Isnin, 18 Ogos 2008

Perubahan demi negara tercinta


Sebagaimana yang kita sedia maklum, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51, tanggal 31 Ogos 2008 ini. Sesungguhnya, kita amat bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada bumi Malaysia ini. Sehinggakan para sejarawan Hindu terdahulu pernah mengungkapkan Tanah Melayu ketika itu sebagai Suvarnabumi atau bumi emas. Ptolemy ; seorang cendekiawan Barat juga pernah menyatakan bahawa Tanah Melayu ketika itu, ibarat Semenanjung Emas. Bahkan para ulama juga, pernah mengibaratkan bahawa Tanah Melayu, seumpama sepotong tanah dari syurga yang jatuh ke bumi. Semua perumpamaan di atas, tidak lain dan tidak bukan untuk menggambarkan, betapa Tanah Melayu ketika itu, kaya dengan hasil bumi seperti bijih timah dan minyak, menyebabkan ia menjadi tumpuan dan matlamat para penjajah yang sedang membina empayar mereka melalui 3G iaitu Gold, Glory dan Gospel.

Matlamat untuk menyebarkan agama anutan mereka-Kristian serta meraih kekayaan dan melebarkan pengaruh, menyebabkan Portugis, Belanda, Great Bitain bersilih ganti menjajah negara kita. Jepun juga tidak ketinggalan untuk mengukuhkan kekuatannya dengan menakluk negara kita di antara tahun 1942-1945, sebelum negara mereka dibom dengan bom atom oleh Amerika Syarikat dan pakatan bersekutunya. Setelah dicongak, negara kita telah dijajah hampir 443 tahun, berbanding usia kemerdekaan kita yang baru menjangkau 51 tahun. Justeru, sebagai umat Islam dan rakyat di Malaysia, perjuangan untuk memerdekakan negara dalam erti kata yang sebenarnya, perlu diteruskan dan dipertahankan.

Dalam tempoh 51 tahun ini, banyak perubahan yang berlaku samada dari sudut pembangunan fizikal dan pembangunan insan serta, pemerintahan negara. Kalau dahulunya, negara kita tidak memiliki bangunan pencakar langit, kini berpuluh-puluh bangunan pencakar langit terdapat di ibu negara dengan pelbagai reka bentuk yang hebat dan menarik.

Kalau dahulunya, kadar literasi ataupun buta huruf di kalangan rakyat begitu tinggi, kini, hampir kebanyakan anak-anak di peringkat tadika dan pra sekolah boleh membaca, mengira dan menulis. Walaupun begitu, masih terdapat keciciran yang tinggi di kalangan pelajar bumiputera dan Melayu Islam khususnya, terutamanya selepas SPM.

Begitu juga dengan pemerintahan negara yang telah melalui era 5 orang Perdana Menteri dengan pendekatan masing-masing. Oleh kerana itu, perjuangan utama para pemimpin negara dan umat Islam khususnya ialah mengisi kemerdekaan dengan sebaik-baiknya. Jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Tok Sagor, Leftenan Adnan dan sebagainya, perlu dikenang dalam kotak pemikiran kita semua.

Begitu juga dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu pada awal 30-an dan 40-an, maka jasa-jasa insan yang pernah melakar nama dalam lipatan sejarah tanahair, tidak patut dilupakan, seperti Burhanudin Hilmi dan Ibrahim Yaacob, tanpa menafikan peranan penting Bapa Kemerdekaan Malaysia ; Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.


Sesungguhnya perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan negara ketika itu, melahirkan contoh yang hidup, para pemimpin umat yang sanggup menggadaikan nyawa demi kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.

Para pemimpin yang disebutkan tadi juga, sanggup untuk mengutamakan kepentingan umat melebihi kepentingan dirinya sendiri, demi memastikan nikmat kemerdekaan sebuah negara dari dijajah dapat dinikmati bersama.

Kita tidak menafikan rundingan dan diplomasi itu perlu dalam menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang timbul, namun begitu jika agama dan maruah bangsa diinjak-injak oleh penjajah, adakah kita masih lagi berlembut ? Justeru, tidak hairanlah para pejuang yang disebutkan namanya tadi, sanggup mengorbankan dirinya dan berjuang sehingga titisan darah terakhir demi agama, bangsa dan tanahair. Ini sejajar dengan firman Allah di dalam surah al-Saff, ayat 14 :

” Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah, sebagaimana ketika Isa berkata kepada Hawariyyun(pendokongnya)” Siapakah yang akan membantuku dalam menegakkan agama Allah?”. Maka jawab golongan Hawariyyun ” Kamilah yang akan menjadi penolong-penolong (agama) Allah”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kini, dalam proses mengisi kemerdekaan yang telah masuk tahun ke-51, kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Di antaranya ialah :

a) Generasi muda Islam yang tidak menghayati erti kemerdekaan sebenarnya. Bagi mereka, apa yang telah tersedia kini, merupakan nikmat kemewahan yang perlu dikecapi dengan sepuas-puasnya, tanpa perlu memikirkan peluh keringat dan titisan darah para pejuang kemerdekaan. Banyak gaya hidup mereka berkiblatkan Barat. Fesyen pakaian yang mengghairahkan, seks bebas, arak, berhibur tanpa batasan di kelab malam dan judi, seolah-olah telah sebati dengan segelintir remaja Muslim kini. Benarlah kata-kata Yusof Islam ” Tamadun Barat seumpama kapal yang sedang tenggelam, sedangkan pada waktu yang sama, umat Islam berebut-rebut, membeli tiket untuk menaikinya.” Dan oleh kerana masa muda tidak dimanfaatkan dengan baik, bahkan hiburan yang melampau sebagai pengisian hidup, maka kehidupan generasi muda Islam dapat diumpamakan seperti pepatah Arab ” Air yang tidak mengalir akan merosakkannya, dan pemuda yang kaku dan jumud (banyak masa yang terluang dan tidak dimanfaatkan dengan baik) akan membunuhnya (merugikannya).


b) Perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan sebenarnya lebih payah berbanding perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Oleh itu, pimpinan negara kini kadangkala tidak menunjukkan contoh yang terbaik buat rakyat. Di kala rakyat disuruh berjimat cermat, para pemimpin masih bernafsu besar seperti isu Mercedes di Terengganu. Di kala Perdana Menteri menekankan soal pembangunan insan, program hiburan yang begitu banyak seperti Akademi Fantasia, Gangstarz, Rythm of The Champion, Malaysian Idol terus disogokkan kepada rakyat. Seolah-olahnya ia bertujuan untuk mengikis jatidiri umat dari berjiwa besar dan berpandangan jauh dan kritis, kepada berjiwa lemah dan dikuasai oleh hawa nafsu. Dan ia juga sebenarnya melambangkan bagaimana, di kala tangan kanan gigih membina tamadun umat agar kembali disegani , ada tangan kiri yang meruntuhkan ketamadunan tersebut. Begitu juga, di kala Islam Hadhari diperkenalkan sebagai teras pentadbiran negara, banyak pelaksanaan yang dibuat tidak berdasarkan 10 prinsip yang cantik di atas kertas. Iman dan taqwa umat Islam terus merudum dengan isteri beberapa pimpinan negara yang Muslim masih tidak menutup aurat, menjadi bukti Islam Hadhari hanya slogan tanpa praktik semata-mata. Pembangunan fizikal negara yang tidak menghiraukan lagi alam sekitar, akhirnya menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat semakin menjadi-jadi. Kedaulatan negara juga semakin terancam, dengan kehilangan Pulau Batu Putih akibat kealpaan pimpinan negara yang sibuk dengan perjuangan untuk memenuhkan tembolok sendiri.

c) Pimpinan negara kini seolah-olah tidak berupaya untuk menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya. Kenaikan minyak yang mendadak dan peratus kenaikan yang tinggi, akhirnya menyebabkan inflasi negara melambung. Rakyat miskin dan golongan pertengahan terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang. Sedangkan pada waktu yang sama, terdapat pimpinan negara yang terus mengamalkan gaya hidup mewah. Slogan kepimpinan melalui teladan tidak lagi dihayati. Perjuangan para pejuang kemerdekaan terdahulu, tidak lagi menjadi inspirasi untuk membangunkan negara ke arah yang lebih baik.


Oleh yang demikian, negara memerlukan pimpinan yang sentiasa mengutamakan keadilan dan kebenaran. Pimpinan yang sanggup menjadi khadam rakyat dan bukan tuan rakyat. Pimpinan yang mementingkan integriti dari mementingkan diri sendiri. Pimpinan yang sentiasa mengajak dan mendorong rakyatnya ke arah kebaikan dan berusaha meminimumkan anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan jatidiri umat. Pimpinan yang berjuang untuk kemaslahatan ummah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya, dan bukan yang berjuang untuk kepentingan dan kekayaan dirinya. Pimpinan yang tidak merampas hak rakyat, demi kepentingan golongan tertentu yang mempunyai hubungan baik dengannya.

Dalam keadaan ketidakstabilan politik kini, negara dan umat memerlukan pimpinan yang cekap menguruskan negara dengan pendekatan yang berhemah dan mengutamakan kebajikan rakyat. Bukannya pimpinan yang lambat dan kurang tepat mengambil keputusan, yang akhirnya menyebabkan rakyat terbeban.

Yakinlah dengan usia negara kita yang telah merdeka hampir 51 tahun, kita perlu sama-sama menggerakkan perubahan ini. Selamat tinggal kepada segala ketidakbijakan pimpinan dalam mengurus dan mentadbir negara. Kita mengharapkan dan mengimpikan agar pimpinan yang sentiasa berkobar semangatnya dan bijak, serta cekap mengemudi bahtera pemerintahan negara ke arah redha Allah, walaupun terus-menerus difitnah tanpa bukti yang kukuh. Sesungguhnya Allah bersama pihak yang benar dan segala kebatilan akan terbongkar.
Dan ingatlah ketika Nabi SAW sewaktu dimikrajkan ke langit, antara golongan yang Nabi SAW berjumpa ialah seorang lelaki yang sedang membawa kayu api di belakangnya. Dia terus menambahkan kayu api di belakangnya, sehingga dia tidak sanggup lagi berjalan. Kata Jibril a.s. ” Inilah orang yang mempunyai sekian banyak amanah dan tanggungjawab, tetapi satupun, tidak ditunaikan dengan baik”.

Justeru, kita tidak mahu orang yang menjadi pimpinan kita sebegini. Jawatannya banyak, pangkatnya besar dan kekayaannya hebat, tetapi rakyat marhaen terus dilupakan. Ingatlah kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Amanah bukanlah suatu kemuliaan dan kebanggaan, yang akhirnya menyebabkan pimpinan itu terus dalam kealpaan. Nabi saw bersabda ”Apabila amanah itu dipersiakan, tunggulah saat kehancuran”. Para sahabat bertanya ” Bagaimana amanah itu dipersiakan?” Nabi bersabda ” Apabila amanah itu diberikan kepada orang yang tidak layak”, maka tunggulah saat kehancuran(Hari Kiamat)”. Dan juga di dalam hadith yang lain, Nabi saw menyebutkan ” Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab dengan apa yang dipimpinnya”.

Renungilah dialog isteri Khalifah Umar Abdul Aziz ketika dia menyatakan ” Wahai kekandaku, tidak bolehkah kita bermewah sedikit kerana kita kini, orang yang paling tinggi kedudukannya di dalam negara ”. Lalu dengan tegas, Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab ” Aku memberimu 2 pilihan ; samada kamu mahu terus bersamaku dalam keadaan senang atau susah, atau keluar dari rumah ini dengan segala harta benda yang engkau cintai!” Lalu isterinya berkata ” Kalau itulah jawapanmu, wahai kekandaku, aku sanggup susah senang bersamamu, kerana aku tidak pernah berjumpa lelaki sehebatmu”.

Selamat menyambut kemerdekaan negara ke-51, dengan azam dan tekad untuk melakukan perubahan demi negara yang tercinta.


18 Ogos 2008, 16 Sya’ban 1429 Hijrah,
8.12 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 14 Ogos 2008

Syabas Dewan Pemuda PAS Pusat dan para perwakilan. Selamat bermuktamar


Exco Dewan Pemuda PAS Pusat mengadap Tuanku Raja Nazrin Syah di Istana


Syabas buat DPPP dan DPP PAS Perak di atas kejayaan melaksanakan muktamar di Stadium Indera Mulia, Ipoh bermula malam tadi. Bermula pagi nanti-14 Ogos, para perwakilan dari seluruh negara akan membahaskan ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat-YB Salahuddin Ayub yang tel;ah dibentangkan pada malam tadi.

Setelah saya meneliti ucapan YB Ketua Pemuda, dapat saya simpulkan seperti berikut :

Jangan leka dengan kemenangan, sebaliknya perancangan yang rapi untuk mengisi kemenangan perlu dibuat. Lebih penting program tarbiyyah jangan diabaikan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

PAS perlu tampil dengan pakej kepimpinan berkebajikan yang mengutamakan kepentingan rakyat. Juga berfikir sebagai pembuat dasar yang memelihara maslahah rakyat dan bukan lagi dengan mentaliti pembangkang di negeri yang dikuasai.

Kita mengalami pelbagai pahit maung dalam berjuang mendaulatkan Islam di negara. Justeru, dengan nikmat kemenangan kini, kita sepatutnya berjuang dengan lebih hebat. Sesungguhnya mempertahankan kemenangan lebih sukar dari mendapat sesuatu kemenangan.

Pemuda akan bertegas demi mempertahankan prinsip yang didokong selama ini iaitu ke arah melahirkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya, nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

PAS dan pimpinan perlu bijak menangani isu muzakarah atau muqabalah, agar tidak terperangkap dengan propaganda dan dakyah UMNO.

Pakatan Rakyat perlu fokus kepada usaha untuk mengukuh kerjasama di antara negeri yang dikuasai agar manfaat berkerajaankan Pakatan Rakyat dirasai oleh rakyat.

Wacana ilmiah secara rasional di antara pimpinan pemuda Pakatan Rakyat perlu digerakkan agar setiap pihak memahami prinsip parti masing-masing.

Relevankan Kelab Remaja Ibu Kota dan Kelab Penyokong Muda PAS? Kenapa tidak ditubuhkan sahaja sayap kanan kepada Pemuda seperti Syabab Muslim atau Ghulam Muslim?

Perkukuhkan perhubungan dengan Allah terutamanya semua ahli dan pendokong jamaah demi memastikan naungan dan redha Allah sentiasa bersama dengan kemenangan yang dianugerahkanNya.

Pemerkasaan program tarbiyyah dalam melahirkan pelapis kepimpinan parti amat disokong. Lajnah Tarbiah dan
Kepimpinan perlu lebih proaktif dalam merealisasikan hasrat Ketua Pemuda


Semoga sedikit pandangan dari saya yang kerdil ini, dapat diberi perhatian. Selamat bermuktamar buat semua perwakilan pemuda pada tahun 2008 ini dengan suasana yang penuh ukhuwwah, mahabbah dan bermuhasabah.

14 Ogos 2008, 12 Sya'ban 1429 Hijrah,

12.55 tgh malam, Malaysia Timur


Bila Raja Nazrin perkenankan TGHAHA dan TGNA



Daulat Tuanku. Moga Tuanku Raja Nazrin dan Sultan Azlan Shah bersama pasangan sentiasa dinaungi Allah. Bila mana saya mendengar berita ini, tercetus di fikiran saya seperti berikut :

1) Raja Nazrin seorang raja yang berfikiran terbuka dan pada waktu yang sama menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu

2) Pendekatan MB Perak dan Pesuruhjaya PAS Perak mengadap Tuanku Raja Nazrin untuk mendapat perkenan, amat kena dengan masa dan cara sebagai rakyat yang mengasihi rajanya.

3) Rakyat Perak beruntung mendapat peringatan bermakna dari 2 Tuan Guru ini sewaktu khutbah mereka Jumaat ini, dan Insya Allah menjana kesedaran penghayatan Islam di kalangan mereka.

4) UMNO Perak semakin tidak senang duduk. Tapi apakan daya, nasi dah jadi bubur.

5) PAS kembali bermuktamar di negeri kelahirannya selepas 55 tahun penubuhannya. Syabas PAS dan tahniah buat PAS Perak dalam menjayakan Muktamar PAS di Perak pada tahun 2008 ini.

14 Jun 2008, 12 Sya'ban 1429 Hijrah,

12.45 tgh malam, Malaysia Timur

Rabu, 13 Ogos 2008

UiTM ; Pro dan Kontra mengambil pelajar dari bangsa lain


Bagi saya, dapat dirumuskan begini :

1) Cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin boleh dipertimbangkan demi meningkatkan daya saing pelajar Melayu dan bumiputera, tetapi masanya mungkin tidak sesuai kini.

2) Seperti biasa, cadangan ini seumpama menjolok sarang tebuan. Lalu, wujud mereka yang menjadi hero demi mempertahankan ketuanan Melayu

3) UiTM mungkin masih memerlukan sedikit masa untuk mengekalkan pengambilan pelajar hanya di kalangan bumiputera disebabkan keciciran pelajar di kalangan bumiputera selepas SPM anatara yang tertinggi

4) Mungkin perlu ada dialog dan forum khusus untuk membincangkan isu ini

5) PAS dan DAP perlu memberi respon yang jelas, terang dan nyata berhubungan cadangan dari MB Selangor ini.

Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan bijak dan berhemah. Jangan dek kerana terlalu mempertahankan hak kita, menyebabkan kita menafikan hak orang lain.


13 Ogos 2008, 11 Sya'ban 1429 Hijrah

7.56 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 12 Ogos 2008

Sekilas Pandang

Syabas buat Lee Chon Wei, Wong Choon Han dan Wong Mei Choo untuk terus memberikan harapan kepada negara dalam menggapai emas pertama Olimpik. Sayang buat skuad memanah negara, badang negara dan perenang negara yang tidak kesampaian untuk menghadiahkan buat rakyat Malaysia sebutir pingat.
Majlis Peguam patut bertemu JAKIM
Bagi saya, dari keadaan semakin tidak terkawal, Majlis Peguam perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di atas kekecohan yang berlaku akibat forum Memeluk Islam. Sepatutnya, mereka bertemu JAKIM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Zahid Hamidi, untuk mendapat penjelasan sebenar tentang hak pasangan bukan Islam bila pasangan mereka memeluk Islam.
Ada pihak cuba sabotaj Kelantan?
Dengan nilai barang berharga berjumlah hampir RM 18 juta yang hilang dari Kedai Pajak Gadai al-Rahn, banyak persoalan yang timbul. Antaranya, siapa yang terlibat kerana mereka begitu pakar sehingga alarm tidak berbunyi sewaktu mereka mencuri. Yang kedua mengapa pasukan security yang mengetahui hal itu, tidak melaporkan kepada polis tetapi hanya menelefon Pengurus al-Rahn pada pukul 3 pagi, untuk memaklumkan kejadian tersebut? 1001 persoalan berlegar di fikiran kepala kita semua.
Russia jangan angkuh
Dengan menyerang Georgia yang serba kekurangan, Russia dianggap angkuh. Akibatnya, yang menanggung bukan hanya kematian di kalangan tentera yang bertempur, tetapi orang awam yang tidak berdosa. PBB seharusnya mengambil tindakan tegas ke atas Russia dan membantu Georgia.

Jumaat, 8 Ogos 2008

08.08.08-Olimpik 2008 di Beijing


Semalam berlangsung upacara pembukaan Sukan Olimpik edisi ke-29 yang gilang-gemilang. Dengan 33 atlet yang mengambil bahagian-antaranya sukan memanah, lumba basikal, renang , olahraga dan badminton, sudah semestinya rakyat Malaysia mengharapkan emas pertama Olimpik dari atlet yang telah dilaburkan jutaan ringgit kos menampung latihan mereka.

Dengan ganjaran RM 1 juta ringgit kepada pemenang pingat emas, diharap atlet negara tidak sekadar mengejar habuan tersebut semata-mata, bahkan menjulang nama dan martabat negara-itu yang lebih penting.

Bagi tuan rumah-China, semestinya mengharapkan agar dapat mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa sukan dunia dengan mengharapkan tuah tarikh hari pembukaan-08.08.08 yang bermaksud kaya, kaya, kaya.

Bagi negara umat Islam selain Malaysia, mungkin ini masanya untuk menonjolkan kehebatan atlet Muslim, dan yang terbaik dengan suit yang menutup aurat seperti pelari Bahrain-Ruqayya dalam Sukan Asia yang lalu-yang telah memenangi pingat emas dalam acara 200 meter.

Buat atlet negara, setinggi mana langit dijunjung, tinggi lagi martabat dijulang. Adios dan selamat berjuang !

9 Ogos 2008, 7 Sya'ban 1429 Hijrah,

7.35 pagi, Malaysia Timur

Berani kerana benar, takut kerana salah


Anwar Ibrahim tidak mengaku bersalah semalam di atas pertuduhan liwat ke atasnya. Dengan ikat jamin sebanyak RM 20,000 oleh seorang penjamin dan sebutan kes pada 10 September di Mahkamah Tinggi, memungkinkan Anwar untuk bertanding.

Bahkan peguam Anwar mendakwa, beliau mempunyai alibi(bukti), bahawa ketika waktu itu(masa liwat itu berlaku), bukan Anwar seorang sahaja di kondominium. Bersama dengannya adalah 5 orang yang lain. Kita nantikan pendedahan peguam bela, siapakah mereka yang dimaksudkan itu atau benarkah teori yang mengatakan bahawa 5 orang itu adalah Ahli Parlimen BN yang akan melompat ke Pakatan Rakyat?

Saya yakin dan kita semua mendoakan, agar pendakwaan berlaku secara adil dan hakim bersifat telus, demi menjaga integriti badan kehakiman dan bukannya mengikut telunjuk pihak atasan.

Menyambung pertarungan Anwar vs Najib untuk menjadi PM semalam-kelihatan Anwar berjaya menyamakan kedudukan dengan Najib, dan boleh saya katakan kedudukan seri buat masa ini dan menjadi seimbang. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya.

p/s: Seorang blogger-Abang Bakaq di http://penarikbeca.blogspot.com telah ditahan polis kelmarin di bawah Akta Hasutan. Kita pun tidak pasti apa yang dimaksudkan. Apapun kita berdoa agar pejuang kebenaran, terus berani kerana berada di atas landasan yang benar. Adapun orang yang melakukan kesalahan, akan terus merasa ketakutan, walaupun cuba menutupinya, kerana pasti tergambar kegelisahan di wajah mereka dan jiwa yang tidak tenang.

Khamis, 7 Ogos 2008

Siapa yang berjaya? Anwar ataupun Najib



Dengan Anwar Ibrahim didakwa di Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 10 pagi ini, mungkin Najib menarik sedikit nafas lega. Sesungguhnya pertarungan 2 individu ini untuk menggantikan Paklah sebagai PM Malaysia yang baru perlu kita ikuti dengan penuh minat.

Benar, Anwar Ibrahim terkenal dengan pendekatan politiknya yang licik dan penuh strategi, namun mana mungkin Najib akan membiarkan begitu sahaja. Sebaik sahaja diumumkan 16 Ogos hari penamaan calon dan 26 Ogos sebagai tarikh pengundian di Permatang Pauh, serentak itu juga bukti mendakwa Anwar dikatakan telah cukup, lalu disampaikan sapina kepadanya. Walaupun, SPR menegaskan Anwar masih boleh bertanding selagi tidak disabitkan dengan kes jenayah, kita yakin Anwar tidak akan dapat bertanding dengan mudah. Masih ada 1001 halangan yang perlu dihadapi.

Lihat sahaja kes Altantuya yang masih belum berpenghujung, walaupun suatu ketika kelihatan nasib malang akan berpihak kepada Najib. Kini beliau kembali selamat. Dan sekali lagi, juga atas sebab untuk mengalihkan perhatian rakyat dari kes ini, lalu timbul kes liwat yang mengaitkan Anwar dan Saiful; bekas pembantunya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah.

Dan dalam pertarungan Anwar dan Najib ; kelihatan seolah Najib mendahului seketika buat waktu ini. Selebihnya kita serahkan kepada ketentuan Allah. Adakalanya, di saat infalsi yang meningkat sehingga 7.7 % dan harga minyak dunia semakin turun, kerajaan perlu menyemak semula harga minyak. Jika tidak, walaupun Anwar mungkin tidak dapat bertanding, tidak mustahil pengundi Permatang Pauh memberikan isyarat yang paling jelas kepada pemerintah dengan memastikan calon UMNO dan BN hilang wang deposit!

p/s: Dato' Dr Mashitah Ibrahim mempertahankan kenyataan beliau bahawa harus untuk membuat pinjaman dalam menunaikan haji. Ia berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2005. Sekali lagi umat Islam pening kepala.


7 Ogos 2008, 5 Sya'ban 1429 Hijrah

10.10 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 6 Ogos 2008

Menteri dan Timbalan Menteri tak sependapat dalam isu pinjaman untuk tunai haji?


Kelmarin Dato Dr Mashitah menyebut tiada masalah jika mereka yang ingin menunaikan haji melakukan pinjaman. Ini kerana, demi memastikan rukun Islam kelima dapat ditunaikan dengan lebih awal dan dalam keadaan kita masih sihat dan berkemampuan.

Semalam, Dato Seri Dr Zahid Hamidi pula menegaskan berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, mereka yang belum mampu untuk menunaikan haji tidak boleh membuat pinjaman kerana nanti akan timbul pelbagai masalah. Dibimbangi haji telah selesai, hutang masih tidak terbayar. Bahkan ia bercanggah dengan hukum syarak.

Pagi tadi, saya mendengar dalam Radio IKIM. FM, Ustaz Haji Hasnil Abu Bakar menjelaskan, berdasarkan Muzakarah Haji Kebangsaan, untuk menggalakkan lebih ramai orang dapat menunaikan haji, maka membuat pinjaman adalah harus dengan beberapa syarat. Di antaranya tidak terlibat dengan pinjaman yang mempunyai unsur riba dan ada pendapatan untuk menampung ahli keluarga yang ditinggalkan dan untuk membayar balik pinjaman.

Persoalannya kini, mana satu yang tepat-Timbalan Menteri, Menteri atau keputusan Muzakarah Haji Kebangsaan?


6 Ogos 2008, 4 Sya'ban 1429 Hirah

10.40 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 5 Ogos 2008

UMNO dan wang ibarat irama dan lagu


Saya mengatakan seperti berikut kerana :

1) Di sana sini mereka yang ingin bertanding untuk merebut jawatan menabur wang demi meraih sokongan perwakilan

2) Tidak dinamakan perwakilan UMNO jika tidak ada politik wang (yang sebenarnya jelas rasuah, cuma dikaburi label rasuah itu dengan politik wang)

3) Pimpinan UMNO dan ahli UMNO tidak memiliki semangat para pejuang terdahulu yang ikhlas berjuang demi bangsa, agama dan tanahair. Kini jawatan dijadikan sumber keuntungan peribadi.

4) Tidak berusaha mencontohi pimpinan PAS dan ahli PAS yang tidak menjadikan wang sebagai medium utama dalam soal pemilihan pimpinan kerana Islam melarang berbuat demikian.

5) Masyarakat semakin jelik dan keji dengan rasuah yang berleluasa, sehinggakan rakyat menggelar UMNO parti yang menjanjikan kekayaan sekiranya memegang jawatan.

6) Menjadikan duit sebagai matlamat bukan alat. Lalu terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyeru agar cinta dunia hingga lupa akhirat.

p/s: Sokong kenyataan FOMCA agar ditubuhkan badan bebas mengkaji MRR2 yang kembali retak setelah hampir RM 70 juta dibelanjakan untuk baik pulih. Mana rakyat tak marah dan bengang? Mungkinkah Samy Vellu ada jawapannya?

Hormati perbezaan pendapat

BULAN Syaaban adalah antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ia dianggap pintu gerbang sebelum kita menyambut Ramadan. Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita menggandakan amal ibadat dalam bulan ini.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita melakukan ibadat masih terdapat perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan ibadat tertentu oleh masyarakat untuk dilakukan pada bulan ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHAHARANI SAIRI menemu bual pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Mohamad Shukran Abdul Razak bagi memperincikan hal ini.

Apakah maksud Syaaban dan apakah kelebihan yang terkandung di dalamnya?
MOHAMAD SHUKRAN: Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya, Nabi bertanya kepada umatnya, Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan Syaaban? Jawab umatnya: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui maknanya. Baginda menjawab Syaaban ini kata dasarnya adalah yatasha’abu yang membawa maksud berkembang segala kebaikan.

Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Antara amalan yang kerap dilakukan oleh umat Islam negara ini adalah membaca Yasin tiga kali dan mengaitkannya dengan malam Nisfu Syaaban. Adakah terdapat nas tentang perbuatan sedemikian?

MOHAMAD SHUKRAN: Umumnya, masyarakat Melayu di negara kita memang melakukan banyak amalan. Setengahnya kalau dirujuk kepada sumber asal ada percanggahan pendapat. Ada yang merujuk kepada nas sahih dan kadang-kadang ia dilakukan secara jemaah tetapi bila diselidiki amalan tersebut tidak ada nas yang sahih.

Melihat pada tradisi yang biasa dan masyhur dilakukan oleh umat Islam negara kita adalah amalan membaca Yasin tiga kali menyambut Nisfu Syaaban. Kali pertama ia diniatkan supaya dikuatkan iman, kedua dimurahkan rezeki dan ketiga dipanjangkan umur.

Sebenarnya amalan sebegini bukanlah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi ia berlaku sejak zaman tabien. Antaranya adalah solat sunat al-khair yang dibuat beratus-ratus rakaat pada malam tersebut.

Solat sedemikian ditolak oleh ulama fikah hijaz iaitu Mekah dan Madinah kerana tidak ada nas atau hadis sahih mengenainya.

Tentang membaca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban ini pun tidak ada nas yang qatie (tepat) yang menunjukkan Rasulullah SAW berbuat demikian.

Ada juga yang tanya, adakah salah atau bidaah kita baca Yasin pada malam Nisfu Syaaban?

MOHAMAD SHUKRAN: Untuk mengatakan amalan tersebut tidak akan kaitan atau bidaah, kita perlu berhati-hati. Sebabnya, ulama bersetuju memang tidak ada nas yang qatie tentang bacaan Yasin tiga kali itu. Namun, bagi saya untuk terus menolaknya kita memerlukan pertimbangan yang wajar. Yang dilarang oleh Islam adalah bidaah dari segi akidah.

Sebabnya, ada nas lain yang menyuruh supaya umat Islam membaca al-Quran. Antaranya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pemiliknya. (riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya. (riwayat Bukhari)
Malah, surah Yasin itu juga adalah jantung al-Quran di mana ramai ulama telah pun membincangkan kelebihan membacanya.

Saya melihat isu ini lebih kepada sudut ilmu. Para ulama tidak mahu masyarakat membuat andaian sambil lewa tanpa ada hukum atau dalil yang mewajibkannya.

Namun, untuk mengatakan wajib baca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban itu memang salah. Sebabnya, Rasulullah tidak pernah mengatakan begitu.

Sebab itu, kalau kita merujuk kepada kitab Adab-adab Perbezaan Pandangan, apabila berlaku dua pendapat, kita kena berhati-hati supaya akhirnya perbezaan itu tadi membawa kebaikan kepada umat Islam.

Saya lebih suka melihat kepada syiarnya. Manusia ini sifatnya kalau tidak ada sebab, mereka tidak akan melakukan sesuatu. Maknanya, kalau bukan kerana Nisfu Syaaban mungkin tidak ramai yang membaca Yaasin di masjid atau surau-surau.

Jadi, bagaimana hendak menyambut malam tersebut, daripada tidak berbuat apa-apa lebih baik membaca al-Quran. Walaupun tidak semestinya baca Yasin tetapi masyhurnya orang Melayu adalah membaca surah tersebut.

Hal yang sama juga apabila kita mengadakan kenduri tahlil arwah. Memanglah tidak ada nas tentang hal itu. Tetapi bab memberi makan kepada orang lain dan menghubungkan silaturrahim itu memang ada nas dan hadisnya. Cuma yang dibimbangi adalah masyarakat beranggapan mengadakan kenduri tahlil arwah itu wajib.

Saya berpendapat, kita harus menghormati kedua-dua pandangan. Selagi amalan seperti membaca Yasin dan tahlil arwah itu tidak membawa kerosakan, eloklah ia diteruskan.

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku”. Ini adalah antara hadis yang kerap dibaca dalam bulan Syaaban. Apakah status hadis ini?

MOHAMAD SHUKRAN: Ada yang mengatakan hadis ini daif dan ada yang mengatakannya mauduk (rekaan). Namun, untuk mengetahui secara tepat, kita perlu merujuk kepada ahli hadis dalam bab Mustalah Hadis.

Bagaimanapun, hadis yang daif ini masih boleh dipakai dengan tujuan untuk amalan individu atau sebagai motivasi. Bagi hukum yang lebih besar atau mengenai bab sah atau tidak memanglah ia tidak boleh digunakan. Ini kerana taraf hadis yang boleh dijadikan nas mesti sekurang-kurangnya hadis hasan. Yang terbaik adalah hadis mutawatir.

Sejak kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam sudah berbeza pandangan dalam bab fikah. Fikah ini sifatnya dinamik. Sebab itu kita mempunyai imam mazhab seperti Imam Syafi’ie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Apa yang lebih dibimbangi adalah Barat akan mengambil kesempatan terhadap perbalahan akibat perbezaan pendapat dalam bab furuk begini. Kita tidak mahu umat Islam beranggapan yang agama suci ini terlalu banyak mengongkong umatnya.

Walhal, Islam memang menyuruh kita berbuat baik contohnya kepada ibu bapa dan isteri. Tetapi disebabkan perbalahan tadi, Barat dilihat lebih mempromosikan kasih sayang apabila mewujudkan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Kekasih pada setiap 14 Februari.

Demikian juga halnya dengan sambutan hari lahir. Islam meraikannya dengan amalan sunat membuat akikah iaitu dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Apa yang kita bimbang, perbalahan dalam perkara furuk ini akhirnya menyebabkan masjid dan surau-surau menjadi kosong dan tidak diimarahkan.

Sebenarnya, dalam banyak perkara, Nabi SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana Islam meraikannya.

Cuma, barangkali kita kurang mempromosikannya berbanding Barat yang pada masa sama mahu melalaikan umat Islam melalui sambutan-sambutan tersebut.

Apakah pula hadis yang menyebut kelebihan bulan Syaaban dan apakah amalan sunat yang perlu dibanyakkan?

MOHAMAD SHUKRAN: Antara hadis tersebut adalah Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis lain yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban adalah “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”. (riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Ulasan : Ya Allah berkati kami di bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. Amin

Hayati pengajaran teks Melayu tradisional

Oleh MOHD. ARIF ATAN

MELIHATKAN situasi pergolakan politik tanah air mutakhir ini ada baiknya kita 'belajar' daripada peringatan dan panduan yang terkandung dalam khazanah kesusasteraan tinggalan generasi terdahulu.

Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Bustan al-Salatin adalah antara beberapa buah teks Melayu tradisional yang banyak mengungkapkan pemikiran berhubung masyarakat dengan pemimpinnya.

Secara keseluruhannya, apa yang ditonjolkan oleh teks-teks Melayu lama ini ialah sesebuah kerajaan itu boleh runtuh apabila pemimpinnya membelakangkan prinsip keadilan, sebaliknya pemimpin yang adil dan baik budi pekertinya akan disenangi oleh rakyat.

Sejarah Melayu misalnya ada menceritakan bagaimana Sultan Mahmud Shah kehilangan kuasa dan takhtanya lantaran termakan fitnah oleh Kitul, Laksamana Khoja Hassan dan Raja Mendeliar, kononnya Bendahara Seri Maharaja hendak menderhaka. Tanpa soal siasat seluruh ahli keluarga Bendahara Seri Maharaja kecuali Tun Fatimah dihukum bunuh.

Selain itu, kisah peminangan Puteri Gunung Ledang serta penculikan Tun Teja dari Pahang juga adalah gambaran sikap Sultan Mahmud yang terlalu mengikut rasa hati tanpa peduli akan hal ehwal rakyatnya lagi.

Kegemilangan Melaka sebagai sebuah empayar kerajaan Melayu yang hebat hinggakan rajanya menjadi menantu kepada kerajaan Majapahit dan China akhirnya lenyap begitu sahaja gara-gara kegagalan Sultan Mahmud membendung nafsunya.

Hawa nafsu pemimpin yang akhirnya meruntuhkan kerajaannya juga dapat kita teladani daripada Hikayat Raja Pasai.Kerajaan Pasai yang gah jatuh ke tangan Majapahit akibat keperibadian pemimpinnya yang buruk. Sultan Ahmad yang mahu memperisterikan kedua-dua puteri kandungnya sendiri sanggup membunuh puteranya sendiri Tun Berahim Bapa yang menentang kehendak nafsunya itu. Puteranya yang seorang lagi iaitu Tun Abdul Jalil juga dibunuh kerana anaknya yang tampan itu disukai oleh Galoh Gemerencang walhal Sultan Ahmad sendiri juga menyukai puteri dari Majapahit itu.

Kekejaman Raja Bersiung yang zalim meminum darah rakyatnya seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa menjadi punca kepada kehilangan takhtanya. Ada sarjana menyifatkan meminum darah itu lebih kepada perlambangan atau metafora penindasan pemimpin terhadap rakyatnya. Itulah sebabnya hanya pemimpin yang adil dan menjaga kebajikan serta keselamatan rakyatnya akan disayangi.

Tingginya budi pekerti pemimpin seperti yang digariskan dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal menjadikannya amat disayangi oleh rakyat. Di dalam Hikayat Malim Dewa pula, rakyat siap dijemput ke istana untuk berkenalan mesra dengan bakal raja iaitu Tuanku Malim Dewa. Malah, Hikayat Merong Mahawangsa juga ada menyebut tentang pemerintahan Sultan Muazzam yang tinggi budi pekertinya, adil dan bijaksana.

Jelas, sahsiah pemimpin yang baik membolehkan kepimpinannya diterima sebulat suara oleh rakyat. Orang Melayu juga tidak akan bangkit memberontak tanpa sebab jika pemimpinnya adil dan bertanggungjawab. Tidak hairanlah apabila seseorang pemimpin itu diibaratkan seperti payung yang melindungi rakyat daripada panas dan hujan seperti yang terkandung dalam Bustan al-Salatin.

Oleh itu, tidakkah para pemimpin sekarang dapat menjadikan rakaman sejarah kepimpinan melalui beberapa teks sastera lama berkenaan sebagai iktibar untuk masa depan bangsa dan tanah air ini kelak?
Ulasan : Pemilihan UMNO yang berlangsung kini, tidak menjadi iktibarkah buat para pimpinan UMNO yang dicemari dengan rasuah(politik wang)

Sabtu, 2 Ogos 2008

Genap blog ini setahun 3 bulan pada 1 Ogos 08

Carta 1 : Kunjungan pada bulan Julai 2008 dari Sitemeter = Purat 160-200 org setiap hari

Carta 2 : Kunjungan pada bulan Ogos 2007-Julai 2008 dari Sitemeter = Purata 3000-4000 org setiap bulan


Salam buat semua pembaca budiman. Terima kasih atas sokongan berterusan dengan mengunjungi blog ini saban hari. Saya faham nak dibandingkan dengan blog lain, masih banyak yang hebat dan mantap. Apapun, diharapkan blog kecil ini dapat terus dimanfaatkan bersama. Saya akan cuba untuk terus istiqamah menulis dan menyampaikan idea berkaitan dengan isu semasa dan perkara-perkara yang berkaitan.

Sesungguhnya anak emas saya ini, akan saya jaga dengan baik dan diharapkan ia dapat memberikan maklumat dan ilmu yang anda harapkan. Dengan kunjungan purata 200 orang setiap hari dan 350 kali melayari isi kandungan blog ini serta kini mencapai hampir 90,000 orang yang telah menziarahinya, syukur kepada Allah di atas kunjungan yang bermakna dari anda semua.


Akhir kalam, untuk menyatakan kebenaran bukanlah mudah, tetapi untuk tidak bercakap benar tidaklah susah. Sekian, wassalam.


2 Ogos 2008, 30 Rejab 1429 Hijrah,

12.00 tgh, Malaysia Timur

Jumaat, 1 Ogos 2008

Adakah Anwar Ibrahim bakal ke Putrajaya?



Teryata pengorbanan besar dan hebat yang dilakukan oleh Wan Azizah, yang telah memberikan laluan kepada suaminya yang tercinta ; Anwar Ibrahim peluang untuk bertanding, dapat saya rumuskan seperti berikut :

1) Lambang kesetiaan seorang isteri dan pendokong sejati kepada suaminya
2) Wan Azizah yakin Anwar Ibrahim akan memenangi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim dan PKR
3) Anwar Ibrahim telah mendapat restu dari pimpinan Pakatan Rakyat yang lain seperti PAS dan DAP, bahkan PAS dan DAP komited untuk membantu gerak kerja pilihanraya demi memenangkan Anwar Ibrahim
4) UMNO dan BN hanya menanti detik 16 September tentang nasib kerajaan di bawah pimpinan mereka. Kini, UMNO dalam keadaan gelisah dan gelabah, bahkan merancang sedaya upaya agar Anwar Ibrahim tidak dapat bertanding ; antaranya dengan mendakwa beliau di mahkamah berhubung isu liwat.
5) Rakyat Malaysia menantikan dengan penuh debaran pilihanraya kecil di Permatang Pauh yang mana keputusannya bakal merubah landskap politik Malaysia


p/s: Jelas, terang dan nyata bahawa PAS menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan BN, malah tetap komited untuk menubuhkan kerajaan baru bersama Pakatan Rakyat. Syabas dan tahniah di atas keputusan yang melegakan pendokong dan penyokong PAS.


1 Ogos 2008, 29 Rejab 1429 Hijrah

11.12 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude