Jumaat, 15 Februari 2008

Valentine bukan budaya Islam !


Umat Islam kini berhadapan dengan cabaran dan ujian yang semakin rencam. Biarpun penjajahan bentuk ketenteraan tidak lagi berlaku tetapi kita masih diserang kiri dan kanan setiap hari.

Ini terutamanya melalui pelbagai promosi oleh golongan kufar yang tidak senang terhadap orang Islam. Ini termasuk mengkomersialkan sambutan Hari Kekasih pada setiap 14 Februari agar orang Islam turut sama merayakannya.

Sikap ingkar mereka dijelaskan menerusi firman Allah, Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)... (al-Baqarah: 120)

Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET, Dekan Pembangunan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Muhammad Subari Ramli mengulas hal ini.

MEGA: Apakah konsep kasih sayang menurut Islam?

SUBARI: Islam meletakkan cinta yang paling agung adalah kepada Khalik atau Pencipta iaitu Allah s.w.t. Bagaimanapun, pada masa yang sama Islam tidak menolak naluri kasih sayang yang diciptakan kepada makhluk. Namun, kasih sayang ini masih terbatas dan tidak boleh melebihi cinta kepada Pencipta.

Dalam konteks cinta yang merata ini ia meliputi bukan sahaja kepada tuhan, manusia dengan manusia tetapi juga manusia kepada makhluk lain ciptaan Allah. Contohnya kepada haiwan dan tumbuhan juga perlu diberi kasih sayang. Cuma ia tentunya berbeza dengan kasih sayang sesama manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis yang bermaksud, rahmatilah apa yang ada di bumi maka yang di langit juga akan merahmati kamu.

Dalam Islam, bandingan kasih sayang Muslim itu ibarat satu tubuh apabila dicubit paha kanan paha kiri pun terasa sakitnya.

Para sahabat Rasulullah dahulu semuanya mendahulukan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi diri sendiri. Mengapa perasaan begitu tidak ada lagi dalam diri kita hari ini?

SUBARI: Antara sebabnya kita tidak lagi dibentangkan dengan kisah-kisah iktibar seperti cintanya khalifah Abu Bakar kepada Rasulullah s.a.w yang melebihi daripada cinta kepada diri sendiri.

Demikian juga kerelaan Saidina Ali menggantikan Rasulullah s.a.w di tempat tidurnya dalam peristiwa hijrah Baginda bersama Abu Bakar. Pada logik akal, sudah tentu menjadi pengganti Rasulullah s.a.w itu bakal berhadapan maut tetapi kerana kasihkan Baginda, Saidina Ali sedia berkorban.

Namun, kini kita sering dibentangkan dengan slogan seakan-akan keagungan cinta sesama manusia itu melebihi daripada yang lain. Ia disajikan kepada kita hampir setiap hari menerusi media massa terutamanya menerusi televisyen seperti filem-filem hindustan dan sebagainya.

Pendek kata, kita tidak ada asuhan dalam konteks pembinaan akidah bagi merasai atau memberi kasih sayang dalam erti kata mentaati Pencipta.

Malah, apa yang sering berlaku, apabila menonton filem hindustan ramai yang melewat-lewatkan solat dan mungkin juga ada yang terlepas solat dek asyik menonton. Lebih malang lagi, mungkin inilah sikap orang dewasa khususnya ibu bapa yang kemudiannya diteladani oleh anak-anak.

Dalam ayat 120 al-Baqarah ditegaskan tentang orang kafir itu tidak akan reda selagi kamu tidak mengikuti mereka. Namun, masih ada umat Islam yang terpengaruh dengan perbuatan golongan kafir antaranya menyambut Hari Kekasih. Kenapa ini masih berlaku?

SUBARI: Pertama, kita perlu bentangkan maklumat sebenar tentang kisah Hari Kekasih ini. Melalui sejarah Valentine meskipun mempunyai pelbagai versi, jelas ia dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day untuk memperingati kematian tragis seorang Paderi iaitu St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Romawi yang bernama Raja Claudius II (268-270M).

St. Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Dia juga adalah ikon kasih sayang yang diwujudkan oleh Pope Gelasius I (496M) untuk mendekatkan masyarakat Rom kepada agama Kristian melalui satu sambutan perayaan gereja. Ia juga bagi menyaingi perayaan Paganisme Romawi kuno iaitu Lupercalia (perayaan untuk Dewa Lupercius dengan mempersembahkan korban binatang).

Apabila fakta ini sudah dibentangkan maka remaja Islam khususnya boleh membaca dan memahami mengapa Islam melarang sambutan Hari Kekasih.

Kedua, pada masa yang sama, media boleh membantu dengan mengurangkan aspek komersial program-program yang menjurus kepada ikutan agama lain.

Mengikut sejarah, orang Nasrani pun tidak merayakan hari ini tetapi apabila dikomersialkan maka sambutannya terus melonjak. Seolah-olah ia mesti dirayakan setiap tahun.

Ketiga, kita juga perlu menjelaskan hukum Islam terhadap sambutan ini. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pada tahun 2004 menyatakan bahawa menyambut Hari Kekasih adalah diharamkan.

Apabila ada unsur ritual agama lain dan kita pula sama-sama raikannya, seakan-akan kita reda dengan perbuatan menyekutukan Allah (syirik) sedangkan syirik adalah dosa yang tidak terampun.

Ini ditegaskan dalam mafhum-Nya, Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya... (al-Nisa’: 116).

Ada yang mendakwa perbuatan menyambut Hari Kekasih ini hanyalah budaya dan suka-suka bukannya melibatkan akidah. Betulkah pendapat begini?

SUBARI: Pendapat sebegini adalah berdasarkan nafsu semata-mata. Lazimnya, orang bercinta atau sedang angau akan ketepikan fikiran yang waras.

Ijmak ulama memutuskan bahawa keterlibatan seseorang dalam ritual agama lain adalah salah satu unsur fasik dan merosakkan akidah.

Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w mengingatkan, “Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Daud)

Pendek kata, umat Islam tidak boleh mencampur-adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud, Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku. (Al-Kafirun: 1-6)

Tetapi kalau kebetulan kita membeli hadiah untuk isteri atau suami tanpa niat sambut Hari Kekasih itu tidak salah. Yang penting jangan ada niat walau sedikitpun untuk meraikan hari tersebut.

Kalau ada sedikit niat untuk sama-sama meraikannya, maka hendaklah cepat-cepat kita sedar dan beristighfar. Sebabnya, perkara ini walaupun nampak enteng tetapi menjejaskan akidah.

Jangan kita diperdayakan oleh syaitan yang telah bersumpah memperelokkan maksiat kepada kita dalam usaha menyesatkan umat Islam. Ini ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Hijr ayat 39.

Bagaimana pula Islam mengajar umatnya dalam berkasih sayang terutama kepada ibu bapa, suami isteri dan keluarga?

SUBARI: Pertama, Islam tidak ada tempoh masa tertentu untuk kita pamerkan kasih sayang. Sayangnya, dalam masyarakat Melayu ada kecenderungan hanya pilih waktu tertentu contohnya mohon maaf hanya bila tiba Hari Raya Aidilfitri.

Sebenarnya, kasih sayang ini perlu ditunjukkan setiap masa. Contohnya kasih kepada isteri dan anak-anak. Orang muda mestilah mengasihi yang lebih tua dalam erti kata menghormati mereka.

Kedua, motivasi berkasih sayang berdasarkan tuntutan agama. Kita mengasihani mereka kerana agama ini menuntut demikian. Bukan kerana harta mereka atau sebagainya.

Malah, ketaatan kita juga tidak melampau sehingga sanggup melakukan kejahatan atau maksiat semata-mata memenuhi kehendak mereka.

Ketiga, pamerkan kasih sayang kita. Tunjukkan melalui tutur kata dan tindakan yang baik. Pendek kata, tunaikan segala tanggungjawab yang dianjurkan oleh syarak kepada mereka. Lebih daripada itu, tidak salah mempamerkannya sekali-sekala melalui pemberian hadiah atau ucapan cinta.

Allah yang Maha Pencipta tetap mengasihi hamba-Nya tanpa perlu sebab atau balasan. Malah Allah tetap melimpahi nikmat walau dibalas dengan kemungkaran. Di sinilah beza kasih kita berbanding sifat Maha Pengasih Pencipta.

Rabu, 13 Februari 2008

Ingatan Buat Bakal Calon Pilihanraya













MENJELANG pilihan raya umum ke-12 yang mungkin akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja, kita dapati pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan menyatakan kesediaan mereka untuk dipilih bertanding di mana-mana kerusi. Perlu diingat pemimpin yang berkarisma mempunyai agenda dan bakat tersendiri yang tidak boleh dibuat-buat.

Sekiranya karisma dan bakat tersebut hanya terletak kepada populariti atau kejayaan melobi, ditakuti kerusi yang bakal diisi hanya akan menjadi batu loncatan untuk kepentingan peribadi. Akibatnya jawatan wakil rakyat hanya dikejar kerana peluang-peluang kekayaan yang bakal terbentang di depan mata.


Senario itu berlaku kerana jawatan yang dipegang bakal menjanjikan berbagai-bagai kemudahan yang boleh disalahguna dengan senang. Apabila kuasa sudah berada di tangan, tabiat manusia yang gopoh selalunya akan menjangkau kesedaran biasa. Soalan yang terlebih dahulu perlu diajukan kepada mana-mana bakal pemimpin ialah layakkah anda untuk memegang amanah yang bakal dipikulkan rakyat? Atau anda hanya berhasrat untuk membesarkan lagi periuk nasi anda.


Kebimbangan yang tinggi kepada kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa menyebabkan Rasulullah mengelak daripada melantik orang-orang yang bersungguh-sungguh meminta jawatan sebagai sebuah hadis: Daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata:


Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya (Riwayat al-Bukhari & Muslim)


Jadikanlah keimanan kita kepada pembalasan Allah di akhirat sebagai benteng atau neraca timbangan untuk mengawal tingkah laku kita. Para salafussoleh apabila dipertanggungjawabkan dengan sebarang amanah akan merasa takut sekiranya mereka tidak menunaikan amanah tersebut.


Jauh sekali untuk mereka menjerit kegembiraan dijulang oleh para penyokong setelah memenangi mana-mana kerusi atau menjerit kekecewaan kerana gagal mempertahankan kerusi yang dipertandingkan.


Perlu diingat bahawa hidup kita bukan sekadar untuk bertakhta sekadar dua tiga penggal sahaja akan tetapi akan terus berkekalan sehingga ke akhirat. Segala perbuatan, jasa bahkan penyelewengan dan ketidakadilan yang mungkin kita lakukan pasti akan tetap dipersoalkan di akhirat kelak.


Pembalasan di mahkamah Allah yang Maha Adil pastinya tidak sekali-kali dapat dibeli dengan sogokan rasuah ataupun janji kosong manifesto parti kita. Ketahuilah bahawa kuasa dan jawatan adalah amanah Allah yang perlu ditunaikan sebaik mungkin, bukannya peluang keemasan untuk mengumpulkan kekayaan.


Manusia yang rakus mengejar kekayaan kebiasaannya akan cenderung untuk melakukan kemungkaran sebagaimana firman Allah : Ingatlah! Sesungguhnya manusia akan melampaui batas (yang sepatutnya,) Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (al-‘Alaq: 6 & 7).

Janganlah kegilaan kepada kuasa dan harta yang hanya mampu bertahan buat sementara waktu di dunia ini akan menyebabkan kita diseret ke neraka yang kekal abadi. Sesungguhnya itu adalah satu pelaburan yang amat merugikan.

– ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM,
Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ulasan : Satu ingatan yang sangat baik buat semua bakal calon yang akan bertanding !

Penjawat awam perlu hargai jasa majikan ?


BAHANG Pilihan Raya Umum ke-12 semakin hangat dan lebih bersemarak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau ‘sudah mendapat ilham’ mengenai tarikh pilihan raya. Ramai tertarik untuk mengetahui perkembangan politik dan pilihan raya daripada media massa. Rata-rata meramalkan pilihan raya diadakan bulan depan. Pun begitu di sebalik kehangatan musim pilihan raya ini semua pihak terutamanya kakitangan kerajaan harus sedar bahawa selama ini negara kita berada dalam keadaan cukup aman, harmoni dan maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebagai penjawat awam mereka sememangnya tahu bahawa kerajaan dari semasa ke semasa tidak putus-putus berusaha dengan pelbagai cara untuk meningkatkan profesion mereka ke tahap lebih tinggi dan berkualiti. Segala kemahuan dan tuntutan kakitangan awam menjadi agenda utama kerajaan. Misalnya penambah baik kualiti bekerja menerusi pelaksanaan Sistem Kualiti MS ISO, pengurangan hari bekerja daripada enam kepada lima hari seminggu, pengenalan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang lebih berkesan dan adil dalam hal kenaikan pangkat, pelarasan dan kenaikan gaji kakitangan awam serta sebagainya.


Ia sekadar contoh berbanding usaha pembangunan mikro dan makro lain yang dilaksana kerajaan demi kepentingan kakitangan awam dan hal ini tidak ubah seperti peribahasa ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Yang menjadi keanehan dan sedihnya apabila ada sebilangan penjawat awam seakan-akan menjadi ejen penentang aspirasi kerajaan. Duduk bekerja dalam pejabat kerajaan, tetapi pemikirannya dangkal dan hatinya gelap apabila mudah percaya dan terpedaya dengan fitnah dan berita palsu pihak penentang kerajaan. Mereka bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ dan tidak keterlaluan untuk dilabel sebagai ‘gunting dalam lipatan’. Pelbagai tohmahan dan komen melampau terhadap kerajaan yang diterima bulat-bulat kemudiannya disebar luas kepada pihak lain dengan harapan ada orang terpengaruh dan ikut sama menentang kerajaan. Pendek kata, kerjanya tak sudah-sudah mencari kesalahan dan kesilapan kerajaan dan dengan mudah melabel kerajaan sebagai tidak efisien, zalim dan mengkhianati rakyat.


Golongan ini terlupa atau tidak sedar bahawa setiap akhir bulan, apabila wang gaji mereka masuk dalam akaun bank masing-masing, siapakah yang memberikan gaji berkenaan? Jika ada antara ahli keluarga yang sakit dan dirawat di hospital, siapa yang membantu meringankan beban bayaran perubatan mereka? Mereka mendapat kemudahan pinjaman perumahan atau pembelian kereta, siapakah agaknya yang memberikannya? Atau jika anak mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, siapakah yang membantu dalam pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka? Sudah tentu jawapannya adalah majikan mereka iaitu kerajaan. Tetapi kalau hati sudah gelap, semua perkara ini akan ditenggelami dengan rasa benci tidak berasas lalu mereka mengangkat dan memuliakan golongan penentang kerajaan! Bukanlah hajat untuk mengajak kakitangan awam menghargai usaha kerajaan secara membuta tuli. Tetapi cuba timbang-timbangkan dengan pemikiran rasional mengenai kepentingan menghargai segala jasa dan budi kerajaan selama ini. Buka lembaran sejarah negara dan hayati akan keikhlasan pemimpin kerajaan dari dulu hingga kini dalam memartabatkan keagungan negara. Kemudian bandingkan dengan apa yang berlaku di sesetengah negara lain yang kerajaannya gagal memenuhi hak dan tuntutan rakyatnya, sehingga perbalahan, perpecahan dan peperangan tidak mampu dikawal lagi. Bersyukurlah kita kepada Tuhan kerana dianugerahkan pemerintah adil, bijak dan berjaya membina tamadun agama, bangsa dan negara.


Penjawat awam seharusnya menggunakan kematangan pemikiran dengan terus menyokong aspirasi kerajaan. Jika ada yang tersilap masuk haluan, marilah kita pupuk kembali kesedaran mereka supaya dapat kembali berpijak di bumi nyata. Jadilah kakitangan awam yang memiliki kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN yang diakui kredibilitinya di mata dunia!


KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Ulasan : Undi adalah hak individu. Penulis seumpama pengampu kepada pemerintah sedia ada tanpa melihat kepincangan yang berlaku-rasuah, nepotisme dll !

Graduan al-Azhar pengisi kebangkitan Islam


Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
MASJID al-Azhar dibina pada 359 hijrah/970 Masihi dengan nama Masjid Kaherah dan tujuan pembinaannya bukan untuk dijadikan universiti sebaliknya sebagai pusat penyebaran dakwah oleh Khalifah Fatimiah. Mereka menjadikan Mesir untuk menyebarkan kefahaman Ahli Bait dan Syiah. Antara orang yang bertanggungjawab mengadakan kelas pengajian di Masjid al-Azhar ialah Yaakub bin Kals, seorang menteri pada masa pemerintahan Khalifah Mu’izzuddin.


Pada 378 hijrah, Yaakub bin Kals meminta kepada Khalifah al-Aziz untuk menjadikan pusat pengajian dengan memanggil ulama mengajar di situ dan dibayar gaji. Sejak itu, Masjid al-Azhar menjadi pusat pengajian, terutama mengenai fekah Syiah. Masjid al-Azhar mula menjadi pusat pengajian apabila kejatuhan Baghdad pada 656 hijrah dan pertumbuhan ekonomi Mesir yang semakin mantap, di samping galakan khalifah yang mewakafkan harta untuk al-Azhar, ulama dan pelajarnya. Pada zaman Mamluki, al-Azhar menjadi tempat umat Islam belajar. Kurun kesembilan adalah zaman keemasan bagi al-Azhar sebagai pusat pengajian Islam terkenal di seluruh dunia. Antara pernah mengajar ketika itu ialah Ibn Khaldun yang meninggalkan anak muridnya yang terkenal dalam bidang sejarah seperti al-Maqrizi dan al-Sayuti.


Pada zaman moden, al-Azhar mula melakukan rombakan sistem pembelajaran daripada bentuk tradisional kepada sistem moden. Antara mereka yang menyeru ke arah pembaharuan itu ialah Syeikh Hassan al-Attar, seorang ulama yang mempunyai hubungan baik dengan Perancis. Beliau meminta anak muridnya Rifa’at al-Tantawi belajar di Perancis. Apabila pulang ke Mesir, Rifa’at al-Tantawi mula memperjuangkan pembaharuan al-Azhar ke arah lebih moden. Syeikh Hassan al-Attar menjadi Syeikh al-Azhar pada 1246 hijrah hingga 1250 hijrah/1834 masihi. Antara tokoh pembaharuan al-Azhar yang terkenal ialah Syeikh Muhamad Abduh. Beliau pernah menyebutkan bahawa pembaharuan di al-Azhar adalah sumbangan cukup besar kepada agama Islam. Perubahan itu mengambil jangka masa panjang. Muhamad Abduh berkeyakinan bahawa strategi memperkukuhkan umat Islam mestilah menerusi sistem pendidikan dan bukannya bergantung kepada politik semata-mata.


Sejak itu, rombakan demi rombakan dilakukan. Pada 1930, di bawah pimpinan Syeikh al-Azhar Syeikh Ahmadi al-Zawahiri, ditubuhkan tiga kuliah iaitu Kuliah Syariah, Kuliah Usuluddin dan Kuliah Bahasa Arab. Di samping itu, al-Azhar mempunyai sekolah rendah, menengah dan universiti. Pada 1961, berlaku rombakan besar di al-Azhar di bawah pimpinan Syeikh Mahmud Syaltut. Al-Azhar bukan saja pusat pengajian agama, tetapi mempunyai kuliah lain seperti Kuliah Ekonomi dan Perubatan. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Azhar: Antara Semalam, Hari Ini dan Masa Depan menegaskan tanggungjawab mahasiswa al-Azhar. Graduan al-Azhar mempunyai tanggungjawab berlipat ganda daripada orang lain. Antaranya, sebagai seorang muslim yang membezakan daripada orang yang sesat, sebagai seorang pemuda Islam yang mempunyai kekuatan, sebagai orang berpengetahuan dan sebagai seorang al-Azhari. Menurut al-Qaradawi, al-Azhar bukan saja berfungsi sebagai tempat mengajar ilmu agama, tetapi tempat lahirnya pendakwah Islam yang unggul. Tanpa peranan itu al-Azhar adalah seperti badan yang tidak mempunyai ruh. Tugas utama graduan al-Azhar ialah sebagai pendakwah iaitu sebaik-baik pekerjaan kerana ia tugas rasul. Al-Azhar adalah universiti yang memberi ilmu, masjid yang mendidik jiwa rabbani dan organisasi yang memperjuangkan nasib umat. Al-Azhar pencetus kepada kebangkitan Islam kepada generasi belia kini. Al-Qaradawi juga menggariskan tiga perkara dalam menjayakan risalah al-Azhar iaitu menyediakan generasi umat Islam yang beragama dan memahami pemikiran Islam sebenar. Kedua, tugas al-Azhar yang terbesar ialah membawa risalah Islam dan ketiga, memahami keperluan zaman yang kita hidup sekarang ini iaitu keperluan manusia kembali kepada agama.


Oleh itu, graduan al-Azhar perlu sentiasa mengkaji Islam secara mendalam, memiliki contoh teladan yang baik dengan beriltizam kepada ajaran Islam dan beramal dengan ilmunya. Al-Qaradawi juga menegaskan bahawa graduan al-Azhar perlu memiliki akhlak ulama iaitu keberanian dalam menyatakan kebenaran, zuhud, ikhlas dan kemuliaan. Kegagalan graduan al-Azhar memainkan peranan ini akan mengakibatkan lahirnya pemikiran kebendaan di kalangan umat Islam, lahirnya pemikiran menyesatkan dan lahirnya golongan ekstremis agama. Hari ini, hampir ribuan pelajar Malaysia yang lulus dari al-Azhar setiap tahun. Tidak dinafikan graduan al-Azhar memberi sumbangan cukup besar dalam kebangkitan orang Melayu. Graduan al-Azhar adalah pewaris kepemimpinan negara dan pewaris dalam mewarnai dakwah di Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini, graduan al-Azhar yang pulang agak kurang berperanan dalam berorganisasi dan berpersatuan, terutama dalam gerakan dakwah dan belia. Walaupun ketika di Mesir, mereka begitu bersemangat melakukan perubahan. Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar yang akan diadakan pada 15 hingga 18 Februari ini bakal memberi impak besar terhadap kemajuan umat Islam serta mempereratkan lagi dialog peradaban Islam dan Barat. Persidangan diadakan di Malaysia, yang pertama kali di luar Mesir adalah satu penghormatan dan bakal dihadiri Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi, menteri, duta, tokoh ulama dan ilmuwan dunia Islam lepasan Universiti al-Azhar. Graduan al-Azhar perlu mengetahui bahawa pembabitan dalam organisasi dakwah akan membolehkan suara mereka didengari dan mereka lebih memahami strategi musuh untuk memecah belahkan umat Islam. Menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia supaya pelajar di Timur Tengah, khususnya di al-Azhar pulang membawa ilmu diperoleh dengan berhikmah dan bijaksana.


Ada ilmu yang tinggi saja, tetapi tidak berhikmah dalam berdakwah tidak akan memberi kesan kepada masyarakat. Masyarakat Malaysia berdepan dengan tiga isu besar iaitu globalisasi, dialog ketamadunan dan pemikiran pluralisme yang pelbagai seperti modernisme-sekularisme, tradisionalisme dan Islam liberal. Untuk menghadapi rempuhan arus globalisasi Barat memerlukan kita memahami permasalahan daripada pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam. Dialog peradaban pula memerlukan jalinan hubungan yang meraikan persamaan dan perbezaan antara kita dengan pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam. Pluralisme dan pola pemikiran memberi permasalahan baru kepada umat Islam kini. Tiga permasalahan ini memerlukan persiapan dan kelengkapan khusus jika kita ingin terus relevan dalam melaksanakan proses islah. Perubahan globalisasi dan politik semasa menyaksikan dominasi menyeluruh pemikiran dan peradaban Barat dalam dimensi politik, ekonomi dan sosial. Umat Islam memerlukan satu pendekatan baru untuk mengisi kebangkitan umat Islam.


Penulis ialah Felo Bidang Pemikiran Islam di Future Global Network, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga graduan al-Azhar jurusan Bahasa Arab

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude