Sabtu, 1 Disember 2007

Modal insan dalam kehakiman


Oleh MASTURA MOHD ZAIN

KEADILAN adalah sesuatu yang didambakan oleh semua pihak. Anak kecil sekalipun sudah pandai mengatakan sesuatu itu tidak adil jika ibu bapanya menyuruh dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

Selalunya kefahaman tentang keadilan itu dikaitkan dengan undang-undang seperti yang tertera pada logo Majlis Peguam Malaysia, iaitu ‘Keadilan melalui undang-undang’. Namun perlu diketahui ini tidak bermakna setiap undang-undang yang digubal itu adalah adil; persoalan berkenaan keadilan tetap wujud kerana terdapat undang-undang yang tidak memuaskan semua pihak. Cuma apabila sesuatu undang-undang itu sudah digubal, maka ia harus dilaksanakan oleh badan kehakiman.

Dalam dasar pengasingan kuasa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, badan kehakiman atau mahkamah diberi kuasa untuk mentafsir undang-undang. Kuasa meluluskan undang-undang diberikan kepada dewan perundangan (Parlimen). Kuasa melaksanakan undang-undang pula dipertanggungjawabkan kepada pihak eksekutif (iaitu kerajaan yang memerintah). Ketiga-ketiga cabang ini perlu dipisahkan dan tidak boleh berhubung antara satu sama lain. Ini supaya tidak berlaku kezaliman. Namun pemisahan kuasa ini hanyalah di atas kertas sahaja, dari segi amalannya agak sukar dilakukan. Ini kerana eksekutif (kerajaan yang memerintah) dan dewan perundangan mempunyai hubungan: Kerajaan dibentuk di Parlimen. Eksekutif juga mempunyai ruang untuk mempengaruhi badan kehakiman. Perdana Menteri Malaysia mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan pelantikan hakim-hakim walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat beliau.

Badan kehakiman/mahkamah pada dasarnya memang terpisah dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kedua-dua pihak eksekutif dan dewan perundangan. Badan kehakiman seperti yang telah disebut, telah diberi kuasa untuk mentafsir undang-undang, ini untuk mengelakkan satu pihak membolot ketiga-ketiga kuasa tersebut. Namun tuntutan untuk mentafsir undang-undang bukanlah semudah yang disangka, ini kerana undang-undang itu sendiri tidak begitu jelas. Ia memerlukan pengalaman, hikmah dan kematangan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seseorang peguam itu hanya layak dilantik menjadi hakim sekiranya ia telah mempunyai pengalaman sebagai peguam bela dan peguam cara atau telah berkhidmat di Jabatan Kehakiman dan Perundangan sekurang-kurangnya sepuluh tahun. Syarat ini tidak semestinya yang terbaik, namun ia adalah persediaan agar hakim dapat dilihat sebagai mentafsir secara hikmah, dan bukan membuat undang-undang dan sekali gus seolah-olah bercampur tangan dalam bidang kuasa dewan perundangan (yang juga eksekutif).

Oleh itu mengikut dasar pengasingan kuasa, mahkamah perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Bayangkan apa akan terjadi kepada institusi kehakiman jika seorang peguam atau sesiapa boleh memilih hakim tertentu yang boleh memberikan kemenangan terhadap kes yang dibawa mereka. Kepercayaan masyarakat akan terjejas, ia juga jelas melanggar akhlak kehakiman kerana sebarang pelantikan hakim dalam membicarakan dan mendengar sesuatu kes itu perlu dibuat oleh Ketua Hakim.

Institusi kehakiman perlu dipelihara kerana ia bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang di dalam sesebuah masyarakat dan negara. Oleh itu tidak harus ada campur tangan daripada mana-mana pihak dalam urusannya. Berdasarkan tamadun Islam, institusi kehakiman hanya dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak dari segi ilmu, ketinggian akhlak, peribadi dan kemampuan berhikmah. Seseorang yang tidak berkelayakan untuk menjadi hakim dilarang sama sekali menerima pelantikannya (jika ditawarkan), di samping dia dilarang memohonnya. Malah pelantikannya ke jawatan itu dihukum tidak sah (al-Nawawi, 11:92, 123).

Dalam Surah al-Nisa’ ayat 58, Allah mewajibkan seseorang hakim itu dilantik daripada kalangan yang ahli (memiliki kelayakan) dan apabila dia menghukum maka hendaklah dia menghukum dengan adil. Allah sentiasa mendengar lagi melihat apa yang dilakukannya.

Dan jika seorang Muslim itu yakin bahawa Allah sentiasa melihat dan memantaunya, dia tidak boleh berada dalam dua alam, kadang-kadang baik kadang-kadang buruk. Agama Islam meletakkan sesuatu yang baik itu tetap baik dan sebaliknya. Di sini penekanan terhadap ciri-ciri modal insan yang baik perlu disemai di dalam institusi kehakiman.

Modal insan yang baik adalah membina jiwa manusia itu terlebih dahulu. Bagaimana insan boleh membangun sekiranya jiwa mereka tidak betul dan akhlak menyanggah keadilan? Oleh itu modal insan yang baik adalah mereka yang cintakan kebaikan dan benci kepada keburukan. Kita juga boleh melihat dalam Surah al-A’raf ayat 96, jaminan Allah bagi kelompok masyarakat yang mengamalkan modal insan yang dikehendaki agama, untuk memberi kurnia kepada penduduk yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya manusia tidak akan selesa, keluh-kesah serta tidak tenang jika tidak berpandukan agama sebagai teras kehidupan. Orang yang tidak berpaksikan agama akan menjadikan nafsu dan syahwat sebagai pegangan. Inilah sebab wujudnya kekeliruan, berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain kepincangan dalam kehidupan hari ini.

Seharusnya kita ingat sabda Rasulullah, orang yang cerdik dan berakal ialah yang sentiasa dalam keadaan menimbang amalan dan bersedia menghadapi kematian (riwayat Tirmizi). Oleh itu sepatutnya modal insan yang hendak ditanam adalah yang berasaskan ilmu. Natijahnya, masyarakat akan memperoleh sebuah badan kehakiman yang bebas, dipercayai dan dihormati semua pihak.


Kezaliman menurut Islam

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

SEBENARNYA seorang Muslim yang baik adalah mereka yang sedar akan kezaliman diri sendiri dan tidak lalai memohon kepada Allah s.w.t secara berterusan agar mengampuninya, juga tidak melemparkan tuduhan kepada orang lain. Inilah akhlak yang sebenarnya telah menjadi doa bagi setiap orang Islam sejak dahulu hingga sekarang.

Pada pandangan Islam, sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang itu melampaui batasan akidah dan peraturan kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim.

Menurut al-Quran, ciri-ciri kezaliman ialah dengan mendustakan atau menduakan (mensyirikkan) Allah s.w.t ataupun yang mengingkari dua kalimah syahadat yang dituntut sebagai asas utama bagi menentukan sama ada beriman atau kufurnya seseorang itu. Tegas kitab suci, jika seseorang itu mendustakan Allah s.w.t, ia adalah manusia yang zalim. Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar. (Surah Luqman, ayat 13).

Ciri kedua, sesuatu perbuatan atau tindakan itu dikatakan zalim kerana ia terkeluar daripada prinsip-prinsip kemanusiaan. Contohnya, membunuh orang sesuka hati atau melakukan sesuatu tindakan yang di luar perikemanusiaan. Ada yang menganggap bahawa kerajaan zalim kerana meruntuhkan rumah atau tempat ibadat yang didirikan di atas tanah milik kerajaan walhal pada pandangan Islam, mereka yang menceroboh itu sebenarnya lebih zalim daripada mereka yang meruntuhkan rumah tersebut.

Oleh yang demikian itu, amatlah dikesali sekiranya konsep kezaliman ini disalahertikan sehingga sanggup pula menuduh mereka yang menjalankan tanggungjawab sosial dan keamanan sebagai zalim. Manakala mereka yang menjadi penceroboh harta orang lain dikatakan dizalimi. Justeru, Islam mengingatkan supaya kita berhati-hati dan berwaspada agar tidak mudah menuduh kerajaan sebagai zalim bagi mengelakkan berlakunya kezaliman yang lebih besar lagi.

Sebenarnya golongan yang melemparkan tuduhan itulah yang lebih zalim. Mereka lebih gemar menganjurkan sesuatu perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai melalui kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan hakikat yang sebenar. Tegasnya, tindakan kerajaan menghalang sesiapa jua yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan orang lain tidak bermakna tindakan tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana, hakikatnya aspek kemanusiaan telah pun diambil kira oleh kerajaan dalam menggubal sesuatu undang-undang.

Kisah jurai keturunan kita Nabi Adam a.s dan Hawa yang disebut di dalam al-Quran dapat dijadikan petunjuk tentang konsep kezaliman menurut Islam. Tindakan Nabi Adam a.s menghampiri dan memakan buah terlarang itu telah memberi pengertian zalim di sisi Islam. Begitu juga Firaun kerana mendustakan Allah s.w.t dan tidak mempercayai kewujudan-Nya, maka disahkan ia sebagai orang yang zalim.

Dengan membuat atau melemparkan tuduhan bahawa seseorang itu berlaku zalim terhadap orang lain menunjukkan sikap ego si penuduh itu sendiri. Dalam Islam, cara yang sesuai dilakukan ialah mengiktiraf dan menginsafi diri sendiri sebagai zalim dan tidak boleh seseorang itu membuat tuduhan kepada orang lain. Sifat manusia sebagai zalim dan jahil telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran, Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Orang yang suka menuduh orang lain sebagai zalim dan sebagainya adalah mereka yang tidak mengenali dirinya sendiri, dan sepatutnya berasa malu atau tidak sanggup untuk membuat sebarang tuduhan terhadap orang lain kerana dirinya sendiri berada di dalam keadaan zalim dan kotor.

Jika kehendak golongan ini dipenuhi oleh sistem demokrasi yang ada sekarang, mereka akan mengatakan kerajaan berlaku adil. Bagaimanapun, perkara di sebaliknya akan berlaku jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Mereka akan mengatakan kerajaan yang ada sekarang sebagai zalim. Pendek kata, ukuran kezaliman dan keadilan yang diyakini oleh golongan ini terletak pada kepuasan kehendak nafsu dan kepentingan diri sendiri sahaja, bukan keperluan atau kepentingan ajaran Islam. Islam telah mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu. Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi oleh nafsu itu adalah suatu perbuatan yang didorong oleh syaitan.

Oleh hal demikian itu, golongan ini sepatutnya menjadikan ajaran dan syariat Islam sebagai cermin yang dapat mendidik peribadi agar tidak menzalimi diri sendiri, juga tidak menzalimi orang lain dengan lemparan demi lemparan tuduhan yang tidak berasas dari segi moral, apatah lagi dari segi agama yang suci ini.

* PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ulasan : Ternyata penulis ini tidak jelas bahawa jika pihak yang diberikan amanah memerintah sebuah negara jika tidak menunaikan hak rakyat juga boleh dianggap zalim. Jika rakyat bangkit menegur sebagaimana himpunan BERSIH baru-baru ini, maka pemerintah perlu menilai kembali benarkah sistem pilihanraya kini benar-benar telus?

Nilai lulusan agama


Oleh MARZUKI YUSOFF (Di Kaherah, Mesir)

MENGAPA pelajar-pelajar Malaysia di Timur Tengah terutama yang berasal dari Kelantan sering dilabel sebagai propembangkang?

Persepsi seumpama itu (walaupun bukan semua pelajar berpendirian sedemikian) sudah pasti memberi kesan kepada lulusan universiti Timur Tengah untuk mendapat pekerjaan apabila kembali ke tanah air kelak.

Kini, terdapat lebih 7,000 pelajar Malaysia di Mesir yang sebahagian besarnya mengikuti jurusan agama di Universiti Al-Azhar, manakala selebihnya iaitu kira-kira 1,200 orang mengambil jurusan perubatan.

Bagi pelajar jurusan agama di bawah tajaan Kerajaan Pusat atau negeri, kebanyakan mereka mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Berlainan pula dengan keadaan oleh pelajar yang belajar di bawah pembiayaan sendiri apalagi jika diri mereka sengaja dikaitkan dengan propembangkang.

Dalam hal ini, persepsi pihak lain atau sesebuah institusi terhadap seseorang pelajar itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Mana-mana majikan terutama yang ada hubung kait dengan kerajaan sukar untuk mengambil bakal pekerja yang tidak sehaluan fahaman politik mereka seperti mana penerimaan atau persepsi masyarakat terhadap bekas penagih dadah atau bekas banduan.

Selain itu, berapa banyakkah peluang pekerjaan yang wujud di pasaran untuk menampung lepasan pelajar jurusan agama yang bukan saja dari Mesir tetapi banyak universiti lain di dalam dan luar negara?

Ribuan pelajar jurusan agama yang dilahirkan setiap tahun itu bakal bersaing untuk merebut peluang pekerjaan di pejabat-pejabat agama, sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran atau menjadi guru di sekolah agama persendirian atau membuka kelas pengajian al-Quran yang pendapatan tidak seberapa.

Bagi pelajar yang dilabel propembangkang sejak dari awal, ada majikan yang berhubung kait dengan kerajaan mungkin terpaksa berfikir panjang mengambil mereka bekerja kerana dibimbangi mereka akan menjadi ustaz atau ustazah yang bakal menjadi alat pembangkang atau menjadi duri dalam lipatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Kaherah, baru-baru ini turut menasihati pelajar untuk bersikap lebih rasional demi masa depan mereka.

Menurut Abdullah, kerajaan tidak boleh menyekat kecenderungan politik seseorang tetapi menggesa agar lebih banyak program melibatkan pelajar diadakan agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih.

Atas prinsip itu juga, Perdana Menteri telah memuji penganjuran buat julung kalinya Festival Kerjaya Timur Tengah 2007 (MECC‘07) di sini pada 26 dan 27 November lalu melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Penerangan dan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diketuai oleh Perbadanan Permodalan Berhad (PNB).

Universiti

Institusi yang mengambil bahagian dalam festival dua hari itu adalah Sime Darby, Puncak Niaga Holding Berhad, Mayban Fortis, NCB Holdings, MNRB, Midf, Bank Islam, Pernec, Prolintas, UMW, Takaful Ikhlas, Darby Park, Bank Rakyat, Chemical Company of Malaysia Berhad, selain beberapa universiti terkemuka di Malaysia.

Ramai tokoh korporat dan GLC seperti Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail hadir sebagai dorongan dan pencetus semangat kepada para pelajar.

Sepanjang festival itu berlangsung, temu duga terbuka dilakukan bagi membuka peluang pekerjaan kepada 300 pelajar tahun akhir, selain pendedahan mengenai bidang-bidang pekerjaan yang boleh diisi oleh mereka.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang turut serta dalam sesi dialog dengan pelajar bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail ketika diajukan pertanyaan kenapa pelajar Kelantan kerap dilabelkan propembangkang, berpendapat persepsi sedemikian sukar diatasi selagi pelajar terbabit merasa diri mereka terpinggir.

Menurut Md. Alwi, selain datang dari negeri yang diperintah oleh Pas dan pemimpin pembangkang itu pula kerap mengunjungi pelajar di Mesir, maka agak sukar untuk mengatasi masalah tersebut, selain sentimen antikerajaan itu sebahagian besarnya membabitkan pelajar yang belajar atas pembiayaan sendiri.

‘‘Apabila mereka belajar dalam keadaan kesulitan kewangan akan timbul perasaan mahu memberontak dan tidak puas hati sehingga mudah fikiran mereka diracuni oleh pembangkang.

‘‘Apabila menamatkan pengajian, ramai pelajar jurusan agama dari Kelantan ini sukar mendapat pekerjaan dan ini menambah lagi perasaan memberontak dalam diri mereka,” katanya.

Sebab itu, beliau mencadangkan agar diwujudkan tabung khas untuk membantu para pelajar yang tidak mendapat kemudahan pinjaman pelajaran agar mereka tidak merasa dipinggir dan dinafikan hak mendapat kemudahan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau percaya pengumuman Perdana Menteri untuk menambah nilai jurusan agama yang diambil oleh pelajar akan membolehkan mereka bersaing di pasaran pekerjaan dan tidak lagi terikat dengan kerja sebagai guru-guru agama.

‘‘Syarikat Puncak Niaga sendiri telah membuka peluang kepada lebih 100 graduan agama untuk bekerja sebagai pemungut hasil. Jika langkah kerajaan itu berjaya, kita akan dapat menyaksikan lebih banyak lulusan agama akan diambil bekerja di institusi kewangan, syarikat korporat dan sebagainya,” katanya.

Di bawah konsep ‘tambah nilai’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri, pelajar jurusan agama akan turut didedahkan dengan bidang lain seperti kewangan, perbankan, pentadbiran dan penguasaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka dapat bersaing di pasaran pekerjaan.

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pula ketika ditemui berpendapat para pelajar Malaysia di Mesir tidak boleh terlalu jumud termasuk membataskan pergaulan mereka dengan pelajar senegara sehingga minda mereka tertutup dan sukar membaiki tahap penguasaan bahasa Arab.

Mengenai nilai tambah kepada bidang pengajian, beliau percaya lepasan agama dari Universiti Al-Azhar akan menjadi pilihan kerana mereka mempunyai banyak kelebihan terutama kepada syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan di negara Asia Barat.

Langkah menambah nilai jurusan agama turut dipersetujui oleh pihak pengurusan tinggi Universiti Al-Azhar dan sekiranya berjalan mengikut perancangan, ia bakal membuka peluang kerjaya lebih luas kepada pelajar jurusan tersebut.

Mungkin Proton atau Perodua boleh bergabung dalam konteks perkongsian perniagaan luar negara dan membuka lebih banyak pusat jualan di lokasi strategik dengan mengambil graduan lulusan agama sebagai pengurus atau eksekutif untuk mempromosi dan menjual kereta model tempatan di pasaran Mesir dan negara-negara yang menggunakan bahasa Arab.

Apa pun, langkah menambah nilai kepada bidang pengajian agama perlu diguna sebaik mungkin oleh para pelajar jika ia dilaksanakan kelak.

Kini terserah kepada para pelajar jurusan agama sendiri sama ada mahu menambah nilai diri mereka atau mahu meneruskan sikap antikerajaan seperti yang lazim dilabelkan ke atas mereka selama ini.

Ulasan : Ternyata masih ada lagi pandangan skeptikal kepada pelajar agama terutama yang berasal dari Kelantan, kononnya semua propembangkang. Kalaupun benar, apa salahnya. Bukankah seorang pelajar agama yang menghayati ilmu agamanya dengan baik dapat membezakan mana yang baik dana mana yang buruk? Mana yang hak dan mana yang batil? Biarlah mereka sendiri menentukan pendirian politik mereka. Mereka juga ada ruang untuk memberikan sumbangan kepada negara yang tercinta. Waktu yang sama, nasihat saya buat pelajar agama, lengkapkan diri dengan multi-skill. Insya allah kita boleh berdikari mencipta peluang pekerjaan yang kita sendiri menjadi majikan dan pekerjanya.

7 bulan di dunia blog, 10 bulan di Bumi Kenyalang


Assalamualaikum buat semua pengunjung budiman. Hari ini genap blog ini mencapai 7 bulan usianya. Dilancarkan pada 1 Mei yang lepas, saya bersyukur blog ini masih mampu istiqamah berdiri sama teguh dengan blog yang lain. Benar, blog ini masih kerdil jika dibandingkan dengan blog yang lain. Apapun azam yang kuat dan kemahuan yang jelas, mendorong saya agar terus menyajikan bahan yang terbaik buat anda semua.


Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan bersama ialah, telah genap 10 bulan saya berada di Bumi Kenyalang ini. Kecuali bahagian Limbang, bahagian-bahagian lain di sini telah saya jelajahi. Baru-baru ini, saya ke Mukah yang terdiri daripada beberapa kawasan di dalamnya. Antaranya Balingian, Dalat, Oya dan Igan. Subhanallah, benarlah bumi Mukah kaya dengan makanan tradisional tempatan iaitu umai(semacam sushi-ikan mentah dimakan bersama hirisan bawang besar dan titisan limau kasturi). Udang galah pun murah hampir sekali ganda berbanding Bandar Kuching.


Perjalanan balik dari Mukah ke Kuching menaiki twin otter(flight yang hanya memuatkan 10 penumpang dengan kipas di kiri kanan) agak mengecutkan perut. Apapun alhamdulillah saya selamat tiba dengan selamat. Sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam posting terdahulu, peluang dakwah di sini cukup terbuka luas. Terpulang kepada setiap kita yang terpikul tanggungjawab daie untuk melaksanakannya. Sebab itu, pesan saya kepada golongan ilmuan, sebarkanlah ilmu kepada masyarakat tempatan di sini kerana mereka amat memerlukan bimbingan daripada kita. Jangan leka dek elaun wilayah yang tinggi, kita hanya sibuk dengan urusan peribadi sehingga mengabai maslahah ummah.


Di sini juga, saya nak ucapkan selamat pengantin baru kepada sahabat seperjuangan saya-akhi Muhtar Suhaili ; jurutera muda yang penuh inspirasi dan tanggungjawab untuk memajukan minda dan ilmu masayarakt di sini(boleh rujuk linknya-al-Sarawaki). Semoga beliau terus istiqamah dengan perjuangan untuk menyebar dakwah di sini.


Akhir kalam, syukran kepada semua yang setia menjadi pengunjung dan pembaca artikel yang ada di blog ini. Moga dapat disebarluaskan untuk manfaat bersama. Wassalam.


1 Disember 2007, 21 Zulqaedah 1428 Hijrah
5.46 petang, Malaysia Timur.


Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude