Ahad, 17 Februari 2008

Gula-gula Pilihanraya

TEMERLOH 16 Feb. – Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan skim insurans berkelompok kepada kira-kira 112,000 peneroka di lebih 50 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan caruman premium ditanggung penuh oleh agensi tersebut.

Ketika mengumumkan penubuhan skim itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polisi insurans berkonsep syariah itu akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menurut beliau, tidak ada sebarang bayaran dikenakan ke atas peneroka termasuk jumlah premium sebanyak RM75 hingga RM80 seorang setahun.

‘‘Skim insurans ini bagi meningkatkan lagi tahap kebajikan peneroka setelah mengambil kira keperluan untuk melindungi mereka yang terlibat dalam pelbagai aktiviti di kebun dan aktiviti lain di tanah rancangan.

‘‘Skim ini akan membolehkan peneroka yang ditimpa bencana atau kemalangan menerima bantuan untuk meringankan beban mereka serta keluarga,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat dan penyerahan suratan hak milik tanah Felda di Felda Lakum dekat sini hari ini.

Seramai 503 peneroka menerima surat hak milik tanah atau geran seluas 10 hektar seorang pada majlis tersebut.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, premium bagi polisi insurans berkelompok itu melibatkan pembiayaan kira-kira RM9 juta setahun.

Beliau memberitahu, skim insurans itu melibatkan tujuh jenis pelan perlindungan meliputi kematian dan kemalangan diri iaitu bagi faedah kematian biasa, waris peneroka akan menerima perlindungan sebanyak RM10,000.

Katanya, bagi kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, keilatan kekal akibat kemalangan dan keilatan separuh kekal akibat kemalangan, waris turut menerima sebanyak RM10,000.

‘‘Felda akan membayar belanja pengebumian sebanyak RM3,000 manakala tuntutan rawatan perubatan kemalangan biasa ialah RM1,000,” jelasnya.

Bagaimanapun, Najib menjelaskan, setakat ini, polisi insurans itu hanya meliputi ketua keluarga peneroka yang berumur kurang 65 tahun dan tidak melibatkan isteri serta anak-anak.

‘‘Jika peneroka itu meninggal dunia, skim insurans ini boleh diturunkan atau diwarisi kepada salah seorang anaknya yang menggantikannya sebagai ketua keluarga,” katanya.

Ulasan : Semakin banyak gula-gula pilihanraya ditaburkan. Adil bermakna meletakkan sesuatu pada haknya. Dengan kata lain, jika seseorang berhak menerima geran tanah lebih awal sebelum pilihanraya, tetapi ia hanya diberi sewaktu musim pilihanraya-sebenarnya mereka telah dinafikan hak mereka.

Pak Samad Said tidak lagi dihargai

Oleh : A Rahim Abdullah

MEMBACA tulisan Azman Ismail (Utusan Malaysia 24 Januari 2008), saya sangat akur dan faham kenapa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membuat kenyataan supaya jangan menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada beliau.

Kebetulan saya juga berada dalam majlis yang berlangsung pada petang itu. Sebagai Sasterawan Negara yang komited dengan dunia sastera dan bangsanya, beliau amat tersinggung dan memang berhak berbuat demikian.

Saya selalu menyebut bahawa nasib sastera kita berada dan dikepung oleh ironi. Dan jauh daripada itu, saya melihat tindakannya atau protesnya itu sangat dalam hikmahnya. Antara lain untuk berkias ataupun mengajar mereka yang berkepentingan dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya, tetapi gagal atau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya hingga membawa malapetaka kepada bangsa dan tamadun yang sedang kita bina.

Dengan kata lain, kerana berfikiran kelas tiga (ini melanggar hasrat Perdana Menteri yang mahukan pegawai-pegawai kerajaan memiliki minda kelas pertama) maka mustahil dapat kita bina tamadun negara ini dalam jangka masa yang singkat. Bayangkanlah baru 50 tahun merdeka, kita sekarang diserang pelbagai krisis moral dan krisis keyakinan. Apakah dapat kita capai sasaran 2020?

Dapatkah kita bina tamadun Melayu yang panjang sama usianya dengan tamadun Mesir, Yunani atau China? Sedangkan setelah 50 tahun merdeka, tanda-tanda keruntuhan moral dan minda Melayu semakin ketara dan amat dahsyat.

Kalau begitu tidak usahlah kita mimpikan macam-macam slogan: Gemilang, terbilang dan cemerlang. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya pada kulitnya sahaja.

Kita belanja berjuta-juta ringgit menganjurkan kempen Budi Bahasa, tetapi apa untung yang kita nampak sekarang ini?

Celakanya orang Melayu sekarang ini, kerana terlalu banyak membuka pintu masuknya kepada pengaruh asing. Ini juga barangkali kerana sikap tidak apa atau kerana mudahnya orang kita bertolak dan ansur menyebabkan peluang kapitalis pascamoden senang masuk sampai ke dalam rumah kita dan terus menjajah kita anak- beranak.

Bayangkanlah kerana media massa yang berlumba-lumba mengasak kita untuk menyuruh kita jadi kaki hiburan murahan atau pencandu budaya pop ini, soal maruah dan budaya bangsa langsung diabaikan oleh mereka yang terlibat dalam industri hiburan ini.

Misalnya, dalam kuiz menduga akal, soalan bonaza dan sebagainya yang ditawarkan sama ada yang menagih dadah atau suka bertelanjang.

Maksud

Malangnya yang membuat soalan-soalan negatif itu pun DJ (entah apa sebenarnya maksud DJ, bagi saya bila diterjemah ke dalam budaya kita DJ tetap membawa konotasi yang remeh dan negatif). Sepatutnya juruhebah, penyampai berita atau juruacara atau pengacara memperlihatkan jati diri bangsa berbudaya tinggi dengan bertanya soalan-soalan mengenai tokoh ilmuwan, sarjana pemimpin yang berjasa, ulama, sasterawan dan seniman negara yang cemerlang yang banyak jasanya berbanding soalan mengenai budak-budak rock atau pelakon-pelakon drama swasta yang bercakap Melayu pun tidak betul.

Yang anehnya, mereka yang dibayar gaji sebagai juruhebah itu juga ada yang mengejar glamor. Malahan ada pula yang meletakkan status kejuruhebahannya itu setaraf dengan selebriti atau artis pop Hollywood dengan karpet merah dan harus dilayan macam superstar?

Hal-hal begini kita tidak pernah dengar ia ditegur oleh menteri-menteri yang terlibat dalam bidang penyiaran dan media. Media massa pula mengambil kesempatan ini sehingga mengabaikan kepentingan golongan ilmuwan, budayawan dan intelektual bangsa sendiri! Jadi kita berharap, dengan sikap yang diambil oleh A. Samad Said yang tergamak meletakkan dirinya sebagai “mantan Sasterawan Negara” itu memberi satu tanda penting kepada semua pihak. Akan segeralah tindakan proaktif oleh mereka yang berkepentingan dan bertanggungjawab.

Saya kira, masalah menerbitkan buku teks sastera sekolah menengah ini pun ada kaitannya dengan buku-buku teks sekolah rendah juga, yang dibimbangi akan keluar nanti buku bacaan berunsur sastera, tetapi dipalagiatkan atau diubah suai pihak tertentu atas kepentingan kebendaan. Saya harap dengan adanya pernyataan terbuka ini, pihak BPR harus membuka failnya, supaya dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan masa depan generasi muda kita menjadi mangsa sistem pendidikan yang tempang dan tidak bijaksana.

Buku bacaan

Saya masih ingat, ketika darjah enam tahun 1960-an dulu, ada buku bacaan kami yang menggunakan teks puisi-puisi bertemakan nasionalisme, karya penyair Indonesia seperti Prof. Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sultan Takdir Alisjahbana dalam ejaan jawi.

Apakah pelajar Melayu zaman baru merdeka seperti saya ini lebih hebat daripada pelajar sekolah menengah masa kini? Malah laporan UPSR dan PMR, kononnya keputusan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pelajar kita, melebihi tahap sasarannya, maka itu timbul pula alasan karya sastera tinggi berat dan sukar difahami pelajar?

Kalau itu benar, ertinya kita bukan melangkah ke hadapan. Para pemikir dan perancang pendidikan negara sekarang ini harus menerima dosanya, sekiranya anak bangsa kita sepuluh atau lima belas tahun lagi semuanya mempunyai minda pops, jadi pencandu budaya murahan, hilang jati diri, sirna rasa nasionalisme dan patriotismenya dan jahil tentang sejarah negara bangsanya sendiri disebabkan mereka yang menjadi perancang pendidikan itu berfikiran kelas tiga seperti ini?

Saya juga menyeru para pemimpin persatuan penulis seluruh negara, agar bangun bertindak melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan peribadi. Tetapi berjuang atas nama persatuan yang mereka pimpin, demi menjaga maruah kaum penulis, bangsa dan negara yang mereka cintai. Sehingga kini, kita tidak dengar lagi sebarang reaksi baik daripada Kementerian Pelajaran, mahupun PPK sendiri.

Begitu juga isu ini akhirnya akan mengalir atau menjangkiti pula ke Kementerian Pengajian Tinggi, apabila di IPT pula nanti akan ada cadangan daripada ilmuan dan perancang bangsa Melayu sendiri, supaya jangan diajar sastera (kononnya sastera tidak menjanjikan masa depan bangsa Melayu)

Kita hairan dengan sikap diamnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak menerbitkan buku sastera tinggi dan karya Sasterawan Negara. Kenapa terus membisu? Yang paling ironinya tidak ada pemimpin politik Melayu seperti UMNO, Pas atau Keadilan yang tampil.


Sabtu, 16 Februari 2008

Gelanggang Pilihanraya Telah Dibuka

Salam buat semua pembaca budiman. Setelah hampir setahun desas desus pilihanraya diperkatakan, maka saatnya telah tiba. Dengan Parlimen dibubarkan pada 12.45 tgh, 13 Februari yang lalu, maka persoalan telah dijawab. SPR pula mengumumkan pada hari berikutnya bahawa sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN akan dipertandingkan. Dan ianya melibatkan 10.9 juta pengundi di seluruh negara.

Di saat ini, yang mentadbir adalah caretaker government yang terdiri daripada PM, TPM, Menteri dan Timbalan serta SU parlimen dan Ahli Exco di negeri-negeri. 2 perkara yang mereka tidak boleh lakukan ialah menggubal rang undang-undang baru dan membelanjakan peruntukan di luar penetapan yang telah diputuskan pada sidang Parlimen yang terakhir.

Walaupun penamaan calon hanya pada 24 Februari dan mengundi pada 8 Mac, sekalian jentera parti yang bertanding telah digerakkan. Dan sebagaimana biasa, kita menuntut agar hak sama rata diberikan kepada semua parti yang bertanding. Kalau pemerintah sedia ada boleh menggunakan saluran media massa yang sangat berpengaruh kenapa tidak parti pembangkang? Inilah amalan demokrasi yang perlu ditegakkan setelah sekian lama ia dinafikan.

Tempoh berkempen selama 13 hari seakan tidak bermakna jika seluruh media massa hanya dimanipulasi dan digunakan sepenuhnya oleh pemerintah sedia ada. Padang gelanggang perlu sama rata dan adil agar tidak mengundang ketidakpuashatian di kemudian hari.


Kepada semua pengundi yang layak, tunaikan tanggungjawab anda dalam memilih kerajaan baru yang bakal mengutamakan kebajikan rakyat berbanding memenuhkan tembolok masing-masing!

Jumaat, 15 Februari 2008

Tok Guru, KJ dan Firaun

Lambang kezuhudan seorang pemimpin. Mencari redha Allah bukan redha manusia. Mentadbir negeri dengan segala kesederhanaan walaupun boleh memiliki segala kekayaan.

KJ dengan angkuh menawarkan tiket dan bantuan untuk anak Kelantan di perantauan menolak pemerintahan yang sedia ada. Tak malukah?

Firaun( gambar diambilk dari blog satu perkongsian oleh Ustaz Fauzi Asmuni). Apa yang dia tiada? Kekayaan, kesihatan (tak pernah demam), keuatan pengaruh-akhirnya hancur ditenggelamkan Allah di Laut Merah dan jasadnya kekal hingga kini untuk iktibar umat manusia akhir zaman!

Ulasan : Buat semua pembaca budiman yang boleh mengundi-pilihlahlah calon yang berwibawa dan ikhlas untuk menjaga kebajikan wang rakyat. Pilih dengan mata hati bukan dengan hawa nafsu. Masa depan pasti milik Islam!

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude