rakyat Kelantan terpaksa bekerja di negeri orang. Ini membuktikan bahawa rakyat Kelantan tidak ada kurangnya malah ramai yang membuktikan mereka adalah modal insan kelas pertama.


“Namun, sayangnya kehebatan mereka tidak dapat disumbangkan di negeri kelahiran sendiri. Sebaliknya kepakaran mereka dicurahkan memajukan negeri orang kerana negeri-negeri yang diperintah BN itu mampu menyediakan peluang buat mereka. “Realiti ini mungkin terus berlaku selagi Pas memerintah. Bukan salah rakyat tetapi tokoh korporat Kelantan, ahli akademik Kelantan dan profesional Kelantan tidak ada peluang di negeri tanah tumpah darah mereka. “Kewangan Kelantan sendiri sakit sedangkan negara berjaya mengurangkan defisit dari tahun ke setahun. Defisit Kelantan pula sebaliknya semakin melebar,” jelasnya.


Mengulas hal ini, Presiden Alumni Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) Kota Bharu, Mohamad Zaidan Abdul Halim berkata, dasar-dasar Pas yang tidak konsisten termasuk dalam soal belia juga adalah satu penyakit. Sebagai contoh, dalam berhadapan dengan kemerosotan sokongan golongan muda, kerajaan Pas secara mendadak membenarkan perkara yang pernah diharamkannya seperti permainan snuker dan seni kebudayaan. Dahulu kedua-dua aktiviti itu diharamkan sewaktu sokongan terhadap mereka memuncak.


“Untuk memberi tajaan kepada skuad bola sepak Kelantan pun, kerajaan negeri susah nak buat hingga meminta jawatan dalam persatuan dulu. Inilah yang dikatakan penyakit di Kelantan yang utamakan politik dahulu sedangkan bola sepak sukan nombor satu negeri. “Namun, dari semua aspek, pastinya hal ekonomi cukup menggelisahkan golongan muda. Ramai yang menanti sampai bila hendak terus berlaku apabila tamat pengajian baik di sekolah atau universiti, mereka perlu merantau ke negeri orang.


“Sedangkan apa guna sekadar mengharap perantau membantu merancakkan perniagaan di Kelantan melalui kiriman wang bulanan berpuluh juta ringgit sebulan sedangkan kalau kerajaan yang berwibawa, lebih baik beri peluang ekonomi kepada mereka daripada hanya menunggu mereka menghantar wang,” ujarnya. Merungkai perkara ini, pemimpin veteran UMNO Kelantan, Datuk Rozali Isohak tidak menolak penyakit kerajaan negeri Kelantan sekarang adalah berjangkit daripada parti yang diwakili mereka.


Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Besar sewaktu bersama Semangat 46 dahulu berkata, yang peliknya sebahagian rakyat masih boleh menerima retorik yang dibawa Pas hingga mereka terus lena dibuai mimpi. “Rakyat ramai yang tidak sedar. Saya tak kata Pas jual pembohongan tetapi retorik yang dibawa mereka masih berkesan kerana mungkin barangkali yang bercakap itu bergelar ustaz-ustaz. “Tetapi sampai bila harus begini? Rakyat perlu sedar untuk masa depan yang lebih baik dan UMNO Kelantan sendiri perlu mendepani segala rintangan yang ada ini membawa perubahan kepada Kelantan yang disayangi ini,”jelasnya. Sehubungan itu, kuasa sekarang terletak di tangan rakyat Kelantan untuk menentukan kerajaan yang lebih berdaya saing dan berkemampuan melonjakkan negeri Kelantan.



ALOR STAR 17 Feb. – Kelantan tidak ‘sakit’ dan tidak memerlukan ‘rawatan’, kata Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mursyidul Am Pas itu ketika mempertahankan corak pemerintahan parti pembangkang itu di Kelantan berkata, Kelantan membangun mengikut acuan sendiri. Malah, menurut beliau, orang Melayu dan Cina di Kelantan hidup bagai adik-beradik dan menunjukkan kemesraan hidup bersama kerajaan yang berasaskan Islam.


“Rawat penyakit apa? Kalau penyakit kulit, jantung, buah pinggang, darah tinggi Kelantan ada hospital, ada doktor. Sudah lama Kelantan ada hospital ada doktor,” katanya pada sidang akhbar selepas memberikan ceramah di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut dekat sini malam tadi. Turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar.

Barisan Nasional (BN) pada 15 Februari lalu mengisytiharkan 2008 sebagai ‘Tahun Merawat Kelantan’ iaitu respons kepada perisytiharan ‘Tahun Melawat Kelantan 2008’ yang dibuat oleh kerajaan Pas. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kempen itu bertujuan memulihkan semula keadaan negeri ini yang ‘sakit’. Beliau berkata, kelemahan kerajaan Pas yang memerintah negeri ini sejak 1990 menyebabkan Kelantan mundur dalam semua aspek fizikal, kemanusiaan dan modal insan.


Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang Pas di Kelantan pada pilihan raya ini, Nik Abdul Aziz optimis parti itu mampu mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi.


ALOR STAR, 17 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan Umno dan BN supaya merawat diri sendiri dan tidak perlu merawat Kelantan, kerana di sana sudah ada doktor dan hospital tersendiri dan rakyat Kelantan sihat belaka.


"Umno yang perlu dirawat, beri Al-Quran Umno tolak, beri perintah Allah Umno tolak, cerita tentang kebaikan Islam juga Umno tolak, jadi seharusnya Umno yang mesti dirawat terlebih dahulu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks PAS Kedah, di sini sebaik selesai menyampaikan ceramah Perdana bersama Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr. Haron Din.

"Banyak penyakit dalam Umno, berebut pangkat, iri hati dan ini semua perlu diubati, tak mahu kepada Islam lebih berat, berubatlah segera, rakyat Kelantan dah ada doktor, dah ada hospital sendiri, kami aman di Kelantan," sambung beliau. Tuan Guru berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Perdana Manteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mendakwa kononnya BN bertekad mengambil-alih teraju kerajaan negeri bertujuan merawat Kelantan.


Ulasan : Bandingkan kenyataan di atas dan realiti yang berlaku. Apakah benar Kelantan sakit dan perlu dirawat atau negeri-negeri lain? Tepuk dada tanya iman dan fikir rasional.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude